Masa kecil dulu cikgu akan tanya dalam kelas. "Tuliskan cita-cita awak, kemudian serahkan kepada cikgu."
Cita-cita yang telah dinyatakan akan dicatatkan di dalam buku rekod dan kad kemajuan untuk rujukan.
Rata-rata kanak-kanak yang membesar di era 80-an itu, termasuklah maza, tidak lari dari menyatakan cita-cita mereka untuk menjadi askar, polis, tentera, bomba. Kiranya pasukan keselamatanlah menjadi pilihan utama.
Tidak pernah jumpa lagi ada antara kami yang bercita-cita menjadi jutawan, niagawan, angkasawan, usahawan, engineer apatah lagi menjadi seorang banduan berjaya. Masing-masing terlalu suci dan masing-masing mempunyai sikap untuk 'membela' nasib keluarga, bangsa dan agama.
Tetapi setelah darjah tiga, maza mulai bosan menulis cita-cita yang sama. Maza ingin membawa perubahan.
Jadinya dengan penuh keazaman dan iltizam yang putus, maza tuliskan tiga cita-cita maza. Dan maza berharap Cikgu Fatimah, guru kelas kami akan bangga dengan maza.
Tetapi ...
"Maza, ambil balik kertas awak ni! Yang dua atas nie memanglah boleh jadi cita-cita awak iaitu askar dan polis. Tapi yang nombor tiga ni, jadi Yang Dipetuan Agong! Cikgu tak pernah tahu yang awak ni keturunan putera sultan atau anak raja mana-mana Negeri Melayu! Tak pernah pulak sepanjang hayat cikgu dengar ada iklan jawatan kosong Yang Dipertuan Agong ... Dah! Awak buat balik cita-cita awak ni semula."
Kemudian Cikgu Fatimah mengembalikan kertas maza itu. Pantas dia membelakangkan kelas. Sekejap itu juga bahu Cikgu Fatimah terangkat-angkat, terjengket-jengket. Macam orang menangis tersendu-sendan. Cikgu Fatimah menundukkan kepala sambil tangannya menekup mulut dan menyapukan airmatanya dengan tisu.
"Agaknya Cikgu Fatimah terharu dengan cita-citaku yang cukup gah dan lain daripada yang lain itu! ... hmm ... Tapi kenapa pula cikgu suruh aku tuliskan semula cita-cita aku?! Pelik nie." Maza berlalu dengan terpinga-pinga kerana masih tidak faham dosa apakah yang telah dilakukannya.
maza: ilham gile-giler si bayi comel...