- Hari ini terpaksalah maza balik awal ke Kuala Lumpur daripada waktu biasa. Waktu petang jam 5.00 petang terasa masih awal lagi.
Kebiasaanya maza bertolak dari Bahau ke Kuala Lumpur selepas menunaikan solat Maghrib atau Isyak. Tetapi kali ini berlainan. Sesuatu diluar perancangan pula berlaku.
Kami sekeluarga berpakat untuk melawat rumah pusaka Uwan di Kampung Parit, Kuala Pilah. Uwan baru sahaja meninggal dunia dua minggu sudah.
Dua minggu sebelum Uwan meninggal, Uwan sempat pergi ke rumah kami di Pahang yang ketika itu kami sekeluarga sedang jatuh sakit (seisi keluarga demam sebagaimana diceritakan di
entry sebelum ini).
Petang yang cerah itu, Maza telah bertolak bersama kuda kelabu dari rumah Uwan melalui jalan lama Kuala Pilah - Seremban. Sepanjang perjalanan itu maza telah merentasi beberapa buah kampung tradisional.
Setelah menghampiri simpang Tanjung Ipoh, maza terserempak dengan satu papan tanda. Papan tanda pelancongan itu telah memaut hati maza untuk singgah ke Seri Menanti.
Jelas di papan tanda tersebut menyebut Istana Seri Menanti dan Muzium Diraja Seri Menanti.
(Gambar: Papan tanda ke Seri Menanti)
Sememangnya sudah sekian lama maza mengidamkan untuk pergi ke Seri Menanti.
Rasanya inilah masa yang sesuai singgah dan melawat Seri Menanti. Walaupun berpergian sendirian, itu bukanlah masalah besar buat maza.
Tanpa membuang masa, maza terus membelok ke kiri memasuki simpang tersebut. Dari simpang itu, betul-betul di tepi jalan terletaknya Masjid Jamek Tanjung Ipoh.
Selain melalui jalan kampung di Tanjung Ipoh ini, kita juga boleh gunakan jalan di Pintu Gerbang Seri Menanti. Ianya tidak jauh dari simpang Tanjug Ipoh. Iaitu kira-kira lapan atau sembilan kilometer dari sini. Jalan Seri Menanti tersebut lebih lebar, luas dan selesa berbanding menyelusuri jalan dari simpang Tanjung Ipoh.
Maza terus menyelusup masuk ke simpang Tanjung Ipoh tersebut. Jalannya berturap tar, rata tetapi agak sempit serta bengkang bengkok. Selekohnya memang seronok untuk dilayan oleh
riders.
Cuma para
riders perlulah lebih berwaspada ketika melayan selekoh-selekoh yang mengasyikkan itu. Ini berikutan kehadiran binatang-binatang peliharan seperti lembu, kerbau, ayam dan kambing yang berkeliaran di tepi dan tengah jalan sewenang-wenangnya.
Walaupun binatang-binatang ini tidak pernah sekalipun membayar
cukai jalan, mereka tanpa segan silu akan berlenggang-kangkung sambil mengoyang-goyangkan pinggul 'Inur' beserta melibaskan ekornya ke punggung. Kemudian ia berdiri tegap; diam membisu di tengah-tengah jalan raya itu.
Mereka dilepas bebas. Binatang-binatang tersebut tidak pernah bertambat!
Jangan terperanjat pula, ya! Fenomena ini menjadi lumrah di Kuala Pilah. Malahan tidak melampau jika ia dikatakan ia ialah ikon di kawasan itu.
Namun begitu apa yang lebih berbahaya ialah ia bukannya terletak kepada binatang-binatang peliharaan tersebut. Tetapi
'bom-bom' hasil bahan kumuhan binatang-binatang ini tadi.
'Bom' tersebut umpama jerangkap samar. Atau lebih tepat lagi periuk api yang diletakkan di tengah-tengah jalan raya yang kemudiannya memerangkap mangsa.
(Gambar: 'Jerangkap Samar' Tanda-tanda Merbahaya Menanti Kepada Para 'Riders')
Pernah ada
riders terpelosok ke dalam parit dan merangkak keluar dari semak. Ada juga terus 'mencium' pembahagi jalan.
Mereka ini terperanjat lalu cuba mengelak. Gagal mengelak atau dek kerana terperanjat beruk itu, maka destinasi yang tidak diingini menjadi singgahan mereka; mendarat di dalam longkang atau terbabas atau bersila di atas jalan raya
(Erk! kira macam orang buat kendurilah jawabnya).Mana yang tidak sempat akan terus melenyek 'jerangkap samar itu'.
Kalau bom itu sudah meletup dan mengenai sasaran di bahagian kuda masing-masing, huh! Anda sediri sedia maklumlah.
(Harumannya akan melekat likat-pekat membawa ke tekak wooo.. huhuhu)Jarak perjalanan dari simpang Tanjung Ipoh ke Seri Menanti ini ialah tujuh kilometer. Sepanjang perjalanan tersebut kita akan melalui beberapa buah kampung tradisi di kiri kanan jalan.
Terdapat juga sawah yang masih diusahakan. Tetapi tidaklah
se-intensive di negeri jelapang padi, Kedah sana.
Para
riders dinasihatkan agar tidak memecut sebarangan di kawasan ini. Ditakuti terlanggar anak-anak orang kampung yang acapkali bersidai di tepi-tepi jalan sambil bersantai.
Atau ter'lelan' (khayal) melihatkan anak-anak dara sunti berkemban sedang menyidai pakaian di ampaian. Atau mereka sedang pulang dari mengaji!
(uik! bapa-bapa sekalian jangan fikir yang bukan-bukan ya. Jaga air liur jangan sampai jatuh lalu ketahuan. Den cucuk mato ekau baru tau! huhuhu)Secara ringkasnya apa yang maza boleh gambarkan ialah sepanjang perjalanan ini nanti, kita akan dapat menyelusuri senario suasana kampung yang tiada tolok bandingnya. Aman, damai, segar dan hutan kampung yang nipis menambahkan lagi suasana tenang.
(best woo. Sejuk, nyaman, santai dan relaks aje).
Di sini juga terdapat perusahaan
Homestay. Jadi sekiranya teringin benar hendak merasa kehidupan, adat dan budaya Minangkabau, anda bolehlah mengambil bahagian dan menginap di sini.
Bandar Diraja Seri Menanti(Gambar: Batu Arah Tunjuk, Seri Menanti)Setelah hampir sepuluh minit, akhirnya maza sampai juga ke Seri Menanti. Seri Menanti telah diiktiraf, dinaikan taraf dan dikenali sebagai Bandar Diraja Seri Menanti.
Pekan di Bandar Diraja Seri Menanti ini tidaklah besar mana. Seperti pekan koboi sahaja lagaknya. Hanya terdapat sederat kedai papan sepanjang dua puluh atau tiga puluh meter.
Sebaik tiba di Bandar Diraja Seri Menanti ini kita akan disambut dengan sebuah pintu gerbang yang tersergam indah! Besar menaungi perjalanan anda.
(Gambar: Pintu Gerbang Seri Menanti Yang 'Mencongkam Giteww'.
Berlatar Belakangkan Sebuah Gunung)(Gambar: Pintu Gerbang Bandar Diraja Seri Menanti Berlatar Belakangkan
Pekan Seri Menanti) Elok sahaja melintasi pintu gerbang tersebut maza diingatkan pula tentang kebesaran dan kehebatan Tuhan Rabul Alamin. Maza menjadi kecut seketika.
Kala ini maza terus sahaja bersua dengan Makam Diraja Seri Menanti.
Di sinilah Yam Tuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar disemadikan jasadnya.
(Gambar: Makam Diraja Seri Menanti)
Perlahan-lahan maza berkayuh ke hadapan. Hanya beberapa ratus meter dari Makam Diraja Seri Menanti itu kita akan ketemukan satu bulatan (roundabout).
Di tengah-tengah bulatan tersebut terpacak sebuah batu tanda. Batu tanda ini menandakan di sinilah bermula segala-galanya sejarah berdiri lengkap sebuah
kerjan Adat Perpatih.
Di sini jugalah bermulanya kisah Seri Menanti bersama kedaulatan Yam Tuan Besar, Negeri Sembilan.
(Gambar: Batu Tanda Seri Menanti, Kosong Kilometer)
Batu tanda ini telah memberi isyarat bahawa sempurnalah sudah episod pencarian tempat bernama Seri Menanti. Batu yang terpacak tegak berdiri itu padanya terpatri perkataan Seri Menanti kosong kilometer.
Maza anggarkan ketingginya lebih kurang empat atau lima meter dari aras tanah.
Sebelum sampai ke bulatan tersebut iaitu kira-kira lima puluh meter dari batu tanda itu, terdapat sebuah simpang. Simpang tersebut menghala ke Kampung Tanah Datar.
Mengikut Uwan sebelah emak, suku kami berasal dari situlah.
(Ehem! Ehem!.. tumpang banggo jolah!.. hehehe).Dalam jarak yang begitu hampir, tidak sampai sepuluh meter dari bulatan tersebut pula, terdapat sebuah pintu gerbang zaman silam empayar Melayu.
(Gambar: Pintu Gerbang Istana Seri Menanti)
Pintu gerbang ini asalnya diperbuat dari kayu. Kemudian ia diperbaiki binaanya dan diperkukuhkan dengan batu bata dan simen.
Pintu gerbang ini sebenarnya ialah pintu gerbang istana lama, Istana Seri Menanti.
Tetapi pada hari ini Istana Seri Menanti yang lama telah berubah wajah. Ia dijadikan tinggalan warisan dan muzium Diraja.
(Gambar: Istana Seri Menanti)
Jika kawan-kawan masih ingat, maza pernah bercerita tentang Yam Tuan Besar Pertama Negeri Sembilan iaitu Raja Melewar di entry lalu
(maklumat lanjut sila klik di sini).
Sorotan Al KisahSetelah pertabalan dan naik kerjan oleh Raja Melewar sebagai Paduka Yam Tuan Besar yang Pertama di Rembau itu, maka diperbuatkanlah oleh orang sebuah istana.
Istana pertabalan di Rembau itu tidak sesuai kerana agak kecil dan tidak strategik untuk permerintahan.
Istana yang lebih besar, tempat sidang yang lebih luas dan tempat bersemayam Diraja yang baru diperlukan. Istana yang kukuh dan strategik amat diperlukan sebagai lambang kedaulatan , pemerintahan dan pemaufakatan rakyat.
Setelah melalui proses pencarian kawasan dan rundingan, maka tanah yang tinggi lagi molek ini ditemukan orang. Lalu diperbuatkanlah istana di sini.
Sempena lamanya menantikan istana tersebut siap (memakan masa bertahun-tahun). Begitu juga penantian berakhirnya usaha mendapatkan anak raja Minangkabau dari Istana Pagar Ruyung, Sumatera, Indonesia itu. Kemudian kepada menantikan berakhirnya persengkataan antara Demang dan Datuk-datuk pemerintah daerah di Negeri Sembilan. Sehinggalah kepada kembalinya pemaufakatan rakyat dan kerajaan. Lalu istana baru ini telah diberikan nama Seri Menanti.
Puas membedek dan menilik istana lama Seri Menanti, maza beralih pula ke Istana Besar Seri Menanti. Ia terletak tidak jauh dari istana lama Seri Menanti.
(Gambar: Batu Tanda Balai Pengawal Istana Besar (kiri) dan Perkarangan Hadapan Istana Besar Seri Menanti)
Di Istana Besar Seri Menanti inilah tempat bersemayamnya Yam Tuan Besar sekarang. Di sini jugalah dijalankan upacara pertabalan Yam Tuan Besar dan naik takhta Tuanku Yam Tuan Besar.
Siri SalinganSebaik menghampiri pintu gerbang Istana Besar Seri Menanti ini, maza terserempak pula dengan jurugambar bersama sepasang pengantin.
(Gambar: Pengantin Sedang Menyelami Hari Bahagia)
Terdapat empat orang jurugambar kesemuanya. Mereka sedang tertongeng-tongeng, terbidik-bidik menangkap gambar pengantin yang berlatar belakangkan Istana Besar yang indah ini.
(Sebenarnya di pintu gerbang sahaja. heheheh).
Sebaik mereka terpandangankan maza, mereka pula menjadi agak cemas.
Mulanya mereka sangkakan maza ini ialah orang istana. Mereka berebut-rebut ketepi dan memohon izin untuk menangkap gambar di situ.
(Gambar: Kenangan Kuda Di Pintu Gerbang Istana Besar)
Dalam topeng dan helmet bertutup-penuh
(full face helmet) maza tersenyum sendirian.
Setelah menerangkan kedudukan sebenarnya yang maza juga ialah pengunjung seperti mereka, barulah mereka tenang dan kembali menyambung urusan yang tergendala tadi.
Entah bagaimana tiba-tiba salah seorang jurugambar tersebut mendapat ilham. Lalu dia meluahkan kepada maza dengan meminta izin untuk menjadikan kuda peliharaan maza ini dijadikan model mereka. Di dalam hati maza, "aik! kuda aje ke? Tuan kuda ni pun terasa nak jadi model gak. Kalau model sabun mandi, aderkk ya ampunnnn!"
Tanpa syak wasangka, maza mengizinkan mereka untuk berpelesaran, bermanja dan ber'posing' dengan kuda kesayangan lagi jinak maza ini.
(Tak dapat tuannya jadi model, kudanya pun boleh lah... huhuhu).
Maza biarkan mereka sibuk dengan bayangan urusan mereka.
(Jangan sampai kudo den meragam, cedera, meradang udah lah! huhuhu). Maza kembali kepada niat asal dengan merakamkan gambar Istana Besar itu.
Usai mereka selesai bergambar, tiba-tiba mereka menjemput maza untuk sama-sama bergambar dengan si pengantin (
Akhirnya! Lihatlah duniaaaa.... hehehehe).
(Gambar: Di Pintu Gerbang Istana Besar) Wisata kali ini berakhir kira-kira jam 6.30 petang. Maza pun meninggalkan perkarangan Seri Menanti dan berkelana pulang dengan satu senyuman. Puas!