Pantai Tanjung Resang, Mersing, Johor: Subuh |
Mersing, Jumaat, 11 September 2020 - Padah mengajak dan berjanji dengan orang rumah bukan boleh dibuat main-main. Kalau tidak dapat ditunaikan akan mendatangkan parah mendalam. Bermuka masam seharian, berjalan seperti gergasi apabila melangkah menggegarkan seisi rumah. Pekakas dapur sudah berbunyi seperti tukul besi memasak paku. Mucung di bibir panjang berdepa-depa. Ini semua penyakit rajuk. 😁😁😁 Kalau tidak dirawat segera, alamat baiti jannati berubah menjadi lubang sempit.
Tanjung Resang: Kuda Laut |
Bagi memujuk gelora di hati isteri, Maza pun berpakat dengan anak-anak hendak membuat kejutan. Bermula dengan meminta Nasrun (anak sulung: 16 tahun) membersihkan kereta, kemudian dalam diam-diam Maza ligat mencari idea hendak menempah sebuah chalet yang mengadap laut.
Tanjung Resang: Bersama |
Tanjung Resang: Kita jaga kita |
Tanjung Resang: Sendiri |
Allah SWT telah menggerakkan hati untuk menghubungi sepupu Maza yang tinggal di Endau, Johor. Syahril telah syorkan sebuah chalet yang menghadap laut China Selatan iaitu Sari Jentayu, Tanjung Resang, Mersing.
Chalet Sari Jentayu ini dimiliki oleh Moksu Ipah (012-794 0506).
Tanjung Resang: Chalet Sari Jentayu |
Tanpa bertangguh, sedangkan jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 12.00 tengahari, Maza terus menghubungi pemilik Chalet Sari Jentayu itu. Berurusan dengan Moksu Ipah cukup mudah. Dalam nada ramah Moksu Ipah yang juga bekas guru bahasa Inggeris di Mersing menyatakan ada kekosongan. Maza pun menempah sebuah chalet untuk tinggal semalaman pada hari itu juga.
Tanjung Resang: Bot nelayan |
Tanjung Resang: Bot nelayan pantai |
Setelah mengetahui tempat dan menempah penginapan, Maza pun menyuruh anak-anak Maza bersiap sedia dengan mengemas pakaian mereka dan ibu mereka sekali. Turut dimuatkan di dalam kereta ialah sebuah dapur kecil mudah alih bersama sebuah tabung gas butane, periuk, mangkuk, sudu dan cawan diletakkan di dalam bakul kelah. Bahan-bahan makanan nanti akan dibeli di Mersing sahaja.
Maza pesan bersungguh-sungguh agar menyimpan rahsia ini.
Tanjung Resang Abu Muaz: "Laju buaiku laju, aku nak kahwin puteri raja, semoga ayah dan ibu, menjadi kaya raya dan berbahagia" |
Usai solat Jumaat, Maza segera pulang. Setelah memastikan semua peralatan yang dipesan tadi telah dimuatkan ke dalam kereta, Maza pun bertemu dengan suri di hati itu. Maza mengakal isteri dengan mengajaknya pergi ke rumah seorang kawan di Mersing untuk menghadiri sebuah majlis hari lahir.
Tanjung Resang: Tinjauan Pantai |
Tanjung Resang: Meneliti |
Asalnya si isteri agak keberatan dan sambil lewa bersiap-siap. Setelah digesa berulang kali, dia pun melangkah longlai memasuki perut kereta.
Dari Kahang ke Tanjung Resang cuma mengambil masa satu jam perjalanan. Sebaik tiba ke lokasi, isteri menjadi tercengang-cengang. Tidak ramai orang di situ seperti disangkanya. Dia tertanya-tanya. Sebelum itu, Maza juga telah berpakat dengan Maksu Ipah tentang hajat Maza untuk membuat kejutan ini.
Maksu Ipah menyambut kami di muka pintu pagar Chalet Sri Jentayu dengan tersenyum simpul dan berwajah manis. Tanpa berlengah, Maksu Ipah terus menunjukkan chalet yang kami hendak menginap itu. Setelah membuat bayaran di kaunter pendaftaran, barulah si isteri yang manis mengetahui perangkap yang telah kami .
Isteri terperanjat dan sambil senyum tersimpul terlompat kecil keriangan. Tanpa berlengah, anak-anak pun mendorong ibunya untuk masuk ke dalam bilik tersebut. Sekali lagi isteri terperanjat apabila mula mengetahui bahawa semua pakaian dan peralatan telah disediakan. Dia hanya perlu basuh kaki dan melangkah masuk ke chalet sahaja.
Sekarang terurailah mucung di bibir si isteri dan kini berganti dengan ucapan terima kasih berkali-kali. Senyuman lebar terukir indah. Pagi tadi dia yang kata malas nak masak dan hanya mahu berbaring di bilik, kini isteri yang sama itu jugalah dengan sukarela mengatakan, "malam ini kita nak masak apa?" (hahaha)
Tanjung Resang: Istirahat |
Setelah 15 minit tiba, hujan lebat pula membasahi bumi dan pantai Tanjung Resang. Tidak dapatlah anak-anak dan isteri berendam di dalam laut sana. Lepas Maghrib, Maza keluar dengan isteri mencari makanan di bandar Mersing.
Pulang ke chalet Sari Jentayu, terus isteri sediakan makanan sambil kami anak beranak berkerumun depan dapur kecil yang kami bawa dari rumah itu. Dengan sebuah periuk tadi, kami mengadap dan memasak 'steam boat'. Sebaik kuah mendidih, gas butane itu pun habis. Maza baru perasan yang isian gas di dalam tabung gas itu cuma tinggal separuh sahaja (hahaha). Sungguhpun begitu, kami sangat seronok menikmatinya.
Tanjung Resang: Kembalikan keremajaan |
Di chalet Sari Jentayu ini turut disediakan kemudahan dewan, tempat BBQ, kawasan perkhemahan dan tandas awam.
Keesokan hari, pagi-pagi lagi Maza dan anak-anak turun ke laut. Mengukur pantai katanya. Berjalan-jalan di gigi air laut sambil menikmati keindahan alam.
Tanjung Resang berpantai landai, pasirnya putih dan bersih. Airnya kelihatan jernih. Ombak pula tidak kuat menghempas pantai. Selamat untuk anak-anak kecil bermain-main di situ.
Terdapat beberapa buah chalet dan tapat perkhemahan. Perkhidmatan Boat Hopping juga disediakan selain banana boat.
Pada kaki pancing, tidak menjadi masalah jika mahu melabuhkan joran di sini. Malah, jikalau hendak memancing ke tengah laut pun boleh. Ada tekong yang menyediakan perkhidmatan sewa bot bagi aktiviti sukan mengail (sport fishing). Anda juga boleh menginap atau mengail di Kelong Acheh yang terletak di tengah laut sana.
Sebenarnya, banyak tempat-tempat riadah yang menarik di sepanjang pantai di Mersing. Berhampiran Tanjung Resang, terdapat Teluk Sisek, Teluk Godek, Pantai Pasir Lanun, Pantai Penyabung, Pantai Rekreasi, Pantai Air Papan dan Teluk Buih. Antara pulau yang begitu hampir dan boleh dilihat dari pantai Tanjung Resang ialah Pulau Acheh dan Pulau Seri Buat / Pulau Sribuat.
Setelah puas bermandi manda di pantai Tanjung Resang, kami pun pulang dengan hati riang; membawa bersama pengalaman indah.
Ammak satu kali