Saat maza di kampung lewat 80-an dan awal 90-an kalau turun ke Bandar Kluang untuk membeli belah (window shopping) pastinya akan mengenakan pakaian yang terbaik dan penuh gaya. Macam-macam fesyen dikenakan (ada juga emak paksa kenakan).
Konon katanya jangan jadi rusa masuk kampung, janggal. Jangan sampai ada yang mengata si polan anak si polan selekeh bagai orang Sakai turun ke pekan, jakun.
Biasanya orang kampung seperti maza dari Kg Sri Lukut, Kahang akan ke supermarket seperti NILAI dan CHAMPION hendak membeli atau mencari sesuatu kelainan. Lazimnya mencari alat-alat tulis, buku sekolah, baju dan seluar. Kami tidak membeli belah barangan basah/dapur di sini, kalau ada pun amat jarang sekali.
Pasar raya ini juga dijadikan tempat berpeleseran atau melepaskan lelah bila penat 'mengukur jalan' ke hulu ke hilir. Pedingin hawa cukup untuk menyejukkan badan sambil 'usha' anak dara atau orang kampung yang menjengah-jengah di situ.
Hari ini setelah bermustautin di bandar metropolitan, perkara-perkara seperti itu sudah berubah. Maza kerap berbelanja barangan dapur di pasar raya. Semuanya ada di bawah satu bumbung.
Namun apa yang lebih ketara ialah corak dan gaya berfesyen ke pasar raya juga berubah. Tidak lagi bergaya sakan dengan berbaju baru, berseluar kemas siap berbedak atau bersikat belah tengah. Sikat dan sapu tangan 'key' tersentil di kocek belakang seluar.
Maza mengenakan pakaian yang ringkas sahaja. Ala kadar. Berkain pelikat dan berselipar tanpa mempedulikan hal orang sekeliling. Sambil menjinjing barangan yang dicari, saya terus ke kaunter bayaran dan beredar.
Siapa pernah bergaya berkain pelikat dan baju tidak bergosok ke pasar raya, sila angkat ibu jari. Hik hik...
~ammak satu kali~