‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 31 Mac 2010

Terang Hati


Sadhaqallah hulazim. Esok maza boleh beralih ke surah lain pula, ya.” Atok Dara menamatkan sidang mengaji pada malam itu.

Dari riak lentuk lampu pelita yang samar, Atok Dara memulakan kembali bicara.

“Atok nak cerita sikit tentang junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W.

Nabi kita tidak pernah ketawa terbahak-bahak. Waema nampak sesuatu yang amat lucu sekali pun, baginda hanya sekadar tersenyum.

Pernah Nabi S.A.W melihat gelagat isterinya, Aishah, yang kelakar. Lalu baginda berasa geli hati yang amat sangat. Baginda hanya tersenyum lebar hingga menampakkan gigi putihnya.


Lagipun, kalau kita ketawa terbahak-bahak, akan menggelapkan hati. Orang yang gelap hatinya susah hendak mendapat hidayah.

Dan orang yang tidak mendapat hidayah, tidak akan dapat petunjuk. Maka dia akan sesat. Bila sesat akan banyak buat dosa.

Lepas banyak dosa, dia akan dimurkai oleh Allah S.W.T. Apabila Tuhan marah, kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Faham?!”

Maza hanya sekadar mengangguk-anggukan kepala sambil memeluk muqqadam di dada.

“Dah. Sekarang ni pergi simpan muqqadam baik-baik.”

Selepas menjunjung dan mencium muqqadam, maza bangkit lalu meletakkan muqqadam bersama rehal di atas gerobok di ruang seri rumah.

Di luar rumah cengkerik sibuk mengeselkan kakinya. Lalu memancarkan bunyi nyaring memecahkan sunyi malam. Katak saling cabar mencabar, sambil memohon hujan agar turun. Angin malam menghembus layu membawa dingin bersamanya.

Selepas menepuk-nepuk bantal, maza cuba berbaring. Di atas tikar mengkuang, di dalam bilik tanpa berpintu itu, maza masih terkebil-kebil. Terkial-kial sendirian.

Fikiran menjadi ribut. Otak menerwang menerjah sana-sini. Mata terus-terusan tidak mahu lelap.

Tidak senang dengan itu, maza pergi mendapatkan lampu picit di balik bantal ayah. Lalu memasangkannya.

Lampu picit yang sudah menyala itu dihalakan ke dada. Kemudian diarak ke perut. Tidak cukup dengan itu, kembali ia mencerah di belakang tubuh leper ini. Kelihatan beberapa kerat tulang selangka tersusun bersimpang siur tetapi rapi.

“Eh! Kau buat apa tu?”, soal emak lembut sambil mendapatkan tempat tidurnya di sebelah maza.

“Abang nak ‘TERANGKAN HATI’. Siang tadi abang banyak main. Banyak ketawa. Ketawa kuat sangat sampai terbahak-bahak!”

“Uhuk! Uhuk! hehehehe...”, dari tiang seri, di ruang tengah rumah Atok Seman membetulkan suaranya. Atok Seman hampir tersedak mendengarkan keletah maza. Atok Seman mengurut dada yang pepes itu sambil melontarkan senyuman lebar. Gelaknya juga tertahan-tahan.

Atok Dara pula sempat menjeling Atok Seman. Sebenarnya Atok Dara juga mahu terbahak besar. Namun dia cuba bertahan. Suaranya terteran-teran menahan gelihati.

Atok Dara harus bertahan. Dia perlu menunjukkan bahawa pelajaran dan nasihat yang disampaikan tadi sememangnya perlu dipraktikan.

Kemudian Atok Seman bangun sambil melangkah ke pintu. Lalu dia menguak besar pintu itu sebelum menuruni tujuh anak tangga.

“Awak nak ke mana pulak tu?”, periksa Atok Dara kepada suaminya sambil menggobek sirih.

“Ke baruh sekejap. Ke kedai Jantan. Nak TERANGKAN HATI dengan api rokok. Rokok daun aku dah habis.”, Atok Seman berlalu dengan bersahaja sambil menggulum gusi tersenyum simpul.

"Perli aku lah tu!", kata Atok Dara pula kepada emak sambil menjuihkan bibirnya.


  1. model: Mohamad Nasrul Hakim. (junior maza)
  2. Jurugambar: maza



blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails