‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 30 September 2009

Gempa Bumi Di Kota Damansara!

Kota Damansara, September 30, 2009 (Rabu) - Gempa bumi telah melanda pantai selatan Pulau Sumatera, Indonesia dengan kekuatan 7.9 mangnitud pada pukul 6.20 petang waktu Malaysia.

Gegaran yang kuat itu turut dirasai hingga ke Kota Damansara. Kali ini gegaran tersebut ketara dirasai di sini terutama di rumah-rumah pangsa.

Ramai jiran dan kawan-kawan maza bertempiaran lari sebaik merasai gegaran. Mereka segera menuruni anak tangga untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Mengikut En. Hassan yang tinggal di salah sebuah pangsapuri di Kota Damansara, dia yang balik awal dari tempat kerjanya dapat merasakan gegaran kuat tersebut hingga dia terpaksa berlari dalam ketakutan.

Di kawasan yang sama juga, isteri maza tinggal bersama dua orang anak. Beliau turut merasakan lantai berbuai. Katil di bilik dirasakan bergoyangan. Tetapi beliau buat tidak peduli. Mengikut fikirannya, ia mungkin mainan perasaan. Atau lebih tepat lagi mungkin ianya halunisasi akibat dari kepalanya yang pening-pening lalat melayani karenah anak-anak kami.

Jadinya, keluarga maza terus diam di dalam rumah sambil bergurau senda tanpa mengetahui sebarang ancaman atau bahaya sedang melewati mereka.

Setakat hari ini, di kejiranan rumah maza masih belum terdengar mana-mana jiran kami tercedera atau harta benda mereka musnah. Mudah-mudahan kami semua selamat.

Di sebuah menara, di tingkat sepuluh, Bangsar. Hingga jam 7.30 malam maza masih di pejabat. Tidak merasakan sebarang keanehan. Masih terus menekuni kerja-kerja yang harus disiapkan segera. Bukan maza seorang sahaja yang tidak perasan, malah seisi pejabat itu. Termasuklah boss dan manager!

Sebenarnya sekitar jam 6.30 petang itu, maza ada terdengar orang menjerit. Tapi tak sangkakan kalaulah mereka itu kaget akibat gegaran gempa bumi yang melanda. Sangkaan maza ialah terdapat beberapa orang perempuan birah yang sedang ghairah melompat sana-sini kena usik!

Maza dan keluarga hanya tahu telah berlakunya gempa tersebut setelah membaca mukabuku (facebook) En. Hassan (kawan maza). Setelah itu, segera maza membuat rujukan. Beberapa teman dihubungi. Akhbar online mula diklik. Itu pun sesudah jam 11.00 malam.... alahai kanzzz..

Mujurlah, dan syukur amat sangat, sehingga ini keluarga maza semuanya dalam selamat. Begitu juga dengan harta benda dan pusaka terpelihara seadanya.

Maza panjatkan doa agar bencana dan malapetaka ini tidak tertimpa kepada maza, keluarga maza dan teman-teman sekalian. Termasuklah mereka di pesisiran pantai barat Malaysia dan mereka yang berada berdekatan dengan pusat gempa itu, iaitu di Pulau Sumatera juga pada keseluruhan rantau ini! ameeennn....


Isnin, 28 September 2009

Menghilang dan Bertemu Kembali


Ahad, September 27, 2009
- Akhirnya maza pulang ke pangkuan rumah sendiri di KL setelah beraya selama sepuluh hari di kampung.

Seperti biasa, baik kampung orang rumah mahupun kampung sendiri dilawati. Cuma berbeza mana satu yang dahulu.

Kebetulan pula hari raya ini jatuh beraya kampung mertua. Oleh itu hari raya kedua tengahari itu kami telah bertolak ke kampung maza sendiri.

Setelah puas tidur dan bersenda di kampung sendiri. Maza membuat jelajah beraya ke rumah saudara mara.

Dan hari ini barulah pulang dan juga baru sempat menjengah ke blog ke sayangan anda ini. (wakakakaka).

Oleh kerana maza masih keletihan dan malas-malas lagi (kiranya serdak kuih dah sangkut kat saluran serebrum) jadinya setelah segar nanti, maza akan update cerita yg best-best gitew (best ke? entahlah? gasaklah kanzzz... heheheh)

Seperti biasa, kengkawan harap bersabar ya. Tungguuuu gitew...

Jumaat, 18 September 2009

Yang Menusuk Kalbu: Haru biru...



Hari rayo tak lamo laie. Selain raso riang tak terhinggo. Den raso hibo. Kiro macam sodeh la, sebaik terkonangkan segalo doso-doso den.. terutamo dokek korang semuo...

Mano toman-toman den yang den dah buek'an salah, dan terkocik'an hati eh.... den nak minta maaf dan ampunkanlah doso-doso den.. .Dengan ucapan, "ekau tak kesian ko kek den ni ha? Mak ayah den nun jauh kek sanun tu ha... jauhhhh nun.... den sebatang nan karo kek pokan ni ha.. huhuhu.. kesian den kanzzz, kawan-kawan.. maafkanlah yo!..

Kalau ekau nak duit rayo, boleh. Datanglah kek rumah den. Dan pastikan gigi ekau tu ha gigi susu, bukan gigi pelsu atau gigi kokal.

Kalau setakat nak 'mem-bongak'* dongan gigi pelsu tu ha, baik tak payah. Nak raso den sosahkan, boleh yo den hobin*kan. Tapikan, raso eh elok laie den perabis duit rayo tu kek uwan den Rombau tu ha.. huhuhu

Tahun ini, buek kali pertamo den 'tak beruwan' di Kualo Pilah laie. Uwan Kualo Pilah den yang nan sebatang itu dah dijemput Ilahi ompek bulan sudah! Doa-doakanlah kesejahteraan uwan den tu yo! huhuhu

Bagi siapo-siapo yang sambut mantai* tu ha, hati-hati lah yo dongan "Oi! oi! Ayam den lopeh!"



Sebagai bingkisan eh, den nak hadiahkan dokek korang yang best-best ittew dengan tayangan gambar di bawah ni ha.

Jangan digolakkan yo. Tapi samo-samolah ekau ikutkan sekali. Dongar botul-botul tu! huhuhu


Kamus edisi Kualo Pilah
bongak - bohong atau tipu.
hobin - pukul
mantai - hari tengok anak bulan


Selasa, 15 September 2009

Ramadhan: Kampung Cacing Episod Akhir.

Klik sini untuk lihat episod lalu; episod #1, episod #2, episod #3 dan episod#4


Malam tujuh likor telah membuatkan Kampung Cacing terang-benderang. Kalau mata salah hemat, mau dikirakan tiada malam melainkan siang belaka.

Setiap rumah dihiasi dengan lampu pelita. Tiang-tiang pelita dipacakkan di halaman rumah. Macam-mcam saiz dan ketinggian. Semuanya mengikut kreativiti tuan rumah. Tak kurang juga lampu kelap-kelip mengambil tempat tanpa menolak fungsi pelita di luar rumah.

Kalau petang hari pula kita boleh dengar sayup-sayup dari corong-corong radio. Di rumah-rumah kampung itu akan terdengarlah lagu-lagu raya yang dipasang kuat-kuat.

Orang perempuan sibuk dengan langsirnya. Baju raya kurungnya. Yang lelaki pula sibuk di laman dengan mengecat rumah, mencari kayu api dan sebagainya. Semangat untuk beraya jelas tampak benar.

Malangnya surau di kampung itu mengalami keadaan yang berbeza. Semakin hampir Hari Raya Aidilfitri, semakin ramai pula warga kampung melupakannya. Semakin kosong tak terbela surau itu. Orang kampung sudah tidak mengendahkan tarawikh, apatah lagi qaimulail. Mereka sudah lupa tentang malam lebih baik dari seribu bulan: lailatul qadar.

Anak-anak muda usah diperkirakan lagi. Perdu-perdu pokok menjadi sasaran untuk menyandarkan batang-batang meriam karbaib mereka. Yang lebih moden atau lebih berada sedikit sibuk dengan mercun yang bermacam-macam jenama. Thunder flash, mercun katak, mercun bom dan sebagainya mengambil tempat.

Ada pula emak bapak yang mengajar anak-anak kcil mereka bermain bunga api di laman rumah. Ada baru sahaja putus merangkak, sudah diperkenalkan bunga api. Jauh berbeza dengan rumah Imam Hamid. Anak-anaknya diajarkan takbir, tahmid dan terus-terusan berzikir.

Imam Hamid dengan beberapa orang AJK surau dan sanak saudaranya sahaja yang masih mengimarahkan surau di Kampung Cacing. Hanya beberapa kerat. Kalau dibilang dengan jari, nampak sangat jarangnya. Awal Ramadhan tempoh hari sampai ruang solat di surau itu menjadi sempit. Tidak muat sampai limpah ruah. Sampai semut untuk berlalu naik kaget takut dipijak hamba yang menghambakan diri kepada Tuhan.

Hinggakan ada desas-desus hendak membesarkan surau itu. Bahkan makanan yang disediakan untuk moreh acapkali menjadi rebutan dan sungutan. Terutama kaum hawa yang bersunggut, "Bedah, Peah, Siah dapat banyak moreh, aku tak dapat (atau sikit dapat) kuih moreh". Hingga dalam kes buruk ada yang merajuk ke surau gara-gara tak dapat makan moreh!

Bagi mereka yang masih setia dengan surau. Mereka akan terus berqiamul lail. Kali ini yang tinggal hanya tiga orang. Imam Hamid, Seman dan Pak Andak. Yang lain telah luput dari pandangan.

Jam dua pagi Imam Hamid terjaga dari lenanya di dalam surau tersebut. Dia turun ke bawah. Diputarnya paip air, air tidak mahu keluar. Di jengahnya ke dalam tong khas di situ. Tetapi airnya tidak kelihatan. Imam Hamid terasa aneh.

Kemudian Imam Hamid menyuluh dengan lampu picitnya ke dalam tong itu. Imam Hamid tercengang. Air di dalam tong itu membeku seperti air batu! Imam Hamid mengucap panjang...

Malam itu giliran Pak Naim berjaga. Tinggal enam orang sahaja yang sukarela menjaga kampung itu. Yang lain sudah lesap entah ke mana. Yang setia dan yang mengharapkan elaun untuk beraya terus setia menjalankan tugas itu.

Pak Naim, Adam dan Samsi satu kumpulan. Mereka meronda dari pos kawalan hingga ke surau.

"Eh! kau nampak tu?" bisik Adam. Entah macam mana lampu suluh Adam tersuluh ke semak sana. Senduduk di situ bergoyang-goyang.

"Aku nampak. Tapi apa tu?" Samsi mengiyakan.

Mereka mengamati peristiwa itu. Kaki mereka masih tetap terpacak di tepi jalan sempit tersebut.

"Jangan-jangan benda yang sama yang kacau Abang Miskam tak?" Adam membuat telehan sendiri.

Samsi dan Adam saling berpandangan. Pak Naim menelan air liur. Mata Pak Naim masih cuba menyiasat apakah bendanya itu.

Tiba-tiba dari semak tersebut mereka terlihatkan sekujur tubuh lembaga berbaju putih. Lembaga itu mahu bangkit dari semak. Lembaga itu jelas mahu menampakan dirinya yang sebenar.

"Annn...tooooo!!!! Tolong..." kini giliran Samsi dan Adam bertempiaran lari lintang-pukang. Tinggallah Pak Naim seorang diri. Keras, kaku.

Pak Naim tidak seperti mereka. Dalam diam di dalam hati, mereka itu dituduhnya pengecut oleh Pak Naim. Tetapi hakikatnya Pak Naim sendiri pun berpeluh. Tapi takkanlah dia mahu menggadaikan maruahnya sebagai Korperal Rela!

Pak Naim tabahkan diri. Apatah lagi sebaik teringatkan kata-kata Imam Hamid tempoh hari. Sejuk sikit hatinya. Debaran jantung dapat dikawalnya. Dan barangkali rezekinya untuk bertemu malaikat di malam berkat; lailatul qadar!

"Ah! Kali ini kau tak akan terlepas dari tangan aku. Kau cuba mengacau kami ya! Tempoh hari kau kacau Miskam. Dengan aku, jangan kau main-main. Celaka kau!!!" Pak Naim memasang kuda-kuda.

Lalu Pak Naim merempuh semak samun itu.

Lembaga berbaju putih masih menanti di situ. Terus pegun berdiam diri. Tidak berganjak, jauh sekali mahu melarikan diri. Seolah-olah lembaga itu bersedia menerima apa sahaja impak ganas Pak Naim!

Pak Naim semakin menghampirinya. Dia berlari laju, meluru ke lembaga tersebut. Sebaik menghampiri, segera dia menerkam. Pak Naim menerkam bagaikan harimau yang ganas. Harimau yang sudah dua minggu tidak makan. Harimau yang sedang berusaha mematahkan tengkuk mangsanya.

Berdebuk!

Terkaman Pak Naim berhasil. Segera dia menyerkup kepala lembaga tersebut dengan kain lembaga itu sendiri yang disandang di bahu.

Sepantas itu juga lembaga itu menjerit. Ia menjerit kuat!!! Bingit!

"Aku tahu asal usul kau. Aku tau. Aku tau! Aku cuma nak minta kaya! Aku nak kaya!.. Wahai malaikat aku mahu kaya!" pohon Pak Naim dalam gasarnya itu.

"Eh! eh! Aku bukan malaikat la. Aku bukan malaikat! Woi apa kau buat ni!"

"Kau jangan tipu. Aku nak kaya aje. Nak kaya aje"

Samsi dan Adam kembali semula ke tempat mereka bertemu hantu tersebut. Kali ini dia bersama orang-orang kampung. Mereka membawa segala apa yang tercapai di tangan. Ada yang membawa parang, kayu panjang, bluetie, pisau belati, tombak dan keris pusaka.

Mereka tidak mahu lagi membenarkan orang luar, atau pun makhluk asing sekali pun membawa onar ke kampung tercinta itu. Lebih-lebih lagi tinggal beberapa hari lagi mahu hari raya. Mereka tidak mahu mood hari raya musnah!

Masing-masing semakin berani. Sebaik terlihatkan Pak Naim sedang bergelut dengan lembaga itu Mereka menghampiri Pak Naim dengan cepat-cepat. Mereka mahu membantu teman sekampung itu. Koperal Rela Mohamad Naim Saat telah membuktikan kejantanan, ketaatan, kesetiaan dan keberaniannya.

Kini tibalah masanya mereka membantu Pak Naim. Mereka menyerbu bersama.

Habis makhluk itu dipukul mereka. Ditendang-tendangnya. Diflying-kick, dibeduk, ditenyeh. Kalau paling lembut pun sekadar mencubit-cubit daging makhluk asing tersebut.

Rayuan lembaga itu tidak mendapat belas simpati langsung. Hentaman demi hentaman diajukan.

Pak Naim masih tak putus-putus memeluk makhluk itu. Pak Naim cuba menghalang lembaga tersebut daripada melarikan diri.

"Tolong! Tolong.. tolonggg.. Janganlah. Jangan pukul aku" rayu lembaga itu.

"Pukul dia. pukul dia. Dia nilah yang membuat kacau. Dia nilah yang buat Abang Miskam terlantar. Ambil kau. Nah penangan dari aku." kata salah seorang dari orang kampung itu.

PANGGGG!!!! ...

Satu penangan menghinggap ke muka lembaga tersebut. Tak semena-mena kain yang diserkup di kepala lembaga itu terselak!

Maka terserlahlah muka lembaga tersebut.

Orang yang menampar tadi teranjak ke belakang. Dia menggigil. Ketar lututnya menyebabkan dia menyembah ke bumi.

Lalu dia memekik, "woi! Berhenti woi. Dah berhenti-berhenti!!!"

Mendengarkan seruan itu, hentaman yang dahsyat bertubi-tubi beransur susut.

Tapi Pak Naim masih melekap di tubuh lembaga itu. Dia tidak mahu melepaskannya lagi. Pelukan Pak Naim begitu pejap. Pak Naim masih mengulang-ngulangi 'doa' tulusnya itu.

Sebaik kain yang diserkup kepala lembaga tersebut melabuh ke tanah, mulut masing-masing mula terlopong.

Perasaan mula terasa berbalam-balam. Bercampur aduk. Ada rasa takut, malu, simpati, segan dan paling utama rasa bersalah.

"Kenapa kau orang pukul aku?"

"Kami ingatkan orang jahat tadi. Eh! Tapi ... kenapa Pak Imam ada dalam semak ni?" soal Pak Andak.

"Aku sakit perutlah. Air tak ada. Aku nak pergi ke Sungai Mengkibol tu ha. Nak cebok dan berwuduk. Tiba-tiba aku diserang."

"Naim! Naim. Sudah. Sudah tu! Imam ni la. Imam Hamid lah, Naim!!" Pak Andak cuba menyedarkan Pak Naim.

PakNaim masih tidak sedarkan diri. Mulutnya masih terkumat-kamit membaca doa hendak menjadi kaya itu.

Hanya setelah dia tercium haruman yang amat tidak enak dari akibat Pak Naim sendiri yang berguling-guling dengan najis Imam Hamid, barulah Pak Naim tersedar.

Sebaik tersedar Pak Naim malu amat sangat di atas perbuatannya itu. "Apalah Pak Naim. Lain kali check-lah betul-betul dulu. Kan dah Pak Imam kita jadi mangsa ni." rungut orang kampung dalam nada memberi nasihat.

Semenjak hari itu, Pak Naim telah berubah. Dia semakin rapat dengan Imam Hamid. Malah berguru pula dengannya.

Tetapi kesihatan Imam Hamid semakin merosot. Selama seminggu juga Imam Hamid berada di hospital. Ini bermakna Imam Hamid bertahmid dan bertakbir raya hari pertama di hospital. Dan Imam Hamid tidak dapat merasai ketupat dan rendang. Mulut dan mukanya bengkak.

Namun setahun kemudian rezeki Pak Naim menjadi pula. Hari ini dia benar-benar menjadi orang kaya baru (OKB) di Kampung Cacing. Jumlah rumah sewa Pak Naim sudah meningkat. Kutipan sewa rumah dan perniagaan kecil-kecilannya bagus.

Sekali lagi Pak Naim pergi naik haji. Tetapi bukan dia dan isterinya sahaja, malah anak dan beberapa orang kampung juga ditajanya.

Cuma Imam Hamid menolak tajaan tersebut. Katanya naik haji perlukan hasil usaha tangan sendiri. Entahlah..

Sekian.

SELAMAT HARI RAYA,
MAAF ZAHIR BATIN: untuk teman-teman blogers dan teman-teman maza semuanya...

Ingat! Hati-hati di jalan raya, jangan sampai kena saman!






Sabtu, 12 September 2009

Ramadhan: Kampung Cacing # 4

Klik sini untuk lihat episod lalu; episod #1, episod #2 dan episod #3

Saentero Kampung Cacing mengenali Pak Naim. Hari kejadian Abang Miskam dihambat hantu telah menjadi buah mulut orang kampung. Dan hari yang sama itu juga Pak Naim mengumpulkan semua anak-anak muda Kampung Cacing.

Balai raya Kampung Cacing dipenuhi anak-anak muda. Baik baru putus hingus hinggalah yang sudah gatal nak menikah, memenuhi ruang di perut balai raya itu. Pak Naim yang juga AJK kampung merangkap Korporal Rela telah melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi mesyuarat tersebut.

"Saudara-saudara sekalian. Kampung kita telah ditimpa bencana. Miskam yang kita kenali telah ditimpa mushibah. Tuan-tuan juga sedia maklum. Kita perlu berbuat sesuatu: Demi menjaga kampung ini!" seru Pak Naim peuh patriotik.

"Betul tu. Kita perlu jaga kampung ini" sorak anak-anak muda yang pantang diprovokasi walau sedikit pun.

"Saya cadangkan kita buat rondaan. Kita bergilir-gilir menjaga kampung ini. Jangan biarkan orang luar atau budak-budak tak semengah menganggu-gugat kampung kita. Bahkan kalau ada alien atau makhluk asing sekali pun; jangan sampai lena kita, anak, isteri kita atau orang tua kita terganggu. Jangan ada lagi kita hidup dalam ketakutan!"

"Betul tu! Kami sokong!..." anak-anak muda Kampung Cacing begitu bersemangat. Mereka berteriak dan bertempik untuk membela nasib kampung ini.

"Jadi, mana-mana anak-anak muda Kampung Cacing ini ingin berjasa dan melibatkan diri dalam rukun tetangga, boleh daftarkan diri ke meja hadapan. Kita akan susun aturkan jadual rondaan dan aktiviti tertentu!"

Sepantas itu juga balai raya menjadi sunyi sepi. Terdiam seketika. Hadirin yang ada diam menikus. Tinggal mata mereka yang terkebil-kebil sahaja. Namun untuk bergerak dan mendaftarkan diri, seorang pun belum ada lagi yang gagah untuk ke hadapan. Bontot masing-masing seperti terpaku dalam-dalam dengan paku lima inci.

"Mari kita berbakti, demi kampung, agama dan bangsa kita!" Pak Naim terus menyeru dan memberikan kata semangat yang membara.

Suasana berubah sedikit. Kini kedengaran seperti hurungan lebah terbang berhampiran. Atau langau yang sedang berkerumun di pungung lembu. Kalau diamati betul-betul, bunyi itu sebenarnya sedang menyampaikan mesej antara satu sama lain.

"Kaulah pergi daftar. Demi kampung kita ni"

"Alamak aku masih kurang zatlah. Tak cukup kuat nak lawan orang. Kaulah pergi"

"Alahai, aku setakat 'orang' boleh lagi aku bagi penumbuk. Tapi kalau terserempak bab 'hantu' ni... aduhai.. Al fatihah tu pun ambik masa setahun setengah, hafal depan Imam Hamid."

Masing-masing saling tolak menolak. Mereka tahu kerja sukarelawan tidak membuahkan sebarang imbuhan. Kalau jatuh terjengkang sekali pun hanya sekadar dapat simpati dari orang kampung. Silap hari bulan, belanja ubat di Klinik Bakti pun ditanggung sendiri.

Setelah dua puluh minit meja pendaftaran dibuka, tiada siapa yang tampil ke hadapan. Lalu Pak Naim membuat dorongan lagi, "Macam ni lah. Saya sendiri akan bercakap dengan ketua Rela daerah dan kita akan minta peruntukan daripada mereka. Juga kita pohon sumbangan dari Jabatan Rukun Tetangga. Untung-untung bolehlah kita membayar elaun untuk mereka yang menjaga kampung ini."

Mendengarkan perihal elaun, segera meja pendaftaran penuh. Berpusu-pusu anak-anak muda, termasuklah si mat pit (penagih dadah) yang bertubuh sekeping itu, mendaftarkan diri. Kononnya mereka juga hendak menjadi hero dan pembela Kampung Cacing.

Setelah ditapis dan dianalisa, hanya tiga puluh orang yang diambil sebagai pengawal malam. Mereka ini dipecah-pecahkan kepada enam kumpulan. Setiap kumpulan tiga orang untuk rondaan. Dan dua orang berjaga di pos kawalan. Mereka akan berkawal dari pintu masuk kampung hinggalah ke sempadan Sungai Mengkibol itu.

Misi mereka ialah mencegah segala perbuatan mungkar. Termasuklah segala perbuatan menakut-nakutkan penduduk kampung. Pada setiap malam mereka bergilir-gilir mengikut urutan menjaga kampung.

Semenjak itu juga keadaan kampung berubah. Kampung terasa aman. Selesa dan selamat. Tetapi kadang-kadang tak ubah seperti berada di dalam lokap polis pula.

Kalau mat pit, tak usah cakaplah. Mereka semakin malu dan amat jarang, walau pun menjengah kepala di kampung itu. Bagi mat pit, port mereka sudah tergugat. Mereka merasakan seolah-olah berada di dalam Penjara Simpang Renggam. Pergerakan mereka menajdi terbatas!

Selama seminggu itu juga tiada sebarang perkara yang buruk atau diingini berlaku. Termasuklah perbuatan terkutuk mendapat kesan yang sama. Seperti berdua-duaan lelaki dan perempuan di tempat gelap, skodeng anak dara orang, atau pencuri ayam di waktu malam.

Mat pit juga menjadi terkongkong. Tidaklah boleh menyonglap kasut orang kampung atau pakaian di ampaian.

Setelah seminggu berlalu, semangat mengawal kampung semakin melemah.

Pemuda-pemuda mulai merasa bosan. Hanya berdiri, menjengah sana-sini, meronda ke hulu-hilir, kemudian tertidur di atas pangkin pondok kawalan. Sedar-sedar sudah terlajak sahur dan luput sudah waktu subuh!

Akhirnya kawalan semakin diabaikan. Mulalah pemuda-pemuda harapan kampung leka. Mereka pulalah yang adakalanya bermain mata dengan anak dara orang. Hero kampunglah katakan. Tentunya senang mendapat perhatian dan kepercayaan.

Pendek kata, ura-ura 'harapkan pagar, pagar makan padi' mulai terkesan. Mujur Pak Naim dapat mengawal situasi. Kalau tidak, parah juga!

Tapi yang paling mereka betul-betul lemah semangat ialah apabila mereka tidak boleh bermain bunga api, mercun atau meriam sewaktu tiba giliran bertugas. Mereka akan tercongok-congok sambil meleleh air liur bersulamkan rasa cemburu; melihatkan kawan-kawan sebaya sibuk menghiburkan diri.

Apatah lagi jiwa mereka terus melayang teringatkan hari raya tidak lama lagi akan muncul. Ada yang sudah berkira-kira berapa jumlah kuih tahun ini yang hendak dibedal atau rumah awek mana perlu diterjah dahulu di pagi raya pertama.

Pak Naim pun begitu juga. Dia sibuk di siang harinya ke bandar Kluang. Katanya membeli peralatan dan persiapan raya. Tahun ini tema langsir telah ditetapkan. Warna kuning cair. Rumahnya pun sudah berubah wajah. Juga di warnakan kuning cair.

Tetapi rumah sewa di belakang rumahnya itu seperti itu juga. Hal yang sama. Tidak pernah berubah. Kulit kayu rumah tetap berwarna seperti lima tahun sudah. Bila ditanya bila hendak dicatkan yang baru, jawab Pak Naim modal tak ada. Tapi sebelum puasa tempoh hari, kereta proton saga baru telah menjalar di halaman rumahnya.

Peristiwa Abang Miskam yang terserempak dengan makhluk asing itu semakin dilupakan orang. Masing-masing mulai lalai. Leka dengan urusan hari lebaran. Mereka lupa ada sesuatu sedang menanti di sebalik semak samun itu. Mereka alpa dengan mata-mata yang sering mengawasi mereka itu.

Bersambung ke episod akhir.

Klik sini untuk lihat episod lalu; episod #1, episod #2 dan episod #3

Rabu, 9 September 2009

Bingkisan Peminangan: Maza

Klong! klong! klong...

Bingkisan berharga dihantar melalui gajah dari utara telah diterima oleh maza beberapa hari yang lalu... hehehehhe

Oleh itu dengan ini maza hendak berkongsi betapa bestnya bingkisan tersebut, lalu menghargainya dengan ditepekkan gambar (gambar aje lah yea) di sini.. hehehhe

tontonilah wahai dunia... lihatlah dunia! betapa alam cyber ini mampu menjalinkan perhubungan... huhuhu..

(psst: bingkisan di bawha ini bukanlah bungkusan kuih raya yang diterbangkan khas oleh BAKTI (Persatuan Isteri-isteri Menteri & Timbalan Menteri)... alahai siapalah maza kanzz.. Tetapi bingkisan istimewa ini datang dari kawan yang best-best gitew.. huhuhu)

(Gambar: Kuih ikan bilis pintal & bunga pundok)

(Gambar: Kuih cakar ayam & bangkit)

Dan akhir sekali, zyma siap bagi mesej bertulis tu.... aderkkk.. tak tahan den woo.. huhuhu


(Gambar: mesej dari pengirim, Zyma Saad.. huhuhu... alahai)


Terima kasih www.zymasaad.blogspot.com, di atas bingkisan istimewa ini. Dari jauh datang tu wooo... huhuhu... hehehheeh

jazakallah...

Isnin, 7 September 2009

Ramadhan: Kampung Cacing #3

Untuk lihat kisah lalu klik sini: Episod 1 dan Episod 2


Sepelusuk kampung kedengaran suara orang memekik. "Lari, lari! Hantu! Hantuuu!". Tapi tiada sesiapa pun berkehendakkan memeriksa keadaan di luar rumah itu.

Abang Miskam tidak menunggu lama. Dia melangkah besar-besar hendak membawa diri ke tempat selamat. Pecutnya sepenuh kuderat. Abang Miskam sudah tidak mengira apa lagi. Dia tidak mahu teraba-raba. Dirasakan kalau teraba-raba, takut-takut tak sempat menyelamatkan diri. Terus nantinya makhluk itu mendakap Abang Miskam lalu menghisap darah di tengkuk.

Mereka yang awalnya memasang lampu laman serta ruang rumah yang masih terang, serta merta memadangkan lampu tersebut. Sudahnya tiada lampu limpah menerangi jalan sempit itu. Malam yang kelam terus menjadi gelap-gelita.

Melihatkan kedaan tersebut, Abang Miskam menggandakan lagi langkahnya. Pecutannya bertambah laju. Habis semua dirempuhnya. Perkiraan wajar sudah padam di minda. Apa yang penting sampai ke rumah dan selamatkan diri!

Tiba-tiba Abang Miskam merasa suasana gelap mengepung dirinya. Kakinya melangkah seolah-olah di awang-awangan. Melayang ke kayangan. Senyuman di bibir terus terukir bersama bintang-bintang yang dirasakan mengelilinginya.

Hanya keesokan paginya di waktu subuh barulah Abang Miskam tersedar. Bukan di atas katil atau di dalam biliknya. Tetapi terlentang di bawah rumah sewa lima orang jejaka.

Rumah kayu atas ini disewa oleh Manot, Samsi, Zailani, Abdul Rahman dan Halim. Mereka merupakan pelajar SSAJ (Sekolah Sultan Abdul Jalil, Kluang, Johor).




(Gambar: Bilakah masanya?)



Mujur Pak Din jiran sebelah rumah budak lelaki tersebut, terlihat Abang Miskam yang terbaring di bawah rumah. Kemudian Pak Din memanggil budak-budak sewa supaya turun dan membantunya mendorong Abang Miskam pulang ke rumah.

Jarak rumah Abang Miskam tinggal beberapa rantai sahaja lagi. Mereka bergilir-gilir memimpin Abang Miskam.

"Patutlah rumah kita malam tadi bergegar. Rupanya Abang Miskam yang langgar." Manot cuba mengingati peristiwa semalam.

Abang Miskam dilentangkan di atas tikar mengkuang di ruang tengah rumahnya. Senang bila orang datang melawat Abang Miskam nanti.

Pagi itu Abang Miskam mengerang-ngerang menahan kesakitan. Lebam sana sini. Benjol kepalanya tampak jelas.

Dari pagi hingga petang orang ramai tidak putus-putus, bagai bertali arus, melawat Abang Miskam.

Ada antara orang kampung itu berlagak seolah-olah tidak bersalah. Kalaulah tidak kerana mereka memadamkan lampu, sudah tentu kemalangan seumpama ini tidak terjadi.

Pak Naim ialah tuan rumah kepada lima orang bujang tersebut. Bukan sahaja rumah yang diduduki lima orang bujang itu dimilikinya. Sekurang-kurangnya terdapat empat buah rumah sewa lain lagi. Semuanya berderat di belakang rumah Pak Naim.

Rumah-rumah tersebut, termasuklah rumah Pak Naim, berada di sisi jalan sempit itu. Sejajar selurus barisan tersusun atur.

Pak Naim memang terkenal dengan sikap gasarnya dari muda dahulu. Sekarang ini pun sikap panas barannya itu sekali sekala terserlah, walaupun sudah naik haji dua tahun lalu.

"Betul ke hantu, Miskam? Bulan puasa setahu aku tak ada hantu. Segala hantu dan syaitan kena tambat!" soal Naim inginkan kepastian.

"Entahlah. Aku tak pastilah pulak. Yang aku nampak ada makhluk kat semak tu. Kepalanya tak nampak. Kakinya pun aku tak nampak. Tiba-tiba aje dia bangun nak serang aku" Abang Miskam menambah perisa di dalam ceritanya sambil mengurut-ngurut dadanya.

"Mungkin juga ada budak-budak kampung yang nak menyakat kau tak? Tapikan kalau aku dapatlah budak-budak ke, atau hantu tu ke di bulan puasa ini sekali pun, aku akan tangkap dia. Aku akan ikat dia kat perdu pokok getah sana tu. Biar dia orang rasakan akibat menyakat orang nak berbuat ibadah ni!" Pak Naim meluahkan rasa geramnya. Bersamangat sungguh.

Setelah beberapa ketika, Pak Naim dan tetamu lain pun mohon diri dan beransur dari rumah Abang Miskam.

****

Petang itu Imam Hamid datang ke rumah Abang Miskam. Imam Hamid menggeleng-gelengkan kepala. Tanda simpati.

"Entahlah Imam. Saya sendiri pun sekarang tak pasti. Mungkin hantu atau jin. Pagi tadi si Naim cakap mungkin budak-budak yang nak sakat saya. Imam rasa-rasa apalah benda alah tu ya?"

"Saya pun kurang pasti. Lagipun saya bukan bomoh, Miskam!" Imam Hamid memandang sekeliling tetamu-tetamu yang ada sambil memberikan senyuman perli. Mereka yang selalu mempraktikan berbomoh-bomoh siam itu segera tertunduk tersipu-sipu. Malu kaedahnya.

"Beginilah. Mengikut pendapat saya ada tiga kemungkinan. Pertama saya setuju dengan kata-kata si Naim tu. Mungkin budak yang nak menyakat engkau.

Kedua, barangkali rezeki kau nak terserempak dengan jin"

"Eh! Bukan ke semua syaitan-syaitan dan hantu diikat sekarang ini imam?" celah Samsi yang tiba-tiba tersedar dari lamunannya.

"Itu syaitan, jin belum tahu lagi. Ini kerana dalam kalangan jin itu sendiri ada jin Islam. Mereka juga beramal seperti kita dan mengambil syariat nabi kita. Jadinya tidak mustahil perkara ini boleh berlaku.



(Gambar: Bertuah orang-orang yang mati di dalam takwa)


Yang ketiganya ialah mungkin juga Tuhan hendak menguji engkau. Lalu Dia menampakkan makhluk-makhluk halus-Nya. Mungkin juga itu ialah malaikat. Siapa tahu kalau-kalau rezeki kau nak jumpa malam Lailatul Qadar.

Hah beruntunglah kau Miskam! Lebih-lebih lagi tatkala itu kau pohon hajat yang baik-baik. Insyallah, Allah SWT akan makbulkan segala doa dan permohonan engkau tu. Termasuklah permohonan masuk syurga tanpa perhitungan di Padang Mahsyar."

"Ooo... Begitu ya imam. Tapi kalau betullah malaikatlah imam, rugilah saya. Saya cabut lari malam tadi. Lagi siap saya panggil dia ''Hantu! Hantu!...' aduhai." Abang Miskam melahirkan kekesalannya.

Abdul Rahman atau lebih tepat lagi lima orang bujangan tersebut ada sama di situ sejak pagi tadi. Kebetulan hari itu cuti. Lagipun keluraga Abang Miskam sudah menjadi keluarga angkat mereka. Tambahan pula malam itu Mak Idah, isteri Abang Miskam, mengajak mereka berbuka di situ.

Abdul Rahman membuka mulut dan bertanya, "Imam. Bukankah malam Lailatul Qadar dikatakan orang munculnya di malam sepuluh yang terakhir?"

"Betul tu. Bahkan ada nas yang diriwayatkan oleh Syaidatina Aisyah bahawa dia melihat Rasulullah SAW akan tingkatkan ibadah; menjadi lebih banyak beribadah dan beriktikaf di dalam masjid di malam sepuluh terakhir berbanding malam-malam yang lain. Lalu para ulama berpendapat malam Lailatul Qadar mungkin jatuh malam sepuluh yang akhir.

Tetapi ada juga sirah menyatakan bahawa Lailatul Qadar sering datang pada malam-malam ganjil.

Bagi saya pula, Tuhan tidak pernah menentukan mana-mana hari atau memberi sebarang alamat hari-hari tertentu. Apa yang dinyatakan di dalam surah Fajr ialah tentang satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Kemudiannya, Allah SWT menyuruh kita mencarinya sendiri. Tetapi bilakah malam Lailatul Qadar itu diturunkan, ia menjadi rahsia Allah.

Barangkali atau yang pastinya Allah SWT mahu menguji hamba-Nya dan menyuruh mereka sentiasa bersiap sedia. Maka seelok-eloknya tiap-tiap hari kita hendaklah beramal soleh.

Tingkatkan ibadah terutama di bulan yang mulia ini. Tidak kira masa dan ketika. Mana tahu, untung-untung bertemulah kita dengan Lailatul Qadar. Dan rasanya apabila kita buat secara konsisten, insyallah kita sebenarnya telah melalui Lailatul Qadar dengan amal soleh sama ada kita sedar atau tidak."

Masing-masing membundarkan mulut dan mengangguk-anggukkan kepala tanda faham.

"Baiklah. Saya minta diri dulu semua. Hari pun dah nak masuk Asar. Jadi untung-untung hari ini Lailatul Qadar datang lagi. Dan mungkin kita menjadi orang bertuah, bertemu dengannya walaupun terpaksa terlantar seperti ini"

"Erk! Tapi imam. Bukan ke Lailatul Qadar tu hanya satu malam?" tanya Samsi lagi.

"Hmm. Bagus juga soalan kau ni wahai anak muda. Betul tu, sesetengah orang menyangka hanya satu malam sahaja malam Lailatul Qadar. Tetapi sebenarnya malam tersebut tidaklah dinyatakan dengan tepat jumlah bilangannya.

Mungkin satu, mungkin dua, mungkin tiga atau tiada langsung untuk tahun ini. Segalanya menjadi rahsia Allah SWT. Tetapi harus diingat. Janji Allah adalah janji benar!

Kalau Allah SWT berkehendakkan tiap-tiap malam Lailatul Qadar pun boleh atau jika Allah berkehendakan hanya satu atau dua atau lima belas sekali pun, Maha Berkuasa Allah mampu melakukan segala-galanya.

Dah sekarang ini apa yang penting ialah kita jalankan tanggungjawab kita sebagai hamba. Dan beramal ibadahlah seikhlas-ikhlasnya. Kerana amalan yang ikhlas itulah yang disayangi dan disenangi di sisi Allah SWT.

Beribadahlah kerana Allah. Carilah kebaikan dan tinggallah segala perbuatan yang dilarang. Mari kita ke surau" ajak imam pula.

Dalam kalangan tetamu itu ada yang bingkis berdiri mahu membontoti Imam Hamid. Ada yang liat untuk solat jamaah. Mereka bangun lambat-lambat dan tersipu-sipu. Kali ini mereka sudah terkena perangkap ajakan Imam Hamid. Apatah lagi mendengarkan pencerahan dari Imam Hamid tadi. Mereka gagahkan juga untuk pergi ke surau kecil di Kampung Cacing itu.

Bersambung... (Klik sini untuk ke episod #1, Episod 2, episod#4 dan episod akhir.)


Khamis, 3 September 2009

Ramadhan: Di Kampung Cacing #2


Entry ini adalah kesinambungan daripada entry #1, klik di sini untuk lihat entry lalu
.

Hujan rintik-rintik akhirnya berhenti. Suasana begitu sejuk sekali. Jalan masih gelap dan begitu kelam. Hanya berpandukan sambaran kilat barulah nampak cerah di tanah.

Selesai membersihkan surau tersebut, Abang Miskam pun berangkat pulang. Di telinganya masih terniang-niang cerita Pak Andak tadi. Apatah lagi dia sedang melalui jambatan tersebut. Jambatan berpuaka kata orang Kampung Cacing itu.

Abang Miskam menapak perlahan-lahan sambil memegang lampu picit sebagai penunjuk arah. Teman-teman lain sudah dahulu meninggalkannya. Abang Miskam ketinggalan sendirian kerana dia bertugas sebagai khoja (tok siak) malam itu.

Abang Miskam perlu memastikan segala lampu dipadam dan paip air ditutup. Peralatan yang digunakan ketika moreh tadi telah tersimpan rapi. Dia juga perlu memastikan pintu pagar dan pintu utama surau bertutup rapat agar anjing atau kucing tidak menceroboh dan membuat taik di situ.

Tetapi kalau ada kalangan kariah hendak beribadah lebih. Berqiamulail. Mereka boleh sahaja terus bertandang ke surau itu. Mereka boleh sahaja bermalam tanpa halangan. Tak perlukan pun permit polis; - mengelak dari dituduh perhimpunan haram, bomba dan hospital!





(Gambar: Pokok kelapa juga sering dikaitkan dengan misteri. Katanya Puteri Mayang Mengurai sukakan mayang kelapa ini)



Sekali sekala kabus menyeluputi suasana. Abang Miskam menggeletar akbiat kesejukan yang mengiggit tanpa kasihan. Sekali-sekala dia mengangkat tinggi lampu suluh. Di suluhnya kiri dan kanan jalan tersebut. Takut-takut ada anjing, babi, lembu atau segala binatang besar lagi ganas berhampiran. Sekurang-kurangnya Abang Miskam bersedia untuk membuka langkah seribu demi menyelamatkan diri!

Abang Miskam meninggalkan tebing Sungai Mengkibol di sisi kanannya sejauh seratus rantai. Dan di sepanjang jalan itu terdapat semak samun. Lalang melentok-lentok tunduk malu. Resam berwarna perang. Senduduk setinggi Lebai Tok Kadir. Pokok kemang, lempung dan jambu batu meliar.

Manakala di sebelah kiri jalan itu pula terdapat beberapa deretan rumah orang kampung. Ia saling mengadap antara satu sama lain. Ia mendepani jalan, Sungai Mengkibol dan semak samun itu.

Banyak antara rumah-rumah kampung sudah pun bergelap. Dan ada beberapa buah rumah yang masih menyalakan lampu laman mereka. Sedikit sebanyak ini memudahkan orang lalu lalang di jalan sempit itu.

Ya! Jalannya sempit. Hanya mampu menampung sebuah kereta dalam satu-satu masa. Jika berselisih terpaksalah salah sebuah kereta mempelosokkan kenderannya ke semak atau ke laman rumah orang.

Kalau tidak, alamatnya kecoh di jalan raya itu. Kesesakan jalan akan berlaku. Dan ia mengalahkan kesesakan di Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur ini. Terutama ketika waktu kemuncak pekerja ofis pulang.

Sekali sekala Abang Miskam terimbau kembali cerita dahsyat Pak Andak. Berdebar juga jantungnya. Dan sekejap itu juga dia melilaukan mata. Takut-takut ada benda mengintipnya tatkala pulang itu.

Untuk kesekian kalinya dia melibaskan lampu suluh ke semak sana. Beberapa pohon resam bergoyang. Lalang pula melambai-lambai. Kejap-kejap melemah. Kejap-kejap bergoncang kuat.

Sedangkan angin ketika itu diam pegun! Angin sudah tidak membadai mahupun menghembus. Yang ada hanyalah kedinginan suhu. Sejuk akibat hujan.

Abang Miskam berhenti. Mengamati. Dia memerhati dengan mendalam. Abang Miskam sudah membuka kuda-kuda. Niat di hati, jika sesuatu tidak berkenan dan mengacau keselamatannya, dia akan berlari sekuat mungkin dan memekik meminta tolong!

Goncangan daripada semak itu semakin kuat. Kali ini Abang Miskam terlihatkan sekujur tubuh. Ya, sekujur tubuh seperti manusia! Tetapi tidak jelas mukanya.

Ia seolah berselibung di sebalik kain putih. Kepalanya tidak kelihatan. Ia berada di celah-celah semak itu. Sekali-sekala ia mengoyang-goyangkan badannya. Nafasnya kedengaran. Ia berdengus kuat seperti lembu disembelih ketika aqiqah tempoh hari. Ia meneran-neran seolah-olah menanggung beban yang maha berat.

Entah bagaimana, makhluk itu cuba berdiri!

Abang Miskam terus pucat lesi. Tangannya mengeletar. Kakinya keras. Dingin dirasa sudah memanas di dada. Jantung sudah tidak tertahan mahu tersembul keluar. Darah pula sudah tersedia tersirap.

"Lari!!! Hantu! Hantu.. hantu..!" Abang Miskam memecut selaju-lajunya. Lintang pukang. Lampu suluh sudah tidak berguna lagi untuk menyuluh jalan. Sebaliknya dijadikan kayu batten pelari pecut 4 x 400 meter.

Mendengarkan pekikan dahsyat tersebut, makhluk itu pun melompat tinggi. Lalu menghilangkan diri. Berdesup dia menyelusup dari celah-celah semak itu. Dia melanggar apa sahaja lalu menghilangkan diri di dalam gelap malam. Kali terakhir kelibat makhluk itu kelihatan menuju ke jalan sempit. Seolah-olah mahu mengejar dan mencekik Abang Miskam!

Bersambung... (Klik sini untuk ke episod #1, episod #3, episod#4 dan episod akhir.)


Selasa, 1 September 2009

Aku dan Ramadhan #2

Aku ada seorang kawan. Namanya Ramadan.

Suatu hari Ustaz Johar mengajar kami tentang puasa. "Siapa tahu apa itu Ramadhan? Ramadhan ialah bulan di mana umat Islam difardhukan untuk berpuasa selama sebulan."

Tiba-tiba sahabat Aku itu mengangkat tangan, lalu berkata "Ustaz. Nama saya Ramadan bin Syawal. Jadi, oleh kerana saya Ramadan, saya tidak perlu lagi bulan Ramadhan dan saya tak perlu lagi berpuasalah ustazkan?!"

"Hmm... betul juga kata Ramadan ni. Jadi macam ni lah. Oleh kerana nama awak ialah Ramadan dan kita tak lama lagi berpuasa bulan Ramadhan. Saya rasa sepatutnya awak dari dulu lagi tiap-tiap hari kena puasalah, Ramadan!", jawab Ustaz Johar pula.

Ramadan terus tercengang sambil menggarukan kepalanya. Aku pula hanya mengeleng-gelengkan kepala. Inilah padah kalau orang nak mengelat.



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails