Sept. 16, 2008
September 11, 2001, tarikh keramat ini banyak sekali diingati oleh warga dunia. Ia mengubah senario keamanan. Dunia digerunkan dengan ancaman keganasan. Pada tarikh keramat itu juga di New York, Amerika, menara dan pusat dagangan dunia yang menjadi lambang kebangaan USA tumbang menyembah bumi setelah dirempuh oleh dua buah pesawat, yang dikatakan telah dirampas oleh penganas.
Tetapi tarikh yang sama September 11, 2008 (Khamis malam Jumaat) (bersamaan 11 Ramadhan) lebih kurang jam 9.30 malam lain pula yang berlaku di tanahair. Bahkan ia adalah peristiwa yang mengerikan buat aku sekeluarga. Kami telah mengalami kemalangan di Dungun Terengganu iaitu di antara kereta kesayanganku, BMW328i E36, dengan sebuah motorsikal Honda Wave 100cc.
Bermulanya Misi
Syarikat membuat keputusan untuk meningkatkan jumlah pengedar produk kami di pasaran dengan mencari pengedar-pengedar di Malaysia, Singapura dan selatan Thailand
Bagi maksud itu, pada Ogos 27, 2008 aku mula bergerak membuat pemasaran sebagaimana dirancangkan. Bagi memenuhi strategi, aku ditugaskan untuk mencari pengedar di selatan tanahair. Iaitu termasuklah Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Masa untuk menyiapkan tugasan ini selama seminggu. Jadinya aku kenalah bergerak setiap hari sehinggalah dikehendaki melaporkan diri ke ibu pejabat pada 8 atau 9 September 2008.
Entah bagaimana tiba-tiba pada 9 September, aku telah dihubungi oleh boss dan meminta aku meneruskan tugasan dengan menambah liputan untuk pantai timur pula; iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Setelah merehatkan badan selama sehari iaitu 10.09.2008, aku mula bergerak pada jam lebih kurang 10.30 pagi (11.09.2008) dari Kuantan menghala ke negeri Terengganu.
Kali ini perjalananku disertai Aida (isteri) dan dua anakku; Nasrun (4 thn) dan Daniel (1 thn 8 bln). Segala-galanya untuk memudahkan kerjaku sambil kami dapat meluangkan masa bersama lebih lama. (almaklumlah aku ni kira macam 'weekend husband' juga, aku di Kuala Lumpur, anak dan isteri di Kuantan - seminggu sekali baru bertemu).
Hari yang indah, Khamis yang redup, cuaca yang cerah, kadang kala udara panas menyapa muka kami. Namun tugasan tetap diteruskan. Segala-galanya berjalan lancar. Kami cukup merasa puas kerana apa yang diusahakan mulai membuahkan hasil setelah bertelungkus lumus memandu dan menyakinkan para pengedar untuk mengedar produk kami.
Dari Kuantan aku terus membuat pemasaran ke Jabur, Bandar Cenih Baharu, Cukai, Kemaman, Kijai, Kemasik, Kertih, Paka dan Dungun.
Ketika sampai di Dungun jam sudah menunjukkan lebih kurang 3.45 petang dan kerja-kerja aku di Dungun siap sekitar jam 5.30 petang. Lalu aku beredar untuk pergi ke Rantau Abang dan seterusnya di Marang atau terus bermalam di Kuala Terengganu.
Ketika perjalanan meninggalkan Dungun aku ternampak papantanda ke Bukit Besi dan Bandar Almuktafi Billah Shah (orang tempatan memanggilnya Durian Mas). Lalu aku membelok ke simpang berkenanan. Aku menemui batu tanda di situ yang menunjukkan kira-kira 76 km lagi hendak ke Bandar Almuktafi Billah Shah.
Untuk memudahkan dan tidak mahu membazirkan banyak wang, tenaga dan masa lagi, aku berhenti di sebuah gerai yang menjual kuih muih. Sambil membeli juadah itu untuk berbuka puasa, aku cuba mengumpul maklumat sebanyak mungkin.
Daripada maklumat yang aku dapat, Bukit Besi dululunya memang pekan yang besar tetapi kini pekan itu sudah mati. Hari ini ia tak ubah seperti sebuah kampung. Kata makcik dan suaminya itu lagi, Bandar Almutakafi Billah Shah merupakan sebuah pekan yang besar dan terdapat gerai-gerai serta kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan. Begitu juga dengan kedai buku dan stesen minyak. Masa yang diambil untuk ke situ dari simpang tersebut lebih kurang 1 jam atau 45 minit.
Mendengarkan hal itu, aku tidak mahu melepas peluang. Tambahan pula boss berpesan setiap inci tanah selagi ada nama pekan atau bandar kita hendaklah berada di sana dan edarkan produk ini!
Jam menunjukkan hampir 5.45 petang. Aku membuat keputusan untuk teruskan perjalanan dan menghala ke Almutakfi Billah Shah.
Sampai di Almutakfi Billah Shah aku dapati pekannya sangat kecil. Memanglah ada stesen minyak Petronas, tetapi tidaklah semeriah seperti kami bayangkan. Ia tak ubah seumpama pekan cowboy, bahkan kecil dari itu. Cuma masjidnya sahaja yang tersergam indah. Ada sebuah kedai menjual buku & majalah - bukan kategori kedai buku yang ku cari, tetapi sudah tutup dan aku merasakan tak sesuai untuk membekalkan produkku di situ.
Oleh kerana tinggal beberapa minit lagi untuk berbuka puasa, aku membuat keputusan untuk singgah di salah sebuah warong lalu berbuka puasa di sana.
Selepas berbuka puasa, aku mengambil kesempatan untuk bersolat di masjid jamek tersebut. Cukup bersar dan tersergam indah. Manakala isteriku mengambil kesempatan untuk membersihkan anak-anak kami.
Lebih kurang jam 8.15 malam aku keluar dari Bandar Almutakafi Billah Shah dan berhasrat untuk menginap sahaja di Rantau Abang. Walaupun kami terpaksa berpatah balik ke Dungun untuk ke Rantau Abang tetapi rasanya itulah pilihan terbaik agar esok pagi-pagi kami boleh terus segera menyambung tugasan tanpa dibebani dengan memandu jauh ke lokasi pemasaran. Dengan itu dapatlah jimatkan masa juga!
Kemalangan
Aku keluar simpang dari Bandar Almutakafi Billah Shah dan Bukit Besi. Kini berada di jalan Dungun ke Kuala Terengganu. Aku hanya memandu mengikut peraturan (memandu kurang 90km/j)
Malam itu cukup indah. Aku menjangkakan udara di luar sana cukup nyaman. Malam yang cerah, tiada ditumpangi oleh titisan hujan.
Aku memandu dalam keadaan tenang dan cukup berpuas hati dengan hasil di siang hari tadi, sambil merasa syukur di atas nikmat bubur lambuk yang dihadiahkan di masjid Jamek Almutakafi Billah Shah.