‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 29 April 2009

Serba Salah Dan Celaru Fikiran


Add Image

Di atas sofa maza duduk sendirian. Termenung.


Sekali sekala memandang sekeliling ruang pejabat. Ruang penyambut tetamu itu tidak begitu luas. Ia cukup untuk memuatkan set sofa 3+2+1.


Beberapa dekorasi menghiasi ruang itu. Peta dunia yang besar gedabak dan potret pemandangan gunung di Pakistan terlekat di dinding.


Maza rasa amat bersalah. Dia tidak tenang. Fikirannya berkecamuk. Rungsing.


"Haruskah aku bagi tahu boss atau tidak? Kalau tak bagi tahu, ah! Dosa ini sentiasa mencengkam jiwa!"


Maza dapat rasakan begitu payah menjadi pekerja amanah. Pekerja yang bertanggungjawab.


Tetapi dia juga sudah berjanji di dalam diri. Dia mahu menjadi pekerja yang jujur. Jujur pada diri, jujur pada Ilahi.

Bulan sudah maza berazam hendak menjadi pekerja contoh penuh dedikasi.


Dia mahu memperoleh keredhaan majikan, teman sekerja dan masyarakat. Jauh di sudut hatinya dia menagih keredhaan Tuhan.


Hujung minggu lalu, Sabtu dan Ahad dia datang bekerja di pejabat ini. Hanya mesin perakam waktu menjadi saksi kehadirannya di situ. Pekerja-pekerja lain sedang enak diulit keluarga masing-masing.


Pintu pejabat tiba-tiba terbuka. En. Salam masuk meluru ke biliknya, bilik Pengarah Urusan.


Sebaik terlihatkan En. Salam, Maza terus berdiri tanda hormat. Setelah susuk tubuh En. Salam menghilang, maza terus lagi mundar mandir di situ.


“Baiklah. Aku kena teguhkan iman. Aku kena report pada boss. Biarlah, orang lain kata. Biarlah si Ahmad itu rasakan 'penangan' ini.”


Sambil menggenggam azam yang kuat itu, maza melangkah menuju ke bilik Pengarah Urusan. Pintu diketuk, suara En. Salam menyahut menyuruh Maza masuk.


“Ya, Maza. Apa yang boleh saya bantu?”


Tanpa disuruh, maza terus duduk mengadap En. Salam.


“Begini boss. Saya rasa serba salah pulak. Nak cakap salah, tak cakap pun salah. Nak luah mati emak, nak telan mati bapa. Kalau saya report takut nanti hubungan dalam pejabat ini menjadi tidak akrab dan selancar dahulu”


“Eh! Macam serius sahaja bunyinya?” En. Salam mulai memberikan perhatian sepenuhnya. Kertas dan fail yang dibaca tadi telah diketepikan. Perasaan tak endah sudah bertukar kepada perasaan ingin tahu.


“Jangan takut maza. Laporkan sahajalah. Kalau ada orang yang bersalah atau sesuatu tidak kena tentu kita akan ambil tindakan susulan. Hmm! Apa yang boleh saya bantu?”


“Begini boss. Ingat tak minggu lepas. Kita ada satu shipment yang perlu diselesaikan. Ketika itu ada masalah dengan Kastam dan barang kita tidak dapat boarding.”


“Eh! Ya ke? Saya tak tahu pun kes ini! Jadi macam mana sekarang ni?” En. Salam mulai gabra. Nilai dagangan kali ini bukan sedikit. Berjuta-juta nilainya.


“Boss jangan risau. Saya sudah uruskan segala-galanya.”


“Huh! ... Lega rasanya. Hmm ... Bagus!”, En. Salam merasa tenang kembali. Kemudian dia hendak menyambung kerjanya tertangguh tadi. Dia mula meletak dan menyelak beberap fail. Dia mulai buat tak endah terhadap pekerjanya yang duduk terconggok seorang diri di hadapannya.


“Erk! Kalau saya cakap sesuatu lagi, boleh ke boss?”


“Cakaplah”


“Erk! Begini boss. Boleh tak saya mintak duit overtime untuk dua hari itu. Sebabnya kalau ikutkan practise syarikat kita ini, bahkan tak pernah tercacat dalam contarct of employment saya tentang claim overtime.”


“Hehehehe.. Pasal itu rupanya. Nak minta duit overtime lah ni?”, En. Salam mulanya tersenyum.


Kemudian En. Salam kembali serius sambil menyambung kata-katanya.


“Memang dasar kita tidak ada overtime claim untuk staff di pejabat. Jadi, tak boleh ke awak niatkan sahaja sebagai kerja volunteer untuk syarikat. Lagipun syarikat tak berkira sangat dengan awak kan? Kerja di sini mengutamakan semangat kekeluargaan. Bertolak ansur sesama kita dan tolong menolong .Bukankah itu budaya kita? ... Bla bla bla bla ...”


Berpeluh juga maza di dalam bilik sejuk itu. Rasa nak pitam pun ada.


Akhir kalam, Selamat Hari Pekerja (1 Mei 2009)




Jumaat, 24 April 2009

Perjalanan Terhenti Lagi: Sg. Buluh

Usai wisata berkelana di Sg. Buluh, mat lan berhasrat untuk menyinggah ke teratak singgahsana istana maza.

Namun tidak sangka beberapa langkah dan belum pun pejap rangkakkan 'kuda-kuda' kesayangan kami berlari, mencelah-celah hambatan kura-kura; si kereta gemuk dan comel itu, tiba-tiba langit menangis.

Aduh! Semakin galak pula ia luruh membasahi bumi. Hingga menganggu pemandangan.

Jacket yang dipakai itu mulai tembus membasahi badan. Untuk mengelakkan tubuh menjadi sejuk, dingin membeku. Atau air hujan mulai merasap ke tubuh lalu menyebabkan jatuh sakit, kami membuat keputusan untuk berhenti berkelana seketika.

Jadi, maza dengan hati lara menyinggah untuk berteduh. Elok juga berbuat demikian. Jika diteruskan dalam keadaan jarak penglihatan semakin merosot, hujan semakin melebat, guruh berdentum galak, pastinya boleh membahayakan diri. Kemalangan tidak diduga, jangan diundang!

Tempat tidak seumpamanya menjadi pelindungan. Di bawah jambatan pintasan berhampiran hospital Sungai Buluh kami berhenti.

Hentian kami itu disambut dengan pandangan mata-mata tajam yang memandang kami. Mata-mata yang menikam itu kelihatan seperti kurang senang. Seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Mereka ialah mat dan minah motor. Mereka terlebih dahulu berlindung di situ. Kemudian bilangan motor kembali meningkat. Semakin ramai mencari suaka di bawah jambatan ini. Seorang demi seorang menyinggah.

Mereka sekali sekala menjeling. Maza dan mat lan merasa kurang selesa. Serba salah bila diperhatikan seperti itu.

"Kau tengok mamat itu. Dia tengok lain macam aje kat kita ni!", mat lan mula meluahkan rasanya.

"Mungkin mereka perli kita agaknya."


Hujan makin lebat. Hingga sampai ke suatu tahap air mulai membanjiri jalan. Ia membuatkan kami resah seketika.

Setengah jam kemudian bah kecil itu kembali surut, angin kencang sudah berkurangan menyapa pipi kami. Di luar sana masih renyai-renyai.

Melihatkan bahaya sudah menghilang, mat-mat motor mula ramai mengangkat punggung. Kami pun beredar dari situ.



Pinggan Ayan: Tulah masalahnya kalau dah nama naik motor. Tak kira besar atau kecil, pastinya menikus bila guruh berdentum, kilat menyimbah terang di langit gelap dan air hujan mula mencurah-curah.

Sungguhpun begitu, kepuasan berkelana dengan 'kuda' yang satu ini, sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.


wakakkaa



Selasa, 21 April 2009

Kisah Dapur: Soto


Sudah lama maza tidak bercerita kisah dapur. Hari ini maza akan bawakan anda kembali ke siri dapur maza. (heheheh)

Menu hari ini ialah soto.

Tetapi soto yang hendak diperkatakan ini bukanlah sebarangan soto. Terdapat banyak perbezaan antara soto yang biasa dihidangkan di Johor.

Pada pendapat maza, soto yang di luar daerah dari tempat negeri originalnya (Johor), telah mengalami proses evolusi yang terlalu ketara. Hingga adakalanya sukar dikenalpasti sama ada benarkah ia soto atau sup! hmmm!

Soto di Johor dihidangkan bersama sambal kicap. Di Selangor dan K.L pula ia dihidangkan bersama sambal hijau, atau sambal merah seperti di gambar di atas.

Kali ini, soto yang hendak dipaparkan ialah soto yang terdapat di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Ia berhampiran KLCC. Gerainya terletak di kawasan tengah di tingkat bawah Wisma Central itu.

Maaflah, maza terlupa nama kedai tersebut.

Lihatlah ke dalam mangkuk soto di dalam gambar di atas. Betapa meriahnya ia dengan aneka bahan dan rencah! Ada meat ball dan telur ayam juga.

Bagi mereka yang tidak biasa melihat soto seperti ini, pastinya mereka merasa sungguh pelik. Sungguhpun demikian, rasanya memang best! perkhhh.. melekat beb!

Menurut para pekerja pejabat yang biasa ke kedai itu, mereka kata soto inilah paling istimewa di sekitar K.L!

Jadi untuk memudahkan anda mencarinya, tanyakan sahaja kepada para pekerja di Wisma Central itu.


Selamat mencuba..

Jumaat, 17 April 2009

Jamban Besar


Selesai membasuh tangan dan membetulkan seluarnya, Roha keluar dari tandas di Perhentian Bas, Kluang.


Di luar tandas terdapat dua orang lelaki. Mereka masih muda belia lagi. Galaknya seperti anak-anak muda yang sedang 'meningkat naik'; nakal.


Mereka sedang berdiri di hadapan tandas lelaki itu yang letaknya bersetentangan dengan tandas wanita.


Roha berlalu dengan bersahaja. Tanpa ada sebarang rasa curiga.


“Perkh! Jamban dia besarlah! Puas hati beb! Mmmuahhh”, Roslan meluahkan perasaan ghairahnya sambil menarik muncung panjang.


“Ya lah, memang puas hati. Elok dijadikan contoh kat rumah ni”, Saidin mengiyakan pula.


Roha mulai perasan. Roha amat pasti dua orang pemuda itu sedang mengata perihalnya. Roha cuba tidak menghiraukan mereka. Roha berlalu dari situ. Dia sedaya mungkin mengawal emosi.


“Jambannya lebar, luas. Kalau aku dapat, mesti selesa habislah. Kata orang, mesti best tangkap leleh. Ajak tidur pun tak apa!”


“Kau tu memang macam tu! Pantang”


“Kah kah kah ... wa ka ka ka!”, mereka terus tertawa birah.


“Pang!”, satu penampar hinggap di muka Saidin. Birat pipinya. Terasa perit. Kepala Saidin hampir terpusing seratus lapan puluh darjah.


“Ini sebagai PENGAJARAN!!!. Lelaki GATAL!”, jerit Roha dengan bengis umpama singa betina sedang lapar. Roha tidak mempedulikan kesemua mata khalyak yang memacak kepada mereka. Di dalam hati Roha, budak-budak itu berkelakuan biadap dengan memperincikan perihal bontotnya.


Sekali lagi Roha mengangkat tinggi tangan. Dia mencari sasaran. Ya, Roslan ialah bakal penerima penampar yang ke seterusnya.


Tetapi Roslan sempat menutup muka. Lalu mengalihkan muka agar tidak terkena tempeleng gila tersebut.


“Eh! Kenapa ni?”, Saidin tertanya-tanya. Seolah-olah tidak tahu apakah dosa yang telah dilakukannya!


“Kau mengata aku ya? Lelaki hidung belang!”


“Mana pulak?”


“Tu kau kata pasal jamban tu!”


“Memang betul pun, apa!” Roslan cuba menegakkan kebenaran.


Dari pintu tandas, berlalu keluar beberapa pakcik dan seorang atok.


Seorang pakcik lalu berkata kepada temannya itu, “Memang besar jamban ni. Hebat. Bagus.”


“Betul tu. Aku pun suka juga. Jambannya bersih. Cantik”


Kata-kata itu menghangatkan lagi perasaan sakit hati Roha. Roha merasa terhina. Dia berasa malu diperlakukan seperti itu. Meradang. Mahu sahaja dia berubah menjadi raksaksa dan menelan semua lelaki-lelaki yang berkata demikian.


Atok pula menyampuk, “Jambannya cantik la. Berbaloi bayar dua puluh sen. Bagus. Macam ni barulah syabas untuk MDKU (Majlis Daerah Kluang Utara). Kalau dari dulu MDKU buat macam ini, aku rasa semua orang puas hati. Tak macam jamban lama tu. Dah lah sempit. Tak terurus. Busuk pulak tu.”


Roha tergamam. Kini Roha terkesima sendirian. Merah padam mukanya. Rupa bengis berubah menjadi kemerah-merahan. Bagaikan anak dara tersipu-sipu melihatkan bujangan idaman lalu di hadapan mata.


Rasa bersalah mulai menyelubungi Roha.


Rentetan peristiwa itu, sekarang Roha dan Saidin sudah mempunyai dua orang anak, hasil daripada perkongsian hidup mereka.


Kami terbahak-bahak mengenangkan kisah mereka bertemu jodoh itu. Lawatan sosial kali ini mengingatkan kami di waktu remaja dahulu.


Moral


Jadi, pesanan penaja terutama kepada Cinta (My KOBITO), Adilla, Mat Lan (Dafinka) – kalau sudah sampai jodoh macam-macam peristiwa boleh mengaitkan kita untuknya.



Pinggan ayan: Di Johor, masih ramai orang kampung gunakan perkataan jamban berbanding tandas. hehehhe




Jumaat, 10 April 2009

Nada Tak Sekata


Dahulu di Wìsma Putra, Putrajaya, mesin perakam memanggil nombor giliran itu melaungkan Bahasa Melayu.

Masih diingati lagi, bagaimana ketika itu pada detik sebelum, di awal dan di akhir hari kemerdekaan negara, pemimpin dan masyarakat Melayu sendiri kecoh dengan pembelaan Bahasa Melayu.

Penentan-penentang Melayan Union mahukan Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi. Datuk nenek moyang kita sanggup berkorban untuk memartabatkannya.

Hasil dokongan tersebut, diterjemahkan pula melalui kelahiran DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka), ditubuhkan di Johor pada 22 Jun 1956.

Ketika penentangan Malayan Union dan ketika era tahun 1970-an, kain rentang bersepah di sana sini. Menyatakan desakan agar Bahasa Melayu dijulang setinggi-tinggi selepas ia sekian berabad lamanya terjajah.

Arakian ia membawa wadah perjuangan parti-parti Melayu, mendokong cita-cita tinggi untuk mendaulatkan kembali bangsa, agama dan tanah air.

Di era 70-an pula, perjuangan memertabatkan Bahasa Melayu mencapai kemuncaknya.

Era akhir 70-an, hingga 90-an Bahasa Melayu diangkat dengan mewajibkan segala urusan di mana-mana jabatan kerajaan dibuat di dalam Bahasa Melayu.

Perkara ini benar-benar dilaksanakan. Bahasa Melayu kembali dipraktikan secara praktikal. Penggunaannya diperluaskan. Istilah-istilah baru dilahirkan. Lalu ia memperkayakan Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu berkembang maju. Penuturnya sudah tidak lagi merasakan sangsi atau berasa jatuh martabatnya.


Sementelah itu, UMNO mengambil inisiatif memperkasakan lagi Bahasa Melayu. Suara rakyat ahli UMNO telah memberikan mandat kepada pemimpinnya. Lalu mereka memperjuangkan penubuhan UKM yang menggunakan dan mengagungkan Bahasa Melayu dalam pengajaran, pembelajaran dan urusan mereka.

Akhirnya aspirasi rakyat dan negara dijulang melalui Bahasa Melayu dengan mengetengahkan ramai pakar-pakar dan jutera yang menggunakan bahasa pengantarannya ialah Bahasa Melayu.

Dalam masa sama, anak Melayu memperoleh peluang yang begitu luas untuk memajukan diri. Peluang untuk memperbaiki diri melalui sistem pendidikan tinggi menjadi besar.

Bertitik tolak dari situ, Melayu dan penuturnya mampu bernafas menjadi jaguh ekonomi, teknologi dan perkhidmatan.

Malah di era akhir 80-an, apabila negara memilih mengubah haluan daripada negawra pertanian kepada negara perindustrian. Dari itu bermulalah keterbukaan pintu Malaysia. Pelabur Luar Asing (FDI) mula masuk berdondong-dondong ke Malaysia. Ketika itu rakyat kita dan negara ini masih menajdikan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan ilmiah.

Bahasa Melayu digunakan sehari-harian tanpa ada rasa lelah atau lemah.

Papan-papan tanda dan iklan berdiri megah dengan ungkapan Melayu. Jawi pula disegarkan, tetapi tidaklah sesegan hari ini, hidup segan - berkubur tiada.

Malaysia pula terus mampan memacu ekonominya.

Tentang kemampuan dan kemahiran tenaga kerjanya yang sebati dengan Bahasa Melayu, telah tidak menghadapi masalah untuk membangun dan berkhidmatan dalam perindustrian.

Malah pelabur asing begitu senang dengan rakyat ini kerana keinginan, daya saing, daya belajar rakyat kita cukup tinggi! Mereka tidak menganggap pun Bahasa Melayu itu sebagai penghalang kemajuan modal dan perusahaan mereka. Tetapi mereka kagum dengan semangat dan roh rakyat Malaysia.

Malah pelabur asing menerimanya sebagai kepelbagaian dalam perusahaan MNC (Multi National Corporation). Ia dianggap seabgai sebatian dalam ragam kepelbagaian cabaran MNC.

Pernah mantan Perdana Menteri (Tun Mahathir) kita di Perhimpunan Agong UMNO, menyuarakan bahawa kemajuaan dan penjulangan bangsa (Towering Malay) mestilah mengikut acuan sendiri, dengan cara kita sendiri, kaedah kita sendiri. Barulah negara kita begitu pejap ampuh. Barulah negara kita mampu menjadi negara maju bersifat tuntas.

Di setengah tempat di bahagian dunia lain, bahkan di negara penjajah sibuk mempelajari kepelbagaian bahasa dan budaya dunia. Mereka rasa cukup bangga mempelajari dan mengetahui pelbagai bahasa ini.

Di Malaysia lain pula bunyinya. Merasa rendah diri dengan bahasa ibunda sendiri dan teringin benar hendak mengubahnya kepada bahasa berpiawaian dunia. Kononnya akan meningkatkan taraf dan martabat diri.

Kononnya juga biarlah dunia akan memandang Malaysia dengan rasa hormat, kagum dan berbudi perkerti. Di mana ketika itu rakyatnya begitu mahir mengalahkah sasterawan atau bangsa asal penutur Bahasa Inggeris itu.

Mungkin ada kebenarakan juga tuduhan sesetengah pihak terutam dari negeri seberang, bahawa Malaysia hanya mampu merampok dan menciplak harta warisan orang lain. Sebagai contoh warisan batik, sate, lagu rasa sayang - dari Indonesia.

Lalu mengetengahnya dan mempromosikannya ke seantero dunia. Walhal harta sendiri, warisan sendiri, jati diri, bahasa sendiri - tidak reti pula hendak dipromosikan di tengah gelanggang itu!

Bangsa maju hari ini ialah bangsa pencipta, bangsa inovasi. Mereka itu mempunyai jiwa yang besar dan jati diri yang tersendiri. Mereka tidak segan-segan melaungkan keperibadian mereka, bahasa mereka dan budaya mereka.

Bukannya dengan mengubah bahasa tuturan ibunda ini, menjadikan kita mampu dan ampuh menjadi bangsa kejuteraan, bangsa bercita-cita tinggi berdaya keupayaan yang menjulang kecemerlangan. Tetapi jiwa yang padu, disiplin juga tenaga ialah ramuan penentu pencapaian cita-cita besar itu.

Sebaliknya hati yang tidak cekal, jiwa yang rapuh, kecelaruan jati diri, itulah yang menjadi punca porak-peranda kepada bangsa, negara dan susun atur sosio masyarakat.


Hari ini Wisma Putra tidak melantangkan lagi lajah-lajah konotasi Melayu. Tetapi bahasa bekas penjajah itulah yang dilentingkan ke udara dengan latang dan berulang-ulang.

Pejabat kerajaan kita ini agaknya segan dengan bahasa Melayu dan terlupa pula dengan Artikal Perlembagaan 152.

Barangkali juga Wisma Putra bersama kuncu-kuncu agensi yang lain, sedang membina tapak. Menyediakan tapak awal untuk mempermudahkan anak-anak didikan PPSMI dari dasar Kementerian Pelajaran Malaysia untuk meluaskan peluang dan keterbukaan sains dan teknolog; matereial dan kebendaan semata. Lalu mereka sanggup merealisasikan bahasa Melayu dipinggir dan digantikan dengan bahasa asing yang ditanggapi lebih sempurna, bertaraf dunia. Kononnya bahasa penjajah itulah satu-satunya bahasa ilmu, bahasa teknologi, bahasa innovasi, bahasa perkhidmatan dan bahasa pentadbiran.

Usaha untuk memperkaya dan mempraktikan di agensi-agensi hak milik rakyat hampir dikikir habis oleh mereka yang juga dipanggil pembela bangsa. Walhal mereka tak ubah seperti pejuang jati diri yang segan dengan bahasa sendiri lantas menanggapi sepi.

Lantaran itu bertepuk tangganlah mereka yang menyokong bangsa bekas pejajah itu. Kerana hari ini, generasi ini sudah kembali memperbodohkan perjuangan datuk nenek mereka. Menjadikan perjuangan tokoh-tokoh perjuangan Melayu tampak kerja sia-sia dan tersilap langkah.

Betapa hari ini kita menyaksikan pemimpin kita mulai mengangkat pengakuan untuk menyokong dasar ganyang Bahasa Melayu!

Jadi ke manakah arah tujuan bahasa kita?!

Pinggan ayan: bahasa jiwa bangsa! Bahasa dan budaya berpisah tiada…. Hilang bahasa, hilanglah budaya dan hilanglah bangsa.. bangsa kosong tanpa identiti nyata! Samar….

Selasa, 7 April 2009

Kembara Jalanan: Zoom Malaysia – Labis.

Labis terletak di negeri selatan tanahair, Johor.

Beberapa minggu sudah maza sempat pergi ke sana. Apa yang menarik ialah Labis menawarkan kolam air panas.

<<< (Gambar: Kolam Air Panas, Labis.)

Benar, bukanlah Labis satu-satunya yang mempunyai kolam air panas semulajadi di Malaysia, bahkan banyak lagi tempat lain yang menawarkan kolam air panas. Iaitu antaranya ialah seperti kolam air panas di Pedas Negeri Sembilan, Terolak Perak, Selayang Selangor dan Kuala Langat Selangor.

Cuma kebetulan maza singgah di kaki Gunung Ledang, Park 2, dan beremdam di situ. Selepas itu Pak Anjang membawa kami sekeluarga ke Hot Spring di Kampung Air Panas, Labis.

Kolam Air Panas, di Kampung Air Panas, Labis ini tempatnya terjaga dan bersih. Ada tandas lelaki dan wanita. Taman permainan dan rekreasi serta gerai untuk melepaskan dahaga.

Kolam ini berbumbung dan terdapat empat kolam utama. Kawasannya cukup cantik dihiasi dengan pokok bunga.

Oleh kerana ia bertutup umpama stadium kolam renang, jadi anda tidak perlu risau kalau dalam kehujanan. Malah jika anda sampai di tempat itu ketika waktu malam pun, anda masih boleh mandi di situ. Kolam air panas ini dilengkapi lampu limpah menerangi kawasan kolam dan sekitarnya. Apatah lagi jika anda sampai di tengahari, tentunya anda rasa cukup puas untuk berendam di situ (erk! ada ker orang nak beremdam air panas di tengahari ek?).

Surau yang besar dan selesa turut disediakan.

Kesemua kolam-kolam itu berbatu mamar berwarna biru. Kolam pertama tidak panas dan sengaja dibina airnya cangkat. Kolam ini biasanya dipenuhi anak-anak kecil sebesar tiga tahun hingga dua belas tahun. Tetapi adakalanya ia juga memuatkan kaum emak dan bapa yang gatal-gatal badan nak berlatih berenang di situ. Airnya tidak begitu panas. Sesuai dengan suhu untuk bayi yang comel.

Kolam kedua pula agak dalam. Di sini airnya mulai terasa panas. Kalau direndamkan telur tidak sampai lima minit ia akan masak. Namun kalau manusia berendam, masih belum lagi berubah menjadi hangit lalu boleh dimakan.

Kolam kedua ini cukup luas dan kita boleh berenang-renang di dalamnya. Kebiasaannya pengunjung rajin merendamkan kaki mereka di situ sambil bermain-main air. Ramai pengunjung mengambil bahagian untuk bermandi di situ dengan berendam sakan. (Ahaks! Kadang-kadang seperti hippo (badak air) pun ada.)

Kolam ketiga terletak bersebelahan kolam pertama dan kedua. Airnya mampu memasakan telur kurang daripada tiga minit (awas untuk lelaki! Hanya lelaki sejati mampu berendam di dalamnya).

Hanya mereka berhati teguh dan merasakan tak cukup panas berenang di situ. Sesetengahnya pula hanya mampu bergayung ke dalam baldi. Setelah itu baru dicurahkan ke badan. Jarang sekali orang hendak ke sini. Wapnya jelas kelihatan dari jauh memenuhi permukaan air kolam itu.

Kolam utama pula terletak di tengah-tengah kolam pertama, kedua dan ketiga. Jika ada manusia berani masuk ke dalamnya, kalau tidak cukup ilmu maka bersiap sedialah bersama-sama kain kafan dan keranda!

Kolam utama ini dipagar dan tidak dibenarkan sesiapa memasukinya.Untuk masuk ke kolam Air Panas, Labis ini, anda dikenakan tiket. Tak mahal. Tapi kalau pergi seramai seratus orang dan anda tanggung seorang-seorang, senak jugalah ibu jari kaki dan berpinar-pinar dompet dibalik bontot itu!

Tetapi tidak mengapa. Sengal itu akan segera hilang apabila direndamkan kaki ke dalam air kolam panas tersebut.


KHASIAT

Di kolam air panas ini mengandungi sulfur atau belerang, kalsium dan beberapa lagi garam galian yang berguna. Air paling panas pernah direkodkan ialah 50 darjah celcius. Kandungannya terkawal secara semula jadi.

Kata orang ia mampu menjadi penawar kepada sakit-sakit lenguh, sengal, hilangkan stress, demam ringan.

Ada sesetengah yang kritikal mendakwa elok untuk pesakit lumpuh dan sengugut. Air yang panas secara semulajadi mampu merangsangkan semula sistem saraf. Apatah lagi ramuan dan kandungan air tersebut cukup unik.

Selain itu, pesakit kulit seperti panau, kanser kulit, kayap dan kurap boleh dirawati dengan berendam di dalam kolam ini. (psst: ini yang lemah sikit ni bila nak mandi sama. Huhuhu).

Apatah lagi ia berguna juga untuk rawatan kecantikan. Jadi mak andam tidak perlu susah-susah hendak menjerangkan air untuk mandikan bakal pengantin. Cukup sekadar memaksa mereka berendam ke dalam kolam air panas ini. (hmm... best juga kalau dapat tengok bakal pengantin ini berendam kat sini, kan?)

Pendek kata, apa yang paling menyeronokkan ialah kita tidak perlu membayar harga yang mahal-mahal untuk mendapakan perkhidmatan jakuzi dan sauna. Harga yang berpuluh-puluh ringgit malah beratus-ratus itu dapat dijimatkan dengan pergi ke kolam air panas ini.

Sekiranya merasakan perlu tukang urut. Anda boleh menyewanya dengan membawa sendiri tukang urut dari rumah ... (hat ini maza kurang maklum, kalau-kalau ada pengamal urutan di kolam berkenaan).


Pinggan ayan: banyak lagi tempat-tempat menarik di Malaysia ini. Kadang-kala kita tidak perasan bahawa tempat itu hanyalah terletak di sebelah rumah. Jadi rajin-rajinlah ZOOM MALAYSIA!

heheheheh

Jumaat, 3 April 2009

Dahsyat, Gegar Gempita!

Acapkali kita melihat orang yang mengatakan; 'kini sudah tiba akhir zaman’, ‘dunia hendak kiamat’ dan ‘kiamat tidak lama lagi’, tetapi di dalam diri si pengungkap ataupun pendengar itu, kebanyakkannya terdapat sedikit sangat rasa keinsafan tentang apa yang diungkapkan tadi. Bahkan ramai kalangan manusia itu tidak terdetik langsung rasa gentar di hatinya.

Ianya berlaku mungkin disebabkan ‘titik-titik hitam’ sudah menebal di hati sanubari. Hingga soal kiamat, soal kebinasaan alam tidak bisa menjentik hati untuk merasa insaf dan ngeri.

Bahkan adakalanya pengungkap dan pendengar berlalu dengan lalai dan bersahaja pergi meninggalkan isu itu. Buat tak tahu!

Sebagai contoh, seorang gadis muda berpakaian tetapi berbogel. Perkara menjual maruah itu adalah sebuah modal kepada maksiat yang lebih BESAR dan sememangnya perbuatan itu di laknat oleh Tuhan.

Lalu mereka yang menyaksikan fenomena wanita berpakaian tetapi berbogel itu terus meletakkan kesalahan kepada perubahan zaman. Ungkapan yang biasa kita dengar ialah zaman sudah berubah, manusia akhir zaman dan ‘kiamat sudah dekat’.

Sungguhpun mereka mengatakan 'kiamat sudah dekat', namun bayangan usaha untuk berubah dan 'memperbaiki' keadaan hampir tidak ada langsung. Atau memang tidak ada!

Gerakan amal makruf nahi mungkar menjadi kaku dan gersang. Tiada perjuangan hendak tegakkan kebenaran. Lalu mereka itu jatuh longlai seolah tersngkur menyembah bumi dengan propaganda durjana berselindung disebalik demi mengangkat martabat kemanusiaan, dan demi keadilan sejagat.

Walhal sebahagian besar topik-topik kemanusiaan dan keadilan sejagat yang bertentangan menjadi insan kamil itu ialah ciptaan mereka berselindung di sebalik mencabar keEsaan Tuhan.

Mereka menciptakan alasan dan alternatif untuk mengaburi mata manusia lalu mengenepikan ajaran Tuhan.Tiada lain, melainkan mereka lakukannya itu dengan bertemankan hawa nafsu dan bisikan syaitan.

KIAMAT SUDAH DEKAT

Kiamat sudah dekat, tetapi tidak pula dilakukan pembaikan akhlak, ketawadukan dan ketakwaan kepada Tuhan.

Bahkan sebaliknya yang berlaku. Kemurnian akhlak dalam diri itu semakin terhakis dan adakalanya tidak ada. Apatah lagi jauh sekali untuk berdakwah kepada keluarga sendiri. Berdakwah ke tengah masyarakat dan penegak kebenaran di tengah penjenayah yang membawa onar.

Sebagai contoh, bertudung litup (sudah bagus dah) tetapi berseluar ketat dan terkinja-kinja, terlompat-lompat; lantas lupakan akhlak Islam. Lupa rasa malu.

Bahkan tempat dikunjungi itu pun tempat yang banyak fitnah, seperti di konsert-konsert, pertandingan nyanyian dan tempat pencampuran wanita dan lelaki yang terlalu bebas!
Apa yang dilakukan hanyalah sekadar keluhan yang tidak membawa makna besar kepada keimanan. "Ah, dunia sudah hampir kiamat".

Usaha dan kesedaran untuk berubah agar menjadi manusia baik, tidak ada. Malah tidak pun dilaksanakan.

Menyampaikan kebaikan turut tidak ada. Menegur perbuatan salah pun tidak ada. Jauh sekali untuk memberikan nasihat.

Bahkan penakut untuk menyatakan yang benar kerana dirasuahkan dengan suapan doktrin kononnya demi keadilan sejagat, demi kemanusiaan!

Sebaliknya dibiarkan perkara seumpama itu menular sehingga menenggelamkan kebenaran yang sepatutnya ‘si putih mengatasi si hitam’!

Kiamat bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan.


DAHSYAT

Sesungguhnya kiamat itu amat dahysat. Sebagaimana yang diceritakan oleh Allah SWT di dalam Surah Al Hajj : 1-4.

“Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari Kiamat itu suatu perkara yang amat besar.

Adalah hari kamu melihat peristiwa-peristiwa yang mengerikan itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandung; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat lagi mengerikan.

Dan ada di antara manusia yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan, dan ia menurut setiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan.

Yang telah ditetapkan kepada syaitan-syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka.”

(Contoh tauladan peristiwa yang dahsyat ini pernah kita saksikan ketika bencana Tsunami melanda Acheh pada 26hb Disember 2004. Peristiwa itu Allah SWT menunjukkan sedikit sahaja daripada kedahsyatan kiamat yang sebenar!)

Hakikatnya, tiada siapa yang mengetahui bilakah terjadinya kiamat. Tetapi, jika berlaku kiamat itu di waktu sekarang, pada kala ini! Ini menandakan kita berada di pintu kecurangan terhadap Tuhan. Sedangkan ketika itu jugalah pintu taubat sudah pun tertutup!

Ketika berlakunya kiamat, masa itu Allah SWT telah pun melaknat manusia hingga dibiarkan di dalam keadaan tanpa hidayah dan jauh sekali keberkatan.

Mereka yang dibiarkan oleh Tuhan menyaksikan kedahsyatan kiamat, kemudiannya merasai kiamat itu pula, adalah kalangan manusia yang telah tidak dapat rahmat Allah SWT lagi. Tidak buat selama-lamanya.

Manusia ini akan kekal di dalam Neraka Jahanam. Neraka yang paling bawah sekali. Seksaannya amat pedih dan penderitaan tidak putus-putus sepanjang masa.

Ketika hampir kiamat itu tiba (mungkin esok, setahun, seabad, atau sedekad lagi - tiada siapa yang tahu), segala ilmu yang dibekati dan hidayah diangkat pergi oleh Allah SWT. Ulama dan para wali dimatikan dan digantikan dengan si dungu. Kemudian si dungu ini diangkat pula oleh manusia untuk menjadi pemimpin mereka. Tetapi bukan si dungu ini yang akan membawa ke jalan kebenaran, bahkan si dungu ini sesat lagi menyesatkan.

Ketika itu umat manusia sudah hilang sistem kehidupan. Hilang rasa malu. Hidup dalam tungang-langgang.

Kala itu Islam menjadi janggal sebagaimana janggalnya Islam di tengah jahiliyah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW.

Amalan, perbuatan dan akhlak Islam yang sebenarnya diremehkan dan dipandang sepi bukan sahaja orang kafir, tetapi juga manusia yang mengaku Islam tetapi kafir!

Para isteri dan wanita pula menguasai dunia. Si suami diam menjadi bacul. Si suami atau isteri dan ayah atau ibu membiarkan sahaja maksiat berleluasa hingga ke liang ruang rumah, malah sehingga ke kamar tidur mereka.

Anak-anak jauh sekali mahu menghormati keluarganya. Penderhakaan, kezaliman berlaku di mana-mana.

Manusia amanah dan ikhlas terhadap Tuhan menjadi pupus.

Pendek kata, manusia menjadi keliru. Sistem sosiologinya hancur tidak terbangkit lagi. Mereka akan porak-peranda. Teraba-raba mencari sesuatu di dalam kegelapan tetapi tanpa cahaya hidayah Allah SWT.

Lantaran ketika itu tidak akan ada penyelamat lagi; baik di dunia mahupun di akhirat buat mereka. Tidak ada syafaat untuk manusia itu.

Tatkala itu, orang yang mengaku Islam hanya mengikut 'betul' pada pandangan ukuran majoriti. Mereka bertindak, berakhlak dan berkelakuan mengikut jaluran adat dan keredhaan majoriti umat. Bukan lagi mengikut syariat dan keredhaan Tuhan.

Mereka mementingkan suara majoriti daripada hakikat yang pernah Tuhan tunjukan melalui Al Quran dan As Sunnah Nabi.

Rasulullah SAW pernah bersabda ialah “Di akhir zaman kelak terdapat ramai bilangan Muslimin seumpama buih di tepian pantai. Tetapi sedikit sahaja bilangan mereka yang memasuki syurga. Yang benar-benar Islam hanya segelintir kecil dari mereka. Sebilangan besar dari mereka adalah mencari keredhaan sesama sendiri, bukan keredhaan Tuhan Aza Wajalla.”

Sehinggalah saat apabila Muslimin sejati, para wali, para ulama yang benar-benar mencari keredhaan Allah SWT di matikan dan diangkat semuanya dari dunia. Lantas tinggallah manusia-manusia yang sesat. Sesudah itu mereka akan diazab Allah SWT dengan dahsyat-sedahsyatnya!

Mereka yang tinggal lagi sesat itu akan dibiarkan bermaharajalela. Berbuat sesuka hati, sekehendak mereka. Mereka dibiarkan berkeadaan demikian sepuas-puasnya di dalam dunia ini. Walhal hidup di dunia ini hanya sedetik saat daripada tempoh kehidupan di hari akhirat.

“Katakanlah: Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, baik azab dunia atau azab kiamat, maka mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.”
(Surah Maryam : 75)

Semua ini berlaku kerana Allah SWT sudah tidak ambil peduli terhadap manusia mungkar yang tidak boleh diajar. Degil lagi zalim.

Barangkali Tuhan sudah bosan dengan tingkah angkuh, sombong dan bongkak manusia .

Lantaran itu, nantikanlah azab Allah SWT. Nantikan kedahsyatan yang akan menimpa ke atas kebejatan manusia. Iaitu kiamat.

“Sesungguhnya gempa hari Kiamat itu suatu perkara yang amat besar.

Adalah hari kamu melihat peristiwa-peristiwa yang mengerikan itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandung; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat lagi mengerikan.” (Surah Al Hajj : 1-2)

Mereka yang tergolong dalam golongan manusia yang ‘disampah sarapkan’ oleh Allah SWT ini tidak akan mendapat rahmat jauh sekali syafaat di hari akhirat.

Taubat mereka sudah tidak berguna! Sudah terlambat. Jadi rasakan seksaan yang pedih. Dan tiada siapa yang tertanggung untuk menyaksikannya. Apatah lagi mengalami dahsyatnya ketika mana sangka kala ditiupkan oleh Malaikat Israfil.

“Dan Kami akan menghalau orang yang bersalah ke Neraka Jahanam, dalam keadaan dahaga. Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya.” (Surah Maryam : 86-87)

Mahukah kita tergolong dalam golongan mereka itu? Adakah kita mempunyai niat hendak melihat kedahsyatan hari kiamat ini, lalu mencabar Allah SWT dengan perbuatan mungkar kita?

Iaitu melakukan kebejatan, kezaliman seperti berpakaian tetapi bogel, beriktikad di dalam hati bahawasanya Tuhan itu ada tetapi di dalam soal gerak geri perbuatan tampak menafikannya. Solat sehari semalaman tetapi hanya sia-sia, melakukan kebaikan tetapi tiada keikhlasan kepada-Nya. Menghakimi dengan tidak adil. Sombong dalam kebodohan, lagak tahu tapi fakir ilmu!

“Dan katakanlah: "Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir". Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.” (Surah Al Kahfi : 29)

Ayuh mulai dari sekarang kita usahakan. Usahakan agar kita menjadi manusia soleh.

Pastikan juga kita sentiasa menyampaikan dakwah. Menyintai kebaikan dan menyerukannya kepada manusia, jiran tetangga, anak, isteri dan alam semesta.

“Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut.”
( Surah Maryam : 72)

Berimanlah sebenar-benar iman dan bukannya iman taklik (iman yang menjadi ikut-ikutan sehaja, seperti beriman disebabkan keturunan, beriman disebabkan tinggal di dala negara Islam)

Bercakaplah dengan percakapan ilmu bukan seperti badut; memuatkan cerita lelucon dan bohongan untuk memenangi hati sesama manusia!

“Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran dalam bahasa Arab, dan Kami telah menerangkan dengan berulang kali di dalamnya sebahagian dari ancaman, agar mereka bertakwa atau (agar) Al-Quran itu menimbulkan pengajaran bagi mereka.” (Surah Taha : 113)

Marilah kita cari erti Muslimin yang sebenar iaitu meng-Esakan Tuhan, mengaku bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah SWT (meliputi rukun iman, Islam, dan kenal pada diri, kenal pada penciptanya) menyukai kebaikan dan mengamalkannya, membenci perkara mungkar dan mencegahnya, menyampaikan kebaikan (dakwah), berpesan-pesan ke jalan kebaikan dan kebenaran, sentiasa sabar dan bertakwa, juga menjadi manusia adil dan soleh!

“Dan mereka yang kafir menyembah yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong kepada mereka.

Tidak sekali-kali! Bahkan sembahan mereka itu akan mengingkari penyembahan mereka, dan akan menjadi musuh kepada mereka.

Tidakkah engkau ketahui bahawa Kami telah menghantar Syaitan-syaitan kepada orang kafir, untuk mengganggu mereka dengan sesungguhnya?” (Surah Maryam : 81- 83)

“Dan Allah akan menambah petunjuk bagi orang yang menurut jalan petunjuk; dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.”
(Surah Maryam : 76)

Mudah-mudahan kita tidak tergolong di antara orang-orang yang menyaksikan kiamat itu!

Ya Allah, selamatkanlah kami dari kedurjanaan dan kesyirikan. Jauhkanlah kami daripada kezaliman, menzalimi dan dizalimi. Dan kami mohon janganlah Kau golongkan kami dalam golongan mereka yang kau pertontonkan dan menjadi golongan yang menghadapi hari kiamat itu. Sesungguhnya kami bermohon perlindungan dari Mu. Dan Engkau tempat sebaik-baiknya kami berlindung. Ya Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang!

Tetapi jika anda memilih untuk tidak mahu mengubah kehidupan kepada tidak baik kepada baik, maka perhatikanlah ayat Al-Quran ini:-

“Maka janganlah engkau terhalang untuk menyampaikannya (seruan keimanan, kebinasaan dahsyat hari kiamat), disebabkan adanya manusia yang tidak mahu mempercainya (hari kiamat, yang (manusia itu) hanya mahu mengikut hawa nafsu.” (Surah Taha : 16).

Sesungguhnya anda sudah menjadi saksi ke atas apa yang maza sampaikan.

Rabu, 1 April 2009

Dua Pasang Mata Merah Menyala Menerpa

Bluetine TV3 telah berjaya mengingatkan maza kembali tentang “Earth Hour – 60 minute Save The World”.


Penyampai berita sedang membuat kiraan mengundur (count down). “Tinggal beberapa saat lagi untuk kita sama-sama menyokong dan memberikan komitmen kita untuk kempen selamatkan dunia daripada pemanasan global kesan rumah kaca! ... Empat. Tiga. Dua. Satu! ... Hari ini penuh sejarah ... bla, bla, bla..”


Maza berebut ke kotak peti suis utama. Seusai pengiran itu juga maza terus menekan suis utama tersebut.


“Pap!”, sekali sentuh semua lampu dan plak di dalam rumah padam!


Maza sungguh bangga. Kalau tidak dapat mengambil bahagian besar-besaran, sumbangan kecil ini juga diharapkan memberi makna.


“Ah! Gelap gelita selama satu jam dari jam 8.30 malam hingga jam 9.30 malam pada 28 Mac 2009. Setakat itu sahaja. Aku boleh lakukan!”, getus hati maza penuh bersemangat sambil mengenggam tangan.


Tapi perasaan bangga segera lenyap sebaik muncul dua pasang mata merah menyala menerpa ke arah maza. Seperti bola api! Seiring dengan itu langkah kaki berderap merapati maza!


Perasaan bangga bertukar menjadi perasaan serba salah. Tetapi rasa bersalah paling banyak menyelubungi diri, disamping rasa takut yang tertahan-tahan.


“Ayah! Kenapa ayah padamkan lampu? Nasrun nak buat kerja kolah (sekolah)!”


“Ayah! Bukak lampu... Aniel takut. Ayah. Takut!”, seru Nasrun (lima tahun) dan Daniel (tiga tahun) serentak. Mata mereka merekah merah menahan marah sambil bercekak pingang.


“Angah (panggilan manja ibu mertua kepada ayah mertua maza)! Kenapo bergolap ni? Orang tongah mandi lah. Angah tak bayar bil api laie ko? Lupo laie lah tu .. pot pet pot pet… bla, bla, bla”, ibu mertua maza masih terkandas di bilik air sambil bersampu sakan.


Jadinya, kampen kali ini hanya sempat maza ikuti selama beberapa detik sahaja. Sambil garu kepala dan ternyata perancangan maza yang tersilap langkah, akhirnya ruang rumah diterangi semula setelah bergelap dua minit.


Diharapkan usaha maza ini mendapat pengiktirafan daripada penganjur kempen iaitu WWF. Lalu tergolonglah hendaknya maza dalam kalangan orang-orang yang komited untuk menyelamatkan dunia.



Pinggan ayan: orang rumah gelak sakan! huh!



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails