Beberapa minggu sudah maza sempat pergi ke sana. Apa yang menarik ialah Labis menawarkan kolam air panas.
<<< (Gambar: Kolam Air Panas, Labis.)
Benar, bukanlah Labis satu-satunya yang mempunyai kolam air panas semulajadi di Malaysia, bahkan banyak lagi tempat lain yang menawarkan kolam air panas. Iaitu antaranya ialah seperti kolam air panas di Pedas Negeri Sembilan, Terolak Perak, Selayang Selangor dan Kuala Langat Selangor.
Cuma kebetulan maza singgah di kaki Gunung Ledang, Park 2, dan beremdam di situ. Selepas itu Pak Anjang membawa kami sekeluarga ke Hot Spring di Kampung Air Panas, Labis.
Kolam Air Panas, di Kampung Air Panas, Labis ini tempatnya terjaga dan bersih. Ada tandas lelaki dan wanita. Taman permainan dan rekreasi serta gerai untuk melepaskan dahaga.
Kolam ini berbumbung dan terdapat empat kolam utama. Kawasannya cukup cantik dihiasi dengan pokok bunga.
Oleh kerana ia bertutup umpama stadium kolam renang, jadi anda tidak perlu risau kalau dalam kehujanan. Malah jika anda sampai di tempat itu ketika waktu malam pun, anda masih boleh mandi di situ. Kolam air panas ini dilengkapi lampu limpah menerangi kawasan kolam dan sekitarnya. Apatah lagi jika anda sampai di tengahari, tentunya anda rasa cukup puas untuk berendam di situ (erk! ada ker orang nak beremdam air panas di tengahari ek?).
Surau yang besar dan selesa turut disediakan.
Kesemua kolam-kolam itu berbatu mamar berwarna biru. Kolam pertama tidak panas dan sengaja dibina airnya cangkat. Kolam ini biasanya dipenuhi anak-anak kecil sebesar tiga tahun hingga dua belas tahun. Tetapi adakalanya ia juga memuatkan kaum emak dan bapa yang gatal-gatal badan nak berlatih berenang di situ. Airnya tidak begitu panas. Sesuai dengan suhu untuk bayi yang comel.
Kolam kedua pula agak dalam. Di sini airnya mulai terasa panas. Kalau direndamkan telur tidak sampai lima minit ia akan masak. Namun kalau manusia berendam, masih belum lagi berubah menjadi hangit lalu boleh dimakan.
Kolam kedua ini cukup luas dan kita boleh berenang-renang di dalamnya. Kebiasaannya pengunjung rajin merendamkan kaki mereka di situ sambil bermain-main air. Ramai pengunjung mengambil bahagian untuk bermandi di situ dengan berendam sakan. (Ahaks! Kadang-kadang seperti hippo (badak air) pun ada.)
Kolam ketiga terletak bersebelahan kolam pertama dan kedua. Airnya mampu memasakan telur kurang daripada tiga minit (awas untuk lelaki! Hanya lelaki sejati mampu berendam di dalamnya).
Hanya mereka berhati teguh dan merasakan tak cukup panas berenang di situ. Sesetengahnya pula hanya mampu bergayung ke dalam baldi. Setelah itu baru dicurahkan ke badan. Jarang sekali orang hendak ke sini. Wapnya jelas kelihatan dari jauh memenuhi permukaan air kolam itu.
Kolam utama pula terletak di tengah-tengah kolam pertama, kedua dan ketiga. Jika ada manusia berani masuk ke dalamnya, kalau tidak cukup ilmu maka bersiap sedialah bersama-sama kain kafan dan keranda!
Kolam utama ini dipagar dan tidak dibenarkan sesiapa memasukinya.Untuk masuk ke kolam Air Panas, Labis ini, anda dikenakan tiket. Tak mahal. Tapi kalau pergi seramai seratus orang dan anda tanggung seorang-seorang, senak jugalah ibu jari kaki dan berpinar-pinar dompet dibalik bontot itu!
Tetapi tidak mengapa. Sengal itu akan segera hilang apabila direndamkan kaki ke dalam air kolam panas tersebut.
KHASIAT
Di kolam air panas ini mengandungi sulfur atau belerang, kalsium dan beberapa lagi garam galian yang berguna. Air paling panas pernah direkodkan ialah 50 darjah celcius. Kandungannya terkawal secara semula jadi.
Kata orang ia mampu menjadi penawar kepada sakit-sakit lenguh, sengal, hilangkan stress, demam ringan.
Ada sesetengah yang kritikal mendakwa elok untuk pesakit lumpuh dan sengugut. Air yang panas secara semulajadi mampu merangsangkan semula sistem saraf. Apatah lagi ramuan dan kandungan air tersebut cukup unik.
Selain itu, pesakit kulit seperti panau, kanser kulit, kayap dan kurap boleh dirawati dengan berendam di dalam kolam ini. (psst: ini yang lemah sikit ni bila nak mandi sama. Huhuhu).
Apatah lagi ia berguna juga untuk rawatan kecantikan. Jadi mak andam tidak perlu susah-susah hendak menjerangkan air untuk mandikan bakal pengantin. Cukup sekadar memaksa mereka berendam ke dalam kolam air panas ini. (hmm... best juga kalau dapat tengok bakal pengantin ini berendam kat sini, kan?)
Pendek kata, apa yang paling menyeronokkan ialah kita tidak perlu membayar harga yang mahal-mahal untuk mendapakan perkhidmatan jakuzi dan sauna. Harga yang berpuluh-puluh ringgit malah beratus-ratus itu dapat dijimatkan dengan pergi ke kolam air panas ini.
Sekiranya merasakan perlu tukang urut. Anda boleh menyewanya dengan membawa sendiri tukang urut dari rumah ... (hat ini maza kurang maklum, kalau-kalau ada pengamal urutan di kolam berkenaan).
Pinggan ayan: banyak lagi tempat-tempat menarik di Malaysia ini. Kadang-kala kita tidak perasan bahawa tempat itu hanyalah terletak di sebelah rumah. Jadi rajin-rajinlah ZOOM MALAYSIA!
heheheheh