Aqlan Sholehin (4 tahun) bermandi hujan di kampung |
April 23, 2014 - Guruh berdentum tingkah meningkah. Petanda kemarau berpanjangan di KL dan Selangor bakal berakhir. Dikhabarkan catuan air akan diangkat mulai minggu hadapan. Syukur.
Mengimbau kembali saat maza kecil-kecil, bermandi hujan itu suatu bonus keseronokan kanak-kanak desa. Lagi-lagi di kelilingi kawan-kawan sepermainan, leka seada-adanya. Keriangan dialami bukan alang kepalang. Kami berlari-lari di atas batas dan adakalanya daun pisang menjadi barang pelengkap bermain hujan. Melompat sana, melenting sini, terjah sana, menyimbah di sini. Bergelut dan bergusti di atas tanah atau lumpur hingga gagal membezakan air itu mutlak, mustakmal ataupun muntanajis.
Ahhh, itu semua tidak penting, berkubang itu wajib walaupun emak akan membebel panjang kerana pakaian penuh dengan selut dan lumpur. Malamnya pula akan merembis kencing akibat kesejukan sambil melayani tidur yang lena dan tersenyum. Paling ngeri pun digigit tungau atau kutu babi, tapi ala bisa tegal biasa. Keesokan hari, akan berdedai-dedai bersidaian selimut dan tilam bergantungan di ampaian atau dahan-dahan pohon rendang.
Itu dahulu, tetapi sekarang kalau dibiarkan saya begitu, ada banyak tuduhan liar akan dilemparkan. Antara paling popular ialah "sudah buang tebiat".
Hujan sekarang dilonggok dengan asid. Sunnah alam dicatur dengan kemajuan pesat dunia. Banyak pencerobohan dan kemusnahan berlaku menyebabkan bermandi hujan menjadi pantang larang dan berbahaya kepada kesihatan.
Selain itu mulut orang tua mustajab doanya telah melarang bermain hujan, barangsiapa degil bermain hujan akan mendapat demam. Dahsyatnya air hujan yang dicemari elemen bendasing hasil ketamakan, kedegilan, kejahilan dan kerakusan tangan-tangan manusia sehingga kenderaan pun akan mudah berkarat, cat rumah cepat luntur, tumbuh-tumbuhan terbantut tumbesaran dan sendi-sendi tubuh mudah berasa bisa-bisa, sejuk dan kebas.
Lompat si katak lompat |
Ketika pulang ke kampung pada bulan sudah, maza membiarkan (malah menyuruh) Aqlan Sholehin (4 tahun) bermain hujan di laman rumah datuknya di Kahang. Biarkan dia merasa keindahan kampung saat bermain hujan. Biarkan dia mengerti dan mengalami sendiri erti orang zaman dahulu menikmati hidup dan menyelami saat keriangan kanak-kanak kampung.
Jelas dari wajah anak kecil itu, kegembiraan sama yang pernah maza rasai dahulu terjelma kembali dengan tulus, ikhlas dan penuh kenikmatan mendalam. Begitulah resmi kami anak tani, bergelar anak Kampung Sri Lukut, Kahang.
~Err . . . sudah berapa lama kengkawan tidak bermandi . . . hujan? Oppsss~