"Maza, emak sakit. Dah dekat seminggu tak dapat jalan. Ada kelenjar kat kaki emak ni ha." adu emak.
Seribu tamparan bergelodak membadai dada maza. Mahu sahaja maza berlari mendapatkan emak di kampung Kg. Sri Lukut, Mukim Kahang, Johor sekarang juga. Maza telupa jarak antara Kuala Lumpur dengan kampung tercinta hampir 600 kilometer.
"Jangan tergesa-gesa. Mak ok. Kalau kau balik, pandu perlahan-lahan. Jangan sampai apa yang kau kejar menjadi sia-sia. Kau pulak yang kemalangan"
Sepantas itu juga emak dapat menghidu kegelisahan maza. Anaknya yang seorang ini mulai bimbang tidak tentu hala.
"Mak boleh cakap lagi ni ha. Esok ajelah kau balik. Rasanya malam karang emak sihat. Sakit di kaki rasanya semakin kurang."
Esoknya setelah matahari terbit sehasta di timur, maza mengorak langkah. Isteri dan anak-anak ditinggalkan di rumah. Lagipun isteri sedang sarat mengandung anak ketiga kami.
Cik Silvy digerakkan di pagi hening itu. Matahari nampaknya galak memanah sinarannya. Mudah-mudahan tidak hujan dan tiada pula halangan di dalam perjalanan.
Cik Silvy dipacu dengan laju meninggalkan Kuala Lumpur menghala ke Johor. Hati masih juga tidak mahu tenang. Dada masih juga tidak mahu reda.
Hari semakin meninggi lalu singgah di hentian R&R Yong Peng. Di sana maza menyerah diri kepada Tuhan Rabul Alamin. Mendaftarkan diri bahawa maza masih tetap hamba-Nya.
Solat zuhur didirikan setelah solat Jumaat terpaksa ditinggalkan. Lagipun musafir ini perlu segera mengadap bonda tercinta.
Dalam solat itu rasa sebak tidak dapat dibendung lagi. Hiba, sayu dan bimbang mula menyerang. Dada terasa sesak, dihimpit sempit. Perasaan gundah datang menyerang silih berganti.
Sedih mula menghuni di kalbu. Air mata mula bergenang. "Ibu tunggulah daku pulang ke kaki mu! Izinkan aku berbakti padamu lagi. Ya Allah!".
Maza hanyut dalam doa yang penuh syahdu di bawah terik matahari. Di pondok itu maza bersimpuh sendirian. Membelai perasaan membawa pergi mengadap Rabul Izatti. Mohon perlindungan, keselamatan dan kesihatan sempurna kepada ibu dan maza sekeluarga.
Manusia yang lalu lalang tidak dihiraukan. Setelah kekuatan mula terkumpul, maza mulakan lagi musafir ini. Kelana menuju ke pangkuan ibu, membawa bersama seribu doa harapan agar ibu selamat dan sihat!