Siri Ramadan
![]() |
| Bunga sesudah layu, bertaburan di jalanan. Tiada siapa yang peduli. Berbeza tatkala ia mekar. |
Sebuah bangku panjang setia berdiri teguh menghadap teluk yang dihiasi laluan pejalan kaki dan taman bunga. Pagi dingin itu ramai orang berlari-lari anak, bersenam sambil menghirup udara segar. Taman rekreasi ini tempat orang awam beristirahat, sambil berpeleseran dan menikmati keindahan alam tanpa mengira waktu; hari minggu, siang, malam, pagi, petang.
Dari kejauhan tampak dua batang tubuh manusia sedang berjalan menghampiri bangku usang. Seorang lelaki muda sedang mengiringi wanita tua sambil memimpinnya. Perlahan-lahan wanita tua itu berjalan, gigih menapak satu persatu. Wanita tua kelihatan sedikit uzur namun di matanya ada sinar bahagia. Tidak putus-putus dia melontarkan senyuman. Senyuman bahagia, senyuman ceria!
Mereka melabuhkan punggung di atas bangku uzur, barangkali seuzur wanita tua itu. Mereka berbual seketika. Sekali sekala nenek tua menyeringai menampakkan gigi palsu. Selang beberapa minit lelaki muda pun berkata, “Emak, tinggal di sini dulu. Saya hendak pergi kerja. Sekarang ini saya sudah kelewatan. Takut nanti bos marah dan saya dibuang kerja. Petang nanti, selepas balik kerja saya akan ambil emak di sini. Emak jangan pergi ke mana-mana, ya? ”
Nenek tua dengan lutut sudah goyah mengangguk-anggukkan kepala tanda faham akan kesulitan anaknya.
“Ini ada sekeping kertas. Emak simpan baik-baik. Kalau emak sudah puas di taman ini, emak boleh berikannya kepada pemandu teksi. Jika ada orang bertanyakan emak atau emak perlukan bantuan, emak serahkan kertas ini. Nanti orang itu akan bantu emak dan bawa emak ke alamat saya ini.”
Nenek tua hanya sekadar meleparkan senyuman. Di matanya tetap bersinar bahagia walaupun terpaksa bersendirian.
“Saya kena pergi sekarang. Sudah jam 8.30 pagi, lewat sangat untuk ke ofis. Saya pergi dulu emak,” Hamad mengusap belakang ibunya itu kemudian mencium tangan emaknya sebelum berlalu.
Tinggallah nenek tua sendirian bertemankan bangku usang. Termanggu-manggu. Dia setia di situ sambil melihat laut yang terbentang luas. Sekali sekala bauan haruman bunga-bungaan menyerbu ke serombong hidungnya. Saat itu ibu tua menarik nafas dalam-dalam kemudian melemparkan senyuman. Alhamdulilah . . . dia mensyukuri nikmat Tuhan.
Masa terus berlalu. Detik demi detik meninggalkannya terus sendirian. Namun untuk nenek tua itu meninggalkan bangku usang tersebut tidak sama sekali. Di hati berasa khuatir kalau-kalau Hamad akan datang dan mencarinya. Sekira dia tiada di situ, dia takut akan menyusahkan anaknya itu. Ya, Hamad ialah satu-satu anaknya. Anak tunggal.



