‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 27 Januari 2016

ORANG KAMPUNG vs ORANG BANDAR MEMBELI BELAH DI PASAR RAYA

Saat maza di kampung lewat 80-an dan awal 90-an kalau turun ke Bandar Kluang untuk membeli belah (window shopping) pastinya akan mengenakan pakaian yang terbaik dan penuh gaya. Macam-macam fesyen dikenakan (ada juga emak paksa kenakan).

Konon katanya jangan jadi rusa masuk kampung, janggal. Jangan sampai ada yang mengata si polan anak si polan selekeh bagai orang Sakai turun ke pekan, jakun.

Biasanya orang kampung seperti maza dari Kg Sri Lukut, Kahang akan ke supermarket seperti NILAI dan CHAMPION hendak membeli atau mencari sesuatu kelainan. Lazimnya mencari alat-alat tulis, buku sekolah, baju dan seluar. Kami tidak membeli belah barangan basah/dapur di sini, kalau ada pun amat jarang sekali.

Pasar raya ini juga dijadikan tempat berpeleseran atau melepaskan lelah bila penat 'mengukur jalan' ke hulu ke hilir. Pedingin hawa cukup untuk menyejukkan badan sambil 'usha' anak dara atau orang kampung yang menjengah-jengah di situ.

Hari ini setelah bermustautin di bandar metropolitan, perkara-perkara seperti itu sudah berubah. Maza kerap berbelanja barangan dapur di pasar raya. Semuanya ada di bawah satu bumbung.

Namun apa yang lebih ketara ialah corak dan gaya berfesyen ke pasar raya juga berubah. Tidak lagi bergaya sakan dengan berbaju baru, berseluar kemas siap berbedak atau bersikat belah tengah. Sikat dan sapu tangan 'key' tersentil di kocek belakang seluar.

Maza mengenakan pakaian yang ringkas sahaja. Ala kadar. Berkain pelikat dan berselipar tanpa mempedulikan hal orang sekeliling. Sambil menjinjing barangan yang dicari, saya terus ke kaunter bayaran dan beredar.



Siapa pernah bergaya berkain pelikat dan baju tidak bergosok ke pasar raya, sila angkat ibu jari. Hik hik...

~ammak satu kali~




Rabu, 13 Januari 2016

KEMBARA ANAK BERANAK TAK BERAPA NAK BERPINAKLAH PULAK


Sabtu, 9 Jan 2016 - Sampai Kampung Sri Lukut, Kahang jam 11.45am dengan anak sulung Nasrun. Kami bersemangat pulang ke kampung halaman. Subuh lagi sudah bersiap. Teruja.

Sebetulnya pada dini subuh itu maza telah mengakal isteri.

"Abang ni bersiap-siap hendak ke mana?" tanya isteri.

"Ada hal kecemasan. Baru teringat ada kerja belum siap di ofis."

Ketika itu suara maza memenuhi ruang rumah kecil tiang entah berapa ribu entah ini. Maza mengejutkan anak-anak untuk solat subuh. Dalam kekecohan anak-anak mengambil wuduk, maza mengajak Nasrun untuk menunggang "kuda" Cik Silvy. Apa lagi, disahutnya dengan riang.


Sudah sampai tapi, tapi....


Perjalanan dari rumah seputar KL ini ke kampung itu mengambil masa lima jam. Sengaja maza tidak memecut gegak gempita tak berjejak tanah. Maza ingin menikmati setiap detik perjalanan bersama Nasrun. Lagi pula maza maklum bahawa gerakan ops lalulintas oleh pasukan keselamatan sedang giat dijalankan (hik hik).

Dalam perjalanan yang jauh itu, maza cuba mengasuh Nasrun untuk menangkap gambar pemandangan (scenery & landscape) dari atas kuda besi ini. Setidak-tidaknya Nasrun tidak mengantuk atau bosan.


Sebaik sampai destinasi, tak sempat motor bertongkat, salam dilaungkan bertalu-talu, tanda tak sabar dan ghairah. Hampir seratus kali tapi tiada siapa yang menyahut. Senyum lebar berahi bertukar resah. Emak dan seisi rumah tak ada. Puas memanggil dan pukul telefon tapi tak berjawab.


Inilah bahana hendak buat kejutan. Sudahnya terkejut dan terkulat-kulat sendirian.

Dalam hati mula bertanya, tengahari ni nak makan apa? Malam ni nak tidur mana? Huk huk.

Sekonyong-konyong melintaslah si Lanun di depan mata. Tanpa betah, segera bertanyakan ke manakah tuannya pergi. Sambil muka toya, Lanun meleset-lesetkan tubuh. Eh, dia minta makanan pula pada kita. Haderk!

Lanun sedang membuat muka sadisnya.

Mujur juga ada si kucing Lanun ini. Malam nanti bolehlah dia jadi lawan cakap, penghibur dan peneman tidur. Setidak-tidaknya dapat jugalah memanaskan badan. Uhuk!

Krik krik!

(Nampaknya, tidur di luar atas pangkinlah malam nanti)
Ammak satu kali...

nukilan lantun-lantun:
 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails