‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 11 Mac 2016

DIA CIKGU AKU



Safee Yunos
____________________________________

“Ya Allah!

Ampunkanlah segala dosa-dosanya.

Panjangkanlah umurnya.

Sihatkanlah tubuh badannya. Murahkanlah rezekinya”

_______________________________________

Kata kunci: Kg Sri Lukut, Kahang. Kampung Sri Lukut. Kahang Batu 28, Kahang Bt28, cikgu, ustaz.

Beliau mengajar saya tentang ilmu akhirat semenjak saya berumur sembilan tahun. Guru saya di Sekolah Agama Kahang Bt28, Kluang, Johor. Beliau menaruh segala-galanya demi mendidik saya dan rakan-rakan.

Di kampung, kami tidak memanggilnya ustaz tetapi cikgu.

Beliau sentiasa membuka ruang untuk kami menadah ilmu dengannya. Bukan setakat kami belajar di sekolah uzur yang mereput di belakang Sekolah Rendah Kahang atau menumpang di sekolah sama (tahun 1984/85), bahkan teratak indahnya juga menjadi tempat kami menuntut ilmu (1990). Saya masih ingat ketika itu kami ada peperiksaan besar. Peperiksaan Darjah Khas Sekolah Agama dan SRP. Cikgu ini yang mengambil inisiatif dengan menggalakkan kami membuat study group. Cikgu inilah yang menawarkan rumahnya sebagai tempat kami berkumpul, berbincang dan tuisyen pada tiap-tiap malam sebelum menjelangnya hari peperiksaan. Jam 10.00 atau 11.00 malam barulah kami pulang ke rumah untuk meneruskan mentelaah pelajaran.

Sebelum itu, di kampung kami cikgu ini jugalah antara yang membuat inisiatif mengadakan solat hajat untuk mohon anak-anak kampung berjaya dalam menghadapi peperiksaan besar. Cikgu ini jugalah yang membenar dan menggalakkan kami belajar, mentelaah dan menyiapkan kerja sekolah di masjid. Masjid itu tempat saksi kami berkumpul menyiapkan kerja-kerja sekolah sebelum menunaikan solat Isyak berjemaah.

Masih segar diingatan ketika itu umur kami dalam lingkungan 9-10 tahun. Dalam kelasnya selain mengajar hal-hal akademik, beliau kerap mengumpan kami dengan pelbagai cerita. Memang cikgu selalu bercerita tentang para sahabat, sirah nabi dan kisah alam lebih-lebih lagi apabila hari terlalu panas dan sebagai anak kecil kami keletihan. Mata mula mengantuk, menguap sana-sini. Sesetengahnya tidak sedar terlelap atas meja dan meleleh liur basi mengalir. Cikgu amat memahami, dan jarang mengejutkan kami yang 'syahid' itu. Setelah terjaga dari terlelap, biasanya kami akan tercengang-cengang dan sedar-sedar riwayat yang diceritakan cikgu sudah pun tamat, muka surat kitab juga sudah beralih. Cikgu hanya melemparkan senyuman manisnya.

Ya, cikgu saya ini sering tersenyum. Katanya, senyum itu sedekah.

Ketika itu kelas sekolah agama kami bermula jam 1.45 petang. Bayangkan bersambung dari sekolah kebangsaan jam 7.00 pagi sampai lewat petang. Malamnya wajib mengaji dengan Atuk Dara; atuk saudara saya yang tinggal sebelah rumah. Letih otak, letih fizikal. Di masa itu rata-rata kami berjalan kaki ke sekolah atau berbasikal yang jaraknya lebih 2 km. Dalam kes saya hampir 4km seperjalanan.

Cikgu ini mengajar saya sehingga saya lulus Darjah Khas, Sekolah Agama Johor. Cikgu ini juga membuka minda saya agar bermasyarakat; bercampur gaul dengan orang tua, solat berjamaah di surau atau masjid. Mengajar saya tentang gotong-royong, tahlil, berkenduri dan rewang cara Islam beradab mulia.

Pada zaman itu, pantang cikgu sebut hendak adakan gotong-royong pasti kami menyahutnya. Kami gembira berbuat demikian tanpa dipaksa atau mengeluh. Kami sukarela membantu. Salah satu peristiwa yang masih saya ingat ialah gotong-royong membina dan membersihkan sekolah agama yang baharu. Selama ini kami menumpang belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan, sekarang kami sudah ada sekolah sendiri. Walaupun sekolah baharu ini serba kekurangan, kami gembira dan sering bergotong-royong membersih dan membina ruang sekolah yang lebih luas dengan mencangkul dan memongkes tebing tinggi.

Biasanya pihak sekolah akan mengadakan hari terbuka dan maulidurasul pada tiap-tiap tahun. Kami yang mulai remaja akan turut sama turun rewang dan bermalam di sekolah. Perkara ini kami teruskan walaupun kami sudah tamat persekolahan. Apabila sudah beramai-ramai bermalam di sekolah, sudah tentu ada bermacam-macam ragam. Itu kisah lain.

Pada sebelah petang di hari cuti sekolah, cikgu ini akan meronda kampung. Beliau melawat rumah anak-anak muridnya. Bertemu dengan ibu bapa dan bertanya khabar. Kalau ada salah, sudah tentu saya berasa kecut hati.

Biasanya cikgu ini tidak mengadu perihal kenakalan saya di sekolah. Sebaliknya memberi nasihat dan motivasi agar saya terus berjuang. Ya, berjuang dalam pelajaran, dalam hidup dan membela nasib keluarga dan kampung halaman ini.

Jika ada antara kami tidak pergi ke sekolah, atau sudah lama tidak hadir, beliau akan mengambil inisiatif menyusul murid itu ke rumah. Cikgu akan bertanya khabar adakah anak murid itu sakit atau mengalami masalah lain. Sudah tentu bujukan dan nasihat akan dilontarkan agar anak itu kembali kepangkuan sekolah, menuntut ilmu.

Dalam masa sama, masalah ponteng sekolah dapat dibendung dengan adanya pertalian erat antara cikgu dan ibu bapa. Pendek kata, hidup di kampung saling menjaga dan ambil peduli tentang masyarakat.

Atas jasa beliau dan isterinya Cikgu Sugimah, saya menjadi seperti hari ini. Beliau bertanggungjawab membentuk peribadi dan menanam iman yang kukuh di jiwa saya, yang kini saya anuti Islam itu sungguh-sungguh.

Terima kasih Cikgu Syafie bin Yunus, terima kasih tidak terhingga. Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan dan kebajikan yang cikgu curahkan kepada saya dan keluarga. Ya Allah, kurniakanlah keselamatan dan kesihatan tubuh badan yang sihat walafiat ke atas Cikgu Syafie. Murahkanlah rezekinya, panjangkanlah umurnya. 

Oleh
blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails