‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 24 Februari 2015

Aktiviti Malam Jumaat Bersama Si Dara

Masjd Jamek Kg. Sri Lukut, Kahang Johor

Semasa saya sekolah rendah seputar 1980-an, hari Jumaat merupakan cuti umum di Johor.

Setiap kali malam Jumaat menjelma, kami amat gembira. Guru mengaji juga cuti mengajar. Kata Atuk Dara (guru mengaji) mahu membaca Yassin sempena malam penghulu hari itu.

Cuma apabila sampai tengah malam dan bulan pula mengambang penuh, kami adik beradik mulai gerun sedikit. Zaman itu belum ada lagi elektrik. Pelita dan sawangnya penerang di malam hari. Apatah lagi apabila malam Jumaat itu dikaitkan dengan malam Kleawoon, peluh dingin mudah benar merintik di dahi. Masa inilah ramai pengamal ilmu batin menguji ilmu mereka. Ditambah pula burung tukang bersahut-sahutan, menjadi punca kami tidur awal. Mujur juga emak dan ayah orang yang berani. Merekalah yang berjaga sampai lewat malam. Kata mereka, mahu menjaga keharmonian dan keselamatan keluarga, hmm?

Tatkala mencecah dasawarsa 90-an, cuti hujung minggu di Johor diselaraskan dengan cuti mingguan Kerajaan Persekutuan iaitu hari Ahad.

Mulanya terasa janggal. Masakan tidak, dahulu kami tidak terkejar-kejar ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Malah jarang sekali kami ponteng ke masjid. Pasti ada mata-mata yang report pada Ustaz Syafie, Yunus ataupun Johar. Gagal memberi alasan kukuh disebabkan ketidakhadiran untuk solat Jumaat (kehadiran dicatatkan oleh ketua kelas) hukuman rotan sedia menanti. Begitu juga kalau "terbebual" di dalam masjid, pastinya habuan yang sama menanti di betis kaki.

Paling tidak tahan, ada juga gadis-gadis genit tukang adu pada ustaz-ustaz itu. Pantang nampak kelibat kami terbabas solat Jumaat, pastinya akan sampai surat layang kepada ustaz. Pendek kata, mata-mata ada di mana-mana sahaja.

Bila meningkat remaja, sekiranya 'keuzuran' ke masjid, secara automatik rasa malu menyelinap sekujur tubuh. Hendak berkeliaran ke hulu ke hilir, walaupun di laman rumah sendiri juga berasa silu. Sudahnya bersembunyi di dalam bilik, sendirian sambil berselibung; menutup malu.


Nukilan lantun-latun si pinggan ayan.
 
blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails