Anak-anak saya semuanya sugul seolah-olah mengerti hal keperitan keluarga yang sedang melanda.
Selama hampir dua bulan, isteri dan anak-anak membelai dan menyantuni Alif. Ditatang dengan penuh kasih sayang. Dibelai. Dimanjai. Alif itu bagaikan anak kandung isteri saya.
Alif anak angkat kami. Dia telah menjadi yatim semenjak lahir lagi. Alif hampir-hampir mati dibunuh ibunya sendiri. Dua beradik kembarnya sudah lama pergi dahulu mengadap Ilahi. Tinggal lagi Alif ditakdirkan diselamatkan oleh Aqlan Sholehin (anak saya berumur 7 tahun).
Ketika Alif hampir-hampir kehilangan nyawa, Aqlan adalah orang yang telah melindungi Alif daripada penyakit meroyan ibunya. Alif ketika itu masih bayi lagi, berumur dalam beberapa hari sahaja.
Aqlan telah membawa pulang Alif. Entah bagaimana isteri saya kali ini begitu bersimpati dengan Alif dan semenjak hari itu dia telah merawat Alif sepenuh jiwa raganya.
Aqlan jugalah yang memberikan nama Alif.
Alif telah disediakan tempat beristirahat yang istimewa sekali. Isteri saya sendiri tidak pernah umurnya, kali ini sanggup berhabis duit belanja sekolah anak-anaknya, membelikan kelengkapan Alif. Ini termasuklah botol susu dan susu khas yang berharga premium.
Alif dijaga dan dibelai dengan penuh kasih sayang. Pantang berbunyi, segera isteri saya merawatnya.
Gara-gara Alif juga, emak mertua saya pernah menegur isteri saya agar berpada-pada. Jangan disebabkan anak angkat ini, anak sendiri dan suami tidak terbela. Pernah emak cadangkan Alif diletakkan di luar. Tinggal lagi emak tidak tahu yang Alif sebenarnya tidur sebilik dengan kami. Kadang-kadang tidur dengan abang sulung angkatnya, Nasrun (13 tahun).
Balik hari raya haji tempohari, puas juga kami memikul dan mengusung bakul khas, susu dan botol susu Alif untuk pulang ke kampung. Sudah lama saya tidak buat kerja-kerja itu.
Tadi ketika saya dan isteri pulang dari menghantar pesanan "BEKAL", Nasrun dengan sugul memberitahu Alif sudah sampai hukum alam dan kembali ke rahmatullah. Alif juga telah selamat disemadikan berhampiran rumah kami. Menurut Nasrun, Alif meninggal tanpa mengetahui punca dan mati secara tiba-tiba.
Sebaik mendengarkan perkhabaran itu, isteri saya terus longlai. Menderu-deru air matanya tumpah. Setelah mendapatkan sedikit kekuatan, dia terus berlari ke atas rumah. Dia mendapatkan kain lampin dan bakul arwah Alif sambil mendakapnya penuh hiba.
ALLAHUAKBAR!
Siapa yang tak sayang anak, walaupun Alif itu ialah seekor anak kucing?
Selamat jalan Alif. Damailah kau di sana.
~rakaman kenangan saat Alif keletihan setelah puas bermain lalu tertidur dalam tudung periuk~ |
ALIF: Dalam Kenangan
*****
Saat dia menangis,
kami bergilir-gilir menyusuinya
Saat dia sakit perut dan buang air,
Kami bergilir-gilir cebukannya
Saat dia kesejukan,
Kami peluknya dan tidur bersama-sama
Saat dia perlukan belaian kasihnya ibu,
Isteri saya sedia memberikan kasihnya.
Damailah Alif di alam sana.
nukilan hempedu