‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 16 April 2010

Dari celahan tangan itu ada sinar

Sambil memegang cawan maza melangkah ke arah emak. Emak lena dibuai mimpi. Dengkurnya juga memenuhi ruang tamu. Di atas sofa yang mengadap TV emak lentuk layu.

Melihatkan itu segera maza mengejutkannya. Maza tak sampai hati tengok emak tidur merengkok di atas sofa itu.

"Emak bangun mak!"

Emak masih asyik dengan mimpinya. Maza goyangkan bahu emak dengan alunan sedikit deras.

"Emak bangun mak. Masuk tidur kat dalam biliklah. Hari dah larut malam ni."

Dalam mamai itu emak menghulurkan tangan. Maza menyambut tangan itu. Cuba bantunya untuk bangkit.

(Gambar: tangan-tangan membentuk 'kasih')

Rupanya emak mengigau lalu bersuara, "kenapa kau tak salam dan cuim tangan aku?". Kemudian emak lentuk kembali dan berdengkur.

Masa inilah maza baru perasan. Lama dahulu, tangan itu jugalah yang selalu maza salam dan cium tatkala hendak masuk tidur dan pergi ke sekolah.

Masa zaman kecil, tangan itulah yang kerap mendukung tubuh kerdil maza ke bilik setelah terlena di ruang tamu. Memasakan untuk maza tatkala pulang dari sekolah.

Itulah juga sendi yang pernah mengusap kepala, membelai dan memujuk tatkala maza sedih dan menangis.

Dan jejari dari tangan itu jugalah yang pernah mencubit dan menjentik telinga ini agar maza menjadi manusia yang berguna!

Hari ini sudah jauh benar. Jarang sekali maza menghulurkan tangan, bersalaman dengan emak dan meminta ampun darinya sebelum masuk tidur atau mahu pergi ke tempat kerja.

Bila terlihatkan tangan yang dulunya licin, lembut dan halus kini sudah bertukar menjadi berkedut, lemah dan menggerutu, sebak mula timbul. Tertanya-tanya pada diri sendiri, banyak sungguh aku sudah berubah di atas nama kedewasaan ini!

Maafkan abang mak, abang masih tidak mampu membela emak sebagaimana emak membela abang masa kecil dulu...

Salam Jumaat kengkawan.


Rabu, 14 April 2010

Rini, aku juga punya dunia tersendiri.


***

Teman ku Rini Asom...



...Walamak eiii... kau bukan tak tahu.
Dari dulu pun aku punyai perasaan santimental! Tetapi dalam dose yg terkawal.

Aku juga 'gila-gila remaja' sesama budak lelaki yang lain. Tetapi kau juga sudah tahu. Kebanyakkan masa akulah yang dibuli..


(Gambar: Romantika di Tampoi. Siapa peduli, kan?)

Dulu-dulu rock punya pasal, aku tipu diri sendiri. Konon-kononnya 'tak main ler cinta-cinta ini' - segalanya kerna ikut cakap kawan...

Aku silap!
Sekarang aku mulai sedari Perasaan santimental itu penting rupanya..
Kalau tak, luahan rasa sayang pada anak, bini, emak di kampung dan kengkawan pula macam mana?

Macam nak menulis buku cerita kalau tak ada perasaan dan jiwa?
Ahaks, ini semua penangan Cikgu Sastera kita itu dulu..

hehehe,,
Dunia kecilku dulu penuh dgn hipokrit dan kasar!
Demi rock
Demi kengkawan tak mau akui yg aku juga punyai perasaan!

Tapi perasaan sayang aku terarah cinta hanya kasih kepada seorang kawan.

Aku pernah menangis malam hari kerana kerinduan kengkawan...
Yang bernama kawan-kawan itulah yang pernah bermain bersama-sama, bekerjaran sana sini...merekalah jugalah teman yg membuli, mengherdik, menghina. Lantas membina jiwaku!

hehehe.. kelakar, kan?

Hari ini dunia ku sudah berubah.

Berubah bila aku melangkah keluar dari kepompong kampung dan sekolah!
Bila mana aku beranjak ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Jalil (SSAJ)
Bila mana aku terus mara ke Varsiti
Yang mana setelah menjejakkan kaki di UM baru ku tahu,
akulah manusia pertama dari Kahang menjejakkan kaki ke situ!
Ke universiti terulung di negara ini!

Dari situ, ku galas amanah cita-cita ibu dan org kampung!
Ku susun satu persatu agar tak tersungkur!

Pernah hampir jua aku kecundang.
Mujur ada helang penyalamat menghalang aku dari terjunam ke neraka jahanam!

(Gambar: Hidup bagaikan bermain layang-layang)

Seputar di SSAJ itulah bermulanya titik perubahan aku sebagai pemimpin.
Berubah sebagai pemangkin.
Berubah sebagai insan punyai cita-cita yg nyata!
Bukan lagi di momok-momokan oleh padangan sempit.
dengan harapan yang tak pernah teguh!

Sekarang, pada mata yg pernah memandangku rendah, memandang ku tak setara.. tak mengapa. Lihatlah di sekeliling mu sekalian!... Kau sendiri tahu bagaimana aku sekarang!

Bukanlah ini permulaan yang terlalu agung untuk disanjung,
Tetapi bagiku pengakhiran itulah jalan penentu untung!
Siapa yang untung, siapa yang rugi?
Hanya mizan Tuhan yang adil mengukur di akhirat nanti...

Tapi entahlah, engkau lihat sahajalah!
Biarlah kita menulis kitab di sebelah kanan dengan acuan Nabi SAW. Dengan gaya para solehin. Dihormati dan disegani!


****
wkakakka.. psst: aku sebenarnya mabuk malam ni.. terlebih makan ubat lorrr..

Ahad, 11 April 2010

Di bawah pokok ada lori...


(Gambar: Penglipur lara. Dibaca; bukan Din Beramboi)

Selepas pergi ke Hospital Mata Tun Hussein Onn, kami pun beredar pulang ke rumah. maza membuat keputusan untuk melalui jalan 'dalam' di pinggiran Seksyen 19, Petaling Jaya.

(Gambar: Lori yang penuh lazat)

Penat berjalan, kami berhenti di bawah pokok. Dua buah lori sedia menanti. Mereka bersedia memberikan perkhidmatan.

(Gambr: Cendul)

Apa lagi pekena cendul dan rojak mamaklah pulak... hehehehhee

Tengahari itu memang ramai orang. Berebut-rebut menanti giliran tempat duduk. Ada tu tak sempat nak tunggu tempat duduk, sambil berdiri mereka menjamah cendul.

(Gambar: Menanti bersama lelehan liur, slruupppp!)

Satu lagi yang menarik ialah tiada garis pemisah antara bangsa-bangsa. Melayu, Cina, Iban, Kadazan, India, Mat Saleh turut menjamu selera.

Bahkan mereka yang kaya memandu kereta besar seperti BMW, Camry, Mercedez juga rela menanti. Malah mereka juga mengajak isteri dan anak-anak menikmati cendul di bawah pokok tersebut.

Mana yang tak tahan dengan godaan cendul, kereta telah menjadi tempat mereka menikmati minuman enak tersebut.

(gambar: Tak sabar menahan)

maza masih ingat, ketika 1990-an lagi sudah ada pakcik tua berniaga di bawah pokok yang sama. Bermula dengan basikal berubah menjadi motorsikal. Kerap jugalah maza menikmati cendul di situ.

(Gambar: Tak menoleh lagi. Bedal!)

Hari ini cendul di bawah pokok tersebut telah diwarisi pula oleh anak saudara mamak tadi. Meneruskan tradisi katanya. Bersama-sama anak saudara mamak itu, terdapat dua orang pekerja Melayu.

Pendek kata, siapa kata jual cendul tak boleh berjaya?!

(Gambar: Nikmatnya)

Pekena cendul di tengahari memang mengasyikan. Menghirup setiap sudu bersyrruupp--syrruuuppp bunyinya. Perkhhh!! dahsyat weiii...

Tak cukup itu, pekena pulak rojak mamak. Terus melekat nikmat di kerongkong! Aduhaiiii...

Tapi setahu maza, cendul bukanlah makanan asli orang-orang Melayu. Namun hari ini sudah ramai orang-orang Melayu menjual cendul.

Yang pasti makanan mamak ini enak dimakan lorr... Mungkinkah cendul akan diiktiraf sebagai makanan kebangsaan Malaysia. Menjadi ikon makanan di negara ini sebagaimana teh tarik dan nasi lemak? hmmm



Rabu, 7 April 2010

Maafkan ayah. Ayah tak tahu nak!


(Gambar: Nasrun merenung masa depan)

Beg galas diletakkan di atas kerusi. Badan terasa begitu letih sekali. Di luar sana udara panas ganas menampar tubuh. Petang itu maza terasa tidak bermaya. Penat tidak berhenti kunjung tiba. Keringat berjujuran.

Lepas solat maghrib mengadap anak-anak pula. Melihat kerja rumah mereka. Beberapa hari lalu cikgu beritahu yang Nasrun tidak menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas. Nasrun mudah teralih perhatian. Dia juga masih tidak dapat membaca seperti rakannya yang lain.

Kelmarin maza bertemu dengan seorang sahabat. Anaknya sebaya Nasrun tetapi perempuan. Kanak-kanak berusia lima tahun itu sudah pandai membaca. Gadis itu menjadi kebanggaan ayahnya.

"Baca Nasrun. Apa ini?"

Nasrun membisu.

"Tengok tangan ayah di papan putih. Huruf apa ini?"

Nasrun terus mendiamkan diri.

PAPPP!

Kuat maza menampar papan putih itu. Pinta perhatian penuh diberikan. Nasrun, Daniel dan darling terkejut.

"APA BENDA INI? CAKAP!"

"Tak nampak ayah. Nasrun tak tahu"

PANGGG!

Ringan tangan maza memukul kakinya.

(Gambar: Titisan air mata)

"Kau ni nak jadi apa Nasrun?! Belajar tak mahu. Kerja sekolah payah nak buat. Sikit-sikit penat. Sikit-sikit mengantuk. Baru buat kerja sekolah dah cakap penat.

Main seharian boleh. Dan itu aje yang kau tahu! Main! Main! Main!

Tengok kawan-kawan Nasrun kat sekolah. Semuanya dah dapat baca. Nasrun tak malu ke? Nasrun tak mahu pandai ke, ha?!!"

PANGGG!

Sebelah kaki sana menjadi mangsa pula.

"Nasrun tak tahu ayah. Nasrun tak nampak." air matanya meleleh. Tangis yang ditahan semakin nyata.

"Hai! Tulisan sikit punya besar macam ni kau kata tak nampak! Ni nak kena lagi ni... ini huruf M. Apa ni?!"

"Huruf M, ayah", jawab Nasrun dalam terketar-ketar.

"Ini huruf A. Apa ini?"

"A"

"M. A. Ma..."

"M.A. Ma..." ikut Nasrun. Sekali sekala sendunya terikut sama.

Keesokan malam jam 10.00, Nasrun mengadu sakit kepala. Baru sebentar tadi dia melakukan kerja sekolahnya. Barangkali bahang panas hari ini menyebabkan dia begitu.

Kasihan melihatkan Nasrun mengerang kesakitan, maza cuba membantu. Memicit-micit kepalanya. Akhirnya Nasrun tertidur di pangkuan.

Maza sangkakan peristiwa itu hanya berakhir di situ. Tetapi sakit kepala Nasrun berulang lagi. Kali ini dia mengadu pening kepala pula. Sampai muntah-muntah.

Sekali lagi malam ini dia tertidur di pangkuan maza. Maza memicit-micit kepalanya. Di hati maza mula tertanya-tanya, kenapa pula dengan anak seorang ini.

Diraba sana-sini. Dahi disentuh. Pipi diusap. Namun tiada simptom menunjukkan dia demam. Tetapi kenapa dia berkedaan begitu? Lagaknya seperti orang tidak berdaya!

Esoknya cikgu mengadu lagi. Nasrun telah mula menunjukkan peningkatan. Semakin positif. Di dalam kelas Nasrun mulai memberikan tumpuan kepada pelajaran. (Alhamdulilah)

Sungguh pun begitu, Nasrun juga kerap mengadu sakit kepala. Pening dan muntah.

Ini membuatkan hati maza menjadi gundah. Berombak ribut membadai jiwa. Berdebar-debar tak berhenti.

"Takkanlah perlakuan aku mengajar anak tempoh hari menyebabkan Nasrun begini. Ah, tidak. Tidak mungkin. Nasrun kuat budaknya. Setahu aku dia lagi kuat dari adiknya, Daniel. Kalau sakit atau demam, jarang benar dia hendak merenget atau melalak seperti kanak-kanak lain. Ah apa pula kali ini?"

Rungsing perihal itu, maza menyuruh darling membawa Nasrun berjumpa doktor di klinik.

(Gambar: Resah merusuh menanti jawapan. Apakah hukuman selepas ini?)

"Anak puan sihat. Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan."

"Tapi doktor, akhir-akhir ini kerap betul dia mengadu sakit kepala dan pening?"

"Hmm ... macam ginilah. Saya rasa elok Puan pergi berjumpa optometrist. Rasanya mereka boleh bantu"

"Err.. optometrist tu apa doktor?"

"Oh ya. Optometrist tu ialah pakar mata. Lebih baik puan bawa anak ini ke pakar mata di Hospital Tun Hussain Onn, Petaling Jaya. Di sana puan boleh minta kepastian lebih lanjut". Doktor itu pun memberikan alamatnya.

Sabtu lepas maza, Nasrun dan Darling memanjat tangga Hospital Mata Tun Hussain Onn. Sangka maza Hospital Mata Tun Hussain Onn ialah hospital kerajaan. Rupanya ia hospital swasta. Tak mengapalah, demi kesihatan anak dan itulah juga duit dicari selama ini.

Setelah membuat pemeriksaan rapi, doktor mata tersebut mengesahkan mata Nasrun mempunyai masalah.

Nasrun didapati mengidap astigmatism dengan kadar bacaan silaunya tinggi. Disamping itu juga, Nasrun menghadapi rabun dekat. (Ayahnya pula rabun jauh...huhuhu)

(Gambar: Nasrun mencuba cermin mata baru.)

Tiada kaedah terapi lain, kecuali Nasrun perlu memakai cermin mata. Kalau mahu buat pembedahan lasik macam en.me, kami kena tunggu sehingga umur Nasrun lapan belas (18) tahun.

Dokor juga mengesahkan bahawa disebabkan penyakitnya itu jugalah Nasrun mudah hilang tumpuan. Terutama di dalam kelas dan pelajaran yang perlukan perhatian penuh.

Ini disebabkan mata Nasrun yang cepat letih dan cepat pula berasa mengantuk, terutama ketika membaca buku di waktu yang panjang. Penglihatan jarak jauhnya juga terganggu disebabkan silauan tinggi yang dialaminya.

Kata doktor lagi, keadaan Nasrun tidak boleh dibiarkan. Ia boleh menyebabkan keadaan semakin sukar diubati. Tambahan pula pelajarannya akan terganggu. Bahkan boleh membawa kepada daya penglihatan semakin lemah!

Mendengarkan perihal itu maza tersentak. Di dalam hati ribut membadai. Dada menjadi sempit. Jantung membengkak. Sebal. Sesak. Sebak.

Rasa bersalah mula menerpa. Pantas seperti tersuluh-suluh, mahu memacul keluar. Tersembul!

Di dalam kereta maza termenung sendirian mengenangkan nasib anak maza seorang ini. Nasrun baru lima tahun sudah terpaksa memakai cermin mata. Maza sendiri setelah umur sembilan belas (19) tahun, barulah memakai cermin mata.

Tetapi apa yang paling menyedihkan hati maza ialah sikap tak usul periksa maza sendiri. Juga tidak mempercayai kata-kata anak itu: "Nasrun tak nampak, ayah!"

Masing-masing membisu. Membawa haluan sendiri. Memandang ke luar tingkap kereta.

Air mata maza hampir mengalir ke pipi. Segera maza menyeka agar si anak dan ibu tidak melihatnya. Dalam keheningan di perut kereta itu, tibalah giliran maza, dengan suara lemah, maza berkata "Maafkan ayah nak. Ayah tak tahu!"



Isnin, 5 April 2010

The Begining


A beginning of life.
model: aqlan sholehin. age: 2 month.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails