Bakal Doktor Bertanya Dri Zakir Naib Menjawab
Ketika saya belajar di dewan kuliah, acapkali bersoal jawab dengan
pensyarah. Rata-rata pensyarah saya itu bergelar professor dan doktor.
Apabila keliru atau mahukan jawapan pasti, saya akan terus bertanya
kepada mereka sama ada dalam kelas, dewan, auditorium ataupun seminar.
Mereka ini pakar, sudah tentu mempunyai "authority" dalam bidangnya.
Pernah juga saya bertanya soalan nakal. Lazim sekali cikgu saya
itu tetap melayani dengan santun soalan yang ‘mematikan akal’ dan
kelihatan bodoh.
Pensyarah-pensyarah saya itu berperinsip
orangnya. Mereka sering berpesan, jika keliru, punyai soalan dan
bimbangkan pendidikan, maka jangan malu bertanya. Dapatkan jawapan
daripada ahli dalam bidang itu. Biarpun soalan itu nampak tidak cerdik
pada sesetengah orang, tetapi soalan itu jugalah membelenggu sesetengah
orang yang inginkan jawapan pasti dan tuntas daripada ‘pakar’ atau ahli
pengkaji.
Nabi pula pernah menyeru kita agar belajar dan bertanya
jika tidak tahu. Dapatkan jawapan daripada guru yang mursyid, pakar dan
ahli dalam bidang tersebut. Malahan Nabi SAW pernah Allah tegur supaya
menyantuni dan melayani soalan-soalan yang diajukan kepadanya. Jangan
diremehkan walaupun soalan itu soalan yang kelihatan tidak cerdik,
bangang dan tidak setara dengan pengalaman yang kita ada.
Cumanya Nabi menegah kita menyoal kembali sesuatu yang Allah telah tetapkan (dalam al-Quran) dan larangan keras yang
dikeluarkan Nabi SAW sendiri.
Bakal Doktor, Dr. Zakir Naik dan Kita
Bagi saya, sekurang-kurangnya mahasiswi itu berani bertanya untuk
mendapatkan pandangan, pendapat dan ijtihad daripada mulut Dr. Zakir Naik
yang diiktiraf dunia bergelar "pakar", arif, agamawan dan tokoh
dihormati dunia.
Mahasiswa/i ingin belajar dan inilah kaedah
'tabayyun' (menyiasat), mendapatkan fakta dan pandangan daripada orang
yang ahli untuk pelajaran, pegangan dan pendidikan.
Tak usahlah hendak melatah sampai membodohkan mahasiswa itu.
Kalau betul pun mahasiswa itu bodoh, memang patut dan sebab itu dia
bergelar pelajar yang hendak belajar. Kita yang tidak bergelar mahasiswa
ini sudah lebih cerdikkah tanpa mahu mendengar dari mulut pakar
sendiri?
Apa yang kita buat kalau kita hendak kepastian? Hanya
pakai “agaknya, agaknya, agaknya” dan selepas tu taklik membabi buta.
Begitukah jalan yang betul?
Lagipun, Dr. Zakir Naik menjawab
soalan mahasiswa itu secara umum dan tidak pun spesifik. Dr. Zakir Naik
asal dari India, dia sendiri akui tidak berapa maklum keadaan politik
dan kerajaan Malaysia. Dr. Zakir Naik juga memberi jawapan bernas dengan
membuat perbandingan secara menyeluruh.
Janganlah diamalkan
perangai apabila nampak salah orang sedikit sahaja kita sorak sekampung.
Ini tidak membantu pembentukan siasah dan pendidikan diri. Perkara
jelek ini boleh membantutkan keinginan orang hendak belajar. Malah
meningkatkan pula ‘ego’ dan sombong diri terhadap ilmu.
Jika tidak
cerdik, maka hendaklah mengaji dan bertanya kepada guru yang mursyid,
bukannya jadi kera sumbang dengan bersorak tak tentu pasal hanya kerana
mendapat bunga.
Sekurang-kurangnya mahasiswi itu berani
bertanya, kita hanya berani membaca dan ternganga-nganga. Soalan yang diajukan
mahasiswi itu sudah tentu ada sebab musabab tertentu yang kita sendiri
pun kurang jelas puncanya (hanya menurut agakan sahaja bahawa beliau
bertanya sebab begitu begini).
Dengan soalan tersebut akhirnya kita semua sudah dapat jawapan daripada Dr. Zakir Naik. Sepatutnya
berterima kasih kepada mahasiswi tersebut, dengan soalan itu telah
membuka minda kita yang adakalanya lebih hitam gelap gelita
daripada mahasiswa/i itu atau sesiapa pun jua.
Akhir kalam,
janganlah kita menjadi seperti ayam yang bertelur sebiji tetapi riuh
sekampung. Menang sorak, tetapi kain tertanggal (malu).
Wallahualam