‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Ahad, 27 Disember 2020

SG TEMIGGOL HIDUP INI BUKAN SEKADAR HIDUP

Sg. Temiggol: merendam kaki melempias lelah

"Kalau hidup sekadar cari makan, lembu dan kambing pun demikian juga. Cukup makan, bahagia. Lepas tu, tunggu sahajalah penyembelih datang." Jais berfalsafah. Jais sedang menyapu di Taman Rekreasi Sg Temiggol. 
Jais bukanlah orang sebarangan sebenarnya. Dia menjalankan tiga pekerjaan dalam satu hari. Subuh hari dia membersihkan taman ini. Sebagai kakitangan JPS (Jabatan Pengairan dan Sungai), dia memantau pula aliran sungai dan tali air di kampung. Sebelah petang dia menjaja 'air batu kisar' (ice blended).

Semuanya dilakukan untuk upaya membahagiakan keluarga kecilnya. Dia perlu membesarkan dua anak kecil sendirian. 

Sebagai duda, bantuan apalah sangat yang boleh diterima olehnya. Jauh berbeza dengan janda. Ramai yang mudah merasa simpati. 

Beristirahat di Sg Temiggol

Bagi Jais, kalau mahu menikah lagi, dialah yang perlu berhabis harta dan wang ringgit. Dia perlu meminang, bukan macam anak dara atau janda, tunggu sahaja pinangan.

Masyarakat pun satu hal. Usianya sudah semakin meninggi, kudratnya bukan banyak lagi. Pun begitu ada yang kejam yang menuduhnya, kalau dia hendak berkahwin lagi mudah sahaja, berbanding dengan orang bujang, anak dara dan janda. 

Sg. Temiggol: Abu Muaz (5 thn), menyelongkar masa depan

Betullah pengalaman melayari bahtera pernikahan itu telah ada. Namun pengisian itu lebih penting. Kalau isi rung pun kontang, dia tak sanggup 'pisang berbuah dua kali'. 

Ya, pengisian ini bukan sekadar untuk makan dan tidur tetapi 'penghidupan'. 

Sg Temiggol: antara gerai dan penjaja

Penghidupan itulah kemajuan dan pembangunan. Sama ada dari segi ekonomi, siasah dan kehidupan kendiri. Hidup bermaksud ada pergerakan. Pergerakan kehidupan dari titik A ke titik B dan seterusnya. Kalau mati, sudah tentu dari semua segi menjadi pegun. Hanya menantikan untuk dihisab dan dihukum. 

Berenang di Sg Temiggol

Berkelah, berkhemah dan beriadah di Sg Temiggol

Kalau berat hendak membantu supaya dia kahwin lain, maka tolonglah kerana hendak membantunya membesarkan anak-anak. Membesarkan anak-anak pada zaman sekarang 'pukulannya' lain macam. 

I love Sg Temiggol

Datanglah ke Taman Rekreasi Sg Temiggol. Saya juga seperti Jais, sedang meningkatkan upaya membina penghidupan dan cari makan. Kami menawarkan pelbagai kemudahan dan keperluan kepada para pengunjung. 

Taman Rekreasi Sg Temiggol

Dengan berkunjung di sini, paling tidak tuan² mendapat salah satu daripada tiga kenikmatan. Pertama: beristirahat dan beriadah berunsurkan alam buana. 

Pertama; beristirahat dan beriadah berunsurkan alam buana. 

Kedua; memperoleh dan menikmati produk-produk kampung seperti samosa, char kuiteaw, roti bedung dan teh ais terangkat.

Sg Temiggol: Haziq di sisi gerai menjual mainan dan pelampung

Ketiga; membantu (amal jariah) kepada ekonomi penduduk desa selain dapat meningkatkan keharmonian sosial dan melastarikan alam. Sebagai contoh berenang² di dalam sungai dengan pelampung/boya, bermain pistol air, bajak, lori, bola, kereta mainan, berkhemah yang kesemuanya boleh didapatkan di gerai saya dan penjaja di sini. 

 Lokasi:-  
𝗧𝗔𝗠𝗔𝗡 𝗥𝗘𝗞𝗥𝗘𝗔𝗦𝗜 𝗦𝗚 𝗧𝗘𝗠𝗜𝗚𝗚𝗢𝗟, 
Kg Sri Lukut, 86700 Kahang, Johor.


Nukilan 
hik hik ammak satu kali

Jumaat, 25 Disember 2020

ORANG PEREMPUAN MEMANG PAYAH FAHAM PASAL INI

Bersama bekas tunang.

Berkumpul dengan anak beranak di kampung merupakan sebuah nikmat. Kampung Sri Lukut, Mukim Kahang merupakan sebuah kampung tradisional. Rata-rata mereka di sini mempunyai kaitan kekeluargaan.

Anak saudara saya memujuk emaknya di dapur. Dia kata dia hendak berkahwin. 

"Jangan nak mengada-ngada. Habis belajar dulu. Kemudian cari kerja! Bela emak dulu. Bagi mak rasa bebas dan berduit." Tegas si emak. 

Anak itu berasa amat sedih. 



Dia pergi ke ruang tamu. Dengan sugul dia mengadu pula kepada ayah.

"Emak kau memang macam tu. Memang payah hendak memahami keperluan kita. Ayah ni dah lama menanggung dia. Ayah bela mak kau tu dari ramping sampailah besar sepemeluk. Ayah dah bertahun-tahun bekerja, tak ada pun dia nak bagi ayah menikah lagi. Huh." Ayah pula mengerling bersahaja ke arah dapur sambil kembali menyelak hantaran komen di FB.

Mata si anak menyorot tajam memandang ayahnya sambil mulut terlopong.

Jadi, kalau mahu kelihatan tampan dan jelita, tempahlah T-shirt KSL (Kg Sri Lukut), lengan pendek RM55, lengan panjang RM61, saiz Muslimah RM62. Semua T-shirt siap cetakan nama sendiri.
Corak baju boleh dilihat pada petak di bawah ini.

T-Shirt Eksklusif KSL (Kg Sri Lukut)

T-Shirt Eksklusif KSL (Kg Sri Lukut)

T-Shirt Eksklusif KSL (Kg Sri Lukut)




Hik hik
Ammak satu kali


Jumaat, 18 Disember 2020

RINDU YANG TIDAK TERTANGGUH

Berzikir dan bertafakur

Emak menanggung kesakitan. Terbaring di atas tilam bujang di dalam rumah pusaka ini. Sakitnya berat.
Lalu saya menghampiri emak. Saya menyabarkannya. Saya cuba gembirakan emak. Saya sulam dengan jenaka agar dapat mengalihkan perhatiannya terhadap keperihan yang sedang dialami.

Saya memicit-micit kaki dan tubuh yang semakin longlai itu. Saya baringkan emak dari duduknya.

Memang kelaziman saya untuk menelefon emak. Paling tidak seminggu sekali. Isteri saya selalu menjadi wakil kepada saya. Saya juga acap kali berpesan agar isteri dan anak-anak kerap menghubungi emak yang berada di kampung. 

Malah kami sering memujuk emak untuk tinggal bersama di kota metropolitan ini. 

"Bukan emak tak nak ke rumah kau tu. Sejak akhir-akhir ni doktor nak kerap periksa emak. Dua minggu sekali. Sebulan sampai dua atau tiga kali. Doktor kata emak ni mula ada masalah jantung dan buah pinggang bocor. Mata pun tak berapa nak nampak. Nanti menyusahkan kau pula nak hantar emak dan berulang alik." Ungkapan ini pernah emak ajukan setahun yang lalu.

Saya cuba memicit-micit kedua belah kaki emak. "Emak rehatlah ya. Tenang, tenang. Sabar emak. Pasti Allah memberikan ganjaran terbaik untuk kita."

Istirahatlah emak

Naluri kecil saya mula terdetik. Malah emak pernah beritahu, "hidup aku tak lama. Kalau aku tak ada..?"

"Emak, kalau abang rindukan emak macam mana?" 

Emak yang sedang condong mahu berbaring kini bangkit semula mahu duduk. Sepantas kilat itu juga saya menerpa dan mendakap tubuh emak dengan erat. Saya peluk emak kuat-kuat. Lagaknya seperti anak saya berusia lima tahun mendakap saya dalam esakan. Tapi tubuh emak sudah sejuk.

Rasa hiba, pedih, perih, perit merempuh ke dada sempit ini. Terasak sesak dan sebal yang tidak dibuat-buat.

Airmata saya mengalir membasahi bantal. Saya mula tersedar daripada mimpi indah ini.

Saya tidak sanggup membuka mata lagi. Saya tidak berani. Biarlah saya hanyut dalam khayal hangatnya cinta, kasih sayang dan kerinduan terhadap emak sejenak lagi. Menikmati kerinduan yang tidak mungkin berbalas. Saya cuba menahan agar memori indah itu tertangguh lebih lama, tetapi ... (ia tetap berlalu pergi)

Emak: Asiah (rakaman tahun Jun 18, 2012)


Dalam perlahan saya panjatkan doa agar emak aman dan tenang di alam barzah sana. Di dalam pejap gelap bertutup mata di keheningan pagi itu saya hadiahkan al-fatihah kepada emak.

Rindu yang tidak tertangguh lagi. 

Putus cinta itu tidaklah sakit. Yang membawa derita dan rana adalah masih lagi mencintai dan merindui.

𝘌𝘮𝘢𝘬, 𝘬𝘢𝘭𝘢𝘶 𝘢𝘣𝘢𝘯𝘨 𝘳𝘪𝘯𝘥𝘶𝘬𝘢𝘯 𝘦𝘮𝘢𝘬, 𝘮𝘢𝘤𝘢𝘮 𝘮𝘢𝘯𝘢?

Al fatihah
(7 bulan emak sudah pergi selama-lamanya)


Nukilan hik hik...
Ammak satu kali

Jumaat, 13 November 2020

SERANGAN JANTUNG DI PASAR MALAM PEKAN KAHANG

Pasar Malam Pekan Kahang

Baru kejap ni tadi di Pasar Malam Pekan Kahang, dada saya berdebar-debar kencang. 
Dup dap, dup dap. 

Tak tertahan-tahan. 

Ritma degupan jantung terasa amat lain macam. Seolah-olah berlari pecut 59.23 meter mengalahkan kejaran anjing liar. Bergetar-getar rusuk kiri. 

Bersulam rasa nyeri seperti baru nak belajar bercinta setelah seorang misi lawa dan amoi berbaju sendat berseluar pendek menampakkan betis putih bunting padi berbulu halus lalu di depan mata. 

Nak buat macam mana ni misi? Kaget ni. 
Degupan jantung masih lain macam!

Hik hik.
Ammak satu kali



Selasa, 3 November 2020

BIRTHDAY CELEBREATION @PORT ABANG MAN, KG SRI LUKUT, KAHANG

Date: 03.10.2020

Lcotion: Port Abang Man, Kg Sri Lukut, Kahang, Johor

Birthday Girl: Melati Idrus.

Its quite sometimes I have not done any photo shoot especially for birthday celebration. Port Abang Man is a cafe/warung with specialist in Asam Pedas Ikan Sungai Cuisine (a Malay typical special dish). You should try though.






Isnin, 2 November 2020

𝗠𝗔𝗝𝗟𝗜𝗦 𝗣𝗘𝗖𝗔𝗛 𝗧𝗔𝗡𝗔𝗛 𝟭 𝗗𝗔𝗘𝗥𝗔𝗛 𝟭 𝗦𝗨𝗡𝗚𝗔𝗜, 𝗧𝗔𝗠𝗔𝗡 𝗥𝗘𝗞𝗥𝗘𝗔𝗦𝗜 𝗧𝗘𝗠𝗜𝗚𝗚𝗢𝗟

Taman Rekreasi Sungai Temiggol: Sebelum Baik Pulih

Kerajaan Negeri Johor telah melancarkan program sungai angkat di setiap daerah untuk memulihara dan melestarikan sungai-sungai yang ada di dalam negeri ini. 

YB R. Vidyanathan: Merasmikan majlis

Sepanduk Majlis Pecah Tanah


Pada peringkat Daerah Kluang, Sungai Temiggol telah dijadikan sungai angkat. Kali ini menyaksikan Majlis Pecah Tanah 1 Daerah 1 Sungai, Taman Rekreasi Temiggol dirasmikan oleh YB R. Vidyanathan; ADUN Kahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Kesiatan dan Alam Sekitar Negeri Johor.

Dari kiri: Penghulu Mukim Kahang En. Rosman Supaat, En. Yusof Ibrahim, 
Datuk Abd Ghani Rashid Abd Rashid, dan Haji Mohd Nasir

Sehubungan dengan itu, Sungai Temiggol yang mengalir ke dalam Taman Rekreasi Sungai Temiggol ini telah dipulihkan semula. Menurut En. Mood Azhar Mash
odi taman rekreasi ini telah terbengkalai semenjak tahun 2006/7 lagi iaitu setelah hampir 13 tahun terbiar tanpa pengurusan bersepadu.

Bersantai di Sungai Temiggol 

Acara Wajib: Mandi manda dan berkubang di Sungai Temiggol

Akibatnya pondok-pondok yang didirikan ada yang telah menyembah bumi. Kawasannya semak samun, pentas tidak terurus, lantai dan tiang gazebo ada yang patah dan berlumut. Tandasnya pula rosak dan kotor. Bekalan elektrik sudah dipotong, manakala lampu-lampu yang pernah menerangi di sini sudah banyak yang rosak.

Khamis, 22 Oktober 2020

𝗥𝗘𝗭𝗘𝗞𝗜 𝗣𝗔𝗦𝗔𝗥 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗠


Bilal Sahak memandang tepat mereka yang lalu lalang di hadapan gerai. Ada yang berhenti lalu melintas, ada pula berhenti, bertanya dan berlalu. Mana yang setuju, maka akad berlaku dan pertukaran barang pun berlangsung. 

Adat berdagang begitulah. "Rezeki berniaga pasar malam ni sukar dijangka. Lagi² waktu PKPP begini." Bilal Sahak menyuarakan pandangan batinnya. 

"Eh, apa ke halnya Bilal? Tiba-tiba aje." Turus mahu menyelami kata-kata Bilal Sahak. 

Bilal Sahak memuncungkan bibirnya. Turus ikut memandang ke arah yang ditunjukkan itu.

"Masyaallah, rezeki." Balas Bilal Sahak dan Turus serentak. 

Seorang Ah Moi berseluar senteng menampakan kaki yang putih melepak dan berbaju-T ala 'baby boo' melintas di hadapan mereka. 

Usai anak mata membontoti Ah Moi tadi yang menghilang ke dalam khalayak ramai itu mereka berpaling ke arah hadapan semula. Memandang ke tempat mereka menemui jasad Ah Moi tadi. Cuba memerangkap rezeki lagi. 

Tidak semena-mena mereka tersentak lalu memalingkan muka. 

"Subhannallah, Allahuakbar." Mereka berzikir. 

Dua wanita bersaiz besar dan rendah mula merapati. Pada pandangan Bilal Sahak, wanita itu bermuka pelbagai rasa; cuka, masam, masin. Wanita berusia ini tidaklah secerah dan melepaknya Ah Moi tadi. Jauh berbeza. Terlalu besar jurangnya. 

Mereka adalah isteri Bilal Sahak. 



Salah seorang wanita itu berkata kepada saya, "Abang tolong bungkuskan teh ais terangkat sepuluh, popia basah ni saya borong semua, roti bedung 20, ya."

Benarlah rezeki tak salah alamat. 

Hik hik 
Ammak satu kali lagi 
😁😁😁

Nukilan lantun-lantun

Jumaat, 11 September 2020

RAJUK DAN SANTAI DI TANJUNG RESANG, MERSING

Tanjung Resang
Pantai Tanjung Resang, Mersing, Johor: Subuh

Mersing, Jumaat, 11 September 2020  - Padah mengajak dan berjanji dengan orang rumah bukan boleh dibuat main-main. Kalau tidak dapat ditunaikan akan mendatangkan parah mendalam. Bermuka masam seharian, berjalan seperti gergasi apabila melangkah menggegarkan seisi rumah. Pekakas dapur sudah berbunyi seperti tukul besi memasak paku. Mucung di bibir panjang berdepa-depa. Ini semua penyakit rajuk. 😁😁😁 Kalau tidak dirawat segera, alamat baiti jannati berubah menjadi lubang sempit. 

Tanjug Resang
Tanjung Resang: Kuda Laut

Bagi memujuk gelora di hati isteri, Maza pun berpakat dengan anak-anak hendak membuat kejutan. Bermula dengan meminta Nasrun (anak sulung: 16 tahun) membersihkan kereta, kemudian dalam diam-diam Maza ligat mencari idea hendak menempah sebuah chalet yang mengadap laut. 

Tanjung Resang
Tanjung Resang: Bersama

Tanjung Resang
Tanjung Resang: Kita jaga kita

Tanjung Resang
Tanjung Resang: Sendiri

Allah SWT telah menggerakkan hati untuk menghubungi sepupu Maza yang tinggal di Endau, Johor. Syahril telah syorkan sebuah chalet yang menghadap laut China Selatan iaitu Sari Jentayu, Tanjung Resang, Mersing. 

Chalet Sari Jentayu ini dimiliki oleh Moksu Ipah (012-794 0506). 

Tanjung Resang: Chalet Sari Jentayu

Tanpa bertangguh, sedangkan jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 12.00 tengahari, Maza terus  menghubungi pemilik Chalet Sari Jentayu itu. Berurusan dengan Moksu Ipah cukup mudah. Dalam nada ramah Moksu Ipah yang juga bekas guru bahasa Inggeris di Mersing menyatakan ada kekosongan. Maza pun menempah sebuah chalet untuk tinggal semalaman pada hari itu juga. 

Tanjung Resang
Tanjung Resang: Bot nelayan

Tanjung Resang
Tanjung Resang: Bot nelayan pantai

Setelah mengetahui tempat dan menempah penginapan, Maza pun menyuruh anak-anak Maza bersiap sedia dengan mengemas pakaian mereka dan ibu mereka sekali. Turut dimuatkan di dalam kereta ialah sebuah dapur kecil mudah alih bersama sebuah tabung gas butane, periuk, mangkuk, sudu dan cawan diletakkan di dalam bakul kelah. Bahan-bahan makanan nanti akan dibeli di Mersing sahaja. 

Maza pesan bersungguh-sungguh agar menyimpan rahsia ini. 

Tanjung Resang
Tanjung Resang Abu Muaz: "Laju buaiku laju, aku nak kahwin puteri raja,
semoga ayah dan ibu, menjadi kaya raya dan berbahagia"

Usai solat Jumaat, Maza segera pulang. Setelah memastikan semua peralatan yang dipesan tadi telah dimuatkan ke dalam kereta, Maza pun bertemu dengan suri di hati itu. Maza mengakal isteri dengan mengajaknya pergi ke rumah seorang kawan di Mersing untuk menghadiri sebuah majlis hari lahir. 

Tanjung Resang
Tanjung Resang: Tinjauan Pantai

Tanjung Resang
Tanjung Resang: Meneliti

Asalnya si isteri agak keberatan dan sambil lewa bersiap-siap. Setelah digesa berulang kali, dia pun melangkah longlai memasuki perut kereta. 

Dari Kahang ke Tanjung Resang cuma mengambil masa satu jam perjalanan. Sebaik tiba ke lokasi, isteri menjadi tercengang-cengang. Tidak ramai orang di situ seperti disangkanya. Dia tertanya-tanya. Sebelum itu, Maza juga telah berpakat dengan Maksu Ipah tentang hajat Maza untuk membuat kejutan ini. 

Maksu Ipah menyambut kami di muka pintu pagar Chalet Sri Jentayu dengan tersenyum simpul dan berwajah manis. Tanpa berlengah, Maksu Ipah terus menunjukkan chalet yang kami hendak menginap itu. Setelah membuat bayaran di kaunter pendaftaran, barulah si isteri yang manis mengetahui perangkap yang telah kami . 

Tanjung Resang

Isteri terperanjat dan sambil senyum tersimpul terlompat kecil keriangan. Tanpa berlengah, anak-anak pun mendorong ibunya untuk masuk ke dalam bilik tersebut. Sekali lagi isteri terperanjat apabila mula mengetahui bahawa semua pakaian dan peralatan telah disediakan. Dia hanya perlu basuh kaki dan melangkah masuk ke chalet sahaja. 

Sekarang terurailah mucung di bibir si isteri dan kini berganti dengan ucapan terima kasih berkali-kali. Senyuman lebar terukir indah. Pagi tadi dia yang kata malas nak masak dan hanya mahu berbaring di bilik, kini isteri yang sama itu jugalah dengan sukarela mengatakan, "malam ini kita nak masak apa?" (hahaha)

Tanjung Resang
Tanjung Resang: Istirahat 

Setelah 15 minit tiba, hujan lebat pula membasahi bumi dan pantai Tanjung Resang. Tidak dapatlah anak-anak dan isteri berendam di dalam laut sana. Lepas Maghrib, Maza keluar dengan isteri mencari makanan di bandar Mersing. 

Pulang ke chalet Sari Jentayu, terus isteri sediakan makanan sambil kami anak beranak berkerumun depan dapur kecil yang kami bawa dari rumah itu. Dengan sebuah periuk tadi, kami mengadap dan memasak 'steam boat'. Sebaik kuah mendidih, gas butane itu pun habis. Maza baru perasan yang isian gas di dalam tabung gas itu cuma tinggal separuh sahaja (hahaha). Sungguhpun begitu, kami sangat seronok menikmatinya. 

Tanjung Resang
Tanjung Resang: Kembalikan keremajaan

Di chalet Sari Jentayu ini turut disediakan kemudahan dewan, tempat BBQ, kawasan perkhemahan dan tandas awam.

Keesokan hari, pagi-pagi lagi Maza dan anak-anak turun ke laut. Mengukur pantai katanya. Berjalan-jalan di gigi air laut sambil menikmati keindahan alam. 

Tanjung Resang berpantai landai, pasirnya putih dan bersih. Airnya kelihatan jernih. Ombak pula tidak kuat menghempas pantai. Selamat untuk anak-anak kecil bermain-main di situ. 

Terdapat beberapa buah chalet dan tapat perkhemahan. Perkhidmatan Boat Hopping juga disediakan selain banana boat. 

Pada kaki pancing, tidak menjadi masalah jika mahu melabuhkan joran di sini. Malah, jikalau hendak memancing ke tengah laut pun boleh. Ada tekong yang menyediakan perkhidmatan sewa bot bagi aktiviti sukan mengail (sport fishing). Anda juga boleh menginap atau mengail di Kelong Acheh yang terletak di tengah laut sana. 

Tanjung Resang

Sebenarnya, banyak tempat-tempat riadah yang menarik di sepanjang pantai di Mersing. Berhampiran Tanjung Resang, terdapat Teluk Sisek, Teluk Godek, Pantai Pasir Lanun, Pantai Penyabung, Pantai Rekreasi, Pantai Air Papan dan Teluk Buih. Antara pulau yang begitu hampir dan boleh dilihat dari pantai Tanjung Resang ialah Pulau Acheh dan Pulau Seri Buat / Pulau Sribuat.

Setelah puas bermandi manda di pantai Tanjung Resang, kami pun pulang dengan hati riang; membawa bersama pengalaman indah. 


Hik hik
Ammak satu kali

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails