‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Isnin, 6 Julai 2009

Gaji Besar Tanggungjawab Besar

Merujuk ayat di dalam cerita "Spiderman" mengatakan, "a great job comes with a great responsibility".

Hari ini maza nak kongsikan kisah seorang sahabat karib maza. Namun 3R (Response, Relaks and Respect) dari anda amat dialu-alukan.

Cetera Bermula...

Malam tadi maza ditelefonni oleh seorang kawan lama, Mohamad Bin Abdul Hamid namanya. Dia sudah stabil dan kerja di Penang.

Baru-baru ini syarikat beliau menawarkan VSS (Pemberhentian Sukarela Berbayar). Melihatkan kegawatan tersebut, beliau telah memohon kerja baru.

Kali ini tempat kerja tersebut berhampiran dengan rumah ibunya sendiri.

Hasil permohonannya itu, Mohamad ditawarkan kerja tersebut dengan gaji yang cukup lumayan. Berkali-kali ganda. Dari bergaji empat angka kepada lima angka.

Setelah berfikir semasak-masaknya, akhirnya Mohamad menolak jawatan tersebut.

Jelas Mohamad kepada maza bahawa syarikat itu ialah syarikat tempatan. Tetapi ia mempunyai jaringan rankaian hubungan dengan Vietnam. Hasil rangkaian itu juga telah membentuk beberapa buah rangkaian perniagaan lain.

Sungguh pun ada jaminan dari syarikat baru yang Mohamad tidak akan dipindahkan ke Vietnam, lambat laun Mohamad merasakan dia akan terpaksa juga meninggalkan tanah air ini.

Tetapi itu bukanlah masalah sebenarnya!

Walaupun dibayar upah lima angka sebulan, dia lebih selesa memilih untuk terus bekerja di tempat sekarang. Di kilang sedia ada.

Hari ini beliau juga ialah seorang Pegawai Senior, Jabatan Sumber Manusia.

Kata Mohamad lagi, "hidup dan nyawaku seolah-olah telah dibeli oleh syarikat yang baru dengan gaji yang hebat itu. Upah lima angka bermakna tanggungjawab aku jadi cukup besar! Sampai malam pun belum tentu boleh tidur lena. Mungkin lagi teruk tidur isteri dan anak-anak akan terganggu. Sebab bapanya tidak ada sentiasa di rumah. Masa untuk keluarga pun akan berlalu bergitu sahaja. Apatah lagi utk merawat ibu yang semakin tua dan uzur!"


Untuk rekod bapanya baru meninggal 6 bulan yang lalu. Jadi Mohamad menyampaikan lagi bahawa biarlah dapat gaji empat angka itu. Asalkan ada masa untuk keluarga, ada masa untuk ketenangan jiwa, ada masa beribadah, berkelah dan bersosial bersama kawan-kawan. Hidup ini terlalu singkat. Lantaran itu, hidup ini perlu dinikmati sebaik-baiknya!

Mohamad bin Abdul Hamid sekali lagi mengusulkan persoalan betapa pentingnya rasa syukur ... (Alhamdulillah) ... ke atas setiap detik dan kesempatan yang dianugerahkan oleh Tuhan. Juga rezeki yang didatangkan kepada kita. Setiap dari kita ada bahagiannya, soalnya bilakah dan bagaimanakah kita harus zahirkan rasa syukur itu dengan apa yang dikurniakan tadi! (?)

Mohamad sempat berpesan lagi, janganlah sampai kita menjualkan ~nyawa, harga diri dan iman ~ dan digalang-gantikan dengan emas, perak dan kemewahan melimpah ruah. Kerana ianya bersifat sementara.

Pendek kata, setiap emas dan perak yang diterima, semakin besar jumlah direzekikan, semakin besar pulalah tanggungjawabnya...

Namun bagi sesiapa yang mampu dan merasakan boleh meneruskan perjuangan, teruskanlah. Sebabnya setiap besarnya wang emas dan perak diterima itu disertakan sekali besar juga pahala! (bersedekah, zakat, menolong orang susah dengan membangunkan ekonomi ummah dan sebagainya.



Pinggan ayan:

apabila sampai masanya, RM bukan lagi menjadi tuntutan hidup, tetapi nikmat dan kebebasan itulah yang ditanggih.

Lalu menjadikan hidup untuk dinikmati. Bukan lagi menjadi hamba kepada ideologi materlisme.. huhuhu .. tapi bilakah masa itu akan sampai kepada kita? Atau sempatkah zaman itu kita lalui?! hmm



Khamis, 2 Julai 2009

Geruh Di Bilik Gerakan Dua

(Video: Lagu Rasmi Kolej Kediaman Kinabalu,

Universiti Malaya.Tempat Jatuh Lagikan Dikenang)


Maza keletihan. Lalu terbongkang di atas kerusi panjang rotan tiga tempat duduk di dalam Bilik Gerakan Dua. Para pelajar baru (freshie) semuanya telah bergerak ke Dewan Tuanku Chanselor sejak jam lapan malam tadi. Tinggal dua hari lagi program orientasi ini akan berakhir.


Malam ini Maza ditugaskan sebagai ‘sentry’; menjaga Bilik Gerakan Dua. Beberapa orang Pembantu Pelajar (PP) juga akan direhatkan sementara waktu setelah bertelungkus-lumus menjalankan tugas masing-masing di siang hari tadi.


Kalau tidak dirancang dengan baik, Minggu Haluansiswa ini tentunya kucar-kacir. Impaknya ialah terhadap kualiti kepimpinan dan krisis keyakinan para mahasiswa yang lain.


Bahkan tidak keterlaluan, mereka yang terpilih menjadi PP adalah dalam kalangan pemimpin-pemimpin pelajar. Mereka juga diharapkan mampu memimpin freshie apabila sessi pengajian bermula kelak.


Ada antara PP itu juga akan dicalonkan sebagai Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) dan Jawatankuasa Induk Kolej.


JTK dan JIK ialah badan tertinggi pimpinan kolej-kolej kediaman di Universiti Malaya. Di sinilah Presiden, Setiausaha, Bendahari kolej yang terdiri daripada para mahasiswa bersidang. Melalui sistem demokrasi, mereka akan dipilih melalui undian majoriti oleh penghuni kolej tersebut.


Lantaran itu, Haluansiswa ialah satu platform terbaik untuk berkempen.. Erk! Tak terkecuali mencari freshie-freshie untuk dibuat ‘endut’ terutama mereka yang sudah senior.


Ketika ini juga siswi senior pula akan terasa bahang persaingan setiap kali Minggu Haluansiswa berakhir.


Lampu Bilik Gerakan Dua telah maza padamkan. Maza bercadang untuk lelapkan mata seketika.


Sejam kemudian, tiba-tiba pintu itu dibuka. Empat batang tubuh manusia menyerbu masuk. Mereka berdengkit-dengkit seolah-olah tidak mahu orang tahu.


Maza terus mematikan diri. Beku dan kaku di atas kerusi itu. Berlakon seolah-olah tidur lena seperti mayat. Di dalam hati terus berdebar-debar sambil bertanyakan geruh apakah yang menimpa diri ini.


Air-cond terus berbunyi dari kipasnya yang bergetaran. Hawa dingin terasa telah lenyap bergantikan bahang dan resah menyelubungi hati. Suasana gelap menambahkan ketegangan.


Namun siapakah mereka ini?!


Lama kemudian barulah maza dapat mengecam tuan empunya tubuh itu. Mereka ialah lain tidak bukan sahabat PP juga. Mereka itu ialah PP Naz (Nazarudin Hashim @ Pak Din), PP Sam (Saiful Azhar Mokhtar), PP Joe (Johari Johanis) dan ketua PP iaitu PP Achik (Daud Jamali – bekas guru dan dia seorang yang matang).


Mereka terus bergerak ke bahagian belakang meja. Meja besar ini melingkar seumpama berbentuk ‘U’. Mereka berselindung di situ. Salah seorang daripada mereka memegang lampu picit. Lalu menyuluh sekitar bilik ini.


Tiba-tiba mereka menyuluh ke muka maza.


“Eh! Siapa tu?”, bisik salah seorang daripada mereka.


“Hmm PP Zeus lah. Biarkanlah dia tidur. Tidur mati tu.”, mereka membuat telahan sendiri.


Memang di masa Haluansiswa kami dikehendaki memakai nickname. PP Zeus ialah nickname maza untuk sessi 1996/97 dan sessi 1997/98 pula PM (Pembantu Mahasiswa) Aroy.


Kemudian mereka menyelongkar mencari sesuatu. Kelakuan mereka agak aneh. Memang aneh. Pelbagai soalan mula menerpa di benak maza.


Kenapa mereka lakukan sedemikian rupa? Kenapa tidak mereka pasangkan lampu sahaja? Apakah yang mereka hendak sembunyikan? Kenapa mereka terhendap-hendap bagaikan musang mencuri ayam? Bukankah mereka PP-PP, bahkan di antara mereka itu ialah ketua kami?


“Ha! Dah dapat dah. Ni failnya. Jom, jom, cepat. Sebelum dia orang balik.”


Mereka terus menyerbu ke bawah meja di hujung sebelah sana berhampiran nakoh tingkap. Tingkap itu pula memanjang dari atas hingga ke lantai menggantikan dinding konkrit. Langsir labuh panjang mencecah bumbung dan lantai. Langsir itu berwarna merah kencana melindungi tubuh mereka dari pandangan orang di luar tingkap.


Mereka terus menyelak satu persatu kertas di dalam fail besar itu. Mereka berkerumun bagai ikan seluang mengerumun taik. Hingga kepala bertemu kepala. Kelakuan mereka seolah-olah FBI menjalankan siasatan rumit kes sendikit yang amat berbahaya.


Maza bangkit perlahan-lahan. Mengendap setiap gerak-gerik mereka.


Siang tadi di dewan makan, maza ada terdengar dari mulut PP Naz. Dia sedang bercakap dengan PP SAM , PP Zain , PP Ujang dan PP Achik. Mereka ini senior maza. Mereka sudah dua kali menjadi PP.

“Malam ni jangan lupa. Kita buat operasi.”, kata PP Naz separuh berbisik.

Ketika itu maza hanya terfikir mereka hendak menjalankan 'operasi sergah hendap' seperti biasa. Iaitu operasi menangkap mereka yang melanggar undang-undang dan peraturan kolej. Jadinya maza tidak hairan sangat. Tetapi sebaliknya, malam ini, apakah yang mereka hendak lakukan pula?


Sesekali mereka tertawa. Sesetengah isi fail tadi diasingkan lalu dimasukkan ke dalam fail yang berlainan. Fail khas itu diletakkan di sisi PP Jeo. Kemudian mereka tertawa lagi bagai ketawa orang jahat.


“Psst! Psst! Woii, korang buat apa tu ha?! Buat operasi diam-diam ke?”, perasaan ingin tahu maza tidak dapat dibendung lagi. Akhirnya maza sergah mereka.


Mulanya mereka terkejut beruk. Ada yang terbalik ke belakang. Kemudian mereka berkata, “Shhh. Slow-slowlah. Eh! Bukan ke kau tidur tadi?”


“Memang ler aku tengah tidur. Tapi tersedar sebaik korang terhendap-hendap macam pencuri ayam. Ini apa hal ni wei?”


“Alamak, kecoh lah kau ni! Alang-alang kau dah tau, dah mari sini. Operasi ni di antara kita aje tau. Hanya untuk budak-budak PP senior. Orang lain jangan bagi tau.”


Terdapat lebih kurang tiga puluh orang PP. Kami terdiri daripada gabungan pemimpin kolej lelaki dan wanita.


“Wokey. Tapi … inikan fail budak-budak freshie tu? Siang tadi kita dah meeting dan asingkan mana-mana freshie yang boleh tinggal di sini dan yang akan dikeluarkan?”


Memang sesetengah freshie akan dikeluarkan dari kolej kerana tempat penginapan terhad. Lagipun ada juga senior yang akan kembali menginap di kolej kediaman ini setelah sessi bermula.


Jadi PP telah diberikan tanggungjawab utama mengenalpasti freshie yang harus dikeluarkan dan freshie yang akan disimpan sebagai orang yang berguna untuk kolej.


Oleh itu kami mempunyai kuasa BESAR untuk memilih siapakah yang layak menginap di kolej tercinta ini! Hehehe...


Fail cadangan penginapan freshie ke Kolej Kediaman Kinabalu ini akan diserahkan kepada Pengetua Kolej untuk tapisan seterusnya. Setelah itu nama-nama yang berjaya akan diumumkan.


“Shh!.. Apa kau tau. Sekarang ini kita buat pilihan semula. Dah jangan banyak cakap. Kau pilih mana berkenan dan tak berkenan di hati kau. Kemudian kau masukan ke tempat fail yang sepatutnya.”, kata PP Joe.


“Wei! Kita pilih budak-budak perempuan yang cun-cun, yang cantik-cantik aje masuk kolej ini, tau! Budak-budak lelaki yang handsome-handsome sikit tu kita tolak tepi. KIV.”, jelas PP Achik pula.


Maza menggaru kepala tanda tidak faham, “Kenapa pulak?”


“Budak perempuan yang cun kita masukan ramai-ramai. Jadikan kolej kita paling ramai budak-budak cun. Hehehe. Best sikit dan senang sikit la (wink, wink). Budak lelaki yang handsome atau macho tu, kita keluarkan. Dia orang jadi pengacau aje kat sini. Habis peluang kita nak mengurat nanti”, jelas PP Achik lagi.


“Wow!!! … macam tu rupanya…”, apalagi tidak perlu menunggu lama, maza terus menceburkan diri bersekutu dengan mereka. (ngeh, ngeh, ngeh - sengih macam orang jahat gitew).


Sesekali kami ketawa, sesekali kami akan mengeleng-gelengkan kepala saraya berkata, ‘Wooooo cantiknya... simpan, simpan…” atau “Cis! Ancaman-ancaman. Tolak tepi dia ni. Tolak tepi!” (hehehehe).


Tiba-tiba maza baru teringat, lalu bersuara. “Cop, cop, cop!. Jadi aku ni dulu korang pilih sebab aku tak encem lah ya? Huh!”


“Hehehehhe … Ah! Ko tu special sikit. Lain cerita. Sambung kerja. Sambung-sambung.”, PP Achik memberikan jawapan yang agak melegakan hati. (hehehe)


Selesai mengasingkan kesemuanya, kami berbalas senyuman puas kepada diri masing-masing. “Ingat! Ini rahsia antara kita aje tau!”, PP Achik, Naz dan SAM saling mengingati kami semua.


Usai segalanya, maza kembali berbaring dan menjaga Bilik Gerakan Dua itu.


Entah bagaimana maza terjaga kembali. Jam menunjukkan sudah tengah malam. Jarum pendek berada di nombor dua, dan jarum panjang pula di angka enam.


Sesekali terdengar suara perempuan. Mereka berbisik-bisik sesama sendiri.


“Hey! Yang ini encem la. Masuk balik kat dalam fail dipilih. Hehehhe”

(…)

“Alamak! Budak perempuan ni pulak dimasukkan ke dalam kolej. Keluar,. Keluarkan cepat. Huh! Habis saham aku nanti?! Psst, gantikan dengan budak sana tu. hehehhehe


Esok pagi-pagi maza laporkan kepada ketua PP, si PP Achik.


“Tenang PP Zeus. Tenang! Semuanya boleh diaturkan. Senang aje tu.”


“Macam mana?!”


PP Achik mengerling kepada PP Sam, Naz, Zain, Ujang dan Joe.


“Aku kan ada aksess. Karang sebelum kita serahkan fail tu, kita operasi lagi. Final punya.”, jelas PP Achik lagi.


“Wakakaka…”, maza tertawa setelah merasa bahawa keselamatan projek semalam dan kelancarannya kembali tidak tergugat.


“Opss! Gulp! Slow-slow ketawa itu… Ingat jangan sampai sesiapa tahu. Rahsia antara kita. Dah jom kita makan dulu”, ingatan itu dibawakan oleh PP Joe.



Glossari: endut – Johor;- kekasih.


Pinggan Ayan: Psst, den dah bagi tahu kek korang. Korang jangan lak pecahkan rahsio ni yo! Janji yo! Biar pecah nasi berlauk sotong di perut, tapi rahsia jangan sampai pocah lak, tau!!! huhuhu


*** This memory is special tribute to welcome all undergraduate; the freshie. Welcome guys to the new world.. hehehhe




Isnin, 29 Jun 2009

Gadis Bukit Kepis - Episod 5

Sila klik untuk episod pertama, kedua, ketiga dan keempat

Puas dua tiga kali mencari di tempat yang sama, dia tidak dapat menemui kampung mahu pun jalan keluar yang digunakannya bersama pak cik itu di malam semalam!

Aroy amat pasti, di kawasan celah semak itulah tempat dia keluar simpang malam tadi dan terus ke Bahau. Tetapi tidak ada apa-apa kesan jalan pun, waema denai yang kecil!?

Yang ada cuma lorong yang sempit. Di sebelah belakang sana batas-batas sawah yang padanya tumbuh rumput-rumput kering. Di petak-petak sawah itu airnya sudah kering kontang.

Aroy kebingungan seketika.

(Gambar: Kawasan yang sering dikaitkan dengan puaka jelmaan)

Penat berulang kali mencari jalan tersebut, dia terus menyinggah di sebuah warong di tepi jalan berhampiran sawah menghala ke Bukit Kepis. Jalan itulah sepatutnya yang dia gunakan semalam. Tetapi tidak bertemu.

Hari ini, jalan tersebut elok sahaja. Seperti sedia kala. Tiada apa yang pelik. Kecuali di petang rambang senja itu dia berehat di warong yang baru didirikan di tepi jalan tersebut.

Aroy berkira-kira untuk menyiasat atau bertanyakan sesuatu kepada penduduk kampung sambil menikmati kuih dan nasi lemak di warong itu.

“Mak cik, selain warong mak cik di sini, ada tak warong lain lagi kat jalan sana itu”, Aroy meluruskan ibu jarinya menunjuk ke arah jalan ke Kuala Kepis.

“Setahu mak cik tak ada. Kenapa nak?”

“Erk! Tapi malam tadi saya lalu kat kawasan itu. Ada warong. Ramai orang. Tapi hari ini saya cuba cari, tak jumpa pula."

“Hmm. Kalau macam itu, anak ni memang bertuah lah. Sebab di sini memang ada kawasan orang bunian. Mungkin anak dah termasuk ke kampungnya itu. Ramai jugalah orang yang tersesat ke sana. Tapi tidaklah diusiknya."

Mulut Aroy terbuka luas. Ternganga besar di situ juga. Itulah pengalaman pertama yang pernah dilaluinya sepanjang pulang ke Palong.

Seminggu sesudah peritiwa itu, Aroy pulang ke kampung mertuanya lagi. Kali ini di sebelah siang pula. Aroy melalui warong mak cik tempoh hari.

Kali ini warong mak cik itu kelihatan begitu usang sekali. Banyak papannya sudah reput. Pangkin yang seminggu lalu kemas di sudut sebelah sana sudah roboh, dimakan anai-anai. Atap nipahnya ada yang sudah lerai. Beberapa gelegar sudah ada yang patah.

Di dalam warong itu berselerakan dedaun kering. Rerumput hijau memenuhi sebahagian besar lantainya. Di belakang warong pula ditumbuhi lalang dengan semak-samun yang menjulang tinggi.

Di sebelah sana resam sedang menghijau. Di luar kedai itu pula kelihatan pokok buluh penuh merimbun. Sesetengah tempat ia menaungi dapur warung itu.

Sekilas pandang, warong itu tidak layak didiami sebarang manusia. Apatah lagi untuk dibuat berniaga! Tapi bagaimanakah mungkin ia terjadi demikian rupa. Walhal baru seminggu lalu Aroy berehat di situ sambil meneguk secangkir teh panas.

Aroy tercegat sendirian, tergamam bersama beribu-ribu soalan! Dia bingung sendirian dalam mencari kepastian.

Tamat.

Sila klik untuk episod pertama, kedua, ketiga dan keempat


author : maza


Sabtu, 27 Jun 2009

Gadis Bukit Kepis - Episod 4


(Klik sini untuk ke episod pertama, kedua, dan ketiga)


(Gambar: Tinggallah kafan membaluti tubuh ke alam kubur)

Aroy membunyikan hon menandakan dia sudah tiba ke rumah orang tuannya. Jam menunjukkan satu pagi.

Tingkap mulai diseka oleh emak. Tetapi tidak pula emak terus membuka pintu. Aroy membiarkan keadaan demikian. Dia tidak mahu mengesa orang tuanya itu. Aroy pun letih. Barangkali emaknya pun ingin memulihkan kekuatan sesudah lelap.

Beberapa minit kemudian, setelah helmet berpenutup penuh dibuka, Aroy mengesani bau haruman yang amat wangi. Melekat di hidung dan anak tekak.

“Ah! Bunga orked dan bunga kenanga emak sudah berkembang mekar agaknya. Hmm ... Wanginya!”, fikir Aroy sambil terusan menikmati haruman tersebut.

Sebaik enjin motor dimatikan, Aroy terdengar suara seperti ada bayi menangis, tetapi suaranya tidaklah begitu kuat. Bukanlah ia datang dari dalam rumah keluarganya itu. Bukan anaknya. Tetapi suara itu datang dari arah belakang Aroy.

“Mungkin anak Pak Cik Dollah yang menangis tu.”, rumah Pak Cik Dollah berhadapanan dengan rumah mertua Aroy.

Tidak senang masa senggang yang diambil terlalu lama oleh emak mertuanya itu, Aroy mula memberi salam. Berulang-ulang kali dia memberi salam. Tetapi pintu masih tidak dibuka. Lalu Aroy mengetuk pintu rumah tersebut bertalu-talu.

"Emak! Ooo mak!"

Sebaik pintu dibuka, Aroy bertanya, “Kenapa lambat buka pintu mak?”

Emak membatukan diri sahaja. Tanpa menantikan jawapan Aroy terus menyambut dan mencium tangan emak dan ayah. Kemudian isteri Aroy keluar dari bilik.

Selang tidak beberapa minit Aroy duduk di atas kerusi di ruang tamu itu, tiba-tiba anaknya yang masih kecil, berumur sekitar 12 bulan, mulai menangis. Teresak-esak. Memekik-mekik kuat. Seperti ada orang memukul atau menakut-nakutkannya.

Puas mereka memujuk bayi itu. Anak kecil itu tidak mahu juga diam. Hinggalah akhirnya ayah memegang bayi tersebut lalu diazankan ke telinga si kecil itu. Akhirnya anak itu kembali diam dan terus lena.

Setelah berehat seketika di ruang tamu dan keadaan kembali tenang, mereka kembali masuk tidur.

Ketika sarapan dihidangkan, ayah mula membuka mulut, “Semalam siapa yang kau tumpangkan?”

“Eh! Mana ada? Saya sorang ajelah ayah!”

“Habis tu, ayah tengok ada budak perempuan duduk kat belakang kau tu, siapa?”

“Hah!”, Aroy menoleh emak dan isterinya sambil tercengang hendak mendapatkan kepastian.

“Tapi memang betul Aroy dari Masjid Kuala Pilah terus balik ke sini. Tak ada siapa-siapa lak yang Aroy tumpangkan.”

“Tak apalah. Hmm ... Mungkin mata ayah kelabu sedikit kot.”, Ayah melontarkan senyuman bersahaja.

“Hish! Dah tua-tua ada hati teringatkan perempuan lawa aje!”, emak berseloroh sambil menunjukan reaksi cemburu yang sepontan.

Mereka tertawa. Pagi itu dirasakan begitu bahagia sekali.

Tetapi persoalan ayah tidak tidak terhenti di situ. Ia masih bermain-main di fikiran Aroy. Namun untuk saat ini, Aroy harus cuba pendamkan terlebih dahulu. Mungkin betul juga kata ayahnya itu, yang ayah tersilap pandang.

Petang itu, Aroy cuba mengesani jalan yang dilaluinya malam tadi.


Bersambung episod kelima : episod terakhir.



Jumaat, 26 Jun 2009

Gadis Bukit Kepis - Episod 3


(Klik di sini untuk mengikuti episod pertama & episod kedua)


Aroy cuba mencari simpang yang sepatutnya dia lalui. Tetapi dia masih tidak menemukan simpang ke jalan Kuala Pilah – Bahau itu.

“Aku dimana? Ya Allah! Aku di mana?”

Belukar bertukar semak, kemudian ternampak pula pepohon rimba yang pakalnya sebesar pemeluk. Jalan menjadi gelap gelita dan hanya bertemankan lampu sorot dari motornya.

Entah bagaimana di penghujung jalan itu Aroy menemui sebuah kampung. Lega rasa hatinya. Di sepanjang jalan itu pula dilimpahi oleh lampu limpah jalan.

Tetapi masalahnya kampung itu juga Aroy tidak pernah kenal. Tidak pernah dia lihat sebelum ini. Dari celah helmet bertutup litup itu, dia menjeling. Ada sebuah gerai makan di tepi jalan.

Pengunjung warung hanya mengerdipkan mata memandang motor Aroy berlalu. Ada pula yang buat tidak tahu sebaik kelibat Aroy melepasi mereka.

Aroy tetap meneruskan perjalanannya. Hampir dua puluh minit kemudian, Aroy masih tidak dapat mencari simpang Kuala Pilah – Bahau.





(Gambar: laju kudaku laju)



“Macam ni tak boleh jadi. Macam mana aku boleh sesat balik ke kampung sendiri? Subahan Allah. Mungkin orang-orang di warung tadi boleh membantu aku.”, Aroy berpatah balik.

Akhirnya gerai yang ditinggalkan oleh Aroy ditemui lagi. “Pak cik, camno nak poie ko Bahau? Den dah terlangsung nie ha.”

Mulanya mereka ternganga sesama sendiri. Selepas itu mereka berbisik. Sesekali menjeling ke arah Aroy.

Lalu salah seorang dari mereka itu bangkit dan menunjukkan arah.

Canggini, ekau patah balik. Dokek sinin iyo. Adolah dalam beberapo rantai kek sinin ni ha. Ingat adolah dalam 20 rantai yo. Ado simpang. Ekau masuk simpang ke kanan. Ha, ikut sinun. Toghuih yo (terus aje). Kendian ekau jumpo simpang tigo. Belok ke kanan. Tulah jalan eh ko Bahau.”

“Terima kasih pak cik. Den beransurlah dulu yo.”

Aroy menuruti apa yang ditunjukkan itu. Tetapi hampir lima belas minit menungang, malangnya simpang yang dimaksudkan itu masih tidak diketemukan!

“Macam ini tidak boleh jadi!. Aku kena patah balik lagi ni.”

Aroy berpatah balik lalu bertemu sekali lagi warung tersebut. Kali ini semua orang yang ada di situ sudah berbeza.

“Maaf pakcik. Den cubo cari jalan eh ko Bahau. Tapi tak jumpolah. Boleh tolong den laie tak pak cik?”

Setelah mereka yang ada di warung itu berbincang sesama sendiri untuk kesekian kalinya, salah seorang daripada mereka itu bangkit dan menyatakan persetujuan untuk membantu Aroy.

Ekau ni dah terlangsung, tersosek kek kampung kami. Mari essey tunjukan ekau, yo!" Pak cik itu menunggang moto kapchainya lalu menyuruh Aroy mengekorinya.

Tanpa banyak soal, Aroy menuruti pak cik tersebut. Hanya beberapa meter di sebalik lori yang berhenti di tepi jalan berhampiran warung tadi terdapat sebuah simpang. Terlindung di situ rupanya.

Tetapi simpang itu bukanlah simpang yang biasa Aroy lihat. Simpangnya sempit. Malah melalui jalan yang gelap. Kiri-kanan semak samun, ditumbuhi lalang, senduduk dan resam.

Bagaikan lembu dicucuk hidung, Aroy hanya diam dan tidak membantah sedikit pun. Aroy terus membontoti pak cik tersebut.


(Gambar: Langit dan bumi tidak menerima manusia yang durhaka kepada Tuhan)


Agak jauh juga mereka menunggang. Dari belukar mereka bertemu pula beberapa buah rumah. Kemudian semak samun kembali. Selepas itu tanah sawah yang baru dibajak. Di situ juga Aroy sempat memerhatikan ada beberapa buah simpang lain. Tetapi pak cik tadi terus membawanya ke jalan lurus.

Jalan menjadi semakin sempit. Adakalanya terpaksa melanggari bonggol yang tiba-tiba muncul. Lubang di sana sini. Aroy terus membatukan diri. Tidak mahu membuat apa-apa aduan. Diam seribu bahasa seolah-olah mulutnya sudah terkunci.

Pak cik itu akhirnya membawa Aroy sampai di hujung jalan. Di hujung jalan simpang tiga itu Aroy ditemukan jalan yang besar. Aroy menarik nafas lega. Jalan tersebut ialah jalan yang dicarinya. Jalan ke Bahau.

“Ha! Inilah jalan eh. Ekau toguih yo ikut sinin. Bawak motor tu elok-elok yo.”, pak cik tadi memberikan senyuman kepada Aroy, kemudian dia memandang ke arah tempat duduk belakang Aroy. Mukanya berubah seketika menjadi serius. Setelah itu dia berkata sesuatu seolah-olah kepada orang di belakang Aroy. Tapi tidaklah Aroy jelas mendengarkan butir bicaranya. Pak cik tersebut seperti berbisik-bisik. Aroy hanya sempat merakam beberapa patah perkataan sahaja.

“Ekau jangan buek tak tontu arah yo! Toguih balik.”, itulah kata-kata akhir dari pak cik tersebut.

Selepas mengucapkan terima kasih dan salam, Aroy terus meninggalkan pak cik itu sendirian dan meneruskan perjalanan ke Palong.

Kali ini perjalanan Aroy lancar.

Cuma sebaik menghampiri simpang masuk ke rumahnya itu dia sedikit terlajak.


Bersambung ke episod keempat.

(Klik sini ke episod pertama, kedua, ketiga dan keempat)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails