‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Ahad, 8 Mac 2009

Hujan

Dsc00181
Semalam (24 April 2007, Selasa) aku diarahkan untuk pergi ke MPH di One Utama. Boss menyuruh aku membelikannya sebuah buku bertajuk Pra-U Kertas Bahasa Melayu 2 untuk anaknya Natasha. Buku itu diperlukan segera sebab Natasha akan pulang ke Australia tempat dia menyambung pelajaran. Natasha akan berangkat pada keesokkan harinya.

Setibanya aku di situ, aku pun terus masuk ke shopping kompleks One Utama. Ketika aku menunggang motor, aku dapat melihat dengan jelas hari sudah mendung. Langit mulai pekat menghitam. Aku tidak boleh berlengah lagi kalau tidak mahu terperangkap di dalam hujan. Hujan di KL tidak sama hujan di kampung dulu-dulu. Hujan di KL penuh dengan asid, silap hari bulan boleh kena demam dan kepanasan. Hujan di kampung dulu-dulu, main sepuas-puasnya sekalipun tidak memudharatkan tubuh. Paling teruk pun kesejukkan sahaja.

Kompleks beli belah One Utama sungguh besar, sugguh gah. Tempat aku mempakir motor dengan kedai MPH itu agak jauh. Tambahan pula aku tidak biasa dengan kompleks itu walaupun tempat tinggalku berhampiran dengannya. Aku hanya biasa dengan Tesco di seberang jalan sana yang tidak jauh dari pasaraya ini. Kalau tidak kerana isteriku hendak berbelanja di Tesco, jawabnya aku pun tak kenal Tesco itu apa.

Bermulalah aku menapak selangkah demi selangkah mencari letaknya MPH itu. Puas aku berjalan, namun tidak ku temui jua. Hampir setengah jam berlalu dan aku rasa dekat 3 batu aku berjalan barulah ku temuinya. Lantas aku membeli buku yang diarahkan dan berlalu dari situ dengan segera.

Nasib aku kurang baik, hampir sahaja aku tidak menemukan jalan keluar, sesat. Setibanya aku di luar, hujan sudah pun mencurah-curah. Lalu aku berkira untuk duduk sahaja di bangku yang telah disediakan di luar pasaraya itu.

Dsc00182Aku duduk termenung di situ menantikan hujan berhenti. Sungguh lebat ketika itu. Tempiasnya adakala menyapa pipiku. Aku biarkan sahaja, buat-buat tiada apa yang sedang berlaku.

Lalu tidak semena-mena ia mengingatkan aku di saat aku masih kecil lagi. Masa zaman sekolah rendah. Kalau tidak silap aku dalam usia 11-10 tahun. Nostalgia itu berlaku masa aku sekolah petang; sekolah agama. Di Johor ada dua sesi sekolah. Sesi sekolah pagi adalah sekolah rendah kebangsaan dan sesi petang pula sekolah agama kerajaan Johor. Kalau umur 11 tahun, sekolah agama pula kebiasaannya baru darjah 3.
Dsc00183
Hujan pada hari itu sungguh lebat. Jarak rumahku dengan sekolah agama ini jauhnya hampir 3 batu. Kira-kira kalau berjalan kaki mengambil masa hampir 45 minit . Masa tu aku tidak mempunyai basikal lagi. Aku hanya berjalan kaki. Begitulah rutinku sehari-hari.
Ketika itu musim tengkujuh. Kebetulan petang itu hujan turun dengan lebat, beserta guruh dan petir. Teman-teman yang lain sudah pulang awal, sama ada mereka menaiki basikal atau orang tua mereka ambil. Ada antara mereka pulang sebelum hujan turun lagi.
Aku terperangkap dalam hujan itu disebabkan lewat keluar dari bilik darjah. Apalagi kalau tidak kerana kena denda disebabkan tidak dapat menjawab soalan kuiz yang ustaz berikan, sudah pasti sudah lama aku balik.Tinggallah beberapa orang yang ada di situ menunggu hujan berhenti.

Petang itu hujan semakin menggila. Angin menderu-deru. Petir sambung menyambung. Sekolah pula tidak ada kemudahan elektrik, maka bergelaplah kami di situ nanti. Hari semakin malam, petang semakin menyingsing. Dsc00179Hujan mencurah-curah. Aku menjangkakan jam ketika itu hampir pukul tujuh. Aku mula menggigil. Kalau tadi menggigil kesejukan kerana kena tempias, tapi kali ini lain pula. Menggigil kerana mulai rasa ketakutan. Ustaz dan ustazah sudah lama pulang. Teman-teman yang ada tadi semakin berkurangan jumlahnya. Ada yang sanggup meredah hujan, ada pula yang ibunya datang menjemput.

Kini aku tinggal keseorangan. Hendak aku redah nanti emak marah, dituduhnya aku main hujan. Walhal minggu sudah aku puas bermain hujan dengan kawan-kawan. Hingga aku jatuh sakit. Dan sebagai imbuhan diatas keasyikan bermain itu, aku dianugerahkan tali pinggang dibadan oleh emak.

Emak pula hingga kini tak sampai-sampai untuk menjemputku. Agaknya dia sudah terlupa dengan anaknya ini yang tinggal menantikannya untuk diambil.
Aku menjadi serba salah. Kini senja mulai melabuhkan diri. Hujan masih belum reda lagi. Tidak ada nampak tanda untuk berhenti dengan serta merta. Aku terus menggigil. Apatah lagi terkenangkan tentang cerita hantu ribut yang emak dan atuk ceritakan tempoh hari. Hendak redah sudah terlambat. Jalan mungkin tidak kelihatan lagi. Kereta dihujung jalan sana, semuanya laju-laju. Aku pula tak nak lah menjadi penyumbang statistik anak kecil terbunuh di jalan raya di kampungku. Juga aku tidak mahu tubuhku menjadi ratahan hantu ribut itu.

Angin menderu-deru. Desirannya tidak henti-henti mengusap tubuh kecilku. Aku sekali lagi menggeletar kesejukan dan sudah pun hampir kebasahan. Emak masih tak muncul dengan motor buruknya. Dalam hati sudah berbakul-bakul bertasbih, bertahmid, termasuk jugak ler menyumpah seranah ustaz dan orang tuaku.

Sampai hati dia orang buat aku yang kerdil, tinggal di dalam keganasan ribut ini. Sampai hati mereka membiarkan aku keseorangan bergelap di kaki lima sekolah. Aku hanya mampu termenung, mengenangkan nasib seterusnya. Kalau aku redahkan juga, ada harapan semua kitab-kitab dan buku sekolah pagi akan basah. Yalah, lepas habis sekolah pagi terus sahaja pergi ke sekolah petang. Tidak balik rumah pun. Kalau balik buat penat badan dan sudah semestinya tidak sempat sampai sekolah petang tepat pada waktunya. Bekal memang aku bawa tiap-tiap hari. Adakalanya bekal lebih besar dari beg sekolah. Terkedek-kedek aku memikul tapaware bekal nasi dan air itu.

Dsc00181Aku merasakan jam sudah menunjukkan 8.00 malam. Hujan mulai reda. Sekali sekala langit dihiasai dengan cahaya kilat yang masih sambung menyambung. Bintang, usah dikira di dada langit, tak akan jumpa untuk dibilang. Bulan, sudah lama ditelan oleh awan yang kelam itu.

Keadaan sudah kembali tenang tetapi kelam berbalam bahkan semakin gelap gelita. Rintik-rintik hujan semakin reda menandakan penantianku hampir tamat.

Tetapi aku masih lagi terjelepuk di sisi kaki lima itu. Di tepi longkang yang mengalirkan air entah apa warnanya pun aku tidak tahu, tidak nampak kerana kelamnya malam. Aku semakin putus harapan. Emak dengan motor buruknya tetap tidak menampakkan bayang.

Aku mulai nekad. Aku tidak mahu terus berada di situ. Kalau tadi hantu ribut menghantui aku, kini hantu sekolah, hantu raya, hantu mak itam, hantu pucung, hantu kubur mulai bermain-main di depan kotak fikiranku. Manakan tidak, sebaik sahaja aku terpandangkan kilat-kilat yang menghiasi bidangnya langit itu, menyebabkan aku terbayangkan yang aku akan melalui kubur di depan Sekolah Rendah Kebangsaan nanti untuk kembali ke rumah. Suasana kubur disitu sudahlah suram. Bukan sahaja kubur orang Islam, tetapi di sebelahnya jirat cina juga perlu aku redah. Bagaimana aku hendak hadapi ini semua?!. Mahu sahaja aku terkencing-kencing nanti. Ah! sukar sungguh ujian kali ini.

"Sekarang! aku kena ambil keputusan nekad" kataku sendirian. Aku kena redah juga. Kalau tidak semakin berat risiko yang perlu aku hadapi nanti.

Dsc00182"Bismillah hirahman nirahimmmm, Allahhh huakabarrrr!!!!!" pekikku sambil memulakan langkah sumbang. Setelah dimulai dengan setapak dua; apa lagi akupun membuat langkah beribu, belari-lari ke tepi jalan besar sana yang sudah basah untuk terus menuju pulang ke rumah.

Di sepanjang jalan, mulut ku tidak henti-henti terkumat kamit membaca segala ayat, segala mentera yang ku ingat, habis semuanya aku bacakan. Susunan bacaan sudah tidakku hiraukan. Adakalanya bukan sahaja ayat suci al Quran yang dibaca, malah termasuk juga sifir 2, sifir 6, sifir 12, ilmu alam, sejarah, habis semua aku baca.

Hampir 10 minit aku berjalan. Aku mulai teraba-raba di tepi jalan besar bertar itu. Gelap gelita. Hanya sekali sekala aku bergerak melangkah dengan bantuan pantulan cahaya kilat di langit.
Bukan tidak ada kenderaan yang lalu lalang, ada. Tetapi sebaik menghampiriku, masing-masing memecut dengan laju. Barangkali mereka ingatkan aku ini hantu agaknya, atau jembalang kerdil dengan pakaian serba putih di tepi jalan bersendirian. hmmm...

Dsc00180
Tidak lama kemudian di kejauhan sana ternampak cahaya berbalam-balam. Aku pula sudah lama basah kuyup. Deru enjin kenderaan itu semakin menghampiriku. Lampu itu tepat menyuluh ke mukaku. Lalu motor itu berhenti di sisi.

"Pap!" kepala ku ditepuk. Pening seketika. Deras sahaja soalan keras diajukan kepadaku, "Kenapa lambat balik? Dah tak tahu ke jalan balik?" soal emak. Peh, menyirap darah aku. Apa tidaknya, aku sudah lah kesejukan, takut, bersendirian dari tadi, tiba-tiba dimarahi. Ini boleh bikin aku hangin satu badan.

Aku mula menunjuk perasaan. "Kenapa mak tak jemput, kalau dah tau orang tak balik lagi? Lambat lak menyusul. Kot orang mati kena makan dengan hantu ribut macamana? Suruh orang jangan main hujan, kalau hujan mak suruh tunggu sampai berhenti. Tapi mak tanya balik orang pegi mana ... dan bla bla bla...." bentak ku. Kini aku pula sudah mengambil peranan membebel emakku yang biasa dibuat oleh kaum hawa itu.

Kemudian mak aku kata, "Erk! tadi mak ingatkan kau dah balik kat rumah. Mak tak perasan kau belum balik. Lagipun mak tertidur, senja tadi baru terperasan kau tak balik lagi..."
"Pulak dah..", aku hanya terkedu. Aku pun panjat ajelah motor buruk itu. Tak kuasa lagi nak menunjuk perasaan, lagipun hati mulai rasa lega dan perut pun sudah berkeroncong.

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails