‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 12 Mac 2009

Nasrun Dipukul dan Ditumbuk



(Gambar: Nasrun & dongkey di Tesco, Mutiara Damansara)


Hatiku mengelegak. Marah. Muka berubah. Tidak senang duduk. Mata mulai merekah merah. Geram!!!

Nasrun dikerumuni beberapa orang budak yang hampir sebaya dengannya.

Si abang cuba menangkap Nasrun. Nasrun yang pepes seumpama papan lapis akhirnya tewas. Si abang mengilas kedua-dua belah tangan Nasrun ke belakang.

“Adik, cepat dik. Tanduk budak ni. Sondol perut dia!”, si abang itu menyuruh adiknya yang berusia sekitar tiga tahun melakukan kebejatan.

“Jangan, jangan! Jangan la! Sakit!” Nasrun meronta-ronta sambil memohon belas kasihan.

Si adik memasang kekuda. Dia melangkah jauh. Belari. Dengan kepalanya yang hampir botak, ditundukannya dan di hala ke perut Nasrun. Kemudian dia merodok-rodok perut Nasrun tanpa belas. “Dup, dup, dup!”

Nasrun menahan sakit sambil terkial-kial melepaskan diri.

Puas si adik merodok perut, abangnya pula mengambil giliran. Ditumbuk-tumbuknya Nasrun.

Nasrun tidak mampu mengelak. Mana hendak menahan senak di perut dan mana pula hendak mengelak tumbukan itu. Dada Nasrun dijadikan bidang menahan asakan pukulan bertalu-talu.

Lepas satu tumbukan ke satu tumbukan, si abang dan si adik bergilir-gilir menganugerahkan kesakitan.

Seorang budak yang lebih besar, berumur sekitar lapan tahun hanya bersorak besar. Kadang kala dia menampar kepala Nasrun. Budak-budak lain melompat-lompat tanda sokongan. Jauh sekali mereka hendak meleraikan atau menolong Nasrun.

Bapa budak ganas itu tidak jauh dari tempat Nasrun dilanyak. Tetapi dia buat endah dan tak endah sahaja.

Puas menumbuk akhirnya Nasrun ditolak. Nasrun jatuh terjelepuk ke atas tanah.

Gasakan yang bertalu-talu itu sedikit pun tidak menyebabkan Nasrun menangis. Mereka merasa kecewa. Ego si pelanyak bertambah tercabar!

“Hoi! Kau buat apa tu? Kau buli anak aku yea?”, aku mengherdik mereka.

Bapa budak ganas itu tidak jauh dari tempat Nasrun dilanyak. Tetapi dia buat endah dan tak endah sahaja.

Aku mengangkat Nasrun. Nasrun terhuyu-hayang bangkit

“Kawan jahat ayah. Kawan jahat”

“Kenapa Nasrun tak lawan balik? Dah jangan pergi ke kawan tu lagi”

“Ayah dia buat. Ayah dia buat. Dia tolak Nsrun. Hu hu hu huuu”, akhirnya berderai juga airmata Nasrun yang di dalam dakapanku.

Sayu hatiku melihatkan anak ku diperlakukan seperti itu.

Hendak sahaja aku tangankan mereka semua. Tetapi sebaik terkenangkan, hal ini hal budak-budak, aku tidak jadi masuk campur. Lagipun ketika ini ada majlis kenduri kahwin di rumah jiran di hujung sana. Tak elok rasanya mengeruhkan lagi keadaan.

Aku mengangkat Nasrun dan membersihkannya. Setelah itu aku bawa Nasrun ke dalam rumah. Tidak lama itu, Nasrun tertidur beralaskan lengan kananku sambil mengerang kesakitan sekali sekala.

Sambil berbaring itu aku mula memasang rancangan.

Perkara seumpama ini tidak patut berulang.

Aku perlu menanamkan semangat kepahlawanan di dalam diri Nasrun. Aku percaya, selepas itu tidak ada sesiapa pun dengan sewenang-wenangnya memperdaya dan membuli anak-anak aku.

Biar Nasrun berjiwa besar. Berjiwa hulubalang. Berjiwa pahlawan.

(Gambar: Nasrun di Amber, Genting Highland)


Keturunannya juga bukan calang-calang orang. Ayahku seorang pejuang kemerdekaan. Habis komunis yang mengganas di kampung ditebasnya.

Atukku pula sekian lama berkhidmat ke bawah Duli Baginda Almarhum Tuanku Sultan Johor. Moyangku juga bertaraf laksamana. Pakcik ku ada yang menjawat komando.

Jadi darah kesatriaan sudah sedia mengalir, cuma perlu diperasapkan sahaja.

“Nanti ayah ajarkan langkah ilmu silat, ya Nsrun”, aku mengusap-usap lembut rambut Nasrun.

Aku kembali berbaring. Lalu terkenangkan bagaimana pula aku hendak mengajarnya.

Atok Seman mengajar aku baru lima langkah. Selepas itu keesokan harinya dia jatuh sakit. Sakit yang dideritainya itulah telah membawanya ke Rahmatullah.

Ayahku pula hanya sempat menabur janji untuk menurunkan ilmu persilatan. Selepas itu dia turut mengikuti jejak Atok Seman.

Harapkan emak. Emak hanya tahu bersilat bersama kuali dan senduk di dapur.

Di tingkatan tiga aku belajar Taekwando. Baru tiga kali kelas dan hanya sempat mengambil uniformnya, aku sudah tidak boleh pergi ke kelas itu lagi. Kelas WTF (World Taekwando Federation) terpaksa dibatalkan disebabkan kekurangan pelajar.

Di tingkatan lima aku berpeluang sekali lagi. Kali ini belajar tomoi. Tetapi lain pula ceritanya. Kawan-kawan sepeguruanku tahu yang aku pernah belajar Taekwando. Lalu aku hanya dijadikan rakan gasak sahaja. Tentang langkah atau teknik ... hmm ... hanyut ... tercicir lagi!

Mereka tidak tahu yang aku hanya sempat belajar menangkis dan menumbuk angin sahaja. Tidak sempat merasa naik pangkat ke tali pingang kuning atau hijau. Tali pingang putih yang ku terima itu pun masih suci bersih tanpa ada sebarang kotoran.

Tetapi penghargaan ku terima melampaui batas. Setinggi pokok kelapa walhal aku tidak sebegitu. Sekali lagi kelas terpaksa dibatalkan disebabkan tok guru balik ke Kedah.

Kemudian bila umur mencecah dewasa sedikit, Abang Ghazali bersetuju menjadi guruku. Kali ini halangannya ialah lain yang diajar, lain pula jadinya.

Lagi pun kata Abang Ghazali, aku sebenarnya belum bersedia untuk bermain jurus lagi.

“Aduh! Takkan sampai sekarang masih tak boleh. Atau aku memang tidak berbakat dalam hal ini”, aku mengeluh di dalam hati.

Tidak lama selepas itu aku menyambung pelajaran ke IPT.

Jadi, bagaimana aku hendak ajarkan ilmu mempertahan diri kepada Nasrun?

Kalau ada pun mungkin ilmu melenyapkan diri. Itu pun ayah sempat sampaikan serba sedikit sebelum dia meninggal. Dan aku pula ingat-ingat lupa.

Kata ayah, langkahnya bermula dengan kuda-kuda mengundur ke belakang. Undur sehingga tidak tercapai tangan dan kaki mush. Kemudian mengundur lima tapak lagi. Selepas meninjau keadaan seketika undurlah sejauh mungkin.

Selepas itu buka sedikit kuda-kuda seperti tarian kuda kepang. Setelah itu angkat kaki kanan dan diikuti kaki kiri. Kemudian, apalagi! Berlarilah selaju yang mungkin. Insyallah kita dapat menyelamatkan nyawa banyak pihak!

Kalau beginilah keadaanya, terpaksalah aku pergi ke kelas seni pertahankan diri. Atau mungkin aku boleh sekelas dengan Nasrun.

(Gambar: Azmi Ibrahim ialah seorang guru silat Cekak Hanafi. Sekarang mengajar silat di UM)

(Gambar: Azmi Ibrahim ialah seorang guru silat Cekak Hanafi. Sekarang dia mengajar di UM)

Mahukah si Azmi bin Ibrahim itu menerima kawannya ini sebagai anak muridnya?

Akhirnya aku terlelap sendirian.

Esok aku terlupa hal ini. Sehinggalah baru-baru ini aku terdengar kes buli di sekolah yang semakin menjadi-jadi. Gerakan samseng sekolah sudah mula bermaharajalela. Mangsa buli ada yang sudah menghembuskan nafas terakhir.

Arghh!!! Mampukah anak-anak kita bertahan di asrama?!


Pingan Ayan:
Kes buli boleh juga berlaku ke atas anda dan anak-anak anda!
Apakah pandangan anda untuk mengatasi masalah ini?


blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails