‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 3 April 2009

Dahsyat, Gegar Gempita!

Acapkali kita melihat orang yang mengatakan; 'kini sudah tiba akhir zaman’, ‘dunia hendak kiamat’ dan ‘kiamat tidak lama lagi’, tetapi di dalam diri si pengungkap ataupun pendengar itu, kebanyakkannya terdapat sedikit sangat rasa keinsafan tentang apa yang diungkapkan tadi. Bahkan ramai kalangan manusia itu tidak terdetik langsung rasa gentar di hatinya.

Ianya berlaku mungkin disebabkan ‘titik-titik hitam’ sudah menebal di hati sanubari. Hingga soal kiamat, soal kebinasaan alam tidak bisa menjentik hati untuk merasa insaf dan ngeri.

Bahkan adakalanya pengungkap dan pendengar berlalu dengan lalai dan bersahaja pergi meninggalkan isu itu. Buat tak tahu!

Sebagai contoh, seorang gadis muda berpakaian tetapi berbogel. Perkara menjual maruah itu adalah sebuah modal kepada maksiat yang lebih BESAR dan sememangnya perbuatan itu di laknat oleh Tuhan.

Lalu mereka yang menyaksikan fenomena wanita berpakaian tetapi berbogel itu terus meletakkan kesalahan kepada perubahan zaman. Ungkapan yang biasa kita dengar ialah zaman sudah berubah, manusia akhir zaman dan ‘kiamat sudah dekat’.

Sungguhpun mereka mengatakan 'kiamat sudah dekat', namun bayangan usaha untuk berubah dan 'memperbaiki' keadaan hampir tidak ada langsung. Atau memang tidak ada!

Gerakan amal makruf nahi mungkar menjadi kaku dan gersang. Tiada perjuangan hendak tegakkan kebenaran. Lalu mereka itu jatuh longlai seolah tersngkur menyembah bumi dengan propaganda durjana berselindung disebalik demi mengangkat martabat kemanusiaan, dan demi keadilan sejagat.

Walhal sebahagian besar topik-topik kemanusiaan dan keadilan sejagat yang bertentangan menjadi insan kamil itu ialah ciptaan mereka berselindung di sebalik mencabar keEsaan Tuhan.

Mereka menciptakan alasan dan alternatif untuk mengaburi mata manusia lalu mengenepikan ajaran Tuhan.Tiada lain, melainkan mereka lakukannya itu dengan bertemankan hawa nafsu dan bisikan syaitan.

KIAMAT SUDAH DEKAT

Kiamat sudah dekat, tetapi tidak pula dilakukan pembaikan akhlak, ketawadukan dan ketakwaan kepada Tuhan.

Bahkan sebaliknya yang berlaku. Kemurnian akhlak dalam diri itu semakin terhakis dan adakalanya tidak ada. Apatah lagi jauh sekali untuk berdakwah kepada keluarga sendiri. Berdakwah ke tengah masyarakat dan penegak kebenaran di tengah penjenayah yang membawa onar.

Sebagai contoh, bertudung litup (sudah bagus dah) tetapi berseluar ketat dan terkinja-kinja, terlompat-lompat; lantas lupakan akhlak Islam. Lupa rasa malu.

Bahkan tempat dikunjungi itu pun tempat yang banyak fitnah, seperti di konsert-konsert, pertandingan nyanyian dan tempat pencampuran wanita dan lelaki yang terlalu bebas!
Apa yang dilakukan hanyalah sekadar keluhan yang tidak membawa makna besar kepada keimanan. "Ah, dunia sudah hampir kiamat".

Usaha dan kesedaran untuk berubah agar menjadi manusia baik, tidak ada. Malah tidak pun dilaksanakan.

Menyampaikan kebaikan turut tidak ada. Menegur perbuatan salah pun tidak ada. Jauh sekali untuk memberikan nasihat.

Bahkan penakut untuk menyatakan yang benar kerana dirasuahkan dengan suapan doktrin kononnya demi keadilan sejagat, demi kemanusiaan!

Sebaliknya dibiarkan perkara seumpama itu menular sehingga menenggelamkan kebenaran yang sepatutnya ‘si putih mengatasi si hitam’!

Kiamat bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan.


DAHSYAT

Sesungguhnya kiamat itu amat dahysat. Sebagaimana yang diceritakan oleh Allah SWT di dalam Surah Al Hajj : 1-4.

“Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari Kiamat itu suatu perkara yang amat besar.

Adalah hari kamu melihat peristiwa-peristiwa yang mengerikan itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandung; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat lagi mengerikan.

Dan ada di antara manusia yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan, dan ia menurut setiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan.

Yang telah ditetapkan kepada syaitan-syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka.”

(Contoh tauladan peristiwa yang dahsyat ini pernah kita saksikan ketika bencana Tsunami melanda Acheh pada 26hb Disember 2004. Peristiwa itu Allah SWT menunjukkan sedikit sahaja daripada kedahsyatan kiamat yang sebenar!)

Hakikatnya, tiada siapa yang mengetahui bilakah terjadinya kiamat. Tetapi, jika berlaku kiamat itu di waktu sekarang, pada kala ini! Ini menandakan kita berada di pintu kecurangan terhadap Tuhan. Sedangkan ketika itu jugalah pintu taubat sudah pun tertutup!

Ketika berlakunya kiamat, masa itu Allah SWT telah pun melaknat manusia hingga dibiarkan di dalam keadaan tanpa hidayah dan jauh sekali keberkatan.

Mereka yang dibiarkan oleh Tuhan menyaksikan kedahsyatan kiamat, kemudiannya merasai kiamat itu pula, adalah kalangan manusia yang telah tidak dapat rahmat Allah SWT lagi. Tidak buat selama-lamanya.

Manusia ini akan kekal di dalam Neraka Jahanam. Neraka yang paling bawah sekali. Seksaannya amat pedih dan penderitaan tidak putus-putus sepanjang masa.

Ketika hampir kiamat itu tiba (mungkin esok, setahun, seabad, atau sedekad lagi - tiada siapa yang tahu), segala ilmu yang dibekati dan hidayah diangkat pergi oleh Allah SWT. Ulama dan para wali dimatikan dan digantikan dengan si dungu. Kemudian si dungu ini diangkat pula oleh manusia untuk menjadi pemimpin mereka. Tetapi bukan si dungu ini yang akan membawa ke jalan kebenaran, bahkan si dungu ini sesat lagi menyesatkan.

Ketika itu umat manusia sudah hilang sistem kehidupan. Hilang rasa malu. Hidup dalam tungang-langgang.

Kala itu Islam menjadi janggal sebagaimana janggalnya Islam di tengah jahiliyah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW.

Amalan, perbuatan dan akhlak Islam yang sebenarnya diremehkan dan dipandang sepi bukan sahaja orang kafir, tetapi juga manusia yang mengaku Islam tetapi kafir!

Para isteri dan wanita pula menguasai dunia. Si suami diam menjadi bacul. Si suami atau isteri dan ayah atau ibu membiarkan sahaja maksiat berleluasa hingga ke liang ruang rumah, malah sehingga ke kamar tidur mereka.

Anak-anak jauh sekali mahu menghormati keluarganya. Penderhakaan, kezaliman berlaku di mana-mana.

Manusia amanah dan ikhlas terhadap Tuhan menjadi pupus.

Pendek kata, manusia menjadi keliru. Sistem sosiologinya hancur tidak terbangkit lagi. Mereka akan porak-peranda. Teraba-raba mencari sesuatu di dalam kegelapan tetapi tanpa cahaya hidayah Allah SWT.

Lantaran ketika itu tidak akan ada penyelamat lagi; baik di dunia mahupun di akhirat buat mereka. Tidak ada syafaat untuk manusia itu.

Tatkala itu, orang yang mengaku Islam hanya mengikut 'betul' pada pandangan ukuran majoriti. Mereka bertindak, berakhlak dan berkelakuan mengikut jaluran adat dan keredhaan majoriti umat. Bukan lagi mengikut syariat dan keredhaan Tuhan.

Mereka mementingkan suara majoriti daripada hakikat yang pernah Tuhan tunjukan melalui Al Quran dan As Sunnah Nabi.

Rasulullah SAW pernah bersabda ialah “Di akhir zaman kelak terdapat ramai bilangan Muslimin seumpama buih di tepian pantai. Tetapi sedikit sahaja bilangan mereka yang memasuki syurga. Yang benar-benar Islam hanya segelintir kecil dari mereka. Sebilangan besar dari mereka adalah mencari keredhaan sesama sendiri, bukan keredhaan Tuhan Aza Wajalla.”

Sehinggalah saat apabila Muslimin sejati, para wali, para ulama yang benar-benar mencari keredhaan Allah SWT di matikan dan diangkat semuanya dari dunia. Lantas tinggallah manusia-manusia yang sesat. Sesudah itu mereka akan diazab Allah SWT dengan dahsyat-sedahsyatnya!

Mereka yang tinggal lagi sesat itu akan dibiarkan bermaharajalela. Berbuat sesuka hati, sekehendak mereka. Mereka dibiarkan berkeadaan demikian sepuas-puasnya di dalam dunia ini. Walhal hidup di dunia ini hanya sedetik saat daripada tempoh kehidupan di hari akhirat.

“Katakanlah: Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, baik azab dunia atau azab kiamat, maka mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.”
(Surah Maryam : 75)

Semua ini berlaku kerana Allah SWT sudah tidak ambil peduli terhadap manusia mungkar yang tidak boleh diajar. Degil lagi zalim.

Barangkali Tuhan sudah bosan dengan tingkah angkuh, sombong dan bongkak manusia .

Lantaran itu, nantikanlah azab Allah SWT. Nantikan kedahsyatan yang akan menimpa ke atas kebejatan manusia. Iaitu kiamat.

“Sesungguhnya gempa hari Kiamat itu suatu perkara yang amat besar.

Adalah hari kamu melihat peristiwa-peristiwa yang mengerikan itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandung; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat lagi mengerikan.” (Surah Al Hajj : 1-2)

Mereka yang tergolong dalam golongan manusia yang ‘disampah sarapkan’ oleh Allah SWT ini tidak akan mendapat rahmat jauh sekali syafaat di hari akhirat.

Taubat mereka sudah tidak berguna! Sudah terlambat. Jadi rasakan seksaan yang pedih. Dan tiada siapa yang tertanggung untuk menyaksikannya. Apatah lagi mengalami dahsyatnya ketika mana sangka kala ditiupkan oleh Malaikat Israfil.

“Dan Kami akan menghalau orang yang bersalah ke Neraka Jahanam, dalam keadaan dahaga. Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya.” (Surah Maryam : 86-87)

Mahukah kita tergolong dalam golongan mereka itu? Adakah kita mempunyai niat hendak melihat kedahsyatan hari kiamat ini, lalu mencabar Allah SWT dengan perbuatan mungkar kita?

Iaitu melakukan kebejatan, kezaliman seperti berpakaian tetapi bogel, beriktikad di dalam hati bahawasanya Tuhan itu ada tetapi di dalam soal gerak geri perbuatan tampak menafikannya. Solat sehari semalaman tetapi hanya sia-sia, melakukan kebaikan tetapi tiada keikhlasan kepada-Nya. Menghakimi dengan tidak adil. Sombong dalam kebodohan, lagak tahu tapi fakir ilmu!

“Dan katakanlah: "Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir". Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.” (Surah Al Kahfi : 29)

Ayuh mulai dari sekarang kita usahakan. Usahakan agar kita menjadi manusia soleh.

Pastikan juga kita sentiasa menyampaikan dakwah. Menyintai kebaikan dan menyerukannya kepada manusia, jiran tetangga, anak, isteri dan alam semesta.

“Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut.”
( Surah Maryam : 72)

Berimanlah sebenar-benar iman dan bukannya iman taklik (iman yang menjadi ikut-ikutan sehaja, seperti beriman disebabkan keturunan, beriman disebabkan tinggal di dala negara Islam)

Bercakaplah dengan percakapan ilmu bukan seperti badut; memuatkan cerita lelucon dan bohongan untuk memenangi hati sesama manusia!

“Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran dalam bahasa Arab, dan Kami telah menerangkan dengan berulang kali di dalamnya sebahagian dari ancaman, agar mereka bertakwa atau (agar) Al-Quran itu menimbulkan pengajaran bagi mereka.” (Surah Taha : 113)

Marilah kita cari erti Muslimin yang sebenar iaitu meng-Esakan Tuhan, mengaku bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah SWT (meliputi rukun iman, Islam, dan kenal pada diri, kenal pada penciptanya) menyukai kebaikan dan mengamalkannya, membenci perkara mungkar dan mencegahnya, menyampaikan kebaikan (dakwah), berpesan-pesan ke jalan kebaikan dan kebenaran, sentiasa sabar dan bertakwa, juga menjadi manusia adil dan soleh!

“Dan mereka yang kafir menyembah yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong kepada mereka.

Tidak sekali-kali! Bahkan sembahan mereka itu akan mengingkari penyembahan mereka, dan akan menjadi musuh kepada mereka.

Tidakkah engkau ketahui bahawa Kami telah menghantar Syaitan-syaitan kepada orang kafir, untuk mengganggu mereka dengan sesungguhnya?” (Surah Maryam : 81- 83)

“Dan Allah akan menambah petunjuk bagi orang yang menurut jalan petunjuk; dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.”
(Surah Maryam : 76)

Mudah-mudahan kita tidak tergolong di antara orang-orang yang menyaksikan kiamat itu!

Ya Allah, selamatkanlah kami dari kedurjanaan dan kesyirikan. Jauhkanlah kami daripada kezaliman, menzalimi dan dizalimi. Dan kami mohon janganlah Kau golongkan kami dalam golongan mereka yang kau pertontonkan dan menjadi golongan yang menghadapi hari kiamat itu. Sesungguhnya kami bermohon perlindungan dari Mu. Dan Engkau tempat sebaik-baiknya kami berlindung. Ya Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang!

Tetapi jika anda memilih untuk tidak mahu mengubah kehidupan kepada tidak baik kepada baik, maka perhatikanlah ayat Al-Quran ini:-

“Maka janganlah engkau terhalang untuk menyampaikannya (seruan keimanan, kebinasaan dahsyat hari kiamat), disebabkan adanya manusia yang tidak mahu mempercainya (hari kiamat, yang (manusia itu) hanya mahu mengikut hawa nafsu.” (Surah Taha : 16).

Sesungguhnya anda sudah menjadi saksi ke atas apa yang maza sampaikan.

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails