‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 16 Mac 2016

SURAT TERBUKA: INI TEKAD KAMI, AYAH



Aqlan Sholehin ( 6 Tahun), Ayah dan abang-abang
Surat terbuka.

Kepada:
Ayah kami

PER: INI TEKAD KAMI, AYAH

Ayah kami seorang yang baik. Dialah yang terbaik di dunia ini. Ayah seorang yang tampan. Ayah Pandai. Bijak. Paling sempurna. Ayah seorang ‘superman’.

Ayah mahu kami jadi anak yang soleh. Anak yang bijak. Dia berikan segala-galanya kepada kami. Semua keperluan kami akan dipenuhinya.

Ayah kami orang yang hebat.
Dia hebat menipu.
Dia tipu, sebenarnya dia hampir hilang pekerjaan.
Dia tipu, dia mempunyai duit.
Dia tipu, dia hanya buat kerja kasar.
Kerja buruh mengangkat buku, kayu dan batu.

Malam hari di hadapan kami.
Dia tipu, yang dia tidak pernah lapar.
Dia tipu, dia kata lenguh, sebenarnya pinggang dan kakinya sering sakit.
Dia tipu, yang dia kata kita ada segala-galanya.
Dia tipu, yang dia kata, kehidupan kita ini sempurna.

Malah, dalam diam-diam.
Dia tipu, dengan hatinya sendiri
Dia tipu, kegembiraan dirinya sendiri.
Sebenarnya ayah kami sedang menderita.

Dia tersenyum gembira di hadapan kami, tetapi dalam kehidupan hariannya penuh cerita hiba.
Dia tipu semua ini kerana kami.
Ayah sayang kami. Dan kami sayang ayah.
Dewasa kelak, kami akan bela nasib ayah!
Ini tekad kami.

Secebis nukilan 

Jumaat, 11 Mac 2016

DIA CIKGU AKU



Safee Yunos
____________________________________

“Ya Allah!

Ampunkanlah segala dosa-dosanya.

Panjangkanlah umurnya.

Sihatkanlah tubuh badannya. Murahkanlah rezekinya”

_______________________________________

Kata kunci: Kg Sri Lukut, Kahang. Kampung Sri Lukut. Kahang Batu 28, Kahang Bt28, cikgu, ustaz.

Beliau mengajar saya tentang ilmu akhirat semenjak saya berumur sembilan tahun. Guru saya di Sekolah Agama Kahang Bt28, Kluang, Johor. Beliau menaruh segala-galanya demi mendidik saya dan rakan-rakan.

Di kampung, kami tidak memanggilnya ustaz tetapi cikgu.

Beliau sentiasa membuka ruang untuk kami menadah ilmu dengannya. Bukan setakat kami belajar di sekolah uzur yang mereput di belakang Sekolah Rendah Kahang atau menumpang di sekolah sama (tahun 1984/85), bahkan teratak indahnya juga menjadi tempat kami menuntut ilmu (1990). Saya masih ingat ketika itu kami ada peperiksaan besar. Peperiksaan Darjah Khas Sekolah Agama dan SRP. Cikgu ini yang mengambil inisiatif dengan menggalakkan kami membuat study group. Cikgu inilah yang menawarkan rumahnya sebagai tempat kami berkumpul, berbincang dan tuisyen pada tiap-tiap malam sebelum menjelangnya hari peperiksaan. Jam 10.00 atau 11.00 malam barulah kami pulang ke rumah untuk meneruskan mentelaah pelajaran.

Sebelum itu, di kampung kami cikgu ini jugalah antara yang membuat inisiatif mengadakan solat hajat untuk mohon anak-anak kampung berjaya dalam menghadapi peperiksaan besar. Cikgu ini jugalah yang membenar dan menggalakkan kami belajar, mentelaah dan menyiapkan kerja sekolah di masjid. Masjid itu tempat saksi kami berkumpul menyiapkan kerja-kerja sekolah sebelum menunaikan solat Isyak berjemaah.

Masih segar diingatan ketika itu umur kami dalam lingkungan 9-10 tahun. Dalam kelasnya selain mengajar hal-hal akademik, beliau kerap mengumpan kami dengan pelbagai cerita. Memang cikgu selalu bercerita tentang para sahabat, sirah nabi dan kisah alam lebih-lebih lagi apabila hari terlalu panas dan sebagai anak kecil kami keletihan. Mata mula mengantuk, menguap sana-sini. Sesetengahnya tidak sedar terlelap atas meja dan meleleh liur basi mengalir. Cikgu amat memahami, dan jarang mengejutkan kami yang 'syahid' itu. Setelah terjaga dari terlelap, biasanya kami akan tercengang-cengang dan sedar-sedar riwayat yang diceritakan cikgu sudah pun tamat, muka surat kitab juga sudah beralih. Cikgu hanya melemparkan senyuman manisnya.

Ya, cikgu saya ini sering tersenyum. Katanya, senyum itu sedekah.

Ketika itu kelas sekolah agama kami bermula jam 1.45 petang. Bayangkan bersambung dari sekolah kebangsaan jam 7.00 pagi sampai lewat petang. Malamnya wajib mengaji dengan Atuk Dara; atuk saudara saya yang tinggal sebelah rumah. Letih otak, letih fizikal. Di masa itu rata-rata kami berjalan kaki ke sekolah atau berbasikal yang jaraknya lebih 2 km. Dalam kes saya hampir 4km seperjalanan.

Cikgu ini mengajar saya sehingga saya lulus Darjah Khas, Sekolah Agama Johor. Cikgu ini juga membuka minda saya agar bermasyarakat; bercampur gaul dengan orang tua, solat berjamaah di surau atau masjid. Mengajar saya tentang gotong-royong, tahlil, berkenduri dan rewang cara Islam beradab mulia.

Pada zaman itu, pantang cikgu sebut hendak adakan gotong-royong pasti kami menyahutnya. Kami gembira berbuat demikian tanpa dipaksa atau mengeluh. Kami sukarela membantu. Salah satu peristiwa yang masih saya ingat ialah gotong-royong membina dan membersihkan sekolah agama yang baharu. Selama ini kami menumpang belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan, sekarang kami sudah ada sekolah sendiri. Walaupun sekolah baharu ini serba kekurangan, kami gembira dan sering bergotong-royong membersih dan membina ruang sekolah yang lebih luas dengan mencangkul dan memongkes tebing tinggi.

Biasanya pihak sekolah akan mengadakan hari terbuka dan maulidurasul pada tiap-tiap tahun. Kami yang mulai remaja akan turut sama turun rewang dan bermalam di sekolah. Perkara ini kami teruskan walaupun kami sudah tamat persekolahan. Apabila sudah beramai-ramai bermalam di sekolah, sudah tentu ada bermacam-macam ragam. Itu kisah lain.

Pada sebelah petang di hari cuti sekolah, cikgu ini akan meronda kampung. Beliau melawat rumah anak-anak muridnya. Bertemu dengan ibu bapa dan bertanya khabar. Kalau ada salah, sudah tentu saya berasa kecut hati.

Biasanya cikgu ini tidak mengadu perihal kenakalan saya di sekolah. Sebaliknya memberi nasihat dan motivasi agar saya terus berjuang. Ya, berjuang dalam pelajaran, dalam hidup dan membela nasib keluarga dan kampung halaman ini.

Jika ada antara kami tidak pergi ke sekolah, atau sudah lama tidak hadir, beliau akan mengambil inisiatif menyusul murid itu ke rumah. Cikgu akan bertanya khabar adakah anak murid itu sakit atau mengalami masalah lain. Sudah tentu bujukan dan nasihat akan dilontarkan agar anak itu kembali kepangkuan sekolah, menuntut ilmu.

Dalam masa sama, masalah ponteng sekolah dapat dibendung dengan adanya pertalian erat antara cikgu dan ibu bapa. Pendek kata, hidup di kampung saling menjaga dan ambil peduli tentang masyarakat.

Atas jasa beliau dan isterinya Cikgu Sugimah, saya menjadi seperti hari ini. Beliau bertanggungjawab membentuk peribadi dan menanam iman yang kukuh di jiwa saya, yang kini saya anuti Islam itu sungguh-sungguh.

Terima kasih Cikgu Syafie bin Yunus, terima kasih tidak terhingga. Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan dan kebajikan yang cikgu curahkan kepada saya dan keluarga. Ya Allah, kurniakanlah keselamatan dan kesihatan tubuh badan yang sihat walafiat ke atas Cikgu Syafie. Murahkanlah rezekinya, panjangkanlah umurnya. 

Oleh

Rabu, 9 Mac 2016

KEROPOK ROTA DAN BERKAYUH BASIKAL PULANG SEKOLAH


Sewaktu maza di alam persekolahan, maza berkayuh basikal ke simpang Jalan Temiggol untuk pergi sekolah. Dari situ maza akan menaiki bas, sama ada bas awam (bas Mersing Omnibus) atau bas sekolah (Bas Sekolah Tan atau Bas Sekolah Bukit Cantik)

Basikal saya berwarna biru dan ber'handle' tengkok panjang. Sama modelnya seperti basikal kepunyaan Rohaiza Minhat (gadis pujaan kampung masa itulah, cerita budak itu sila klik link ini: Kenangan Lalu Bersama 'Budak Itu', hik hik).

Rohaiza Minhat yang itu.
Dulu-dulu belakang cerita ek. huh! Hahaha
Tengahari pulang dari sekolah pasti singgah di Kedai Jantan. Taukeh rumah kedai ini ialah akak Jamintan Sahran.

Ketika itu Julia Sabri masih anak dara sunti. Ah, bukan si anak dara sunti ini yang hendak saya nostalgiakan, tetapi kisah jajan Rota.

Harga sebungkus kecil Rota ketika itu (tahun 1990-1992) hanyalah RM0.20. Pergi ke sekolah hanya berbekalkan RM1.00. Tambang sekolah dengan bas awam RM0.30, dengan bas sekolah pula RM0.20. Biasanya di tangan akan berbaki RM0.40. Apabila sudah berusia remaja begini, jarang benar saya makan di kantin. Puasa dan berjimat begitulah lagaknya (hik hik).

Sambil mengayuh basikal maza mengunyah jajan (otak) udang ini (hahaha). Mujur juga otak maza tidak berubah menjadi sebati seperti otak udang (bidalan orang dahulu 'otak udang' merujuk kepada orang yang tidak cerdik).

Sebelah tangan kiri memegang handle dan bungkusan Rota, manakala sebelah kanan pula menyeluk bungkusan itu untuk disuap ke mulut. Adakalanya maza tidak memegang pun handle dan terus berkayuh. Maza menggunakan skill keseimbangan badan untuk mengemudi basikal. Sambil mengunyah, sambil berkayuh perlahan-lahan hingga sampai ke rumah.

Sengaja maza berkayuh perlahan. Bukan hanya hendak menikmati kelazatan keropok tersebut, tetapi hendak mengelak dan menghabiskan jajan itu agar adik maza bernama Ali yang berusia 5 - 7 tahun tidak mengendeng dan mengecek jajan.

Oh, ini rahsia besar yang maza simpan kejap selama ini. Tolong jangan bocorkan  di hadapan adik-adik saya. Syhhh...

nukilan lantun-lantun
ammak satu kali
 

Isnin, 7 Mac 2016

FROM TAIPING WITH LOVE

Tasik Taiping

Pertama kali maza ke Taman Tasik Taiping pada Disember 1991. Keadaannya cukup tenang dan membahagiakan.

Cuti sekolah tahun baru 2016 (1 Januari 2016) lalu, maza sempat singgah sekali lagi di sini. Alhamdulilah, suasananya masih sama, cuma sedikit terganggu dengan pembangunan sana-sini.

Apa yang menarik di tasik ini ialah keadaan panorama yang terpelihara dengan pepohon rendang dan tasik lombong yang luas. Rumputnya terjaga serta persekitaran yang bersih. Pendek kata orang banjar, nyaman.

Di atas perahu angsa sambil berkayuh mengelilingi Taman Tasik Taiping

Pemandangan Taman Tasik Taiping dari sisi lain di tengah-tengah tasik pula.


Dalam menyelusuri tasik ini, maza melihat  beberapa kelompok keluarga yang duduk di atas tikar mengkuang sambil menjamu makan tengahari dinaungi pokok-pokok yang redup. Menurut kata pengunjung tempatan di situ, memang pada waktu sebegini ramai orang yang picnic (berkelah) di sini. Selain penduduk tempatan, mereka yang dari luar daerah juga sering berkelah di tasik ini.

Tidak kurang juga ada pasangan kekasih yang sedang memadu asmara di atas kerusi dan di tepian tasik. Mereka begitu asyik sambil menikmati aiskrim. Indah, bukan?

Tukang kayuh perahu angsa (swan) kami. Romantik gila, walaupun dengan anak-anak.
Ayah sibuk pukul gambar dan menyeimbangkan perahu, takut terbalik. Hik hik


Taman Tasik Taiping ialah taman rekreasi tasik tertua di Malaysia bekas lombong bijih timah. Mengikut rekod, Taman Tasik Taiping telah dibuka untuk orang awam pada tahun 1880. Taman Tasik Taiping mempunyai keluasan 62 hektar.

"Ini gajah. Itu semut. Yang ini pula siamang." Mengajar anak tentang binatang.


Dalam kawasan Taman Tasik Taiping ini terletaknya Zoo Taiping, zoo tertua di Malaysia. Zoo Taiping telah dirasmikan pada 7 Mac 1964. Zoo Taiping merupakan satu-satunya zoo yang berada di utara Semenanjung Tanah Melayu.

Test ilmu kebatinan. Bermain sarkas dengan reptalia berdarah seram sejuk yang satu ini.

Zoo Taiping ini juga menawarkan lawatan 'Safari Malam' (Night Safari) iaitu dibuka dari jam 8.00 malam hingga jam 11.00 tengah malam (Isnin-Jumaat, sehingga 12.00 tengah malam pada hari Sabtu) semenjak 1 Mac 2003.

Puas mencari anak-anak. Sekali dia bermesra dengan Orang Utan. Haderkkk
Test kopi jantan. Sekarang siapa lagi gagah?


"Apa? Apa? Sailang karang."


Taman Tasik Taiping dan Zoo Taiping berlatar belakangkan kaki Bukit Larut (Maxwell Hill), dihiasi dengan anak-anak sungai yang mengalir lesu dan hutan simpan yang masih terpelihara. Udara di sini begitu segar, disulami dengan keharuman bauan bunga-bungaan di taman.

Taman Tasik Taiping memang sesuai dan strategik untuk 'merendek' dan 'beromen' bersama ahli keluarga. (hik hik)

Ah, tiba-tiba terkenangkan watak Abang Mat & Moon dalam kartun "From Taiping With Love" (GILA-GILA: Majalah Lawak Antarabangsa, bukan MOI)

"Hoi nak ke mana tu? Nanti dulu! Aku nak berkenalan ni," kata singa jantan miang.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails