‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Ahad, 7 Mac 2010

Warisan Di Tengah Sawah

Lokasi penggambaran:
Laman Warisan Budaya, Restoran Warisan,
Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
(Bersetentangan simpang ke Istana Seri Menanti).


Februari 27, 2010 - Sepasang kekasih menyelusuri batas-batas sawah selepas membasahkan tekak. Dari Restoran Warisan di tengah sawah itu, mereka menuruni anak tangga. Berjalan beriringan dengan senyuman paling bahagia.

(Gambar: Pintu masuk Laman Warisan Budaya (Restoran Warisan))
Payung adat ditempatkan di luar pintu masuk menandakan mengalu-alukan kedatangan penziarah.

(Gambar: Pemandangan dari dalam Restoran Warisan)

Mereka rancak berbual-bual di bawah pohon kedondong. Sambil memerhatikan 'orang-orang' (patung) berdiri setia di tengah bendang. Di hujung sana burung kedindit sedang sibuk mencari makan. Udara petang yang nyaman dihirup bersama.

Sawah di depan matanya luas saujana mata memandang. Padi yang baru bunting tertunduk malu. Mentari petang mengiringi mereka. Redup dalam hangat. Horizon sana menampakkan kebiruan. Seolah memayungi cinta mereka.

Mereka khayal memadu kasih yang disaksikan rumpunan padi dan kawanan burung bangau putih. Sesekali mereka bergelak ketawa. Sekali sekala mereka melontarkan batu kecil ke dalam petak sawah yang berair.

(Gambar: Congkak alat permainan tradisi. Mengambil tempat sebagai hiasan)

Taliair mengalir lesu. Lemah gemalai. Airnya sejuk dan menyegarkan. Angin sejuk lembut menyapu muka. Rambut lurus panjang yang jatuh di dahi terselak menampakan wajah yang ayu. Manis wajahnya. Segar bugar dan redup pula.

Dalam asyik berpegangan tangan di atas titi, sambil bermain air dengan menguis kaki, mereka terlihatkan kanak-kanak sedang leka bermain.

(Gambar: Titi yang dibina dari buluh. Tempat melintas taliair dari Restoran Warisan ke Sawah)

Kanak-kanak itu cukup riang. Gelak tawa memenuhi ruang alam. Berlari ke sana sini di atas batas. Mereka tidak takut terjebur ke dalam sawah. Bergelumbang dengan lumpur.

Mereka tidak runsing tentang lintah. Jauh sekali merungut miang benta dan padi.

Mereka tidak risau. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Mereka sungguh gembira.

Kemudian kanak-kanak itu membina istana. Istana tanah liat dibina dari lumpur sawah. Bersama selut dipupuk-pupuk membentuk binaan indah.

(Gambar: Reka bentuk Restoran Warisan. Menampilkan rekabentuk istana Melayu lama. Tapi rasanya kalaulah dibuatkan bumbung Minangkabau, barulah kena!)

Pasangan itu tersenyum. Membayangkan keindahan meniti hari-hari bahagia. Di atas pelamin nan indah. Perasan itu pasti mereka berkongsi bersama. Oh! Alangkah bahagianya...

Pada hari itu nanti disertakan hidangan istimewa buat mereka. Dilayan umpama raja. Sekelian pembesar, ibubapa, kaum kerabat dan rakyat jelata akan mengadap singgahsana idaman. Mereka dijunjung bagaikan raja sekelian alam. Dunia ini jadi milik mereka.

(Gambar: Menu makanan. Tempat kelihat ekslusif. Harga juga boleh tahan ekslusif. Rasanya boleh tahan hebat juga)

Tetamu yang hadir disusun bersaf-saf. Tok kadi, tok imam, tok siak, penghulu turut hadir menjadi saksi.

Bahkan pembesar negeri bergelar turut meraikan hari pernikahan mereka. Datuk, Datin, Tun, Tan Sri memberikan ucapan tahniah.

Kalau tiada tetamu hormat itu pun, yang datang hanya sekadar datuk-datuk dan nenek-nenek bongkok sabut itu lalu melabuhkan senyuman cengkung, sudah cukup bahagia buat mereka.

(Gambar: Tempat duduk yang dihiasi indah)

Mereka hanyut meneguk setiap detik kemanisan itu tanpa sebarang gangguan. Mereka menerawang khayal di puncak kayangan. Jauh di lubuk hati terasa amat bahagia. Bahagia dicita bakal akhirnya terbina.

(Gambar: Kedai cendermata. Hasil keluaran penduduk tempatan ada dipasarkan di sini)

Sedang asyik kanak-kanak itu bermain, tiba-tiba seekor kerbau balau menghampiri. Wajahnya bengis. Tanduknya lengkuk ke hadapan. Tajam lagi hitam.

Lalu kerbau balau menginjak-injak istana impian itu. Lagaknya tiada belas kasihan. Yang kedengaran dengusan amarah! Badannya penuh hitam berminyak, berpalit lumpur di sana-sini.

Istana bahagia punah, MUSNAH!

Hanya sekelip pandangan segalanya berubah. Istana gah menyembah bumi. Piung-piungnya tidak berbaki. Menjadi rata, leper di permukaan tanah. Ia kembali menjadi selut, lumpur yang kotor.

Kekasih itu berpandangan sesama sendiri. Merenung jauh ke dalam anak mata. Kaki yang terendam berhayun, terhenti kuisannya. Masing-masing meneguk liur sendiri. Menahan sebak merombak hati ceria.

Mereka mulai takut. Takut bila mana istana impian musnah diharung cabaran. Musnah dirobek-robek sang penaka! Rebah, bercerai kucai-lanang!

(Gambar: Hasil bahagia yang diperolehi dari perkongsian hidup)

Tersedar dari lamunan, tatkala itu juga mereka meneguh janji setia. Walaupun bencana datang menggila, istana bahagia tetap dipertahankan. Demi cinta mereka!

Perlahan mereka bangkit meninggalkan tepian sawah. Mereka mengorak langkah pulang ke rumah. Hari mendatang perlu ditempuhi. Dan hari ini akan berlalu lagi. Petang berlalu senja menyingsing. Tanda hari baru akan bermula lagi.


blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails