RAPID KL |
Bertahun lama tidak menggunakan pengangkutan awam RAPID KL
rasanya. Hari ini tidak semena-mena terpaksa menjejakkan kaki ke dalam perut
bas itu. Agak canggung juga.
Setelah membayar tiket, maza terus melangkah mencari tempat
duduk sambil melontarkan senyuman pagi hari yang indah. Namun sedekah jenis ini
tidak pula berbalas. Tiada siapa yang sudi membalasnya.
Para penumpang semua bermuka ‘ketat’. Bungkam jelas ketara. Barangkali terkesan
dengan pengumuman kenaikan tarif elektrik malam tadi yang akan bermula
pada 1 Januari 2014. Ketat bertambah sendat apabila mengenangkan cukai GST (VAT)
sedang menanti di ambang muka pintu pada 1 April 2015.
Maza cuba memujuk diri, ini
semua untuk menyelamatkan negara. Mahu progres perlu berjuang dan berkorban.
Tiba-tiba terkenangkan pula bahawa sebelum ini mereka telah dihenyak dengan
pelbagai kos kehidupan. Cuma lewat hari ini kos harga diri tampak murah. Harga
nyawa sudah pun jatuh. Masakan tidak, di dada akhbar buntang memaparkan remaja
membunuh tiga orang remaja seusia mereka. Maza hanya mengusap-usap janggut yang
sejemput.
Ah . . . persetankan
itu semua, bosan dengan alasan itu mulai menguasai diri. Ubah cara hidup, kata
mereka.
Tempoh hari kata teman senior sebangku sekolah, ubah kepemimpin juga adalah
langkah untuk ubah cara hidup kita, demi progress. Hmm . . . maza hanya membisu
sambil cuba memikirkan setiap bait patah perkataannya. Setelah puas mencari
rasionalisasi, sebagai tanda menghormati beliau, maza angguk-anggukan
sahaja kepala.
Setelah penumpang membayar harga tiket yang juga diperkira
akan berlaku kenaikan harga, bas itu pun bergerak. Masing-masing terus khusyuk.
Mata pantas tertancap ke skrin berukuran pelbagai saiz di tangan.
Penumpang-penumpang ini tidak menghiraukan sesiapa pun di dalam bas mahupun teman
sebangku di sisinya. Konsep nafsi-nafsi jelas ketara. Ada yang melayari akhbar
dalam talian, mendengar muzik dari telefon pintar dan ramai yang menyemak kisah
suka-duka “muka buku” masing-masing. Mereka yang tidak mempunyai telefon ajaib
itu segera melontarkan diri jauh-jauh dengan mengamati pemandangan di luar tingkap.
Membawa hati dan fikiran ke dunia peribadi.
Puas memerhati berkeliling tanpa ada sesiapa yang peduli,
akhirnya maza hanyut sendirian. Menerawang tanpa sempadan. Khayal entah ke
mana. Mujur juga tersedar dari lena sebelum sampai ke destinasi (pejabat).
Harap-harap tatkala terlena itu, maza tidak melepaskan dengkuran. Jika suara-suara
garau itu terpacul jua, maza yakin tiada siapa mengendahkannya, hahaha . . . .
lantun-lantun