Saujana mata menandang: Sawah padi di Kampung Sri Lukut, Kahang, Johor. |
Saya berjalan di siar kaki lima di tengah kota yang hiruk pikuk. Tiada siapa
yang peduli. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Hidup
nafsi-nafsi. Bingit telinga dengan lantunan bunyi hon menjerit bertalu-talu
apabila ada pengguna jalan raya membuat kesilapan atau empunya kenderaan itu
tidak berpuas hati dengan pengguna jalan raya yang lain.
Saya menyelusuri sebuah gedung pasar raya dan deretan kedai satu persatu.
Seperti biasa, saya berjalan pantas untuk segera ke tempat kerja. Sehingga saya
melalui di hadapan sebuah kedai dan terlihatkan seorang remaja yang saya jangka
sebaya 15 atau 16 tahun duduk bertinggung. Saya gelengkan kepala.
Malas, getus hati saya menghukum.
Tidak jauh dari remaja itu ada sebuah kotak. Kotak berwarna hijau. Di
atasnya lengkap dengan peralatan membaiki kasut. Beberapa helai kain buruk, setin
gam, selonggok tapak kasut dan sebatang tukul getah.
Mana tuan empunya kotak ini?
Biarkan kotak tidak berjaga, kalau dicuri orang, usah menyalahkan sesiapa, hati saya menggerutu di atas sikap tidak
bertanggungjawab pemilik kotak hijau tersebut.
Remaja itu tidak hiraukan persekitarannya. Matanya tertancap ke senaskah buku.
Sekali sekala mengangkat kepala lalu menyedekahkan senyuman. Manis juga
senyumannya. Saya mencebik bibir, mengajuk.
Keesokan hari saya melalui deretan kedai yang sama. Saya terpaksa melalui kaki
lima ini setelah saya dinasihati oleh doktor agar bersenam selalu.
“Kolestrol awak amat membimbangkan, sebab itu awak selalu berasa tidak
sihat. Sekarang awak dalam kategori berisiko tinggi mendapat kencing manis,
darah tinggi dan serangan jantung. Elok cegah sebelum parah. Bersenam dapat
membantu kesihatan awak.” Kata doktor yang merawat saya minggu lepas.
Saya lihat seorang dewasa sedang menghulurkan kaki kirinya di atas kotak
hijau yang saya temui semalam. Dia berdiri sambil membaca surat khabar. Di
hujung kasut itu ligat tangan menyental kekotoran. Kasut itu digilap dengan bersungguh.
Selesai menggosok, tukang gilap kasut mengangkat muka dengan melemparkan sekuntum
senyuman kepada orang dewasa itu. Saya amati wajahnya. Ya, saya kenal. Ini
budak semalam. Ah, telahan saya semalam meleset sama sekali. Saya sangkakan
budak ini sama seperti budak-budak lain yang suka berpelesaran, pemalas, kaki
melepak tidak tentu hala.
“Dua ringgit tuan,” kata budak itu sambil mendongak. Di bibirnya masih mengukir
senyuman.
Orang dewasa itu menggulungkan surat khabar dan menyelitkan di celah
ketiaknya. Dia menunduk ke bawah memeriksa hasil kerja remaja itu. Dia
menganggukkan kepala tanda berpuas hati. Tangan kanan menyeluk saku dan
mengeluarkan dua helai duit kertas. Transaksi pun berlaku.
Setelah lelaki dewasa itu pergi, remaja tadi mengangkat duit dua ringgit
itu diletakkan pada kedua belah mata lalu mengucupnya.
“Alhamdulilah. Terima kasih ya Allah. Pada-Mu kami berharap rezeki yang
barakah,” jelas di raut wajah remaja itu puas dan keriangan.
Anak muda ini menyimpan duit tadi ke dalam saku seluar compang-campingnya. Dia
berbaju lusuh tetapi bersih. Setelah menyimpan, seperti semalam dia
mengeluarkan sebuah buku. Dia membaca. Di sebelah kanannya saya lihat ada sebuah buku
tertera logo sekolah agama.
Dua ringgit? Murahnya. Macam
tak berbaloi dengan kerja yang dibuat, saya berasa aneh. Dalam masa sama perasaan kagum mulai muncul perlahan-lahan. Setidak-tidaknya dia
berdikari, berusaha mencari rezeki sendiri.
Saya membiarkan peristiwa itu berlalu. Di dalam dada terbit perasaan kesal.
Sebagai menebus perasaan buruk sangka, saya nekad untuk kembali bertemu remaja
ini. Esok saya mahu menggilap kasut dengannya pula.
Baru sahaja hendak melepasi budak itu, langkah saya terhalang. Saya terdengar
suara anak muda itu perlahan, tetapi merdu. Dia sedang mengalunkan surah Amma. Saya
terpegun sendirian lantas tertunduk malu. Perlahan-lahan saya mengorak langkah. Saya bertekad esok hendak bertemu dengannya.
Aku perlu bantu anak kecil
ini, tiba-tiba suara hati
saya mendesak.
Keesokan harinya saya keluar awal. Saya mencari-cari anak tersebut. Dari
satu deretan kedai ke satu deretan kedai tetapi saya tidak meneuinya. Anak itu tidak
ada di tempat biasa.
Di hujung jalan sana saya lihat sebuah lori Majlis Bandaraya dan sebuah kereta
polis sedang parkir di tepi jalan. Lampu dari kenderaan itu berkelipan
menyilaukan pandangan. Anggota penguatkuasa ramai berkerumun.
Ah sudah! Habislah nasib
anak itu. Pasti dia kena angkut, saya mulai risau dan perasaan kasihan menyerbu ke sepelusuk ruang jantung.
Saya mempercepatkan jalan. Dari jauh saya lihat remaja yang saya cari itu
sedang memeluk erat kotak hijaunya. Peralatan kasut berterabur di atas kaki
lima. Gam, besi penyendal kasut, tapak kasut, gunting, pisau, benang dan bangku
kecil berselepah. Remaja itu hanya berdiri tercegat, kaku. Penguatkuasa yang
lain sedang sibuk memungut peralatannya.
Saya pun berlari-lari anak pergi ke tempat anak itu.
“Encik kenapa ini encik. Kasihanilah anak ini. Dia tidak buat salah. Dia
sekadar mencari makan di kaki lima ini. Lepaskanlah dia encik.” Saya segera
mendapatkan salah seorang pegawai di situ.
“Eh, kami bukan merampas barangan budak ini. Baru kejap tadi ada penyamun.
Dia meragut seorang perempuan mengandung. Perempuan tu terjatuh dan diseret
bersama beg tangan. Jadi, budak ini kejar. Dia baling semua barang ini ke arah
peragut itu. Besi kasut ni kena ke kepala peragut. Peragut tersungkur, tas
tangan dapat balik. Perempuan tu cedera. Kebetulan kami sedang buat rondaan.
Tu, penjenayahnya dalam kereta peronda. Perempuan tu pun dah di bawa ke
hospital.” Terang pegawai penguatkuasa.
“Err . . . sebenarnya kami sedang buat operasi pembersihan peniaga-peniaga
haram hari ini. Oleh kerana budak ini tidak mempunyai lesen dan dia juga telah
membantu menangkap penjenayah, kami hanya memberikan amaran kepadanya. Dia
tidak boleh berniaga di sini lagi. Kami pun sudah terima komplen. Hari ini barang-barang
niaga budak ini kami tidak rampas. Kami lepaskan. Esok janganlah dia berniaga
di sini lagi,” kata pegawai itu lagi.
Saya tergamam. Dalam masa sama saya tidak boleh menyalah atau mengatakan
anggota penguatkuasa itu kejam. Itu memang tanggungjawab mereka, sudah
termaktub dalam undang-undang. Mereka menjalankan amanah. Saya hanya menganggukkan
kepala tanda faham.
Hari itu saya tidak jadi menggilap kasut dengan remaja tersebut. Saya
tolong kutip segala barangannya yang bertaburan. Anak itu juga mengetahui
bahawa pada keesokan hari dia tidak boleh berniaga di situ. Tiada lagi
perkhidmatan menggilap atau membaiki kasut yang boleh ditawarkan dengan harga
amat berpatutan atau dalam kata lain amat murah.
Anak remaja berpakaian lusuh, berseluar compang-camping tetapi bersih itu
tetap melemparkan senyuman. Entah senyuman itu untuk apa, saya pun tidak pasti.
“Terima kasih pak cik.” Kata anak itu.
“Tak apa. Siapa nama anak?” saya mula bertanya.
“Saya Abu Muaz.”
“Abu Muaz usah bimbang. Abu Muaz masih muda. Masih banyak peluang untuk
berkerjaya. Ini ada sedikit wang, pak cik sedekah pada Abu Muaz.” Saya cuba
memujuk dan membantunya.
“Tak pak cik. Tak. Saya tak boleh terima sedekah ini pak cik. Saya masih
mampu bekerja. Saya tidak layak menerimanya.”
“Anggap ajelah hadiah.” Saya paksa.
Abu Muaz merasa serba salah. Jelas terpancar di wajahnya kegusaran.
“Saya malu pak cik. Besar duit RM50 ni pak cik. Macam nilah, kalau pak cik
inginkan saya terima duit ini, biarlah saya gilap kasut pak cik sekarang. Hati saya
akan tenang dan tidak rasa bersalah.”
“Hmm . . . baiklah,” saya sudah tidak terkata apa, malah saya bertambah kagum
dengan sikapnya.
Selesai dia menggilap kasut yang telah sedia kilat itu, saya serahkan duit
hadiah saya lima keping duit RM10.00. Saya tambah lagi RM12.00 upah gilap kasut.
Abu Muaz memandang tepat ke arah saya sambil di tangannya tergenggam not
RM62.00.
“Ambillah. Pak cik ikhlas. Buat belanja makan.”
“Terima kasih pak cik.” Abu Muaz tertunduk dan memasukkan duit itu ke dalam
saku seluar lusuhnya. Dia sedikit gugup.
Saya tinggalkan Abu Muaz di situ.
Kebetulan hari ini saya tidak bekerja. Jadi, saya pergi ke gedung pasar
raya untuk berbelanja sedikit keperluan rumah. Hampir setengah jam merayau di
gedung ini saya pun keluar dengan tangan kosong. Hati saya tidak tenang. Masih
teringatkan peristiwa tadi.
Sebaik keluar dari gedung itu, saya lihat Abu Muaz berada di tempat yang selalu
dia berniaga di seberang jalan sana. Di hadapan kedai itu dia sedang berkemas. Saya
melemparkan senyuman gembira. Saya fikir mahu mengajaknya minum bersama. Saya
rasa sudah tentu dia belum makan lagi.
Saya cuba melintas jalan. Kenderaan ketika itu banyak. Abu Muaz mula
beredar.
Elok juga kalau aku ikut
sampai ke rumah dia. Boleh juga aku lihat keadaan sebenar Abu Muaz, saya mula mengubah rancangan.
Dalam diam-diam saya mengekori Abu Muaz. Tiba-tiba dia berhenti di kedai
peralatan elektornik. Saya lihat dia membelek-belek sebuah mesin basuh semi
automatik. Dia menyeluk saku dan mengeluarkan duit. Kemudian
menggeleng-gelengkan kepala dan berlalu dari situ.
Saya terus mengintip Abu Muaz lagi. Sampai di suatu selekoh, sekali lagi dia
menyeluk saku. Kali ini saya lihat dia menghulurkan tiga helai duit RM10.00 kepada
seorang tua yang uzur duduk di kaki lima. Pakaian orang tua itu koyak rabak. Di
tangan orang tua ada tempurung. Dengan goyah dia cuba bangun sambil
menunduk-nundukan kepala, barangkali mengucapkan terima kasih. Abu Muaz
menghalangnya dan dia menyuruh orang tua itu duduk kembali.
Abu Muaz teruskan perjalanan. Kali ini dia singgah di surau. Terus sahaja
dia menuju ke tabung surah dan memasukkan dua helai not RM10.00. Setelah itu
dia terus berjalan ke warung. Dia membeli tiga bungkus makanan, kemudian
berlalu dari situ.
Abu Muaz tiba di sebuah rumah usang yang hampir rebah ke bumi.
Persekitarannya agak kemas, cuma di suatu sudut sana lalang sudah meninggi
melepasi paras pingang. Rumput rampai merangkak liar di atas tanah.
Saya lihat Abu Muaz terus mendapatkan ibunya yang sedang membasuh di kali. Ibunya
sedang menghempas-pulas pakaian. Ada tiga bakul kesemuanya. Di ampaian
bersidai banyak pakaian. Ibunya sudah tua dan uzur. Abu Muaz mengajak ibunya
makan. Dari dalam pondok itu keluar seorang lelaki tua mengesot-ngesot. Saya
kira itu ialah ayah Abu Muaz. Mereka pun makan dengan berselera. Padahal nasi
kosong dengan dua ekor ikan dan sejemput sayur sahaja. Mereka makan dengan riang dan nikmat sekali.
Setelah mereka makan, saya keluar daripada tempat sembunyi. Saya menghampiri
mereka sekeluarga, lalu bertanya khabar. Mereka melayan saya dengan baik, malah
menghidangkan air sejuk. Bagi saya itu sudah memadai memadangkan kondisi
mereka sebegini.
Dari perbualan itu tahulah saya yang ayah Abu Muaz ini sudah lumpuh akibat
kemalangan. Dahulu dia seorang pemandu lori, sekarang dia menyara keluarga
dengan membuat kraftangan seperti menganyam bakul dan tikar. Ibu Abu Muaz akan
pergi ke tebing sungai atau paya mendapatkan daun mengkuang. Rotan daripada tokeh Lim Tat, peraih rotan. Hasil itu nantinya akan ditolak kepada tokeh Lim
Tat atau dijual di Pasar Rabu.
Ibu Abu Muaz pula mengambil upah membasuh baju. Dia membuat kerja-kerja
dobi ini sudah hampir lima tahun; semenjak suaminya kemalangan.
Setelah bermesra saya pun bertanya, “Abu Muaz, kenapa duit yang pak cik
beri tadi Abu Muaz berikan kepada orang lain? Kenapa tidak disimpan sahaja atau
belanja untuk keperluan keluarga?”
“Sebetulnya apa yang pak cik berikan itu sudah melebihi keperluan kami.
Ayah dan ibu saya berpesan jangan mengambil atau meminta-minta kepada orang
sedangkan kita ini masih mempunyai kudrat, masih boleh bekerja. Orang tua itu lebih miskin dan susah. Sudah
lama saya kenal dia. Dia orang gelandangan, hidup sebatang kara. Jadi dia lebih
memerlukan daripada kami. Maka saya sedekahkan duit tersebut. Saya hendak berkongsi
rezeki dengannya. Mudah-mudahan hidupnya lebih teratur. Ah, apa yang saya
lakukan itu hanyalah pertolongan kecil daripada keupayaan yang saya ada.” Nyata
Abu Muaz tertunduk malu. Mukanya merah padam.
Mendengarkan jawapan Abu Muaz itu seolah-olah pipi saya ditampar.
“Tempoh hari pak cik dengar Abu Muaz mengaji. Merdu. Abu Muaz belajar daripada siapa?”
“Ayah saya mengajar saya dan saya sedang berusaha menghafal 30 juzuk al-Quran.”
Perlahan suara Abu Muaz.
Saya tidak sanggup tinggal lebih lama. Empangan air mata saya boleh pecah
bila-bila masa di hadapan mereka. Selepas beberapa ketika, saya pun bersalaman
dan cepat-cepat pulang.
Malamnya saya membuka kitab al-Quran bersama tafsiran. Sudah berhabuk kitab
satu ini yang ditinggalkan oleh arwah ayah. Entah bagaimana saya terpandangkan
tafsir surah al-Balad, ayat 4-17:
Sungguh,
Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah. Apakah dia (manusia)
itu mengira bahawa tidak ada sesuatu pun yang berkuasa ke atasnya? Dia
mengatakan, “aku telah menghabiskan harta yang banyak.” Apakah dia mengira
bahawa tidak ada sesuatu pun yang melihatnya? Bukankah Kami telah menjadikan
untuknya sepasang mata, dan lidah dan sepasang bibir? Dan Kami telah
menunjukkan kepadanya dua jalan (kebaikan dan kejahatan). Tetapi dia (kamu)
tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar? Dan tahukah kamu apakah jalan yang
mendaki dan sukar itu? (Iaitu) melepaskan perbudakan (kezaliman, kesusahan)
atau memberi makan pada hari terjadi kebuluran kepada anak yatim yang ada
hubungan kerabat atau orang miskin yang sangat fakir. Kemudian dia termasuk
orang-orang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan
untuk berkasih sayang.”
Di sepanjang malam itu hati saya begitu hiba. Tersentuh. Iris mata tidak
mampu menampung kebanjiran air mata. Saya menangis, sebak dan menyesal. Esok saya
bertekad mahu datang lagi. Saya fikir saya perlu melakukan sesuatu untuk
keluarga ini. Saya mahu tebus segala kesalahan sangka buruk saya terhadap Abu Muaz.