Berzikir dan bertafakur |
Emak menanggung kesakitan. Terbaring di atas tilam bujang di dalam rumah pusaka ini. Sakitnya berat.
Lalu saya menghampiri emak. Saya menyabarkannya. Saya cuba gembirakan emak. Saya sulam dengan jenaka agar dapat mengalihkan perhatiannya terhadap keperihan yang sedang dialami.
Saya memicit-micit kaki dan tubuh yang semakin longlai itu. Saya baringkan emak dari duduknya.
Memang kelaziman saya untuk menelefon emak. Paling tidak seminggu sekali. Isteri saya selalu menjadi wakil kepada saya. Saya juga acap kali berpesan agar isteri dan anak-anak kerap menghubungi emak yang berada di kampung.
Malah kami sering memujuk emak untuk tinggal bersama di kota metropolitan ini.
"Bukan emak tak nak ke rumah kau tu. Sejak akhir-akhir ni doktor nak kerap periksa emak. Dua minggu sekali. Sebulan sampai dua atau tiga kali. Doktor kata emak ni mula ada masalah jantung dan buah pinggang bocor. Mata pun tak berapa nak nampak. Nanti menyusahkan kau pula nak hantar emak dan berulang alik." Ungkapan ini pernah emak ajukan setahun yang lalu.
Saya cuba memicit-micit kedua belah kaki emak. "Emak rehatlah ya. Tenang, tenang. Sabar emak. Pasti Allah memberikan ganjaran terbaik untuk kita."
Istirahatlah emak |
Naluri kecil saya mula terdetik. Malah emak pernah beritahu, "hidup aku tak lama. Kalau aku tak ada..?"
"Emak, kalau abang rindukan emak macam mana?"
Emak yang sedang condong mahu berbaring kini bangkit semula mahu duduk. Sepantas kilat itu juga saya menerpa dan mendakap tubuh emak dengan erat. Saya peluk emak kuat-kuat. Lagaknya seperti anak saya berusia lima tahun mendakap saya dalam esakan. Tapi tubuh emak sudah sejuk.
Rasa hiba, pedih, perih, perit merempuh ke dada sempit ini. Terasak sesak dan sebal yang tidak dibuat-buat.
Airmata saya mengalir membasahi bantal. Saya mula tersedar daripada mimpi indah ini.
Saya tidak sanggup membuka mata lagi. Saya tidak berani. Biarlah saya hanyut dalam khayal hangatnya cinta, kasih sayang dan kerinduan terhadap emak sejenak lagi. Menikmati kerinduan yang tidak mungkin berbalas. Saya cuba menahan agar memori indah itu tertangguh lebih lama, tetapi ... (ia tetap berlalu pergi)
Emak: Asiah (rakaman tahun Jun 18, 2012) |
Dalam perlahan saya panjatkan doa agar emak aman dan tenang di alam barzah sana. Di dalam pejap gelap bertutup mata di keheningan pagi itu saya hadiahkan al-fatihah kepada emak.
Rindu yang tidak tertangguh lagi.
Putus cinta itu tidaklah sakit. Yang membawa derita dan rana adalah masih lagi mencintai dan merindui.
𝘌𝘮𝘢𝘬, 𝘬𝘢𝘭𝘢𝘶 𝘢𝘣𝘢𝘯𝘨 𝘳𝘪𝘯𝘥𝘶𝘬𝘢𝘯 𝘦𝘮𝘢𝘬, 𝘮𝘢𝘤𝘢𝘮 𝘮𝘢𝘯𝘢?
Al fatihah
(7 bulan emak sudah pergi selama-lamanya)
Nukilan hik hik...
Ammak satu kali