‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 27 Disember 2019

MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT

Kg Sri Lukut Mesyuarat di dalam teratak
Muafakat Membawa Berkat

Kg Sri Lukut: Adat hidup di kampung, hidup kena bermuafakat.

Mesyuarat dengan pemimpin kampung; tok penghulu, tok ketua kampung, tok imam, MPKK, PIBG, PELADANG ketua penanggah, ketua khairat kematian, ketua sukan, ketua badminton (eh eh eh..) dan macam² lagi.

Kadang-kadang pasal nak sembelih ayam dara, jantan atau betina pun kena bermesyuarat. Itu belum lagi mesyuarat nak naik pelamin...eh, eh, 😜

Adakalanya sibuk bermesyuarat mengalahkan pegawai-pegawai di jabatan kerajaan. 🤭🤭🤭

Uniknya mesyuarat kali ini diadakan di hujung kampung. Teratak ini kepunyaan En. Azman Aziz. Katanya dia mahu mengusahakan kem dan eko tourism di situ.

Kg Sri Lukut: Sungai / Sg Madek
Antara kawasan perkhemahan sementara
yang terdapat di tebing sungai

Kawasannya cantik, pinggiran hutan, berhampiran sawit, bendang dan kebun sayur. Suasannya begitu tenang dan damai. Bersebelahan pula dengan sungai yang airnya cukup jernih.


Kg Sri Lukut: Sungai Madek
Aliran sungai yang lesu
menjanjikan kesegaran dan ikan yang enak

Lepas mesyuarat katanya boleh berendam di sungai. Kalau mahu berkhemah di tebing Sungai Madek ini pun boleh. Air yang jernih menjanjikan kesegaran.

Sungai ini juga mempunyai khazanah marin yang bernilai antaranya ikan kelabau, sebarau, lais, baung, putih, lampan dan macam lagi.

Mesyuarat Membawa Berkat: Kg Sri Lukut, Kahang
Saya mencadangkan bla bla bla

"Pengerusi! Saya, saya. Allahuakbar. Alahai lupa pula. Ha! Pengerusi, dengan ini saya mencadangkan, cadangan ditutup."

Eh eh eh
🤪🤪🤪

Nukilan lantun-lantun

Selasa, 3 Disember 2019

TEH AIS TERANGKAT

Bukanlah perkara asing di Malaysia kalau bercakap tentang teh. Di tanah bertuah ini, terdapat ramai penggemar teh dari segenap peringkat umur. Sebagai contoh teh tarik merupakan minuman yang telah diangkat sebagai minuman rakyat.

Teh Ais Terangkat keluaran BEKAL: Di Pasar Tani

Jika dahulu teh ais dijual terhad di warung-warung, kedai makan, kafe dan restoran. Dewasa ini teh ais mula dijual di tepi-tepi jalan. Penjaja-penjaja mula berpusu-pusu menjual teh ais di kaki lima, simpang jalan, pasar malam, pasar tani, karnival dan pesta keraian. Pendek kata, teh ais mulai mendapat tempat di hati masyarakat.

Banyak jenama-jenama teh ais telah tumbuh dengan meriahnya. Antara nama yang popular ialah Teh Ais Madu Padu, Teh Ais Sedap/Pyorr, Dhaka Teh Ais, Teh Ais Derhaka, Tealive, Teh Madu, Teh Ais Cincau Kaww, Teh Ais Malaysia Pukaw, Teh Ais Kaww dan macam-macam lagi.

Slurpp: Pekena Teh Ais Terangkat

Sesuai dengan rakyat Malaysia yang semakin kreatif dan terbuka, teh ais telah dikembangkan, diolah dan dicipta dengan pelbagai perisa baharu. Teh ais dicampur dengan cincau, coklat, madu, bunga cengkih, aiskrim dan terkini bobba.

Ramuan tambahan ini bertujuan untuk mencipta kelainan, menampilkan aneka pilihan dan paling utama ialah faktor pemasaran atas nama hendak mencetuskan permintaan serta kuasa tular (viral).

Teh Ais Terangkat BEKAL: Di tapak karnival 

Sementelah lagi, generasi hari ini cenderung hendak mencuba sesuatu yang baharu; terdapat kelainan, selain mudah terpengaruh dengan sesuatu yang sohor kini.

Teh Ais Terangkat merupakan jenama teh ais baharu yang semakin mendapat tempat di masyarakat. Jenama ini semakin masyhur dalam kalangan penggemar teh di Kahang, Johor.

Teh Ais Terangkat keluaran BEKAL telah mula bertapak di Kahang dan mula dilancarkan/dipasarkan pada September 1, 2019 di Dataran Kahang.

Teh Ais Terangkat:
Berada di tapak pesta, kenduri dan pengantin

Teh Ais Terangkat mempunyai rasa teh yang jelas, lemak, berkrim, dan yang penting tidak terlalu manis. Ramuan yang digunakan kena dengan anak tekak hingga melahirkan rasa segar.

Keenakan Teh Ais Terangkat sukar diperkatakan sehingga menyebabkan peminumnya akan terangkat kening dan tersembul biji mata dalam memberi reaksi keistimewaan dan kesedapannya.



Slogan Teh Ais Terangkat keluaran BEKAL yang dimiliki oleh Ciptawarna Enterprise adalah "Hilangkan Kehausan, Segarkan Fikiran dan Mendatangkan Ketenangan".


Pihak pengurusan BEKAL juga bercadang untuk memasarkan Teh Ais Terangkat lebih jauh. Lantaran itu, BEKAL bercadang untuk membotolkan Teh Ais Terangkat ini dan diedarkan di pasaran terbuka. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi whatsaap: www.wasap.my/+60179608720 atau ikuti suka (follow) FB page: bekal.kotadamansara.

Jadi, jangan lupa untuk mencuba dan menikmati Teh Ais Terangkat untuk merasai sendiri keenakan dan kesegaran. Badan segar, terasa nikmat, semoga malam bermimpi indah.

#tehaisterangkat #bekal #bekalkotadamansara

Catatan Kembara

Isnin, 23 September 2019

TUKANG URUT FELDA BELITONG



Wak Ali Tukang Urut Felda Belitong menghampiri saya ketika saya duduk di kaki lima berhampiran sebuah klinik.

"Tunggu siapa?" Wak Ali mulakan bicara.

"Tunggu emak. Tak sihat."

Wak Ali terus bercerita tentang kisah hidupnya yang berasal dari Segamat kemudian berpindah ke Felda Belitong pada tahun 1985. Umurnya baru 72 tahun. Hari jadinya pada 30 September.

"Ramai orang cari saya. Sekarang ni dah ada Facebook, Whatsapp dan macam-macam lagilah. Nak berkenalan dengan saya. Saya ni selalu keluar suara dalam Radio Johor. Selalu berpantun. Dengar Radio jam 6.30 pagi. Macam-macam umur orang nak kawan dengan saya. Yang muda, tua, Singapura, Brunei, Johor.

Selasa, 30 Julai 2019

GAYA MAKAN TENGAHARI ORANG MUAR

Warung Asam Pedas Nombor 10,
Tanjung Agas, Muar

"Minta nasi satu lagi." Laung seorang pelanggan.

"Nasi satu!" Sebelah sana pula memanggil. Diikuti berturut-turut pelanggan meminta itu dan ini.

Mereka benar-benar "makan" hidangan di tengahari itu. Saya pun tidak kurang juga. Saya kunyah perlahan-lahan. Mengesip setiap lauk dan kuah yang bercampur gaul dengan nasi di dalam rongga mulut.

Menu popular pilihan rakyat Muar ketika saya berada di Tanjung Agas ini ialah ikan masak asam pedas!

Pilihan saya pula ialah ikan mayung dan telur ikan masak asam pedas Muar. Manakala ulam pula ialah pucuk tenggek burung.

Jangan lupa air minuman orang Johor; sirap bandung!

Cara makan pula ialah makan berhidang dan bukannya memuatkan segala muatan ke dalam pinggan.

Sesuai dengan gerai tempat saya makan, yang tertera tag "Pilihan Jalan, Jalan Cari Makan TV3" rasa masakannya sama seperti nombor kedainya iaitu dengan bintang 10/10.

Kata orang Siam, hidangan "perfect ten (10)". Selain ikan mayong, terdapat beberapa pilihan ikan lain antarannya ikan duri, sembilang dan kembung.

 ~ammak satu kali~
Hik hik hik

Isnin, 29 Julai 2019

NASI AYAM FARHANI

Nasi Ayam Farhani, Tanjong Malim

Nasi Ayam dikatakan berasal daripada masakan kaum Cina. Di Malaysia, Nasi Ayam digemari oleh semua kaum. Selain Nasi Lemak, Roti Canai dan Teh Tarik sebagai identiti makanan rakyat Malaysia, Nasi Ayam rasanya juga patut disenaraikan ke dalam masakan rakyat Malaysia.

Nasi Ayam Farhani:
Pemandangan seberang jalan
dari Slim River ke Tg Malim

Kini terdapat pelbagai variasi Nasi Ayam. Cara penyediaan juga berbeza. Contohnya Nasi Ayam Hainan, Nasi Ayam Singapore dan Nasi Ayam Linda Onn.

Malah terdapat rangkaian restoran francais yang berasaskan Nasi Ayam iaitu seperti The Rice Chicken Shop, Restoran Nasi Ayam Linda Onn dan sebagainya.

Di Tanjong Malim, Nasi Ayam yang popular dan suka ramai adalah Nasi Ayam Farhani.

Sebut sahaja jenama Nasi Ayam Farhani, segera orang tempatan akan mengetahui dan mengakuinya.

Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari:
Nasi Ayam Farhani terletak
bersetentangan dengan sekolah ini

Lokasinya ialah di jalan Tanjong Malim ke Slim River. Warung ini terletak berdekatan dengan stesyen minyak BHP dan berhadapan dengan Sekolah Menengah Khair Johari, Tanjong Malim.

Jika di Kota Tinggi, Johor, Nasi Ayam paling terkenal adalah Nasi Ayam Abu Bakar. Kalau di Tanjong Malim, warung Nasi Ayam Farhani menjadi pilihan utama di sini.


~Kita suap dulu, ya~
Hik hik Ammak satu kali

Isnin, 14 Januari 2019

KOLAM AIR PANAS KUALA KUBU BHARU

Januari 13, 2019, Hulu Selangor - Maza dan keluarga mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk melawat sekitar Kuala Kubu Bharu. Ini bukanlah kali pertama maza tiba di sini. Bukan sekadar menghabiskan masa bersama, namun untuk menyelesaikan tugasan 'recce' kawasan segmentasi pasaran.

Setelah puas melawati beberapa kawasan pejabat kerajaan di Daerah Hulu Selangor, tiba-tiba maza terpandangkan papan tanda jalan "Kolam Air Panas Kuala Kubu Bharu".

Kolam Air Panas Kuala Kubu Bharu

Kebetulan dua batang kaki maza terasa sengal-sengal. Tanpa banyak bicara, maza memutarkan stereng kereta memasuki kawasan Kolam Air Panas Kuala Kubu Bharu.

Sebaik sampai ke destinasi, maza mendapati tiada kenderaan lain.

Kolam Air Panas Kuala Kubu Bharu:
Kawasannya selesa, bersih dan terjaga.

Kolam Air Panas Kuala Kubu Bharu ini terletak di belakang kuaters Polis Kuala Kubu Bharu. Jadinya tidaklah risau sangat tentang keselamatan.

Entah apalah sudah terjadi. Tengahari buta itu, maza merendamkan kaki di Kolam Air Panas Kuala Kubu.

Kolam Air Panas Kuala Kubu Bharu
Airnya hangat dan jernih

Mujur juga tiada orang di sini. Jikalau tidak, harus kena kecam; gila (hahaha).

Kawasan ini bersih dan airnya jernih. Kalau ada tukang picit di sini, tentu lagi seronok sambil menjilat aiskrim Malaysia.

Kolam Air Panas Kuala Kubu Bharu:
Kebas dan sengal di kaki pun hilang

Maza tidak mengambil masa lama untuk meninjau kawasan tersebut. Setelah rasa kebas-kebas di kaki dihambat pergi, maza pun mengucapkan selamat tinggal.


Hik hik
~kaki asam, kita cuci~
Ammak satu kali

Jumaat, 11 Januari 2019

PULANGKAN KASUT SAYA

(Nukilan Tahun Januari 18, 2018)

Pagi ini kecuh seisi rumah. Sepasang kasut sekolah baharu Aqlan Sholehin (8 tahun) sudah hilang.

Puas menyelongkar, namun usaha itu sia-sia. Kasut putih bersize kecil telah tiada di tempat simpanan biasa di rak kasut bertutup luar rumah.

Bagi seorang ayah yang menyara keluarga dalam "musim tengkujuh" dengan bilangan anak setengah dozen, perkara sebegini boleh menyebabkan kegusaran dan kemurungan. Kehilangan kasut putih sekolah di tahun baharu bukanlah sesuatu yang enak, lebih-lebih lagi hanya kasut itulah dimiliki oleh anak kecil ini.

Mungkinkah ada yang bergurau kasar? Barangkali penyamun itu menghadapi masalah ekonomi yang lebih serius? Ataupun pada musim hujan ini niat mereka hanya meminjam disebabkan kasutnya basah dan takut dimarahi oleh guru?

Pulangkan kasut saya: Aqlan Sholehin

"Pulangkanlah kasut saya," rayu Aqlan.

Saya menganggukkan kepala sambil ligat mencari ikhtiar.

Akhirnya Aqlan akur dan termakan bujukan saya untuk pergi ke sekolah walaupun sudah lewat.

"Biarlah pengawas mencatat nama Aqlan berulang kali. Biarlah cikgu tegur dan marah berulangkali. Asalkan Aqlan minta maaf, pergi sekolah dan menuntut ilmu itu lebih penting daripada kehilangan kasut. Ketinggalan matapelajaran di sekolah amat merugikan daripada ketakutan kerana kehilangan kasut." Saya mengajar beliau erti mengurus risiko dalam laras bahasa ekonomi; biar rugi sedikit asalkan kelak untung banyak, atau biar rugi sedikit daripada rugi besar.

Sambil mengesat air mata, Aqlan melangkah gagah memanjat anak tangga sekolah.

'Plap, plup, plap, plup,' bunyi selipar jepun berderap menghitung 30 mata anak tangga.

Sampai di puncak anak tangga pintu pagar sekolah, Aqlan berpaling ke arah saya sambil melambaikan tangan dan melemparkan senyuman manis. Di situ jugalah, sekoyong-konyong seorang pengawas berwajah tegas menyoalsiasat anak saya. Nama Aqlan dicatat dalam buku nota akhlak murid-murid bermasalah di Sekolah Seksyen 9, Kota Damansara. Semoga Aqlan tabah, sabar dan sebagai pejuang tegar, ini adalah jihad.

Dalam hati seorang ayah yang semakin dimamah usia dengan sisa kudrat yang ada memanjat doa agar Allah memudahkan urusan kami.

'Pulangkan kasut anak saya.'

Sekarang, saya perlu berkayuh pergi. BEKAL sedia menanti.

Saya berkira-kira dalam hati kecil, 'siapakah yang mahu buat pesanan BEKAL?'

Whatsapp BEKAL: 017-960 8720 ; FB fanpage: bekal.kotadamansara untuk mendapatkan pilihan menu idaman anda.

1. Ubi kayu rebus + sambal tumis + ikan air tawar masin/kering MADIK
2. Popia basah/goreng/sira
3. Bee hoon Singapore
4. Lunch Box...

hik hik
~ammak satu kali~
Ini betul-betul ni, bukan cobaaan..
Hahaha

Nukilan lantun-lantun

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails