‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 6 Mac 2009

Darah di Muktah

April 19, 2007

Sekembali Rasulullah s.a.w dan rombongannya setelah selesai melaksanakan Umrah Qadha’ itu, Baginda s.a.w telah melengkapkan 3,000 orang bala tentera untuk berhadapan dengan musuh di Muktah.

Ahli sejarah masih lagi berbeza pendapat tentang punca peperangan Muktah. Sebahagian dari mereka ada yang mengatakan untuk pembalasan di atas pembunuh sahabat Nabi s.a.w di Dhat’t-Talh. Manakala pendapat sebahagian yang lain pula adalah sebagai pembalasan di atas pembunuhan seorang utusan Nabi s.a.w kepada gabenor Heraklius di Busrah. Utusan itu dibunuh oleh orang Badwi dari Ghassan diatas arahan Heraklius.

Kalau Perjanjian Hudaibiyah merupakan pendahuluan Umrah Qadha’ hingga kesannya membawa kepada ‘pembukaan’ Mekah, perang Muktah ini pula pendahuluan kepada perang Tabuk, yang selepas kewafatan Nabi s.a.w membawa kepada pembebasan Syam.

Dalam bulan Jamadilawal tahun kelapan Hijrah (tahun 629M), Nabi s.a.w. memanggil tiga ribu orang pilihan dari kalangan para sahabatnya untuk dibentukkan pasukan ketenteraan. Selepas itu pimpinan ketumbukan ini diserahkan kepada Zaid bin Harithah.

Muslim_admiralSemasa penyerahan panji tersebut, Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Zaid bin Harithah; “Kalau Zaid ini gugur, maka Jaafar b. Abi Thalib yang memegang pimpinan, dan kalau Jaafar gugur, maka Abdullah ibnu Rawahah yang memegang pimpinan.” Dalam gerakan itu, Khalid al Walid dengan sukarela menawarkan diri untuk menyertainya. Dia dengan penuh keikhlasan sanggup berperang untuk membuktikan iktiqad baiknya sebagai seorang Muslim.

Tibalah hari untuk tentera itu bertolak. Mereka dihantar oleh Nabi dan kaum Muslimin dengan mengiringinya hingga sampai di pinggir kota. Suasana ketika itu sungguh berlainan sekali, tidak sama dengan suasana hendak pergi berperang yang terdahulu.

Semasa Nabi Muhammad s.a.w menghantar ketumbukan ketenteraan itu keluar pinggir kota, Nabi s.a.w sempat menyampaikan pesan sekali lagi : “Jangan membunuh wanita, bayi, orang-orang buta atau anak-anak, jangan menghancurkan rumah-rumah atau menebangi pohon-pohon”.
Selepas itu Nabi s.a.w pun berdoa dengan diiringi oleh kaum Muslimin; “Tuhan menyertai dan melindungi kamu sekalian. Semoga kembali dengan selamat.”

Zaid bin Harithah, panglima perang ke Muktah ini memilih strategi untuk menyergap pihak Syam secara tiba-tiba. Sebagaimana lazim yang pernah dilakukan dalam ekspedisi-ekspedisi yang lalu. Dengan cara ini, kemenangan mudah akan diperolehi dan mereka akan kembali dengan segera. Mereka pun berangkat sehinggalah sampai di Ma’an di wilayah Syam. Mereka pergi dengan tidak mengetahui apa yang bakal mereka hadapi nanti.

Malangnya keberangkatan tentera Muslimin itu dapat dihidu oleh Syurahbil, pembesar Heraklius di Syam. Lalu dia mengumpulkan beberapa kelompok kabilah yang ada di sekitar tempat itu. Akhirnya sebuah pasukan tentera berjaya dibentuk yang terdiri daripada orang-orang Yunani dan Arab.

Cerita yang lain pula menyatakan bahawa Heraklius sendirilah yang telah membentuk dan mengetuai bala tenteranya itu yang kemudian bermarkas di Ma’ab, wilayah Balqa’. Dimana tentera tersebut terdiri seramai seratus ribu orang Rom dan seratus ribu orang lagi dari Lakhm, Judham, Qain, Bahra’ dan Bali.

Riwayat yang lain pula ada mengatakan bukannya Heraklius yang memimpin pasukan itu, tetapi saudaranya bernama Theodore.

Ketika Muslimin berada di Ma’an, mereka sudah mengetahui adanya ketumbukan ketenteraan tersebut. Dua malam Muslimin berada di Ma’an sambil meninjau-ninjau, menyelidiki strategi apakah yang patut digunakan, terutama apabila melihatkan bilangan musuh terlalu ramai.
Mv_kingdomof_2

Bilangan musuh yang terlalu ramai hingga Muslimin merasakan mereka akan dihurungi oleh musuh, ibarat gula dihurung semut yang banyak. Jumlah musuh berkali-kali ganda berbanding mereka yang hanya 3,000 orang.

Dalam merangka strategi itu, salah seorang Muslimin telah memberikan pendapat, katanya: “Kita tuliskan sepucuk surat kepada Rasulullah dan memberitahu baginda jumlah pasukan musuh yang begitu besar. Dengan demikian kita akan beroleh bala bantuan, atau kita mendapatkan perintah lain dan terus maju.”

Cadangan tersebut hampir sahaja mendapat suara majoriti. Tiba-tiba Abdullah ibnu Rawahah bersuara hingga dapat mengubah pendirian Muslimin, katanya:
"Kawan-kawan sekalian! Demi Allah, sesungguhnya kita berperang melawan musuh bukannya berdasarkan bilangan, kekuatan atau banyaknya jumlah mereka. Kita tidak memerangi mereka, melainkan kerana mempertahankan agama kita ini, yang dengan memeluknya kita telah dimuliakan Allah! Ayuhlah kita maju! Salah satu dari dua kebaikan pasti kita capai, kemenangan atau syahid di jalan Allah!"

Ibnu Rawahah memang terkenal sebagai seorang penyair hebat, begitu juga seorang kesatria yang tiada tolok bandingnya. Dialah satria di medan perang dan dialah juga pahlawan pena yang membela Nabi melalui lisan dan lidahnya. Beliau tidak pernah ketinggalan dalam setiap peperangan yang Nabi sertai.


Luahan kata Ibnu Rawahah yang berbaur perasaan berani dan penuh kesatriaan telah menggelegakkan segala sendi dan sanubari tentera Muslimin. Rasa takut, rasa terbeban, rasa gelisah, habis semua tertinggal, yang ada kini bangkit dengan penuh semangat jitu hendak melawan musuh Islam; menang atau mati syahid! Lalu sebulat suara mereka menyahut: “Kata Ibnu Rawahah itu memang benar!.”

Terus tentera Muslimin bersiap sedia. Mereka mulai memeriksa senjata. Kuda-kuda dan unta yang akan digunakan diletakkan pelana. Pedang dan perisai sentiasa dipelihara dengan baik. Bersedia untuk tempur!

Ya! Menang atau syahid, hanya terbuku dihati dan pemikiran tentera Muslimin. Tekad dan iktiqad telah bersatu padu. Selepas ini hanya usaha menentang musuh perlu dilaksanakan, selebihnya terserah kepada Allah s.w.t. Samada menang tegak berdirinya bendera Islam atau tewas sebagai para syuhada. Dua kebaikan itu jugalah mereka rindukan.

Pagi itu tentera Muslimin bergerak menuju ke medan. Tiada kata untuk berpaling arah lagi. Tempur kerana mencari keredhaan Allah, tempur kerana seruan cintakan Rasulullah. Mereka terus berjalan hingga tiba di wilayah Balqa’, di sebuah desa bernama Masyarif. Disitu terdapat sebuah padang. Disitu juga barangkali akan diadakan peraduan, kerana di situ mereka sudah menemui pasukan Heraklius yang tidak terbilang ramainya.

Tetapi bilamana musuh sudah hampir mendekati, tentera Muslim dengan segera pula mengalihkan mereka ke Muktah. Strategi ini sengaja dicipta kerana melihat Muktah lebih sesuai sebagai benteng pertahanan berbanding Masyarif. Lalu di padang Muktah inilah berlakunya tragedi peperangan Muktah yang sengit itu - antara seratus ribu orang atau dua ratus ribu orang tentera Rom dengan tiga ribu orang Muslimin - berkobar, berkorban dan terkorban.

Mv_kingdomof_2Kini turunlah bala tentera Islam maju bergerak ke medan perang. Sewaktu orang-orang Islam dari kejauhan dapat melihat musuh-musuh mereka, mereka membilang besarnya bala tentera Romawi sekitar dua ratus ribu orang! Menurut beberapa kenyataan; barisan tentera Rom seakan tak ada ujung dan seolah-olah tidak terbilang banyaknya!

Ketika ini sekali lagi kata-kata Ibnu Rawahah ternyiang-nyaing ditelinga, “Kawan-kawan sekalian! Demi Allah, sesungguhnya kita berperang melawan musuh-musuh bukannya berdasarkan bilangan, kekuatan atau banyaknya jumlah. Kita tidak memerangi mereka, melainkan kerana mempertahankan agama kita ini, yang dengan memelukinya, kita telah dimuliakan Allah! Ayuhlah kita maju! Salah satu dari dua kebaikan pasti kita capai, kemenangan atau syahid di jalan Allah!”


Gugurnya Zaid bin Harithah

Setelah menjulangkan senjata, selepas bertempik kata semangat. Mereka menyerbu ke medan tanpa sebarang gentar lagi. Allah huakabar!!!! Berkobar-kobar umpama api yang marak. Lalu berkecamuklah medan Muktah itu dengan gemerciknya tetakan, laungan, geselan pedang, luncurnya busar panah, berlaganya tombak ke dada.

After_muslim_rulesDalam keadaan berlumba, berlari ke arah musuh itu, ketika inilah Panglima Perang Zaid bin Harithah mengotakan iman. Lagaknya seperti ‘singa jantan yang lapar’, membaham setiap mangsa yang mungkar itu.

Alangkah agungnya iman, alangkah kuatnya semangat! Bendera dibawa Muslimin itu dipenggang oleh Panglima Zaid bin Haritha dan tangan yang lain pula memegang senjata. Kemudian dia terjun ke medan tempur, lalu menggila disitu. Habis ditetak segala leher musuh yang berhampiran dengannya.

Dia sudah nekad dan yakin maut tidak dapat dielakkan lagi. Tetapi biarlah ajal yang menjemputnya itu dalam kehormatan Ilahi, dalam keredhaan Allah s.w.t. Biarlah syahid, bersama para syuhada yang terdahulu, di Badar, di
Uhud dan di medan Muktah ini juga.

Dalam keasyikan Zaid bertempur, disinilah dadanya dirobek dengan tombak musuh. Sehingga tubuhnya hancur luluh bersarangkan senjata musuh.

Melihat keadaan yang getir itu, Jaafar bin Abi Talib terus menyambar panji Muslimin di tangan Zaid dengan segera sebelum mencecah ke tanah. Kini pimpinan tentera Muslimin terletak di tangan Jaafar. Panglima Jaafar terlantik dengan sendirinya sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w, sekiranya syahidnya Zaid bin Haritha, maka dialah jadi pengantinya.

Ketika ini umur Jaafar bin Abi Talib masih muda lagi, iaitu tiga puluh tiga tahun. Dia berperawakan tampan dan seorang pemuda yang cukup berani.


Panglima Islam yang satu ini masih meneruskan perjuangan panglima terdahulu, dengan terjunkan diri ke tengah medan. Di atas kuda itu diamuknya musuh-musuh dan ramai pula yang tewas.

Jaafar bin Abi Talib Gugur.

Knight_kristian
Selepas Panglima Zaid bin Harithah tewas, panji Muslimin disambar oleh Jaafar dan dialah kini menjadi panglima penganti sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w.

Panglima Jaafar memegang panji itu erat ditangan kanannya. Di atas kuda itulah dia bertempur. Bilamana kudanya sudah terkepong, lalu musuh menerobos kuda itu dan ditetaknya pula haiwan tersebut.

Sekarang ini Panglima Jaafar terus sahaja terjun ke tengah-tengah musuh, menyerbu dengan menghayunkan pedangnya ke leher musuh, ke kiri dan ke kanan. Dalam asyik bertempur itu, tiba-tiba pihak musuh berjaya menetak tangan kanan Panglima Jaafar, yang sedang memegang panji tentera Muslimin hingga putus.

Melihatkan keadaan tersebut, segera tangan kiri Panglima Jaafar menyambar panji itu menggantikan tangan kanannya yang sudah putus.

Tentera musuh tidak membenarkan keadaan itu berterusan. Kini tangan kiri beliau pula menjadi mangsa, ditetak hingga putus juga. Namun Panglima Jaafar masih tidak mahu mengalah. Beliau
tidak membenarkan panji itu kecundang ke tanah. Tanpa menghiraukan sakit, kini bendera itu dipeluknya dengan kedua pangkal lengan yang bersisa.

Dia bergadai nyawa demi menyelamatkan Islam.


Sedangkan dia dalam memegang panji itu sudah ‘nyawa-nyawa ikan’, tentera Herakluis tidak benarkan Panglima Jaafar terus berkeadaan demikian. Diceritakandengan sekali pukulan terbelah dualah Panglima Jaafar, lalu gugur syahid.

Ketika ini peperangan menemui kemuncaknya. Hampir sahaja jumlah pasukan Muslimin yang kecil itu ditelan umpama bah oleh pasukan Rom yang tidak terhingga bilangannya. Keadaan Muslimin begitu getir sekali. Sedang dalam keadaan demikian mereka tidak mempedulikan jumlah tentera Muslimin yang semakin mengecil, ramai yang gugur terkorban.

Kini panji yang dipegang Panglima Jaafar disambut pula Abdullah ibnu Rawahah. Tinggal kekal pejap ditangan Abdullah ibnu Rawahah.

Gugurnya Abdulah Ibnu Rawahah

Muslim_admiralKetika ini Abdullah Ibnu Rawahah sedang memungut panji perang dari sisa tangan Jaafar, dan peperangan pula sudah mencapai kemuncaknya. Ketika Ibnu Rawahah bertempur sebagai seorang perajurit, dia terus berjuang bersungguh-sungguh, ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan, ditebasnya tanpa ragu-ragu dan peduli.

Sekarang setelah menjadi panglima, seluruh pasukan menjadi tanggungjawabnya, di atas hidup atau matinya pasukan itu. Demi terlihat kehebatan tentara Rom seketika, seolah terlintas rasa kecut dan ragu-ragu dalam dirinya. Tetapi saat itu hanya sekejap, kemudian dia bangkitkan seluruh semangat dan kekuatan terus melenyapkan semua kekhuatiran dari dalam dirinya, sambil berseru:

"Aku telah bersumpah wahai diri, maju ke medan laga, tapi kenapa kulihat engkau
menolak syurga... Wahai diri, bila kau tak tewas terbunuh, kau kan pasti mati.
Inilah kematian sejati yang sejak lama kau nanti...

Tibalah waktunya apa yang engkau idam-idamkan selama ini. Jika kau ikuti jejak
keduanya, itulah kesatria sejati!"

(Maksudnya, kedua sahabatnya Zaid dan Ja'far yang telah mendahului gugur sebagai syuhada)

Lalu dia pun menyerbu ke tengah tentera Rom dengan tabah. Kalau tidaklah takdir Allah yang menentukan, bahawa hari itu adalah saat janjinya ke syurga, nescaya dia akan terus menebas musuh dengan pedangnya, hingga dapat menewaskan sejumlah Stabbed besar dari mereka.

Tetapi waktu keberangkatan sudah tiba, yang memberitahukan awal perjalanannya pulang ke hadirat Illahi, maka Ibnu Rawaha berkorban dan terkorban sebagai syahid.

Sementara itu, Rasulullah s.a.w yang berada di Madinah sedang berhadapan dengan para sahabat bercerita tentang peperangan yang sedang dihadapi di Muktah. Tetiba Rasulullah terdiam seketika. Kedua matanya menjadi basah berkaca-kaca. Baginda mengangkat mukanya dengan mengedipkan kedua matanya, untuk melepas air mata yang jatuh disebabkan rasa duka dan belas kasihan.

Rupa-rupanya gugurnya Zaid bin Haritha, Jaafar Abi Talid dan Abdullah Ibni Rawahah yang tentera Muslimin sedang tempur itu telah diketahui oleh Nabi secara wahyu.

Seraya memandang sekeliling ke wajah para sahabatnya dengan pandangan haru, Baginda s.a.w bersabda, "Panji perang dipegang oleh Zaid bin Haritsah, dia bertempur bersamanya hingga dia gugur sebagai syahid. Kemudian diambil alih oleh Ja'far, dan dia bertempur pula bersamanya sampai syahid pula..."

Baginda s.a.w terdiam sebentar, kemudian diteruskan sabdanya, "Kemudian panji itu dipegang oleh Abdulah Ibnu Rawahah dan dia bertempur bersama panji itu, sampai akhirnya diapun syahid pula."

Kemudian Rasul diam lagi seketika, sementara mata beliau bercahaya, menyinarkan kegembiraan, ketenteraman dan kerinduan, "Mereka bertiga diangkatkan ke tempatku ke syurga - seperti mimpi orang yang sedang tidur - di atas ranjang emas. Laluku lihat ranjang Abdullah Ibni Rawaha agak miring daripada ranjang kedua temannya itu".


Lalu ditanya: “Kenapa begitu?”

Dijawab Nabi: Yang dua orang terus maju, tapi Abdullah agak ragu-ragu. Kemudian dia terus maju juga.”

Nota:

“Perjalanan mana lagi yang lebih mulia. Kesepakatan mana lagi yang lebih berbahagia. Mereka maju ke medan laga bersama-sama. Dan mereka naik ke syurga bersama-sama pula …”

Kalaulah peritiswa Ibnu Rawahah ini diterliti, orang tidak akan ragu-ragu lagi untuk mengorbankan diri demi agama dan tanah air. Apa tidaknya, orang yang sehebat Ibnu Rawahah dengan iman yang kental, bertempur tidak pedulikan diri itu, dek kerana keraguan yang terpintas dihatinya, menyebabkan kedudukan beliau tidak sama dengan Zaid dan Jaafar. Inikan pula entah apa bandingan kepada mereka yang lari dari medan perang, lari dari menghadapi kenyataan, semata-mata inginkan hidup, inginkan kesenangan dunia.

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails