‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 15 Jun 2012

Menggagahi ranjau di sepanjang jalan

"Min! Min!" teriak Manisih memanggil anak lelaki sulungnya yang berumur 14 tahun. Anak itu tidak pulang ke rumah sedari pagi. Lepas sarapan lempeng dicicah dengan gula bersama teh 'o' jarang, dia menghilang. Barangkali mengheret sama adik-adiknya Leman dan Mutalib,

Maghrib mulai menyinsing. Batang tubuh anaknya bertiga tidak kelihatan juga. Hati Manisih resah tak karuan. Risau bukan kepalang.

"Min! Leman! Talib!!!" pekiknya bersungguh sambil berkeliling rumah di atas bukit di tepi Jalan Mersing.  Serambi rumah di depan itu adalah 'rumah atas' terbuat daripada kayu. Ruang dapur pula berlantai dan sebahagian dindingnya terbina daripada simen. Rumah inilah rumah peninggalan arwah suaminya, Md. Isa. Hampir setahun suaminya itu meninggal dunia. Kini tinggal Manisih menggalas tanggunggjawab membesarkan anak-anak mereka enam orang itu sendirian. 

Pak Long Kadir terdengar pekikan Manisih. Lalu menjenguk kalau-kalau ada sesuatu yang dapat dibantunya janda muda itu. Bergegas Pak Long Kadir mendapatkan Manisih yang menjadi jirannya sekian lama.

"Kenapa Manisih?" Pak Long Kadir mendapatkan kepastian sambil membetulkan kedudukan kupiahnya.

"Budak Min, Leman dan Talib tak balik-balik lagi ni. Saya risau. Entah ke mana dia orang pergi. Sejak akhir-akhir ini, Min tu semakin liar pulak. Kalau ada arwah abahnya tentu tak jadi macam ini. Tahulah dia mengajarnya." jawab Manisih yang kerisauan. Jelas terlihat di wajah dan anak mata Manisih mengharapkan suaminya berada di sisi terutama saat-saat sebegini. Kasihnya kepada Md. Isa tidak pernah terpadam walau seketika. 

"Janganlah risau sangat. Kejap lagi baliklah tu . . . nanti aku tolong carikan." Pak Long Kadir rela membantu.

Dulu masa arwah Md. Isa ada, anak-anaknya terurus dan mendapat perhatian penuh. Md. Isa tidak pernah mengabaikan soal rumah tangga. Baginya pelajaran anak-anak perlu diutamakan, terutama pendidikan agama. 

Mereka tinggal di Kampung Sri Lukut, Kahang dengan mengusahakan kebun getah yang luas sekangkang kera. Kadang-kadang Md. Isa pergi 'gombang' menangkap ikan untuk dijual atau dimakan sendiri. Apabila musim tiba dia akan ke hutan mencari rotan, petai atau jering. Apa sahaja pekerjaan sampingan yang boleh menyara dan menambahkan pendapatan keluarga, dia sanggup kerjakan. Dia tak pernah rasa bosan mahupun jemu melakukan pekerjaan yang sama berulang-ulang kali.

Pada tahun 1980-an, di Kampung Melayu Kahang ini rata-ratanya dihuni oleh kaum tani yang kebanyakkan hidup umpama 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang." Jika ada yang berkelebihan pun mereka yang bekerja kerajaan. Itu pun nasib mereka tidak lebih sejengkal daripada nasib keseluruhan penduduk kampung yang bergelombang dengan kemisikinan. 

Elektrik di pekan Kahang sana sudah sampai, tetapi di kampung ini masih bergelap. Pelita menjadi teman apabila malam menjengah. Usah dibicarakan tentang kemudahan air paip; memang tidak ada.

Sumber air selalunya dari perigi yang digali. Termasuklah keluarga Md. Isa dan Manisih. Rumah di atas bukit itu dibekalkan air dari perigi yang digali dalam-dalam. Bila musim kemarau tiba, keluarga ini kena berusaha lebih. Md. Isa terpaksa berangkut air untuk minum dan masak dari sungai-sungai atau paya berdekatan. Berulang-alik mengandar baldi dan tong air dari paya yang jaraknya hampir satu kilometer dari rumah. Turun-naik bukit sudah menjadi rutin harian. Hinggakan betisnya menjadi mengkal, dadanya bidang tetapi perut tetap pepes!

Tidak sampai sejam azan Maghrib akan berkumandang. Bayang batang tubuh tiga anak itu masih tidak kelihatan. Kerisauan Manisih memang ada kewajarannya. Pak Long Kadir bersama beberapa jiran lain sibuk mencari sama. Di belakang reban, di balik kebun atau dari rumah ke rumah sibuk mencari anak-anak itu. 

Dalam kekalutan tadi, tiba-tiba tiga susuk tubuh anak itu muncul. Mereka memikul joran di bahu. Jiran tetangga yang mengikuti 'operasi mencari dan menyelamat' serta merta mendapatkan Min, Leman dan Mutalib.

"Manisih! Manisih! Ini anak kau. Kami dah jumpa," Pak Long Kadir menyerahkan anak-anak itu kepada ibu mereka.

Min 14 tahun, Leman 13 tahun dan Murtalib baru 9 tahun; mereka terpinga-pinga. Manakala Mahathir belum bersekolah dan Fatimah baru belajar jalan, Affendi masih merangkak lagi. Anak-anak kecil itu ada di atas rumah. Mahathir yang menjenguk Fatimah dan Affendi.

Manisih segera menyerbu hendak mendapatkan ketiga-tiga anaknya itu. Tangannya didepang luas-luas. Bersama lelehan airmatanya dia berlari.  

"PANG!"

Penampar hinggap ke badan seorang demi seorang ketiga-tiga anak itu. Sambil bercucuran airmata Manisih bersuara garang, "Kau ke mana? Min kau bawa adik-adik kau ke mana? Tau tak bapak kau dah tak ada? Sejak bapak kau tak ada, perangai kau semakin menjadi-jadi! Kenapa kau degil? Kenapa buat mak risau? Kenapa kau susahkan hati emak!?!"

Tidak cukup penampar, Manisih melibas anak-anaknya itu dengan ranting kayu. Bertalu-talu disebatnya!

Joran di tangan dirampas. Dipatah-patahkannya. Kemudian dihumban jauh-jauh.

Min, Leman dan Talib hanya membisu. Sesekali menyeringai menahan sakit. Mereka terus membiarkan ibunya melepaskan kemarahan yang membara ke tubuh halus itu. Mereka tahu mereka bersalah. Kalau dibantah cakap orang tua itu, tiada gunanya. Silap-silap boleh menjadi anak derhaka! Mereka tidak mahu sama sekali dikategorikan anak derhaka! 

Kalau dicelah percakapan ibunya itu, boleh mendatangkan kemarahan yang lebih mendalam. Semenjak-dua-menjak ini emaknya tidak begitu sihat. Emaknya itu sudah berusaha keras mencari makan dan membesarkan mereka berenam. Pagi-pagi sebelum subuh, seputar jam empat pagi, emak itu bangun menyediakan sarapan dan bekal untuk mereka ke sekolah. Setelah cerah sedikit di tanah, dia menjinjit bekalan. Manisih menggendung Affendi. Dicebitnya alatan menoreh. Diekori Mahathir dan Fatimah menuju ke kebun getah di Pinggir Jaya sana. Jarak antara rumah dan kebun itu hampir satu atau dua kilometer. 

Sampai di pangkal pokok getah, dia terus menoreh. Terbongkok-bongkok di pagi hari sendirian di dalam kebun peninggalan arwah suaminya, Md. Isa. Kalau salah hemat kelihatan seperti rukuk di batang pokok getah yang menggerutu. Manisih tidak gugup melakukan kerja-kerja keras dan lasak seperti itu. Walhal dia dahulunya diasuh dengan penuh kelembutan dan kesopanan. Perinsip Manisih cukup mudah, bekerja keras tak akan menghakis sifat kelembutan dan kesopanan seorang wanita sejati.

Setelah petang barulah Manisih pulang. Mujur rumah Pak Cik Hassan, bapa mertua Manisih tidak jauh dari kebunnya. Dapatlah juga dia menumpangkan Mahathir, Fatimah dan Affendi untuk dijagai oleh atuk dan nenek budak-budak itu.

"Sudahlah tu. Bawa budak-budak masuk dulu. Maghrib dah ni. Aku nak pergi masjid. Jangan dibantai budak-budak ni bersangatan. Ingat, budak-budak ni anak yatim. Budak-budak ini anak kau juga," nasihat Pak Long Kadir. 

Manisih akur.

Selepas mengajar anak-anaknya mengaji dan mendirikan solat Isyak, Manisih mengarahkan mereka masuk tidur. Tidak sampai setengah jam semua anak-anaknya tertidur.

Manisih bangkit dan duduk di bendul. Dia mula memecal-mecal betisnya yang kelesuan. Sambil mengesot Manisih mencapai pisau toreh di dalam bakul dan perlahan-lahan mengasahnya. Tiba-tiba rusuh mengetuk pintu hati Manisih. Sukar mencari ketenangan di sebalik serabut itu. Meleleh lagi airmatanya mengenangkan nasib diri dan keluarga.

Lebih-lebih lagi terkenangkan kelakuannya di petang tadi. Kejap-kejap wajah arwah suaminya menerpa. Suara kekasihnya itu terniang kedengaran seperti sedang memujuk hati.

Manisih mengangkat muka, memandang ke hadapan yang kosong. Ruang rumahnya memang banyak yang kosong; tidak ada perabut yang memenuhi ruang itu. Dia sendirian di malam sunyi bertemankan cengkerik dan kodok. Binatang-binatang itu terus menghiasi malam dengan saling bertingkah mendendangkan simfoni lagu alam. Manisih sebatang kara bertemankan kegelapan malam yang bersulamkan lampu malap pelita minyak tanah.

"Sesuram inikah masa depan anak-anak aku?" amuk hati kecilnya.

Setelah beberapa kali dia mengesek pisau toreh itu, dia meletakkannya ke tepi. Dia bangkit menjenguk anak-anak yang terbongkang di ruang tamu. Perlahan-lahan dia menyingkap betis Min, Leman dan Mutalib. Kemudian dia mengambil minyak gamat di belebas dinding. Dengan lembut dia menyapukan minyak itu ke kaki yang berbalar-balar hasil libasan ranting kayu dari tangannya juga. 

Dalam diam-diam dia menahan sebak. Imbasan kata-kata arwah ketika nazak segera menerpa ke anak telinga. "Jaga anak kita baik-baik Manisih. Jadikan mereka anak-anak yang berguna. Anak-anak soleh!"

Tidak semena-mena rembesan air matanya terlepas dari diseka. Lalu jatuh menimpa betis Min. 

Min tersedar. Perlahan-lahan dia bingkas lalu segera mendakap ibunya itu. Bersungguh-sungguh dia memeluk. "Maafkan Min mak. Maafkan Min. Min, Leman dan Talib tak ada niat nak sakitkan hati mak. Jauh sekali menyusahkan emak."

"Tetapi kenapa kau lakukan begitu, Min? Min tak nak dengar cakap emak?"

"Bukan niat Min nak bantah cakap mak. Tapi Min cuba membantu emak. Min tak nak emak susah. Min tak nak emak menanggung beban yang hebat ini. Min tahu kita susah. Makan pun adakalanya payah. Min, Leman dan Talib berpakat hendak tolong emak. Walaupun kami ini masih budak-budak, tapi Min rasa kami dapat bantu emak agar tidak susah lagi."

"Apa maksud Min? Apa Min buat petang tadi?"

"Ini semua idea kami bertiga. Min, Leman dan Talib pergi ke paya sana. Kami buat kolam. Kami gali perigi dalam-dalam guna tangan buat macam empangan. Kami nak bela ikan. Ikan yang kami pancing, kami akan simpan di situ. Nanti emak tak payah susah-susah beli ikan. Kita pun tak terputus ikan. Kita boleh makan ikan yang Min tangkap. Kita tak perlu berlapar lagi dan tak perlu makan nasi tanpa lauk. Bila dah banyak ikan dan ikan sudah besar, kita boleh jual. Macam abah buat, jual ikan keliling kampung. Kita dapat duit. Boleh buat tambang ke sekolah. Boleh bayar yuran."

Sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari mulut Manisih. Bibirnya hanya bergerak-gerak. Terkumat-kamit. Manisih terus mendekap anaknya itu. Dipeluknya erat-erat. Sekejap itu juga Mutalib menerpa ibu mereka, bingkas dari gebar yang menyaluti tubuh kecilnya itu lalu bersuara, "Sekarang ini joran kita dah tak ada. Macam mana nak tangkap ikan? . ."

Mereka berpelukan erat sambil airmata mengalir deras. Airmata kasih, airmata sayang, airmata rindu, airmata bahagia . . ! 

"Maafkan emak. Emak tak tahu. Tapi emak tak mahu anak-anak emak susah. Biar emak susah; tak apa. Itu tanggungjawab emak. Kalau Min dan anak-anak emak hendak bantu emak, belajarlah bersungguh-sungguh. Jadi anak yang berguna. Jadi anak yang soleh. Buatlah sebagaimana wasiat arwah abah. Bila kami tiada lagi di dunia ini, doakanlah kami di akhirat sana. Itulah sebenar-benar bantuan yang boleh membahagiakan hati kami!"

Di tepi sana Leman merengkut. Bukannya nyenyak tidur, tetapi menahan sebak. Menahan airmata sucinya agar tidak tertumpah. Baginya, inilah cara dia memberi kekuatan kepada abang, ibu dan adik-adiknya agar kuat menempuh dugaan hidup. Namun, Leman tidak dapat menahan reaksi tubuh. Badannya bergerak-gerak menahan sendan yang hampir pecah sama. 

Hari ini barangkali arwah Manisih boleh berbangga dengan kejayaan anak-anak mereka. Setiap seorang darinya telah berjaya menjejakkan kaki ke Universiti. Anak-anak itu tidak perlu bersusah payah untuk menoreh getah, meracun kebun orang atau menjual ikan sungai berkeliling kampung. Anak-anaknya tidak lagi mewarisi kepayahan dan kemiskinan. Walaupun Manisih tidak sempat melihat kejayaan kesemua anak-anaknya itu, sekurang-kurangnya anak-anak kecil ini telah menjadi orang yang berguna; berguna kepada agama, bangsa dan negara. 

SELAMAT HARI BAPA!

Al Fatihah kepada:

  1. Ibu dan ayah kita
  2. Md. Isa
  3. Manisih
  4. Pak Long Kadir
  5. Mutalib
  6. Muslimin wal Muslimat, ahya' wal ammuat!

Kisah ini berdasarkan cerita benar yang dialami oleh kawan maza. Namun terdapat usur pengoalahan tambahan watak dan jalan cerita sebagai pemangkin kepada jalan cerita. Apa yang hendak diketengahkan ialah isu moral, pengajaran, pengorbanan, perjuangan dan penghargaan. 

Kisah ini adalah 'tribute' untuk sahabat maza; Hishamuddin bin Md. Isa dan keluarganya. Maaflah makcik Manisih, maza tidak dapat menjaga atau menasihatinya lagi. Dia dah besar panjang dah; lagi hebat daripada maza sendiri ... hahahaha...




blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails