Isteri saya teresak-esak menangis. Hiba sungguh hatinya.
Anak-anak saya semuanya sugul seolah-olah mengerti hal keperitan keluarga yang sedang melanda.
Selama hampir dua bulan, isteri dan anak-anak membelai dan menyantuni
Alif. Ditatang dengan penuh kasih sayang. Dibelai. Dimanjai. Alif itu
bagaikan anak kandung isteri saya.
Alif anak angkat kami. Dia
telah menjadi yatim semenjak lahir lagi. Alif hampir-hampir mati dibunuh
ibunya sendiri. Dua beradik kembarnya sudah lama pergi dahulu mengadap
Ilahi. Tinggal lagi Alif ditakdirkan diselamatkan oleh Aqlan Sholehin
(anak saya berumur 7 tahun).
Ketika Alif hampir-hampir kehilangan
nyawa, Aqlan adalah orang yang telah melindungi Alif daripada penyakit
meroyan ibunya. Alif ketika itu masih bayi lagi, berumur dalam beberapa
hari sahaja.
Aqlan telah membawa pulang Alif. Entah bagaimana
isteri saya kali ini begitu bersimpati dengan Alif dan semenjak hari itu
dia telah merawat Alif sepenuh jiwa raganya.
Aqlan jugalah yang memberikan nama Alif.
Alif telah disediakan tempat beristirahat yang istimewa sekali. Isteri
saya sendiri tidak pernah umurnya, kali ini sanggup berhabis duit
belanja sekolah anak-anaknya, membelikan kelengkapan Alif. Ini
termasuklah botol susu dan susu khas yang berharga premium.
Alif dijaga dan dibelai dengan penuh kasih sayang. Pantang berbunyi, segera isteri saya merawatnya.
Gara-gara Alif juga, emak mertua saya pernah menegur isteri saya agar
berpada-pada. Jangan disebabkan anak angkat ini, anak sendiri dan suami
tidak terbela. Pernah emak cadangkan Alif diletakkan di luar. Tinggal
lagi emak tidak tahu yang Alif sebenarnya tidur sebilik dengan kami.
Kadang-kadang tidur dengan abang sulung angkatnya, Nasrun (13 tahun).
Balik hari raya haji tempohari, puas juga kami memikul dan mengusung
bakul khas, susu dan botol susu Alif untuk pulang ke kampung. Sudah lama
saya tidak buat kerja-kerja itu.
Hik hik.
Tadi ketika saya dan
isteri pulang dari menghantar pesanan "BEKAL", Nasrun dengan sugul
memberitahu Alif sudah sampai hukum alam dan kembali ke rahmatullah.
Alif juga telah selamat disemadikan berhampiran rumah kami. Menurut
Nasrun, Alif meninggal tanpa mengetahui punca dan mati secara tiba-tiba.
Sebaik mendengarkan perkhabaran itu, isteri saya terus
longlai. Menderu-deru air matanya tumpah. Setelah mendapatkan sedikit
kekuatan, dia terus berlari ke atas rumah. Dia mendapatkan kain lampin
dan bakul arwah Alif sambil mendakapnya penuh hiba.
ALLAHUAKBAR!
Siapa yang tak sayang anak, walaupun Alif itu ialah seekor anak kucing?
Selamat jalan Alif. Damailah kau di sana.
|
~rakaman kenangan saat Alif keletihan setelah puas bermain lalu tertidur dalam tudung periuk~ |
ALIF: Dalam Kenangan
*****
Saat dia menangis,
kami bergilir-gilir menyusuinya
Saat dia sakit perut dan buang air,
Kami bergilir-gilir cebukannya
Saat dia kesejukan,
Kami peluknya dan tidur bersama-sama
Saat dia perlukan belaian kasihnya ibu,
Isteri saya sedia memberikan kasihnya.
Damailah Alif di alam sana.
nukilan hempedu