‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 25 Oktober 2016

MANGSA TERGELINCIR HAMPIR MAUT



HULU KELANG, 05 Oktober 2016: Kejadian berlaku ketika kakitangan syarikat penerbitan terkemuka di tanah air sedang sibuk berpusu-pusu pulang ke rumah pada sekitar jam 5.45 petang di AU3, Keramat.

Mangsa dikatakan tergelincir dan berpaut pada sebatang besi. Keadaan mangsa sangat lemah dan masih menunggu pihak bomba datang memberi bantuan.

Ramai saksi mengatakan, orang awam tidak mempedulikan keadaan mangsa lalu membiarkan mangsa menyelamatkan dirinya sendiri.

Berita lanjut boleh didapati dalam akhbar Berita Hairan.

Hik hik
Ammak satu kali

 

Ahad, 18 September 2016

PAPAN KALAM UNTUK ANAK



Jambatan Antara Dua Dunia


Celik mata sahaja terus mengetuk, membaca dan menulis di “papan kalam”. Begitulah rutin dewasa ini. Jika tidak melakukan sedemikian seperti ada yang tidak kena. Seolah-olah kembali hidup di bawah tempurung dalam dunia terkurung. Salah hemat, kantung fulus terjejas menjadi kusut dan mengecut. Perniagaan berubah lesu. Kehidupan sosial tersisih.

Ketika kecil dahulu, saya menggunakan papan hitam bersaiz kecil berkapur tulis untuk mengaji, menulis dan membaca. Papan hitam itu boleh diriba di celah kelengkang kanak-kanak berusia tujuh atau lapan tahun. Adakalanya papan yang sama dicebit ke hulu ke hilir sambil belajar mengira dan membaca. Sepelusuk alam suara kami memecah jagat buana apabila kalam-kalam yang terpalit itu kami laungkan satu persatu.

Jika ayah bergaji atau memperoleh pendapatan lebih, jumlah kapur tulis akan ditambah, malah beraneka warna. Hari itu kami bermewah-mewahan hingga dunia khayalan melewati bingkai papan hitam lalu terbawa-bawa dengan mencontengnya ke dinding-dinding rumah. Penyudahnya ibu menjerkah, ayah membeliakkan mata. Paling panas pun, ayah akan menghadiahkan tali pinggang ke kaki. Sebagai pengajaran katanya.

Dengan papan hitam kecil kami berkarya. Bermacam-macam gabungan stroke, garisan, palang, lengkuk membentuk pelbagai cetusan seni hasil kreativiti akal kami. Alam menjadi rujukan kami, seperti pokok, rumah, bunga, haiwan, kenderaan dan orang lidi. Sekiranya kehilangan pemadam papan hitam, kain buruk atau lengan baju dijadikan pengganti.

Dari papan hitam kecil kami mengenal alif, ba, ta. Setelah usia menginjak 12 tahun kami mula khatam dan khatan. Jika tidak khatam al-Quran kami tidak akan disunatkan. Kata orang-orang tua pula, kami akan kekal menjadi kanak-kanak selamanya. Tidak boleh bersolat satu saf dengan jamaah dewasa, makan setalam dengan kawan-kawan yang telah dewasa malah diancam tidak boleh berkahwin.

Sebelum saya memperoleh papan hitam kecil itu, saya pernah menggunakan papan kalam. Papan tersebut diperbuat daripada kayu yang ayah gergaji dari pangkal pokok nangka mati. Kemudian diketamkannya agar menjadi papan yang licin. Arang digunakan untuk menulis. Habis jejari dan hidung kehitaman. Sambil menggores di atas papan kalam, bibir akan mengherot dan lidah tersentil mengikut riak lentuk tubuh menggayakan objek yang dilukiskan. Sukar juga menulis, kena tekan kuat hingga kadang-kala menyebabkan jejari sengal.

Kata ayah, di zamannya belajar, papan kalam dan arang itulah diusung mengadap guru. Manakala kitab kuning adalah buku rujukan yang dkongsikan bersama teman seperguruan. Hampir lunyai kitab itu disebabkan ramainya pelajar-pelajar menggunakannya.

Kata ayah, selang beberapa lama, papan kalam mulai dianggap sebagai barangan rendahan (barangan inferior) setelah barang pengantinya iaitu buku tulis, pen dan pensil mengambil tempat. Papan kalam menjadi terbengkalai dan dibiarkan reput sendirian di pangkal perdu pokok atau di bawah tiang rumah. Ditambah pula arang semakin sukar didapati setelah teknologi dapur berevolusi. Orang kampung tidak menanak nasi dengan dapur kayu atau arang. Mereka gunakan dapur minyak tanah kemudian dapur gas dan hari ini dapur induksi berkuasa elektrik.

Zaman terus berubah meninggalkan sisa-sisanya. Sesuai dengan kemajuan orde dunia baharu. Barangkali ini juga kesan keberkatan doa Nabi Ibrahim a.s terhadap anak cucunya.

Dekad-dekad perubahan dihadapi dengan begitu ghairah. Siapa sangka, di zaman serba canggih dengan teknologi digital dan ICT telah mengembalikan zaman kegemilangan papan kalam. Cumanya papan kalam hari ini tidaklah sampai mengotori tangan, baju dan persekitaran. Hidung dan rumah tidaklah bersawang kehitaman.

Meskipun begitu, kekotoran dari papan kalam moden ini mampu memberikan implikasi jauh lebih dahsyat; sehingga boleh meruntuhkan institusi keluarga, negara dan dunia. Kotornya papan kalam moden tidak kelihatan dengan nyata, secara fizikal seperti kotornya baju, jari dan dinding rumah. Terjemahan kekotoran sudah berbeza.

Dahulu papan kalam boleh dibuat sendiri dengan menebang pohon di belakang rumah. Berbeza dengan papan kalam hari ini yang memerlukan wang dan kerja keras untuk memperolehinya, sehingga adakala perlu berkorban mengikat perut.

Anehnya, pena papan kalam dahulu tidak perlu berbayar kerana arang boleh dikutip dari dapur dan tiada royalti atau copy right yang perlu dirisaukan. Berbeza papan kalam moden, semuanya dikenakan caj, terutama caj perkhidmatan atas talian. Jika tidak berbayar caj tersebut maka papan kalam gagal menjalankan fungsi sebenar. Segala aktiviti komunikasi, mentelaah ilmu dan pengembangan pengetahuan menjadi terhalang. Apabila perkara ini terjadi, papan kalam moden barangkali akan bertukar fungsi, lalu menjadi papan basuh pakaian. Gosok jangan tak gosok, gosok sampai berkilat (lirik lagu Aladin, Spider) . . . bak deretan anak dara di tepian sungai menyental baju bersama busa menimbun. Jadi, manfaatkanlah segala kemudahan yang ada untuk kebaikan. Urusan manusia itu rata-ratanya adalah hal kitar semula dari zaman lampau, bezanya hanyalah teknologi, asas penciptaan dan tujuan tetap sama. 

nukilan lantun-lantun:
  

Ahad, 31 Julai 2016

SAYA BUDAK PENGHANTAR

Selain kerja-kerja hakiki di pejabat, hujung minggu sebegini maza membantu perusahaan isteri.

Ya, sekarang ini dia seorang usahawanita. Dia telah mendaftarkan perniagaannya hampir setahun lalu dengan nama Ciptawarna Enterprise.

Demi memantapkan perusahaan, Ciptawarna Enterprise telah melebarkan profolio perniagaan dengan meningkatkan campuran produk (product mixed) dan barisan produk lini (product line). Selain akitiviti fotografi, kami juga menawarkan jualan kuih-muih dan ikan pekasam Sungai Madik, Kahang.


Biasanya dalam bisness 'confectionery & bakery' (kuih-muih), maza yang akan jadi tukang penghantar, penjaga kualiti rasa dan pengomel ganas.

Bab menjadi 'delivery boy' atau 'despatch' sudah lama maza selami. Hampir 16 tahun. Maza pernah menjadi kalendan lori, memberi khidmat lepas jualan dengan menghantar dan memasang perabut dan peon penghantar dokumen ke kedutaan, pejabat kerajaan dan syarikat.

Sungguh pun begitu, dewasa ini kemahiran menjejak jalan ke destinasi dirasakan sudah menumpul. Barangkali disebabkan oleh faktor perubahan fizikal, pemetaan jalan, laluan jalan raya, kerja hakiki yang sudah berubah, usia yang adakalanya penyebab pikun dan pembinaan jalan raya di Kuala Lumpur yang tidak pernah siap.

~err, jalan ke Desa Pandan kena lalu KLCC ke? Maza sudah sesat mahu cari pangkal jalan pulang~
Tadi GPS suruh maza langgar pintu Kelab Diraja Selangor. Haderk!

Nukilan lantun-lantun:

Khamis, 30 Jun 2016

HULURKAN KASIH KEPADA PEREMPUAN MU DEMI KEBAHAGIAN KELUARGA KECIL INI

 

Acapkali saya memerhatikan gelagat keluarga. Saat kita berbuka puasa, para suami dan ayah begitu tenang menghadap juadah dan hidangan. Tiada gangguan, tiada keributan, tiada keriuhan, tiada halangan atas setiap suapan masuk ke dalam mulutnya.

Isteri dan bonda pula terpaksa berpusing ke kiri dan kanan. Menghulurkan hidangan itu dan ini melayan kerenah anak-anak kecil. Isteri dan bonda sering terganggu setiap kali mahu menyuap nasi ke mulut sendiri. Anehnya masih lagi menghalang anak-anak kecil daripada mengganggu ayah mereka menikmati keenakan suapan makanan itu.

Tanpa menghiraukan keadaan renyahnya isteri, si ayah membentak merebutkan perhatian si isteri. Ayah, suami dan abang pinta dihulurkan itu dan ini. Ayah pinta layanan istimewa daripada celahan ribut yang sedang kemaruk melanda isteri menyantuni anak-anak kecil mereka.

Sebaliknya, isteri begitu betah melayani kereneh suami dan anak-anak. Tetap sabar. Padahal dia juga menanggung lapar yang sama, derita yang sama. Dengan payah-payah, si isteri tetap tabah walaupun kerap kali 'hak' untuk mengunyah makanan dengan aman sering terganggu.

Wahai ayah, suami dan anak yang dewasa, kasihanilah, santunilah dan cintailah ibu, isteri dan kakak anda. Dia telah banyak bersusah payah kerana kesenangan kamu.

~iklan ini bukannya membodek sempena raya, ya kengkawan~
ammak satu kali.
Hik hik

Selasa, 28 Jun 2016

TIPS PERNIAGAAN BERJAYA: AKAUN PENGHUTANG



Memang ekonomi sekarang ini sempit. Ramai peniaga yang senak dan terhenyak. Harap-harap dengan adanya 'duit sumbangan raya' daripada kerajaan, bantuan BR1M dan kenaikan gaji kakitangan awam (Julai 2016) mampu memberi sinar kepada ekonomi negara dan peniaga. Bolehlah para peniaga menarik nafas sedikit lega.

USAH BERBANGGA dengan BANYAKNYA AKAUN PENGHUTANG (RECEIVABLES ACCOUNT) dan TEBALNYA INBOIS, sekiranya jumlah aliran tunai di bank dan tangan jauh merosot ke paras sesak 30% berbanding jumlah akaun penghutang.

Memang benar akaun penghutang merupakan instrumen penunjuk jualan, larisnya permintaan produk dan kekukuhan perniagaan masa depan. Jumlah akaun penghutang hanyalah angka 'janji' bayaran dibuat dan bukan lambang 'cash flow' (aliran tunai) sebenar yang seseorang peniaga itu perlukan.

Dalam mengendali pusingan operasi perniagaan (business cycle), wang tunai amat mustahak. Gaji pekerja, bil utiliti, kos pembekal, kos bahan mentah, kos pengangkutan dan kos barang dijual perlukan RM yang dibayar secara tunai. Kos semasa tersebut merupakan liabiliti asas yang perlu ditanggung dengan mengeluarkan modal tunai awal.

Sekiranya, perniagaan menghadapi masalah gangguan wang tunai, bil-bil daripada akaun penghutang ini tidak dapat membantu. Hutang yang dibina itu masih belum berbayar; masih bergatungan, dalam bayangan. Pihak pembekal, pengeluar dan pekerja tidak akan menerima nota 'receivables account' ini sebagai transaksi yang sah diperlakukan. Mahu atau tidak, peniaga perlu mendapatkan sumber kewangan baharu bagi menampung kitaran perniagannya sama ada mencari pemodal, menjual syer atau meminjam wang.

Apabila peniaga meminjam wang, bermaksud kadar bunga dikenakan oleh pihak bank. Akibat daripada pengurusan akaun penghutang (receivables account management) tidak cekap menyebabkan peniaga akan tercekik dan terheret sama dalam kancah 'hutang', malah menyebabkan pengurangan jumlah keuntungan sebenar berikutan kos bunga bank dan kos mengutip hutang sudah terlibat sama.

Jika akaun penghutang ini tidak diurus dengan baik, tidak dituntut dengan tegas (kebanyakan orang-orang Melayu segan menuntut hutang dek kerana menjaga budi bahasa, kasihan dan lemah lembut), perniagaan mereka menghadapi risiko paling besar iaitu "gulung tikar" (winding-up) dan bankrup.

Kesimpulannya, kepada penghutang janganlah menyusahkan diri dan menyusahkan pemiutang. Hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut. Usah berbicara tentang membina tamadun bangsa yang hebat, jikalau hutang yang mengikat diri itupun selalu dimungkiri; lari daripada menjelaskannya. Perniagaan bangsa sendiri disabotaj dengan janji mahu bayar tetapi hutang tidak pernah mahu langsai. Bagaimana bangsa, negara dan diri sendiri mahu maju, kalau diri sendiri tidak dapat mengendalikan hutang dengan melunaskannya.

Bagi peniaga, hati kena tabah, cekal dan akaun penghutang perlu diuruskan dengan baik. Hutang kena pungut, kena tuntut. Amalkan jualan tunai. Biarlah jualan tidak nampak meriah dengan bertimbunnya inbois bertempoh (hutang) tetapi kita tidak terbeban dengan kancah mainan silap mata sebegini. Kecualilah jika kita berniaga untuk membuat kebajikan dan bukan untuk cari makan harian. Tidak salah hutang lapok itu dihalalkan untuk segera masuk syurga, namun janganlah bersekonyong-konyong menghalalkannya tanpa menuntut terlebih dahulu sebabnya peniaga ada tanggungjawab lain di atas hutang iaitu kepada pekerja, pembekal dan ahli keluarganya.

~nota bisness satu kali~
ammak

Rabu, 22 Jun 2016

PROSES MEMBUAT KEPUTUSAN YANG TEPAT DAN BERKESAN



Acapkali kita menghadapi kesukaran dalam membuat keputusan. Untuk menambahkan kesukaran, pilihan yang ada hampir sama kesan kesudahannya. Sebagai contoh Ahmad seorang pekebun kecil yang dihadapkan dengan pilihan untuk menanam ubi, keledek, tembikai, pisang dan betik. Kesemuanya boleh memberikan pendapatan lumayan. Dengan saiz kebun 10 ekar yang terhad, Ahmad perlu memilih sejenis tanaman sahaja yang tidak mudah diserang penyakit dan paling menguntungkan. Ahmad dalam dilemma dan perlukan mekanisme yang sesuai untuk membuat keputusan.

Kepayahan dalam membuat keputusan ini merupakan sebuah ujian dan kita diuji pada setiap masa. Hal ini sesuai dengan fitrah kejadian manusia, “Sungguh, Kami (Allah) telah menciptakan manusia untuk sentiasa dalam keadaan kesusahan dan kesulitan (al Balad: 4).”

Setiap keputusan yang dibuat melahirkan kesan akhir. Sama ada kesan itu bersifat positif atau negatif. Firman Allah dalam surah al-Mulk: 2, “(Allah) Yang menciptakan mati dan hidup supaya Dia mengujimu; siapa dalam kalangan kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,”

Justeru manusia digesa agar membuat keputusan yang tepat, benar dan menguntungkan dalam urusan dunia dan akhirat. Gunakanlah segala macam anugerah (tools) yang ada untuk membuat keputusan dan Allah SWT berpesan bahawa keputusan akhir mestilah berobjektifkan kebahagian akhirat “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi . . . .” (al-Qasas: 77).

Syaikh Abdul Rahman bin Nashir As Sa’di dalam kitab Taisir Karimir Rahman (hal. 623) menjelaskan, “Engkau telah menggenggam berbagai cara (dari segi keupayaan dan modal) untuk mencapai kebahagiaan akhirat dengan harta, yang harta tersebut tidaklah dimiliki selainmu. Haraplah dengan harta tersebut untuk mencapai keredhaan Allah. Janganlah nikmat dunia digunakan untuk memenuhi syahwat dan kelezatan semata-mata. Jangan pula sampai lupa nasibmu di dunia, iaitu Allah tidak memerintahkan supaya manusia menginfakkan seluruh hartanya, sehingga lalai dari menafkahkan yang wajib (nafkah anak, isteri dan diri sendiri). Namun infaklah dengan berniatkan untuk (kebahagian) akhiratmu. Bersenang-senanglah pula dengan duniamu namun jangan sampai melalaikan agama dan membahayakan kehidupan akhiratmu kelak.”

Keputusan yang tepat itu ialah keputusan yang bersandarkan akhlak mulia, “. . . Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (al-Qasas: 77).

AWAS, setiap keputusan yang hendak diambil hendaklah jelas, nyata dan tidak melibatkan syubahah. Rasulullah SAW telah mengingatkan dengan bersungguh-sungguh:-

Dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir r.a, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang subahat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap subahat bererti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara subahat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembala haiwan gembalaannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa ia adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, hati hendaklah teguh dengan prinsip (iman) dan tidak lalai daripada godaan dan ancaman yang boleh membinasakan diri dan organisasi, lebih-lebih lagi yang melibatkan kepentingan awam. Firman Allah SWT, “Dan ketahuilah bahawa harta dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (al-Anfal: 28) ; “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya.” (al-Kahf: 7)

Iman Qurthubi menjelaskan, “Hendaklah seseorang menggunakan nikmat dunia yang Allah berikan untuk menggapai kehidupan akhirat iaitu syurga. Ini kerana seorang mukmin hendaklah memanfaatkan dunianya untuk hal yang bermanfaat bagi akhiratnya.”

Allah SWT berpesan, setiap kali membuat keputusan janganlah terburu-buru. buatlah keputusan setelah menyelidiki dan mendapat info yang jelas. Siasatan (tabayyun) hendaklah dijalankan dan buatlah keputusan dengan ilmu. Dalam kata lain, konsep tabayyun itu hendalah dijadikan amalan: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (al-Hujurat: 6)

Menurut Gore (1962) terdapat tiga jenis “keputusan” iaitu (i) keputusan rutin, (ii) keputusan untuk mengubahsuai polisi-polisi semasa dan (iii) keputusan inovatif untuk membentuk polisi dan matlamat baru. Hal ini disokong oleh Luthans (1977) dengan menambah bahawa “keputusan pentadbiran” terbahagi kepada dua, iaitu (i) keputusan peribadi /organisasi, dan (ii) keputusan rutin atau asas.

Dalam kata lain, manusia tidak boleh lari daripada membuat keputusan kritikal, sama ada untuk dirinya atau organisasi. Proses membuat keputusan pula boleh dipecahkan kepada dua:-

1) keputusan pentadbiran, iaitu amalan rutin dalam menyelenggara dan mengurus sesuatu tugasan harian. Keputusan boleh dibuat cukup hanya bersandarkan pengalaman, tidak kompleks, keputusan boleh dibuat secara langsung dan hasil keberkesanan keputusan itu boleh diperoleh hampir serta-merta (tidak memakan masa yang lama). Contohnya keputusan membersihkan rumah dengan menyapu sampah.

2) keputusan strategik, iaitu keputusan yang melibatkan pengurusan yang kompleks, pembangunan jangka panjang, pelan tindakan berliku-liku, memerlukan pemerhatian serta penilaian yang teliti dan hasilnya akan diketahui lewat dengan mengambil masa lama. Sebagai contoh rancangan strategik 10 tahun bagi memasarkan 15 juta kereta.

Menurut Pearce & Robinson (1997), pengurusan strategik terdiri daripada sembilan tugasan kritikal iaitu:
  1. Menformulasi misi organisasi termasuk pernyataan umum tentang tujuan, falsafah dan matlamatnya.
  2. Membina profil organisasi yang menyatakan keadaan dalaman dan keupayaannya.
  3. Mentaksir persekitaran luaran organisasi yang mengandungi persaingan dan faktor kontekstual umum.
  4. Menganalisis pilihan organisasi lalu memadankannya dengan persekitaran luaran.
  5. Mengenal pasti pilihan terbaik dengan menilai setiap pilihan berdasarkan misi organisasi.
  6. Memilih satu set objektif jangka panjang dan strategi utama yang sesuai yang boleh mencapai pilihan terbaik tersebut.
  7. Membina objektif tahunan dan strategi jangka pendek yang sesuai dengan objektif jangka panjang dan strategi utama.
  8. Melaksanakan pilihan strategik dengan menekankan tentang sumber yang ada di samping tugasan, manusia, struktur, teknologi dan sistem ganjaran.
  9. Menilai kejayaan proses strategik sebagai input untuk membuat keputusan pada masa akan datang.

Sungguhpun begitu, David (1997) dan Edaris (2004), merumuskan komponen proses pengurusan strategik terbahagi kepada tiga bahagian besar iaitu (i) menformulasi, (ii) pelaksanaan dan (iii) penilaian strategik.

Keputusan strategik yang dibagunkan bersandarkan untuk memuaskan organisai melalui pencapaian visi, misi dan objektif yang bersifat perancangan jangka masa panjang. Keputusan pentadbiran pula menjurus kepada memenuhi indeks penunjuk kecemerlangan/prestasi (KPI) diri yang bersifat perancangan semasa jangka pendek.

Secara ringkasnya terdapat tujuh proses membuat keputusan berkesan amalan organisasi dunia. Kaedah ini amat praktikal dalam banyak hal, sama ada keputusan pentadbiran yang berupa rutin harian ataupun keputusan strategik yang begitu kompleks. Tujuh proses membuat keputusan tersebut adalah seperti berikut:-

1. Mengenalpasti (diagnose), menilai dan mendifinisi masalah, Keperluan dan Situasi

Bahagian ini merupakan bahagian kritikal. Jika gagal mengenalpasti masalah (atau peluang) bermakna situasi itu bukannya situasi sebenar dan bukan pokok persoalan yang memerlukan jawapan serta tindakan. Sebaliknya hanyalah rungutan, keluhan atau kekeliruan yang tidak memberi sebarang makna.

Apabila masalah dapat dikenalpasti, maka sebahagian besar jawapan terlah pun terjawab dengan sendirinya. Ini memudahkan proses membuat keputusan. Kebiasaannya, penyelesaian masalah pokok akan menyelesaikan juga segala masalah yang remeh, tempelan dan kecilan dalam waktu yang sama. Mengenalpasti masalah dengan betul adalah penting kerana mengenalpastikan masalah yang salah akan mempengaruhi proses membuat keputusan yang selanjutnya.

Bagi mengelakkan berlakunya pertindanan masalah yang bertimbun-timbun, pengenalpastian masalah diperingkat awal amatlah perlu. Hanya masalah yang tulen, kritikal dan menjadi tunjang pokok persoalan akan diberikan perhatian. Penyataan masalah disusun mengikut keperluan dan merit purata keberatan (weighted average).

2. Analisis Data dan Maklumat

Setelah mengenalpasti semua punca sebenar masalah proses seterusnya ialah mengumpulkan data. Kemajuan teknologi seperti kemudahan internet, media sosial baharu, telefon pintar merupakan alat mudah cara (device) yang boleh digunakan. Rujukan dan maklumat boleh didapatkan melalui sumber ‘big data’ (dapatan maklumat daripada luaran organisasi seperti lambakan maklumat dari internet) dan ‘small data’ (rujukan maklumat daripada dalaman organisasi seperti laporan kewangan, mesyuarat agung tahuan dan sebagainya)

3. Pembentukan Alternatif

Setelah mendapatkan maklumat, senaraikan semua masalah-masalah tadi mengikut keutamaan. Gunakan kaedah pertimbangan ‘berat kewajaran’ (weighted average). Setelah itu memformulasi pilihan pelbagai bentuk alternatif penyelesaian masalah.

Berikan pertimbangkan (justifikasi) maklumat berdasarkan (i) kebolehbergantungan dan kebolehpercayaan maklumat (reliability), (ii) kredibiliti sumber maklumat, (iii) kesahihan maklumat (validity).

4. Pemilihan Alternatif

Senaraikan solusi alternatif sebanyak yang mungkin. Pada peringkat ini ‘brain storming’ amat berguna dan setiap idea yang dilontarkan hendaklah dicatat tanpa menolak sebarang komen dan pertimbangan.

Berikan merit ke atas setiap solusi alternatif tersebut. Buat penilaian mendalam dengan bersandarkan (i) keberkesanan, (ii) kemampuan kebolehlaksanaan, (ii) sumber seperti dana, logistik dan tenaga kerja, (iv) kesan jangkaan, (v) kebaikan, (vi) keburukan, (vii) masa, (viii) kesesuaian dan (ix) faedah diperolehi.

5 Perlaksanaan Alternatif

Kaedah penyelesaian yang dipilih hendaklah dilaksanakan dan diuruskan dengan betul, efisyen dan efektif. Pada peringkat ini pengurusan perjalanan perlaksanaan alternatif amat kritikal. Sesuatu alternatif penyelesian akan dapat menjawab semua persoalan pokok jika perjalanan perlaksanaan itu dilakukan dengan betul dan tepat sebaigaman yang telah direncanakan.

6. Penilaian & Maklum Balas (Feed back)

Proses seterusnya ialah membuat penilaian dan keberkesanan alternatif yang dilaksanakan itu. Sekiranya penilaian mendapati alternatif tersebut tidak berkesan atau kurang produktif, maka alternatif tersebut hendaklah segera dibaiki, rekayasa atau digantikan dengan solusi yang lebih cekap dan berkesan.

Dalam hal ini ada beberapa kaedah penilaian prestasi boleh digunapakai iaitu seperti:

a) Menetapkan (setting) ukuran dan saiz progress keberkesanan perlaksanaan

b) Menggunakan instrumen analisis seperti soal selidik, kajian eksperimen, ujian klinikal, senarai semak, tinjauan pasaran dan penilaian kolerasi (kajian kuantitatif)

c) Ujian kebolehpasaran (test market atau ‘trial run’)

d) Penyelidikan kualitatif seperti etnografi, temuduga mendalam, kajian kes, kajian tindakan dan laporan naratif untuk menilai tahap keberkesanan alternatif perlaksanaan itu.

7. Pembaikan dan Pembetulan

Setelah mendapat maklum balas daripada khalayak, pembaikan ke atas tindakan perlaksanaan hendaklah segera dilakukan. Tindakan segera ini dapat mengelakkan kerosakan menjadi bertambah parah (collateral demage) dan dalam masa sama mampu meningkatkan reputasi diri. Sesuatu alternatif penyelesaian boleh dianggap baik, cekap dan berkesan apabila alternatif itu menunjukkan keberkesanan kepada keseluruhan dan melingkungi penghapusan punca masalah (substance elemination).

Setelah berusaha sedaya upaya maka kembalikanlah usaha itu ke pada Allah SWT untuk Allah nilai dan memberikan sebaik-baik gajaran. Datangilah tikar sejadah dengan mendirikan solat, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT. Menyerah diri kepada Allah SWT yang Maha Mencipta dan Maha Mengetahui agar dikurniakan jalan keluar yang sebaik-baiknya; pada jalan yang lurus (siratalmustaqim) iaitu pada jalan orang-orang yang Allah telah kurniakan nikmat. Rukun iman terakhir iaitu mengimani qada’ dan qadar hendaklah disemat utuh di dalam jiwa yang dengannya dapat menghindari penyakit hati; qadariah dan jabariah. Firman Allah SWT:

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik untukmu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk untukmu Allah Maha mengetahui sementara kamu tidak mengetahui (al-Baqarah: 216).

Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya (al-Baqarah: 286).

Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. (ath-Thalaq: 7)

Nukilan

Selasa, 14 Jun 2016

SAH ATAU BATAL SOLAT APABILA KANAK-KANAK BERADA DALAM SATU SAF




Seseorang telah bersolat di dalam sebuah masjid. Dia berasa janggal dan tidak selesa apabila di tengah-tengah safnya ada seorang kanak-kanak. Hatinya rungsing. Katanya lagi, kehadiran kanak-kanak itu menyebabkan saf solat tersebut terputus dan boleh membatalkan solat jemaah.

Terutamanya kanak-kanak belum bersunat tidak boleh sebaris dengan orang dewasa. Keadaan kemaluannya yang masih menanggung najis boleh menakung air kencing yang tidak tus dan tersimpan di situ. Orang yang bernajis dan menanggung najis tidak sah solatnya. Begitu juga solat orang yang bersentuhan dengan kanak-kanak tadi akan terbatal solatnya.

Disebabkan perkara-perkara di atas banyak masjid dan surau mengasing dan menyediakan saf khusus jemaah kanak-kanak di belakang saf akhir jemaah dewasa.

Jemaah kecil ini dibiarkan solat bersama-sama rakan sebaya. Lain pula masalah yang timbul. Kanak-kanak sukar dikawal. Mereka bising, bergurau, bermain hingga menjadi punca imam dan jemaah tidak khusuk. Solusinya ada beberapa AJK masjid dan surau mengusulkan agar kanak-kanak tidak perlu dibawa ke masjid. Antara justifikasi lain ialah kanak-kanak masih belum baligh dan tidak dipertanggungjawabkan lagi tentang dosa dan pahala. Untuk mengukuhkan tindakan mereka, hadis berikut diutarakan:
جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ..
Maksudnya: Jauhkanlah kanak-kanak dari masjid. hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Hibban. Walau bagaimanapun, hadis tersebut merupakan hadis daif dan tidak boleh dibuat hujah.

Sah atau batal solat?
Dalam hal ini terdapat banyak hadis sahih yang menggalakkan, malah menyuruh ibu bapa agar mendidik kanak-kanak bersolat secara berjemaah.

Nabi SAW bersabda, “Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mendirikan solat ketika umur tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak mendirikan solat) ketika umur mereka sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan.” (HR Abu Dawud)

Hadis di atas menunjukkan tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak untuk menunaikan solat semenjak anak itu berumur tujuh tahun lagi. Didikan yang baik ialah melalui didikan contoh dan teladan. Lantaran itu terdapat banyak hadis sahih yang membayang, menggalak dan mengharuskan kanak-kanak solat berjemaah dalam satu saf orang dewasa seperti hadis-hadis berikut:-

Ibn Abbas RH berkata:Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah, pada malam itu Nabi SAW bersolat. Maka aku pun bersolat bersamanya lalu berdiri di sebelah kirinya. Kemudian Nabi SAW memegang kepalaku sambil menarik aku ke sebelah kanannya.” (HR al-Bukhari). Sedangkan Ibnu Abbas ketika ini masih lagi seorang kanak-kanak.

Kata Anas bin Malik: “. . . Rasulullah SAW berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang Baginda SAW. Sementara wanita tua berada di belakang kami.” (HR Bukhari). Ketika itu Anas RA masih lagi kanak-kanak.

Pernah Rasulullah SAW memanjangkan solat beliau sewaktu sujud, para sahabat bertanya, "Kenapa terlalu lama Engkau sujud, Ya Rasulullah, adakah terjadi penurunan wahyu?"
Rasulullah SAW berkata, "Tidak ada turunnya wahyu. Aku memanjangkan sujudku kerana cucuku menaiki bahuku. Aku tidak mahu percepatkan sujudku sebelum kemahuan cucuku dipenuhi." (HR Bukahri: 6189)

Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dengan mendukung cucu perempuannya, Ummah.

Abu Qatadah al-Anshari RH berkata, “Aku melihat Nabi SAW mengimami solat sambil mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda SAW rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda SAW mengangkatnya semula.” (HR Imam Muslim).

Kesemua hadis ini menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belum baligh boleh bersolat bersama-sama orang dewasa tanpa mencacatkan solat. Jelaslah tiada saf yang khusus dibentukkan untuk kanak-kanak.

Walaupun ada sesetengah menyandarkan hujah mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa melalui hadis berikut:-
“Rasulullah SAW menjadikan saf orang dewasa di hadapan kanak-kanak, dan saf kanak-kanak di belakang mereka sementara saf perempuan di belakang kanak-kanak.” (HR Ahmad dan Abu Dawud).

Menurut Syeikh al-Albani yang merupakan ulama hadis terkenal dan telah menulis kitab-kitab hadis yang mengasingkan antara hak dan batil mengatakan bahawa sanad (rangkaian perawi) hadis ini daif (lemah) kerana terdapat seorang periwayat hadis yang lemah, namanya Syahr bin Husyab. Tambahan lagi, menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf orang dewasa tidak pernah didapati dalam riwayat hadis-hadis lain kecuali hadis ini sahaja dan ianya tidak boleh dijadikan hujah. Kata Syeikh al-Albani lagi, “Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama seorang anak yatim di belakang Rasulullah SAW menjadi hujah dalam masalah ini.” (Tammamul Minnah, hlm. 284).

Berkenaan hujah kanak-kanak itu menanggung najis yang sekiranya bersolat bersama dalam satu saf akan membatalkan solat dalam saf itu. Hujah larangan terhadap kanak-kanak ini tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Jawapan dalam persoalan ini sudah terjawab di dalam hadis di atas iaitu peristiwa Hassan dan Hussein menunggangi Rasulullah SAW dan perihal Nabi SAW mendukung Ummah yang masih kecil.

Begitu juga dengan hujah kanak-kanak belum khatan. Kanak-kanak belum berkhatan boleh satu saf dengan orang dewasa dan tidak membatalkan solat serta mengurangi fadhilat solat jemaah. Hujahnya bersandarkan hadis berikut:-

Daripada Ibn Abbas katanya, “Saya datang dengan menunggang keldai betina, pada ketika itu belum lagi baligh (hampir baligh). Rasulullah SAW sedang bersolat dengan tidak menghadap dinding. Lalu saya melalui di hadapan beberapa saf dan saya turun dan membiarkan keldai itu memakan rumput. Saya masuk ke dalam saf dan seorang pun tidak membantah saya.”

Hadis Ibn Abbas ini membuktikan pada zaman itu menjadi amalan masyarakat bahawa kanak-kanak tidak diasingkan daripada saf orang dewasa.

Menurut Dr Wabbah Az-Zuhaili pula, najis yang berada pada kerudung kemaluan kanak-kanak lelaki tidak bersunat itu adalah najis yang tidak kelihatan (di bawah kulit) yang berlainan (hukumnya) daripada tahu, darah, dan najis yang kelihatan. (Al Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu: Jilid 1, hlm 576)

Perintah Rasulullah SAW terhadap ibu bapa memerintahkan anak-anak mereka bersolat ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka bila usia sepuluh tahun jika enggan mengerjakan solat (Hadis Abu Daud), merupakan perintah Baginda SAW bersifat umum terhadap kanak-kanak sama ada sudah atau belum berkhatan. Jikalau hanya kanak-kanak berkhatan sahaja dikategorikan orang yang tidak membawa najis dan sah solatnya, sudah tentu Nabi SAW telah berkata demikian semenjak awal. Bahkan mustahil Nabi SAW akan terlepas pandang perkara wajib seperti ini. Jika hal ini diambil kira, maka solat kanak-kanak yang belum khatan adalah sia-sia dan tidak sah. Bukan sekadar kanak-kanak, malahan orang dewasa yang tidak bersunat juga tidak sah solatnya.

Imam Nawawi dalam kitab al-Majmuk mengatakan, haji orang yang tidak berkhatan adalah sah. Ini merupakan pendapat mazhab kami (Syafie) dan pendapat sekalian para ulama, manakala hadis Abu Burdah yang meriwayatkan daripada Nabi SAW, “Tiada haji bagi orang yang tidak berkhatan sehinggalah dia berkhatan” adalah hadis daif.

Jika haji orang yang berkhatan itu sah, maka solat orang yang tidak berkhatan juga adalah sah di sisi para ulama. Hal ini sejajar dengan apa yang diperkatakan oleh Sheikh Al-Habib Abdul Rahman bin Muhammad Ba’Alwi, “Jika ada dalam saf sesiapa yang tiada sah solatnya seperti ada najis padanya, atau dalam lahn (seperti tidak betul bacaan Faatihah-nya)  atau pada saf yang di hadapan terdapat orang yang berkeadaan demikian, maka tidak luput fadilat jemaah mereka yang berada di belakang mereka.” (Bughyah al-Mustarsyidin).

Ada pihak menggunakan hadis berikut untuk mengkhususkan saf untuk kanak-kanak:-
“Hendaklah mereka yang berada di belakangku ahli ahlam (baligh) dan nuha (berakal), kemudian seterusnya dan seterusnya (juga maksud ahli ahlam dan nuha ialah mereka yang mempunyai ilmu dan tahu hukum hakam solat berjemaah, boleh membetulkan imam sekiranya tersilap).” (HR Muslim)

Menurut Syeikh Soleh Ibn Utsaimin menjawab, dalil ini tidak tepat untuk dijadikan hujah mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa. Hal ini juga bertentangan dengan sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud: “Sesiapa yang mendahului orang lain kepada sesuatu maka dia lebih berhak mendapatkannya.”

Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim tersebut membawa maksud galakan dan gesaan kepada yang baligh dan berakal supaya berada di belakang Rasulullah kerana mereka lebih faham daripada kanak-kanak. Pernyataan Nabi tersebut tidak menyatakan tegahan seperti “jangan berada di belakangku kecuali yang baligh dan berakal”.

Sungguhpun begitu para ulama bersetuju bahawa mereka yang sepatutnya berada di belakang imam ialah mereka yang baligh dan berakal yang mempunyai ilmu tentang solat, supaya sekiranya berlaku sesuatu maka orang yang berada di belakang imam tahu apa yang perlu dilakukan. Contohnya apabila imam batal solat, makmum di belakang imam dapat bertindak menggantikan imam mengikut kaifiat yang betul. Seperkara perlu diingat bahawa bukan hanya kanak-kanak sahaja yang tidak sepatutnya duduk di belakang imam tetapi menjadi kesalahan kepada orang awam dewasa yang sering berada di belakang imam malahan berada tepat di belakang imam, sedangkan mereka kurang ilmu tentang solat jemaah. Golongan ini tidak tahu tindakan yang perlu diambil sekiranya sesuatu berlaku kepada imam.

Terdapat kanak-kanak yang mempunyai kelebihan seperti menghafal al-Quran dan bagus bacaannya mengalahkan jemaah dewasa yang ada. Perkara ini perlu dilihat secara teliti dan dipertimbangkan agar tidak menimbulkan fitnah kepada kanak-kanak yang mempunyai keutamaan seperti itu. Kanak-kanak sebegini yang Allah anugerahkan kepadanya ilmu agama boleh dan harus dikehadapankan sehingga boleh dilantik menjadi imam walaupun belum mencapai usia baligh.

Imam Khatib al-Syarbini mengatakan, sekiranya kanak-kanak lebih afdhal (baik) daripada orang dewasa, maka kanak-kanak itu patut dikehadapankan daripada orang dewasa.  Pendapat ini disebutkan oleh al-Darimi (Mughni al-Muhtaj, Jilid 1, hlm. 492).

“Amr Ibn Salamah al-Jurmi mengimami kaumnya sedangkan umurnya ketika itu enam atau tujuh tahun. Nabi SAW bersabda, “Yang mengimami mereka ialah yang paling baik bacaan al-Qurannya. Ketika dibaca sabda Nabi ini, orang ramai melihat-lihat kiri dan kanan, maka mereka mendapati tidak ada orang lain yang lebih baik bacaanya kecuali Amr Ibn Salamah al-Jurni, kemudian beliau mengimami solat kaumnya.” (HR Bukhari).

Malah sebahagian ulama mazhab Syafie mengharuskan agar kanak-kanak ditempatkan antara lelaki dewasa bagi tujuan pendidikan solat seperti dinyatakan oleh Imam Fakhrul Islam al-Mustazhiri (Hilyah al-Ulama fi Ma’rifah al-‘Ulama).

Selain itu, banyak kitab-kitab mazhab Syafie menyatakan jika kanak-kanak mendahului orang dewasa dalam kedudukan saf, maka kanak-kanak itu tidak harus dikeluar atau dipindahkan ke belakang. Sama seperti apabila kanak-kanak itu telah berada pada saf pertama (selain berbetulan di belakang imam), maka mereka berhak untuk tetap pada saf tersebut sepertimana dinukilkan di dalam kitab al-Kifayah karangan al-Qadhi Husein.  Perkara ini juga didokong oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitab ­al-Fatawa al-Kubra: -
“Pendapat yang mu’tabar (paling kuat) bahawa kanak-kanak lelaki itu apabila mereka mendahului mereka yang baligh dalam saf yang pertama, maka mereka yang telah baligh tidak boleh mengeluarkan kanak-kanak lelaki itu dari saf yang pertama, bersalahan dengan orang-orang khunsa dan perempuan-perempuan; hendaklah dikeluarkan dari saf yang pertama sebagaimana saya (Imam Ibnu Hajar) telah mengesahkan perkara ini dalam kitab saya Syarh al-Irsyad.”

Kesimpulannya ialah kanak-kanak yang berada di tengah-tengah saf tidak membatalkan solat atau mengurangkan pahala solat jemaah. Sungguhpun begitu kanak-kanak belum mumayyiz yang lincah, hendaklah dipantau, dikawal, dididik oleh ibu bapa agar perlakuannya tidak mengganggu jemaah lain. Adab-adab masjid hendaklah dipelihara dan ditanam dalam jiwa kanak-kanak, ibu bapa, ahli kariah dan masyarakat.  Bukan sahaja kanak-kanak malahan remaja, dan golongan dewasa yang ligat dan lincah turut perlu dipantau dan dinasihati agar menjaga adab ketika berada di dalam masjid. 

Nukilan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails