‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 12 Mei 2016

ASAM PEDAS IKAN SUNGAI KAHANG


Asam Pedas Ikan Baung.
Warung Asam Pedas Ikan Sungai Nordin, Kg Sri Lukut, Kahang

Asam pedas ikan sungai Kampung Sri Lukut merupakan makanan istimewa dan menjadi kegemaran penduduk setempat. Malahan cara masakan yang begitu istimewa dengan ikan segar dari Sungai Kahang ini memberikan satu keunikan rasa yang begitu enak. Kesegaran ikan dan kemanisannya begitu terserlah. 

Makan asam pedas ikan sungai di sini sudah pasti tidak cukup sepinggan nasi. Mahu tambah lagi dan lagi. Tambahan pula dihidangkan secara panas-panas di dalam mangkuk bersama ulam-ulaman. Jangan ketinggalan, air minuman pula sirap Johor. Menu seperti ini sudah tentu membuka selera kepada sesiapa sahaja, apatah lagi kepada pengemar ikan sungai, sudah tentu 'berhantu' tidak terbilang seronoknya.

Pendek kata, masakan dan makanan paling enak lagi istimewa di Kampung Sri Lukut ialah asam pedas ikan sungai Kahang; 'origin' dari sungai.

Licin (kihkihkih)
 
Warung Asam Pedas Ikan Sungai Nordin terletak di tepi sawah Kg Sri Lukut, Kahang pinggiran jalan utama Jalan Mersing. 

Kg Sri Lukut, Kahang atau juga dikenali Kg Batu 28, Kahang terletak 45 km dari Bandar Kluang ke Bandar Mersing. Jalan Mersing menjadi jalan perhubungan utama ke sini. 

 Warungnya agak tersorok di bawah benteng jalan tetapi mudah ditemui. 

Warung Asam Pedas Ikan Sungai Nordin, Kg Sri Lukut, Kahang terletak di tepi jalan sawah
Jalan Mersing, Kg Sri Lukut Kahang

Asam pedas ikan sungai di Warung Asam Pedas Ikan Sungai Nordin ini sudah mashur. Tersohor sepelusuk Daerah Kluang. Hampir 20 tahun Nordin berkecimpung dalam perniagaan ini. Ramai pelanggan sanggup datang dari jauh semata-mata mahu menikmati asam pedasnya. Rata-rata pelanggan tetapnya datang sejauh bandar Kluang, Mersing dan Nitar dengan perjalanan lebih kurang 30-45 minit. 

Jam 2.02 petang, Warung Asam Pedas Ikan Sungai Nordin mulai melipat meja dan menyusun kerusi.
Kelihatan dua orang pelanggan datang dari jauh yang begitu khuysuk menikmati kelazatan hidangan.

Keistimewaan lain Warung Asam Pedas Ikan Sungai Nordin ialah kedudukannya yang terletak di tepi sawah. Sambil menikmati keenakan makanan di situ, para pelanggan boleh menikmati pemandangan indah sawah Kahang yang saujana mata memandang. Sesekali angin menyapa, menerpa serta menghembus lalu ke tubuh dan wajah yang sedang menikmati kelazatan makan tengahari di sini menambahkan lagi keasyikan suasana kampung; damai, tenang dan menyelerakan. 

Harga yang dikenakan untuk setiap menu amat berpatutan. Sementelah lagi, sebagai pegemar tegar ikan sungai sudah tentu mencari keaslian rasa, kesegaran dan keenakan yang menjadi taruhan. Sekarang ini bukan mudah mahu mendapatkan ikan sungai yang bernilai dan bermutu tinggi. Apatah lagi spesis yang liar, segar dari sungai yang tidak tercemar. 

Kak Nor sedang melayan pelanggannya. Seduk kak, senduk...
kihkihkih
 
Warung Asam Pedas Ikan Sungai Nordin ini dibuka dari jam 10.00 pagi hingga 1.15 petang. Lazimnya akan tutup awal berikutan sambutan yang amat menggalakkan. Jadi, anda perlulah datang awal untuk menikmatinya atau menempah tempat duduk dengan menghubungi beliau (012-726 9169, Nordin / Kak Nor).

Berikutan warung ini menyediakan ikan segar dari Sungai Kahang, menunya amat bergantung kepada hasil tangkapan nelayan sungai di Kampung Sri Lukut, Kahang. Anda boleh menghubungi beliau (012-726 9169, Nordin / Kak Nor) untuk mengetahui menu pada hari tersebut atau memesan makanan yang diidamkan. 

Menu yang sering menjadi PILIHAN UTAMA di warung ini ialah asam pedas ikan baung

Selain itu terdapat aneka masakan lain termasuklah ikan sungai goreng seperti lampam, sebarau, batang susu, putih, kelabau, lais dan sebagainya. Anda juga boleh memesan khusus jenis ikan sungai yang hendak dimasak asam pedas tetapi dengan syarat hubungilah beliau (012-726 9169, Nordin / Kak Nor) terlebih dahulu. 


Ikan kelabau dan sebarau masak asam pedas.


Sememangnya Kampung Sri Lukut, Kahang di kelilingi sungai antaranya ialah Sungai Madek, Temiggol, Parit Mengkarung, Lenggor, Lukut, Galang, Lanjut, Bahai dan lain-lain lagi. Sumber marin di sini masih terpelihara. Kahang masih dilimpahi dengan pelbagai spesis hidupan merin yang bernilai tinggi antaranya ikan sebarau, baung, kelah, belida, patin selain udang galah yang menjadi tarikan istimewa di sini terutamanya kepada kaki pancing.

Sungai Madek; berkubang adalah salah satu aktiviti menarik di Kampung Sri Lukut.
Airnya sejuk dan jernih

Kampung Sri Lukut juga dikenali sebagai perkampungan tradisional dan memiliki produk eko-pelancongan. Delta Kahang menghasilkan padi untuk dijadikan beras dan sumber makanan utama rakyat Negeri Johor. Kedudukan Kahang yang strategik dan di tengah-tengah lembah sungai ini menjadikannya sebuah kawasan yang subur.  

Antara produk eko-pelancongan yang ditawarkan dan berdekatan dengan Kampung Sri Lukut ini ialah Koref Eco Farm Kahang, Taman Rekreasi Hutan Kampung Temiggol, Net Homestay, Taman Negara Endau Rompin dan macam-macam lagi.

Bangau lari  apabila terserempak dengan manusia

Bangau mengerumi padi di sawah


Koref Eco Farm Kahang umpamanya menawarkan resort dengan pengalaman tinggal dalam suasana kampung. Koref Eco Farm Kahang juga menawarkan pelbagai aktiviti lasak dan menarik seperti kayak, penanaman padi, kolam ternakan udang, perkhemahan dan berkubang dalam sawah. 

Sesuai dengan kedudukan Kampung Sri Lukut yang mengalir padanya banyak sungai-sungai yang bersih, tidak tercemar dan jernih ini, menawarkan produk perikanan darat atau perikanan sungai yang bernilai premium. Ikan-ikan yang dihasilkannya bermutu tinggi, manis dan segar. Sumber perikanan ini disumbangkan oleh nelayan-nelayan sungai (darat) yang terdiri daripada anak watan iaitu orang Melayu dan Orang Asal (Asli).

Apabila anda melalui kawasan Kahang ini, jangan lupa singgah di Warung Asam Pedas Ikan Sungai Nordin (012-726 9169, Nordin / Kak Nor).

Jika anda berhasrat hendak mendapatkan sendiri ikan sungai Kahang, anda bolehlah membelinya di gerai-gerai sepanjang jalan tepian sawah Kahang tersebut. Antaranya ialah gerai Halim (Kedah) dan Mat Goli (Batu 26, Kahang).
 
Aktiviti memancing di Sungai Madek
Sekiranya anda ingin mengail sendiri, anda boleh mendapatkan khidmat sampan atau ‘bot fiber’ (bot gentian) dengan saudara Osman Manap (Man Bot: 012-767 8854 ). Terdapat banyak lubuk-lubuk istimewa yang menjanjikan kepuasan melayan ikan-ikan sungai bernilai tinggi dan bermutu.

nukilan anak watan Kahang
blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails