‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 26 Mac 2009

Usul Nasib Doktor dan Pesakit Kronik Ke Perhimpunan Agung Umno.

Secangkir air teh mula diteguk perlahan. Cangkir itu masih berwap. Aroma teh jelas dapat dihidu. Harumannya bisa membuat peminumnya ketagih. Mahu lagi dan lagi diteguk


Darwish dan Maza dua sahabat sedang asyik menikmati kenikmatan teh itu di kantin. Sesekali mereka cuba menghabiskan sarapan yang terhidang di hadapan mereka.



(Gambar: Diketip Secara Gelap)


Pemerhatian dua sahabat itu terpaku. Berteleku memandang dua orang gadis di suatu sudut menghampiri tingkap berkaca yang tingkapnya memanjang dari atas hingga ke bawah.


“Hmm, kau perasan tak apa yang aku perasan”, soal maza sambil matanya masih menikam ke arah gadis tersebut.


“Perempuan yang kat depan tu ke? Memang lawa. Aku rasa dia itu doktor lah.” Darwish membuat telahan.


Gadis tersebut berjubah putih labuh. Jubah yang selalu dilihat Darwish ketika membuat temujanji dengan doktor pakar di Putrajaya ini. Tetapi tidak pasti dari klinik mana satu. Hospital Putrajaya ini menawarkan perkhidmatan doktor pakar. Jadinya di sini para doktor mempunyai ruangan dan klinik sendiri.



(Gambar: Bakal Doktor)


“Bukan itu aje. Kau perasan tak, di hospital ini, aku tengok doktor dan kakitangannya semua lawa-lawa belaka? Kita sedang dikelilingi oleh bidadari.”


“Eh! Ya la. Baru aku perasan. Patut la aku suka sangat ke sini. Nurse dah lah lawa. Doktor lagi lah cantik. hehehehe”


“Hah, jangan kau fikir bukan-bukan. Jangan kau mengatal lak. Kau tau tak, apa sebenarnya yang aku nak sampaikan?”


“Apa dia?”


“Aku ingat sempena perhimpunan Agung Umno kali ini, aku nak cadangkan kat Presiden baru parti nanti, agar calon-calon doktor juga mesti berpersonaliti tinggi dan perwarakan cun. Kalau boleh muka masing-masing macam model-model belaka.


Kemudian doktor-doktor yang cun ini kita supplykan kat hospital-hospital seluruh negara. Janganlah dia orang yang cun melucun ini diperapkan kat hospital-hospital elite aje. Hospital lain dan pesakit lain pun nak jugak!”


“Uiks! Bagus tu! Brilliant, kau memang brilliant. Lagipun aku rasalah. Kecunan doktor perempuan yang merawat kita pun satu TERAPI jugak tau.


Baik-baik penyakit didertai tak tertanggung, tiba-tiba dengan senyuman manis doktor tu, terus hilang rasa sakit. hehehhe”, Darwish merenung gadis tadi dengan penuh minat.


“Ah! Kau pun brillliant jugak ... hehehhe ... Kalau tukang rawat kita tu muka macam Mak Lampir jawabnya kosonglah hospital ni. Tak ada siapa berebut-rebut nak datang merawat sakit kat sini.”


(Gambar: Mak Lampir Dalam Siri Cerita Takut di RCTI (TV Indonesia lah))


“Fuh! Menakut kan ... Kalau macam tu, aku lagi rela merawat sakit sendiri kat rumah! Mengadap Puan Zaleha Gelembung ... Hahahahha”


Akhirnya tawa kami terlerai juga.


Zaleha Gelembung ialah isteri Darwish yang sedang meningkat naik selepas melahirkan anak yang kedua.


Gadis itu akhirnya bangkit lalu meninggalkan meja sarapan mereka. Mereka kini menuju ke arah meja Darwish. Sebaik gadis itu melalui di sebelah Darwish, segera Darwish bangkit dan memperkenalkan diri.


(Gambar: Dr. (Pelatih) Sakirah Bergambar Kenangan)


“Doktor, boleh kita bergambar. Saya nak menulis di dalam blog tentang hospital ini dengan doktornya yang baik-baik belaka.”


“Eh! Kami bukan doktor. Kami pelatih di sini. Kawan saya ini juru terapi”, gadis bernama Sakirah itu menjawab seraya agak terperanjat dengan terjahan Darwish.


Maza yang ada disitu juga terkedu dan malu dibuatnya di atas perbuatan Darwish yang baru mencecah umur dewasa itu!


Tapi usaha Darwish tidak sia-sia. Akhirnya gambar tersebut dapat diketip dan anda sendiri saksikan.



Pinggan ayan: jangan ada pulak para isteri menghalang suami mereka pergi bertemu doktor wanita cun untuk dapatkan rawatan susulan selepas ini.....wakakakaka.




Isnin, 23 Mac 2009

Melihat Masa Hadapan

"Bang, kita ingatlah nak ambilkan insuran hospital dan nyawa untuk abang."

"Hmm ... kenapa pulak?"

"Abangkan dah ada penyakit. Kalau abang masuk hospital ... senang sikit kita. Kita tak payah risau nak cari duit banyak-banyak. Nak bayar bil-bil hospital tu. Abang cuma relaks aje."

Mata masih terpaku di atas jalan raya. Kenderaan lain saling berselisihan. Malam itu diterangi cahaya silauan kenderaan yang lalu lalang. Kami baru pulang dari Kolam Air Panas, Labis, Johor.

"Macam mana abang, boleh tak?"

"Ooo ... mentang-mentanglah abang tak ada banyak harta, gaji pun kecik, awal-awal lagi awak dah 'merancang' masa depan ya? Rupa-rupanya dah ada kaedah-kaedah untuk melepaskan diri. Awak tak nak tanggung abang, bila abang susah dengan harta-harta awak tu ya? ... Pandai awak ya. Bila abang dah terlantar kat hospital, duit abang pun dah tak ada, harta pun abang pun dah habis, jadi bil-bil hospital abang tu awak tak nak bayar dengan duit awak ya.. Ooo" mata mengerling ke cermin padang belakang, sambil tersenyum tanda berseloroh.

"Eh! Bukan macam tu la", isterinya cuba menafikan sambil membalas dengan senyuman.

"Atau bila abang tak ada lagi, boleh lah awak dapat duit insuran tu. Kemudian boleh lah awak joli katak, tak pun kahwin lain ya? Ooo"

"Eh! Betul juga cakap abang tu. Kita tak terfikir lak macam tu. Hmmm ... boleh lah kita joli sakan nanti. hehehhe."

" ... "

"Sebenarnya abang, keluarga kita ini belum ada simpanan yang betul-betul ok dan terjamin. Kalau kita masuk insuran, kita juga boleh dikira sebagai menyimpan dan melabur untuk faedah masa akan datang. Lagipun masuk insuran boleh dapat pelepasan cukai pendapatan abang itu. Kan lebih bermanfaat."

Pinggan ayan: Muktahir ini di dada-dada Harian Metro selalu melaporkan kejadian jenayah yang begitu kejam hingga meragut nyawa. Ragut dan bunuh. Rogol dan bunuh. Rompak dan bunuh. Bunuh tentulah bunuh....fuhh..





Khamis, 19 Mac 2009

Projek Terbengkalai

"Aku tengok banyak bangunan-bangunan terbengkalai."

"Betul tu. Tapi rasanya ini lumrah bila ekonomi meleset. Macam zaman sekarang."

"Hmm! Kau cuba tengok Plaza UE3, Plaza Phoenix, di Cheras. Di Johor pulak apa tah nama plaza tu ha, tertonggok di tengah-tengah jalan dari Johor Jaya ke Johor. Plaza Pelangi pun aku tengok makin kurang orang. Tak macam dulu-dulu. Aku rasalah, pihak pengurusan, tak pun kerajaan gagal merancang kot. Tak pun mereka tak fikir masak-masak sebelum buat."

Perbualan terus rancak sebaik Darus dan Budin meninggalkan Bandaraya Johor Baharu dan menghala ke Kota Tinggi.

"Hmm. Betul juga apa yang engkau cakapkan. Tapi ada plaza yang lagi teruk nasibnya. Dah siap dah, tapi tak ada orang nak menyinggah. Kali ini aku percaya, memang bukan salah kerajaan. Salah masyarakat. Masyarakat yang membazirkanya. Punyalah cantik, tersergam indah, dengan hiasan laksana singahsana, tapi tetap gagal menarik orang ramai ke situ. Nak kata jauh, tak lah pulak. Masalah lokasi, hmm biasanya terletak di tengah-tengah taman perumahan. Kadang-kadang plaza ni di tengah-tengah kampung."

"Eh! Kat kampung pun ada plaza? Biar betul?! Plaza yang mana pulak tu?"

"Tu ha!", Budin meluruskan jari telunjuknya ke salah sebuah masjid di Plentong, Johor.

"Masjid?!"

"Yalah. Masjid dan surau sebuah plaza jugak. Sebuah institusi. Masjid dan surau ialah bazaar untuk berurus niaga dengan Tuhan. Hari ini ramai dari kita hanya gemar pergi plaza-plaza macam Megamall, Plaza Berjaya Times Square, Tesco, Giant dan lain-lain. Tak kira musim. Meleset ke, tidak ke, dia orang nak juga pergi ke sana. Tapi bila ke masjid, ke surau... hmm? Kekadang harapkan aje masjid tersergam indah. Kemain lawa di puncak bukit. Canggih dengan macam-macam hiasan. Tapi bila solat lima waktu, nak dapatkan satu saf punyalah payah. Silap-silap haribulan yang tinggal berjamaah ialah imam dan tok bilal."

"Errkk... semalam aku ... errr ... ada hallah Bidin. Tu pasal aku tak pergi jamaah", Darus hilang punca.

Pinggan Ayan: Jom ke masjid!


`

Isnin, 16 Mac 2009

Bulan Membayar Cukai

Berpinar-pinar mata Ajis. Mesin kira di sisi ditekan-tekannya berulang kali. Hasilnya tetap sama. Komputer di hadapan habis digodek-godek. Ajis seolah-olah mengharapkan dapat jawapan apa yang dikehendakinya itu.

Kejap-kejap Ajis membesarkan anak matanya. Kejap-kejap kelopak mata terkelip-kelip. Selepas mengaru-garu kepala yang tidak gatal, dia mengeluh untuk kesekian kalinya.

Bulan ini bulan Mac. Penyata Pendaptan Tahunan telah dikeluarkan oleh pihak syarikat. Ini bermakna tidak lama lagi Ajis perlu menjalankan tangungjawab sebagai warga negara.

Sudah tiga tahun dia layak dikenakan Cukai Pendaptan.

Tetapi pendapatan Ajis tidaklah seberapa. Ajis bolehlah dikategorikan sebagai golongan berpendaptan sederhana. Cuma tahun ini dia memperoleh tiga bulan bonus walaupun ekonomi sekarang merundum.

Mengikut pengiraan secara sistem taksiran sendiri online, Ajis dikenakan cukai yang agak menyenakkan perutnya.

..............“Aderk! Matilah aku. Bonus dah habis. Kalau tidak kerana bini aku si Sofea Kembang tu beli kabinet baru, sofa baru, TV plasma baru, deposit rumah baru, cat kereta baru, anak baru ... mungkin duit masih berbaki untuk bayar cukai ini. Lambat bayar cukai karang kena denda, lagi haru. Aderk!”

“Tu lah abang! Masa ada duit hari tu tak nak beringat. Habis semua dibelanjakan. Berapa yang kena bayar tu abang?”

“Suku gaji bulan ini! ... Awak cakap bukan ke main sedap lagi. Yang mintak itu dan ini tu, siapa? Awak jugakan?! Kalau tak dibelikan nanti merajuk. Muka panjang. Ungkitnya berbulan-bulan. Saya juga yang merana. Terpaksa juga tidur kat luar, sejuk!”

.............“Uik! Lepas ni apa yang kita makan ni bang? Nak bayar hutang kereta lagi. Anak nak sekolah. Bas sekolah. Baju yang saya tempah tak bayar lagi. Duit kutu. Duit saham ... abang macam mana ni abang? Tak kan tak ada cara lain untuk kurangkan cukai tu?”

“Entahlah! Nanti aku tanya budak-budak pejabat. Tak pun tanya budak-budak kat blog ni ha. Kalau-kalau dia orang boleh tolong bagi jalan ke atau apa ke.”

Khamis, 12 Mac 2009

Nasrun Dipukul dan Ditumbuk



(Gambar: Nasrun & dongkey di Tesco, Mutiara Damansara)


Hatiku mengelegak. Marah. Muka berubah. Tidak senang duduk. Mata mulai merekah merah. Geram!!!

Nasrun dikerumuni beberapa orang budak yang hampir sebaya dengannya.

Si abang cuba menangkap Nasrun. Nasrun yang pepes seumpama papan lapis akhirnya tewas. Si abang mengilas kedua-dua belah tangan Nasrun ke belakang.

“Adik, cepat dik. Tanduk budak ni. Sondol perut dia!”, si abang itu menyuruh adiknya yang berusia sekitar tiga tahun melakukan kebejatan.

“Jangan, jangan! Jangan la! Sakit!” Nasrun meronta-ronta sambil memohon belas kasihan.

Si adik memasang kekuda. Dia melangkah jauh. Belari. Dengan kepalanya yang hampir botak, ditundukannya dan di hala ke perut Nasrun. Kemudian dia merodok-rodok perut Nasrun tanpa belas. “Dup, dup, dup!”

Nasrun menahan sakit sambil terkial-kial melepaskan diri.

Puas si adik merodok perut, abangnya pula mengambil giliran. Ditumbuk-tumbuknya Nasrun.

Nasrun tidak mampu mengelak. Mana hendak menahan senak di perut dan mana pula hendak mengelak tumbukan itu. Dada Nasrun dijadikan bidang menahan asakan pukulan bertalu-talu.

Lepas satu tumbukan ke satu tumbukan, si abang dan si adik bergilir-gilir menganugerahkan kesakitan.

Seorang budak yang lebih besar, berumur sekitar lapan tahun hanya bersorak besar. Kadang kala dia menampar kepala Nasrun. Budak-budak lain melompat-lompat tanda sokongan. Jauh sekali mereka hendak meleraikan atau menolong Nasrun.

Bapa budak ganas itu tidak jauh dari tempat Nasrun dilanyak. Tetapi dia buat endah dan tak endah sahaja.

Puas menumbuk akhirnya Nasrun ditolak. Nasrun jatuh terjelepuk ke atas tanah.

Gasakan yang bertalu-talu itu sedikit pun tidak menyebabkan Nasrun menangis. Mereka merasa kecewa. Ego si pelanyak bertambah tercabar!

“Hoi! Kau buat apa tu? Kau buli anak aku yea?”, aku mengherdik mereka.

Bapa budak ganas itu tidak jauh dari tempat Nasrun dilanyak. Tetapi dia buat endah dan tak endah sahaja.

Aku mengangkat Nasrun. Nasrun terhuyu-hayang bangkit

“Kawan jahat ayah. Kawan jahat”

“Kenapa Nasrun tak lawan balik? Dah jangan pergi ke kawan tu lagi”

“Ayah dia buat. Ayah dia buat. Dia tolak Nsrun. Hu hu hu huuu”, akhirnya berderai juga airmata Nasrun yang di dalam dakapanku.

Sayu hatiku melihatkan anak ku diperlakukan seperti itu.

Hendak sahaja aku tangankan mereka semua. Tetapi sebaik terkenangkan, hal ini hal budak-budak, aku tidak jadi masuk campur. Lagipun ketika ini ada majlis kenduri kahwin di rumah jiran di hujung sana. Tak elok rasanya mengeruhkan lagi keadaan.

Aku mengangkat Nasrun dan membersihkannya. Setelah itu aku bawa Nasrun ke dalam rumah. Tidak lama itu, Nasrun tertidur beralaskan lengan kananku sambil mengerang kesakitan sekali sekala.

Sambil berbaring itu aku mula memasang rancangan.

Perkara seumpama ini tidak patut berulang.

Aku perlu menanamkan semangat kepahlawanan di dalam diri Nasrun. Aku percaya, selepas itu tidak ada sesiapa pun dengan sewenang-wenangnya memperdaya dan membuli anak-anak aku.

Biar Nasrun berjiwa besar. Berjiwa hulubalang. Berjiwa pahlawan.

(Gambar: Nasrun di Amber, Genting Highland)


Keturunannya juga bukan calang-calang orang. Ayahku seorang pejuang kemerdekaan. Habis komunis yang mengganas di kampung ditebasnya.

Atukku pula sekian lama berkhidmat ke bawah Duli Baginda Almarhum Tuanku Sultan Johor. Moyangku juga bertaraf laksamana. Pakcik ku ada yang menjawat komando.

Jadi darah kesatriaan sudah sedia mengalir, cuma perlu diperasapkan sahaja.

“Nanti ayah ajarkan langkah ilmu silat, ya Nsrun”, aku mengusap-usap lembut rambut Nasrun.

Aku kembali berbaring. Lalu terkenangkan bagaimana pula aku hendak mengajarnya.

Atok Seman mengajar aku baru lima langkah. Selepas itu keesokan harinya dia jatuh sakit. Sakit yang dideritainya itulah telah membawanya ke Rahmatullah.

Ayahku pula hanya sempat menabur janji untuk menurunkan ilmu persilatan. Selepas itu dia turut mengikuti jejak Atok Seman.

Harapkan emak. Emak hanya tahu bersilat bersama kuali dan senduk di dapur.

Di tingkatan tiga aku belajar Taekwando. Baru tiga kali kelas dan hanya sempat mengambil uniformnya, aku sudah tidak boleh pergi ke kelas itu lagi. Kelas WTF (World Taekwando Federation) terpaksa dibatalkan disebabkan kekurangan pelajar.

Di tingkatan lima aku berpeluang sekali lagi. Kali ini belajar tomoi. Tetapi lain pula ceritanya. Kawan-kawan sepeguruanku tahu yang aku pernah belajar Taekwando. Lalu aku hanya dijadikan rakan gasak sahaja. Tentang langkah atau teknik ... hmm ... hanyut ... tercicir lagi!

Mereka tidak tahu yang aku hanya sempat belajar menangkis dan menumbuk angin sahaja. Tidak sempat merasa naik pangkat ke tali pingang kuning atau hijau. Tali pingang putih yang ku terima itu pun masih suci bersih tanpa ada sebarang kotoran.

Tetapi penghargaan ku terima melampaui batas. Setinggi pokok kelapa walhal aku tidak sebegitu. Sekali lagi kelas terpaksa dibatalkan disebabkan tok guru balik ke Kedah.

Kemudian bila umur mencecah dewasa sedikit, Abang Ghazali bersetuju menjadi guruku. Kali ini halangannya ialah lain yang diajar, lain pula jadinya.

Lagi pun kata Abang Ghazali, aku sebenarnya belum bersedia untuk bermain jurus lagi.

“Aduh! Takkan sampai sekarang masih tak boleh. Atau aku memang tidak berbakat dalam hal ini”, aku mengeluh di dalam hati.

Tidak lama selepas itu aku menyambung pelajaran ke IPT.

Jadi, bagaimana aku hendak ajarkan ilmu mempertahan diri kepada Nasrun?

Kalau ada pun mungkin ilmu melenyapkan diri. Itu pun ayah sempat sampaikan serba sedikit sebelum dia meninggal. Dan aku pula ingat-ingat lupa.

Kata ayah, langkahnya bermula dengan kuda-kuda mengundur ke belakang. Undur sehingga tidak tercapai tangan dan kaki mush. Kemudian mengundur lima tapak lagi. Selepas meninjau keadaan seketika undurlah sejauh mungkin.

Selepas itu buka sedikit kuda-kuda seperti tarian kuda kepang. Setelah itu angkat kaki kanan dan diikuti kaki kiri. Kemudian, apalagi! Berlarilah selaju yang mungkin. Insyallah kita dapat menyelamatkan nyawa banyak pihak!

Kalau beginilah keadaanya, terpaksalah aku pergi ke kelas seni pertahankan diri. Atau mungkin aku boleh sekelas dengan Nasrun.

(Gambar: Azmi Ibrahim ialah seorang guru silat Cekak Hanafi. Sekarang mengajar silat di UM)

(Gambar: Azmi Ibrahim ialah seorang guru silat Cekak Hanafi. Sekarang dia mengajar di UM)

Mahukah si Azmi bin Ibrahim itu menerima kawannya ini sebagai anak muridnya?

Akhirnya aku terlelap sendirian.

Esok aku terlupa hal ini. Sehinggalah baru-baru ini aku terdengar kes buli di sekolah yang semakin menjadi-jadi. Gerakan samseng sekolah sudah mula bermaharajalela. Mangsa buli ada yang sudah menghembuskan nafas terakhir.

Arghh!!! Mampukah anak-anak kita bertahan di asrama?!


Pingan Ayan:
Kes buli boleh juga berlaku ke atas anda dan anak-anak anda!
Apakah pandangan anda untuk mengatasi masalah ini?


Ahad, 8 Mac 2009

Hujan

Dsc00181
Semalam (24 April 2007, Selasa) aku diarahkan untuk pergi ke MPH di One Utama. Boss menyuruh aku membelikannya sebuah buku bertajuk Pra-U Kertas Bahasa Melayu 2 untuk anaknya Natasha. Buku itu diperlukan segera sebab Natasha akan pulang ke Australia tempat dia menyambung pelajaran. Natasha akan berangkat pada keesokkan harinya.

Setibanya aku di situ, aku pun terus masuk ke shopping kompleks One Utama. Ketika aku menunggang motor, aku dapat melihat dengan jelas hari sudah mendung. Langit mulai pekat menghitam. Aku tidak boleh berlengah lagi kalau tidak mahu terperangkap di dalam hujan. Hujan di KL tidak sama hujan di kampung dulu-dulu. Hujan di KL penuh dengan asid, silap hari bulan boleh kena demam dan kepanasan. Hujan di kampung dulu-dulu, main sepuas-puasnya sekalipun tidak memudharatkan tubuh. Paling teruk pun kesejukkan sahaja.

Kompleks beli belah One Utama sungguh besar, sugguh gah. Tempat aku mempakir motor dengan kedai MPH itu agak jauh. Tambahan pula aku tidak biasa dengan kompleks itu walaupun tempat tinggalku berhampiran dengannya. Aku hanya biasa dengan Tesco di seberang jalan sana yang tidak jauh dari pasaraya ini. Kalau tidak kerana isteriku hendak berbelanja di Tesco, jawabnya aku pun tak kenal Tesco itu apa.

Bermulalah aku menapak selangkah demi selangkah mencari letaknya MPH itu. Puas aku berjalan, namun tidak ku temui jua. Hampir setengah jam berlalu dan aku rasa dekat 3 batu aku berjalan barulah ku temuinya. Lantas aku membeli buku yang diarahkan dan berlalu dari situ dengan segera.

Nasib aku kurang baik, hampir sahaja aku tidak menemukan jalan keluar, sesat. Setibanya aku di luar, hujan sudah pun mencurah-curah. Lalu aku berkira untuk duduk sahaja di bangku yang telah disediakan di luar pasaraya itu.

Dsc00182Aku duduk termenung di situ menantikan hujan berhenti. Sungguh lebat ketika itu. Tempiasnya adakala menyapa pipiku. Aku biarkan sahaja, buat-buat tiada apa yang sedang berlaku.

Lalu tidak semena-mena ia mengingatkan aku di saat aku masih kecil lagi. Masa zaman sekolah rendah. Kalau tidak silap aku dalam usia 11-10 tahun. Nostalgia itu berlaku masa aku sekolah petang; sekolah agama. Di Johor ada dua sesi sekolah. Sesi sekolah pagi adalah sekolah rendah kebangsaan dan sesi petang pula sekolah agama kerajaan Johor. Kalau umur 11 tahun, sekolah agama pula kebiasaannya baru darjah 3.
Dsc00183
Hujan pada hari itu sungguh lebat. Jarak rumahku dengan sekolah agama ini jauhnya hampir 3 batu. Kira-kira kalau berjalan kaki mengambil masa hampir 45 minit . Masa tu aku tidak mempunyai basikal lagi. Aku hanya berjalan kaki. Begitulah rutinku sehari-hari.
Ketika itu musim tengkujuh. Kebetulan petang itu hujan turun dengan lebat, beserta guruh dan petir. Teman-teman yang lain sudah pulang awal, sama ada mereka menaiki basikal atau orang tua mereka ambil. Ada antara mereka pulang sebelum hujan turun lagi.
Aku terperangkap dalam hujan itu disebabkan lewat keluar dari bilik darjah. Apalagi kalau tidak kerana kena denda disebabkan tidak dapat menjawab soalan kuiz yang ustaz berikan, sudah pasti sudah lama aku balik.Tinggallah beberapa orang yang ada di situ menunggu hujan berhenti.

Petang itu hujan semakin menggila. Angin menderu-deru. Petir sambung menyambung. Sekolah pula tidak ada kemudahan elektrik, maka bergelaplah kami di situ nanti. Hari semakin malam, petang semakin menyingsing. Dsc00179Hujan mencurah-curah. Aku menjangkakan jam ketika itu hampir pukul tujuh. Aku mula menggigil. Kalau tadi menggigil kesejukan kerana kena tempias, tapi kali ini lain pula. Menggigil kerana mulai rasa ketakutan. Ustaz dan ustazah sudah lama pulang. Teman-teman yang ada tadi semakin berkurangan jumlahnya. Ada yang sanggup meredah hujan, ada pula yang ibunya datang menjemput.

Kini aku tinggal keseorangan. Hendak aku redah nanti emak marah, dituduhnya aku main hujan. Walhal minggu sudah aku puas bermain hujan dengan kawan-kawan. Hingga aku jatuh sakit. Dan sebagai imbuhan diatas keasyikan bermain itu, aku dianugerahkan tali pinggang dibadan oleh emak.

Emak pula hingga kini tak sampai-sampai untuk menjemputku. Agaknya dia sudah terlupa dengan anaknya ini yang tinggal menantikannya untuk diambil.
Aku menjadi serba salah. Kini senja mulai melabuhkan diri. Hujan masih belum reda lagi. Tidak ada nampak tanda untuk berhenti dengan serta merta. Aku terus menggigil. Apatah lagi terkenangkan tentang cerita hantu ribut yang emak dan atuk ceritakan tempoh hari. Hendak redah sudah terlambat. Jalan mungkin tidak kelihatan lagi. Kereta dihujung jalan sana, semuanya laju-laju. Aku pula tak nak lah menjadi penyumbang statistik anak kecil terbunuh di jalan raya di kampungku. Juga aku tidak mahu tubuhku menjadi ratahan hantu ribut itu.

Angin menderu-deru. Desirannya tidak henti-henti mengusap tubuh kecilku. Aku sekali lagi menggeletar kesejukan dan sudah pun hampir kebasahan. Emak masih tak muncul dengan motor buruknya. Dalam hati sudah berbakul-bakul bertasbih, bertahmid, termasuk jugak ler menyumpah seranah ustaz dan orang tuaku.

Sampai hati dia orang buat aku yang kerdil, tinggal di dalam keganasan ribut ini. Sampai hati mereka membiarkan aku keseorangan bergelap di kaki lima sekolah. Aku hanya mampu termenung, mengenangkan nasib seterusnya. Kalau aku redahkan juga, ada harapan semua kitab-kitab dan buku sekolah pagi akan basah. Yalah, lepas habis sekolah pagi terus sahaja pergi ke sekolah petang. Tidak balik rumah pun. Kalau balik buat penat badan dan sudah semestinya tidak sempat sampai sekolah petang tepat pada waktunya. Bekal memang aku bawa tiap-tiap hari. Adakalanya bekal lebih besar dari beg sekolah. Terkedek-kedek aku memikul tapaware bekal nasi dan air itu.

Dsc00181Aku merasakan jam sudah menunjukkan 8.00 malam. Hujan mulai reda. Sekali sekala langit dihiasai dengan cahaya kilat yang masih sambung menyambung. Bintang, usah dikira di dada langit, tak akan jumpa untuk dibilang. Bulan, sudah lama ditelan oleh awan yang kelam itu.

Keadaan sudah kembali tenang tetapi kelam berbalam bahkan semakin gelap gelita. Rintik-rintik hujan semakin reda menandakan penantianku hampir tamat.

Tetapi aku masih lagi terjelepuk di sisi kaki lima itu. Di tepi longkang yang mengalirkan air entah apa warnanya pun aku tidak tahu, tidak nampak kerana kelamnya malam. Aku semakin putus harapan. Emak dengan motor buruknya tetap tidak menampakkan bayang.

Aku mulai nekad. Aku tidak mahu terus berada di situ. Kalau tadi hantu ribut menghantui aku, kini hantu sekolah, hantu raya, hantu mak itam, hantu pucung, hantu kubur mulai bermain-main di depan kotak fikiranku. Manakan tidak, sebaik sahaja aku terpandangkan kilat-kilat yang menghiasi bidangnya langit itu, menyebabkan aku terbayangkan yang aku akan melalui kubur di depan Sekolah Rendah Kebangsaan nanti untuk kembali ke rumah. Suasana kubur disitu sudahlah suram. Bukan sahaja kubur orang Islam, tetapi di sebelahnya jirat cina juga perlu aku redah. Bagaimana aku hendak hadapi ini semua?!. Mahu sahaja aku terkencing-kencing nanti. Ah! sukar sungguh ujian kali ini.

"Sekarang! aku kena ambil keputusan nekad" kataku sendirian. Aku kena redah juga. Kalau tidak semakin berat risiko yang perlu aku hadapi nanti.

Dsc00182"Bismillah hirahman nirahimmmm, Allahhh huakabarrrr!!!!!" pekikku sambil memulakan langkah sumbang. Setelah dimulai dengan setapak dua; apa lagi akupun membuat langkah beribu, belari-lari ke tepi jalan besar sana yang sudah basah untuk terus menuju pulang ke rumah.

Di sepanjang jalan, mulut ku tidak henti-henti terkumat kamit membaca segala ayat, segala mentera yang ku ingat, habis semuanya aku bacakan. Susunan bacaan sudah tidakku hiraukan. Adakalanya bukan sahaja ayat suci al Quran yang dibaca, malah termasuk juga sifir 2, sifir 6, sifir 12, ilmu alam, sejarah, habis semua aku baca.

Hampir 10 minit aku berjalan. Aku mulai teraba-raba di tepi jalan besar bertar itu. Gelap gelita. Hanya sekali sekala aku bergerak melangkah dengan bantuan pantulan cahaya kilat di langit.
Bukan tidak ada kenderaan yang lalu lalang, ada. Tetapi sebaik menghampiriku, masing-masing memecut dengan laju. Barangkali mereka ingatkan aku ini hantu agaknya, atau jembalang kerdil dengan pakaian serba putih di tepi jalan bersendirian. hmmm...

Dsc00180
Tidak lama kemudian di kejauhan sana ternampak cahaya berbalam-balam. Aku pula sudah lama basah kuyup. Deru enjin kenderaan itu semakin menghampiriku. Lampu itu tepat menyuluh ke mukaku. Lalu motor itu berhenti di sisi.

"Pap!" kepala ku ditepuk. Pening seketika. Deras sahaja soalan keras diajukan kepadaku, "Kenapa lambat balik? Dah tak tahu ke jalan balik?" soal emak. Peh, menyirap darah aku. Apa tidaknya, aku sudah lah kesejukan, takut, bersendirian dari tadi, tiba-tiba dimarahi. Ini boleh bikin aku hangin satu badan.

Aku mula menunjuk perasaan. "Kenapa mak tak jemput, kalau dah tau orang tak balik lagi? Lambat lak menyusul. Kot orang mati kena makan dengan hantu ribut macamana? Suruh orang jangan main hujan, kalau hujan mak suruh tunggu sampai berhenti. Tapi mak tanya balik orang pegi mana ... dan bla bla bla...." bentak ku. Kini aku pula sudah mengambil peranan membebel emakku yang biasa dibuat oleh kaum hawa itu.

Kemudian mak aku kata, "Erk! tadi mak ingatkan kau dah balik kat rumah. Mak tak perasan kau belum balik. Lagipun mak tertidur, senja tadi baru terperasan kau tak balik lagi..."
"Pulak dah..", aku hanya terkedu. Aku pun panjat ajelah motor buruk itu. Tak kuasa lagi nak menunjuk perasaan, lagipun hati mulai rasa lega dan perut pun sudah berkeroncong.

Jumaat, 6 Mac 2009

Darah di Muktah

April 19, 2007

Sekembali Rasulullah s.a.w dan rombongannya setelah selesai melaksanakan Umrah Qadha’ itu, Baginda s.a.w telah melengkapkan 3,000 orang bala tentera untuk berhadapan dengan musuh di Muktah.

Ahli sejarah masih lagi berbeza pendapat tentang punca peperangan Muktah. Sebahagian dari mereka ada yang mengatakan untuk pembalasan di atas pembunuh sahabat Nabi s.a.w di Dhat’t-Talh. Manakala pendapat sebahagian yang lain pula adalah sebagai pembalasan di atas pembunuhan seorang utusan Nabi s.a.w kepada gabenor Heraklius di Busrah. Utusan itu dibunuh oleh orang Badwi dari Ghassan diatas arahan Heraklius.

Kalau Perjanjian Hudaibiyah merupakan pendahuluan Umrah Qadha’ hingga kesannya membawa kepada ‘pembukaan’ Mekah, perang Muktah ini pula pendahuluan kepada perang Tabuk, yang selepas kewafatan Nabi s.a.w membawa kepada pembebasan Syam.

Dalam bulan Jamadilawal tahun kelapan Hijrah (tahun 629M), Nabi s.a.w. memanggil tiga ribu orang pilihan dari kalangan para sahabatnya untuk dibentukkan pasukan ketenteraan. Selepas itu pimpinan ketumbukan ini diserahkan kepada Zaid bin Harithah.

Muslim_admiralSemasa penyerahan panji tersebut, Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Zaid bin Harithah; “Kalau Zaid ini gugur, maka Jaafar b. Abi Thalib yang memegang pimpinan, dan kalau Jaafar gugur, maka Abdullah ibnu Rawahah yang memegang pimpinan.” Dalam gerakan itu, Khalid al Walid dengan sukarela menawarkan diri untuk menyertainya. Dia dengan penuh keikhlasan sanggup berperang untuk membuktikan iktiqad baiknya sebagai seorang Muslim.

Tibalah hari untuk tentera itu bertolak. Mereka dihantar oleh Nabi dan kaum Muslimin dengan mengiringinya hingga sampai di pinggir kota. Suasana ketika itu sungguh berlainan sekali, tidak sama dengan suasana hendak pergi berperang yang terdahulu.

Semasa Nabi Muhammad s.a.w menghantar ketumbukan ketenteraan itu keluar pinggir kota, Nabi s.a.w sempat menyampaikan pesan sekali lagi : “Jangan membunuh wanita, bayi, orang-orang buta atau anak-anak, jangan menghancurkan rumah-rumah atau menebangi pohon-pohon”.
Selepas itu Nabi s.a.w pun berdoa dengan diiringi oleh kaum Muslimin; “Tuhan menyertai dan melindungi kamu sekalian. Semoga kembali dengan selamat.”

Zaid bin Harithah, panglima perang ke Muktah ini memilih strategi untuk menyergap pihak Syam secara tiba-tiba. Sebagaimana lazim yang pernah dilakukan dalam ekspedisi-ekspedisi yang lalu. Dengan cara ini, kemenangan mudah akan diperolehi dan mereka akan kembali dengan segera. Mereka pun berangkat sehinggalah sampai di Ma’an di wilayah Syam. Mereka pergi dengan tidak mengetahui apa yang bakal mereka hadapi nanti.

Malangnya keberangkatan tentera Muslimin itu dapat dihidu oleh Syurahbil, pembesar Heraklius di Syam. Lalu dia mengumpulkan beberapa kelompok kabilah yang ada di sekitar tempat itu. Akhirnya sebuah pasukan tentera berjaya dibentuk yang terdiri daripada orang-orang Yunani dan Arab.

Cerita yang lain pula menyatakan bahawa Heraklius sendirilah yang telah membentuk dan mengetuai bala tenteranya itu yang kemudian bermarkas di Ma’ab, wilayah Balqa’. Dimana tentera tersebut terdiri seramai seratus ribu orang Rom dan seratus ribu orang lagi dari Lakhm, Judham, Qain, Bahra’ dan Bali.

Riwayat yang lain pula ada mengatakan bukannya Heraklius yang memimpin pasukan itu, tetapi saudaranya bernama Theodore.

Ketika Muslimin berada di Ma’an, mereka sudah mengetahui adanya ketumbukan ketenteraan tersebut. Dua malam Muslimin berada di Ma’an sambil meninjau-ninjau, menyelidiki strategi apakah yang patut digunakan, terutama apabila melihatkan bilangan musuh terlalu ramai.
Mv_kingdomof_2

Bilangan musuh yang terlalu ramai hingga Muslimin merasakan mereka akan dihurungi oleh musuh, ibarat gula dihurung semut yang banyak. Jumlah musuh berkali-kali ganda berbanding mereka yang hanya 3,000 orang.

Dalam merangka strategi itu, salah seorang Muslimin telah memberikan pendapat, katanya: “Kita tuliskan sepucuk surat kepada Rasulullah dan memberitahu baginda jumlah pasukan musuh yang begitu besar. Dengan demikian kita akan beroleh bala bantuan, atau kita mendapatkan perintah lain dan terus maju.”

Cadangan tersebut hampir sahaja mendapat suara majoriti. Tiba-tiba Abdullah ibnu Rawahah bersuara hingga dapat mengubah pendirian Muslimin, katanya:
"Kawan-kawan sekalian! Demi Allah, sesungguhnya kita berperang melawan musuh bukannya berdasarkan bilangan, kekuatan atau banyaknya jumlah mereka. Kita tidak memerangi mereka, melainkan kerana mempertahankan agama kita ini, yang dengan memeluknya kita telah dimuliakan Allah! Ayuhlah kita maju! Salah satu dari dua kebaikan pasti kita capai, kemenangan atau syahid di jalan Allah!"

Ibnu Rawahah memang terkenal sebagai seorang penyair hebat, begitu juga seorang kesatria yang tiada tolok bandingnya. Dialah satria di medan perang dan dialah juga pahlawan pena yang membela Nabi melalui lisan dan lidahnya. Beliau tidak pernah ketinggalan dalam setiap peperangan yang Nabi sertai.


Luahan kata Ibnu Rawahah yang berbaur perasaan berani dan penuh kesatriaan telah menggelegakkan segala sendi dan sanubari tentera Muslimin. Rasa takut, rasa terbeban, rasa gelisah, habis semua tertinggal, yang ada kini bangkit dengan penuh semangat jitu hendak melawan musuh Islam; menang atau mati syahid! Lalu sebulat suara mereka menyahut: “Kata Ibnu Rawahah itu memang benar!.”

Terus tentera Muslimin bersiap sedia. Mereka mulai memeriksa senjata. Kuda-kuda dan unta yang akan digunakan diletakkan pelana. Pedang dan perisai sentiasa dipelihara dengan baik. Bersedia untuk tempur!

Ya! Menang atau syahid, hanya terbuku dihati dan pemikiran tentera Muslimin. Tekad dan iktiqad telah bersatu padu. Selepas ini hanya usaha menentang musuh perlu dilaksanakan, selebihnya terserah kepada Allah s.w.t. Samada menang tegak berdirinya bendera Islam atau tewas sebagai para syuhada. Dua kebaikan itu jugalah mereka rindukan.

Pagi itu tentera Muslimin bergerak menuju ke medan. Tiada kata untuk berpaling arah lagi. Tempur kerana mencari keredhaan Allah, tempur kerana seruan cintakan Rasulullah. Mereka terus berjalan hingga tiba di wilayah Balqa’, di sebuah desa bernama Masyarif. Disitu terdapat sebuah padang. Disitu juga barangkali akan diadakan peraduan, kerana di situ mereka sudah menemui pasukan Heraklius yang tidak terbilang ramainya.

Tetapi bilamana musuh sudah hampir mendekati, tentera Muslim dengan segera pula mengalihkan mereka ke Muktah. Strategi ini sengaja dicipta kerana melihat Muktah lebih sesuai sebagai benteng pertahanan berbanding Masyarif. Lalu di padang Muktah inilah berlakunya tragedi peperangan Muktah yang sengit itu - antara seratus ribu orang atau dua ratus ribu orang tentera Rom dengan tiga ribu orang Muslimin - berkobar, berkorban dan terkorban.

Mv_kingdomof_2Kini turunlah bala tentera Islam maju bergerak ke medan perang. Sewaktu orang-orang Islam dari kejauhan dapat melihat musuh-musuh mereka, mereka membilang besarnya bala tentera Romawi sekitar dua ratus ribu orang! Menurut beberapa kenyataan; barisan tentera Rom seakan tak ada ujung dan seolah-olah tidak terbilang banyaknya!

Ketika ini sekali lagi kata-kata Ibnu Rawahah ternyiang-nyaing ditelinga, “Kawan-kawan sekalian! Demi Allah, sesungguhnya kita berperang melawan musuh-musuh bukannya berdasarkan bilangan, kekuatan atau banyaknya jumlah. Kita tidak memerangi mereka, melainkan kerana mempertahankan agama kita ini, yang dengan memelukinya, kita telah dimuliakan Allah! Ayuhlah kita maju! Salah satu dari dua kebaikan pasti kita capai, kemenangan atau syahid di jalan Allah!”


Gugurnya Zaid bin Harithah

Setelah menjulangkan senjata, selepas bertempik kata semangat. Mereka menyerbu ke medan tanpa sebarang gentar lagi. Allah huakabar!!!! Berkobar-kobar umpama api yang marak. Lalu berkecamuklah medan Muktah itu dengan gemerciknya tetakan, laungan, geselan pedang, luncurnya busar panah, berlaganya tombak ke dada.

After_muslim_rulesDalam keadaan berlumba, berlari ke arah musuh itu, ketika inilah Panglima Perang Zaid bin Harithah mengotakan iman. Lagaknya seperti ‘singa jantan yang lapar’, membaham setiap mangsa yang mungkar itu.

Alangkah agungnya iman, alangkah kuatnya semangat! Bendera dibawa Muslimin itu dipenggang oleh Panglima Zaid bin Haritha dan tangan yang lain pula memegang senjata. Kemudian dia terjun ke medan tempur, lalu menggila disitu. Habis ditetak segala leher musuh yang berhampiran dengannya.

Dia sudah nekad dan yakin maut tidak dapat dielakkan lagi. Tetapi biarlah ajal yang menjemputnya itu dalam kehormatan Ilahi, dalam keredhaan Allah s.w.t. Biarlah syahid, bersama para syuhada yang terdahulu, di Badar, di
Uhud dan di medan Muktah ini juga.

Dalam keasyikan Zaid bertempur, disinilah dadanya dirobek dengan tombak musuh. Sehingga tubuhnya hancur luluh bersarangkan senjata musuh.

Melihat keadaan yang getir itu, Jaafar bin Abi Talib terus menyambar panji Muslimin di tangan Zaid dengan segera sebelum mencecah ke tanah. Kini pimpinan tentera Muslimin terletak di tangan Jaafar. Panglima Jaafar terlantik dengan sendirinya sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w, sekiranya syahidnya Zaid bin Haritha, maka dialah jadi pengantinya.

Ketika ini umur Jaafar bin Abi Talib masih muda lagi, iaitu tiga puluh tiga tahun. Dia berperawakan tampan dan seorang pemuda yang cukup berani.


Panglima Islam yang satu ini masih meneruskan perjuangan panglima terdahulu, dengan terjunkan diri ke tengah medan. Di atas kuda itu diamuknya musuh-musuh dan ramai pula yang tewas.

Jaafar bin Abi Talib Gugur.

Knight_kristian
Selepas Panglima Zaid bin Harithah tewas, panji Muslimin disambar oleh Jaafar dan dialah kini menjadi panglima penganti sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w.

Panglima Jaafar memegang panji itu erat ditangan kanannya. Di atas kuda itulah dia bertempur. Bilamana kudanya sudah terkepong, lalu musuh menerobos kuda itu dan ditetaknya pula haiwan tersebut.

Sekarang ini Panglima Jaafar terus sahaja terjun ke tengah-tengah musuh, menyerbu dengan menghayunkan pedangnya ke leher musuh, ke kiri dan ke kanan. Dalam asyik bertempur itu, tiba-tiba pihak musuh berjaya menetak tangan kanan Panglima Jaafar, yang sedang memegang panji tentera Muslimin hingga putus.

Melihatkan keadaan tersebut, segera tangan kiri Panglima Jaafar menyambar panji itu menggantikan tangan kanannya yang sudah putus.

Tentera musuh tidak membenarkan keadaan itu berterusan. Kini tangan kiri beliau pula menjadi mangsa, ditetak hingga putus juga. Namun Panglima Jaafar masih tidak mahu mengalah. Beliau
tidak membenarkan panji itu kecundang ke tanah. Tanpa menghiraukan sakit, kini bendera itu dipeluknya dengan kedua pangkal lengan yang bersisa.

Dia bergadai nyawa demi menyelamatkan Islam.


Sedangkan dia dalam memegang panji itu sudah ‘nyawa-nyawa ikan’, tentera Herakluis tidak benarkan Panglima Jaafar terus berkeadaan demikian. Diceritakandengan sekali pukulan terbelah dualah Panglima Jaafar, lalu gugur syahid.

Ketika ini peperangan menemui kemuncaknya. Hampir sahaja jumlah pasukan Muslimin yang kecil itu ditelan umpama bah oleh pasukan Rom yang tidak terhingga bilangannya. Keadaan Muslimin begitu getir sekali. Sedang dalam keadaan demikian mereka tidak mempedulikan jumlah tentera Muslimin yang semakin mengecil, ramai yang gugur terkorban.

Kini panji yang dipegang Panglima Jaafar disambut pula Abdullah ibnu Rawahah. Tinggal kekal pejap ditangan Abdullah ibnu Rawahah.

Gugurnya Abdulah Ibnu Rawahah

Muslim_admiralKetika ini Abdullah Ibnu Rawahah sedang memungut panji perang dari sisa tangan Jaafar, dan peperangan pula sudah mencapai kemuncaknya. Ketika Ibnu Rawahah bertempur sebagai seorang perajurit, dia terus berjuang bersungguh-sungguh, ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan, ditebasnya tanpa ragu-ragu dan peduli.

Sekarang setelah menjadi panglima, seluruh pasukan menjadi tanggungjawabnya, di atas hidup atau matinya pasukan itu. Demi terlihat kehebatan tentara Rom seketika, seolah terlintas rasa kecut dan ragu-ragu dalam dirinya. Tetapi saat itu hanya sekejap, kemudian dia bangkitkan seluruh semangat dan kekuatan terus melenyapkan semua kekhuatiran dari dalam dirinya, sambil berseru:

"Aku telah bersumpah wahai diri, maju ke medan laga, tapi kenapa kulihat engkau
menolak syurga... Wahai diri, bila kau tak tewas terbunuh, kau kan pasti mati.
Inilah kematian sejati yang sejak lama kau nanti...

Tibalah waktunya apa yang engkau idam-idamkan selama ini. Jika kau ikuti jejak
keduanya, itulah kesatria sejati!"

(Maksudnya, kedua sahabatnya Zaid dan Ja'far yang telah mendahului gugur sebagai syuhada)

Lalu dia pun menyerbu ke tengah tentera Rom dengan tabah. Kalau tidaklah takdir Allah yang menentukan, bahawa hari itu adalah saat janjinya ke syurga, nescaya dia akan terus menebas musuh dengan pedangnya, hingga dapat menewaskan sejumlah Stabbed besar dari mereka.

Tetapi waktu keberangkatan sudah tiba, yang memberitahukan awal perjalanannya pulang ke hadirat Illahi, maka Ibnu Rawaha berkorban dan terkorban sebagai syahid.

Sementara itu, Rasulullah s.a.w yang berada di Madinah sedang berhadapan dengan para sahabat bercerita tentang peperangan yang sedang dihadapi di Muktah. Tetiba Rasulullah terdiam seketika. Kedua matanya menjadi basah berkaca-kaca. Baginda mengangkat mukanya dengan mengedipkan kedua matanya, untuk melepas air mata yang jatuh disebabkan rasa duka dan belas kasihan.

Rupa-rupanya gugurnya Zaid bin Haritha, Jaafar Abi Talid dan Abdullah Ibni Rawahah yang tentera Muslimin sedang tempur itu telah diketahui oleh Nabi secara wahyu.

Seraya memandang sekeliling ke wajah para sahabatnya dengan pandangan haru, Baginda s.a.w bersabda, "Panji perang dipegang oleh Zaid bin Haritsah, dia bertempur bersamanya hingga dia gugur sebagai syahid. Kemudian diambil alih oleh Ja'far, dan dia bertempur pula bersamanya sampai syahid pula..."

Baginda s.a.w terdiam sebentar, kemudian diteruskan sabdanya, "Kemudian panji itu dipegang oleh Abdulah Ibnu Rawahah dan dia bertempur bersama panji itu, sampai akhirnya diapun syahid pula."

Kemudian Rasul diam lagi seketika, sementara mata beliau bercahaya, menyinarkan kegembiraan, ketenteraman dan kerinduan, "Mereka bertiga diangkatkan ke tempatku ke syurga - seperti mimpi orang yang sedang tidur - di atas ranjang emas. Laluku lihat ranjang Abdullah Ibni Rawaha agak miring daripada ranjang kedua temannya itu".


Lalu ditanya: “Kenapa begitu?”

Dijawab Nabi: Yang dua orang terus maju, tapi Abdullah agak ragu-ragu. Kemudian dia terus maju juga.”

Nota:

“Perjalanan mana lagi yang lebih mulia. Kesepakatan mana lagi yang lebih berbahagia. Mereka maju ke medan laga bersama-sama. Dan mereka naik ke syurga bersama-sama pula …”

Kalaulah peritiswa Ibnu Rawahah ini diterliti, orang tidak akan ragu-ragu lagi untuk mengorbankan diri demi agama dan tanah air. Apa tidaknya, orang yang sehebat Ibnu Rawahah dengan iman yang kental, bertempur tidak pedulikan diri itu, dek kerana keraguan yang terpintas dihatinya, menyebabkan kedudukan beliau tidak sama dengan Zaid dan Jaafar. Inikan pula entah apa bandingan kepada mereka yang lari dari medan perang, lari dari menghadapi kenyataan, semata-mata inginkan hidup, inginkan kesenangan dunia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails