‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 29 September 2015

Bila Ikan Gelama Kering Bakar, Ubi Kayu Bakar dan Sambal Tumis Ikan Bilis Menyengat, Baru Padan Muka

Ikan glama kering bakar


Kota Damansara hujan. Sejuk menyelinap ke tulang sumsum hitam.

Perut berkeriuk, kelaparan. Mulut minta disuap makanan. Saya jengah sana sini, terlihat akan ikan masin gelama. Bawah dapur pula ada ubi kayu. Saya tersenyum. Ada projek yang boleh dijalankan.

Mendung di luar masih pekat. Awan gelap menyelimuti langit. Dahulu di musim tengkujuh di Kampung Sri Lukut, Jalan Temiggol keadaan seperti ini petanda bah bakal menyapa.

Hujan-hujan sebegini orang kampung diam berkurung. Duduk di anjung atau bersila panggung di atas tangga melihat titis-titis hujan menerpa atap dan menitis di bumbung. Air hujan yang mencurah-curah dari rabung terbiar mengalir membasahi bumi kampung. Tiada seorang pun yang berdaya menahan ketentuan Illahi.

Ayah menggaru kepala. Tidak menoreh atau ke sawah lagi hari ini. Hati penuh resah. Perut dan tekak anak-anak perlu dibasah dengan minuman dan menjamah makanan. Ligat memikirkan mulut dan perut si kecil mungil. Mudah-mudahan hari ini tidak kembung dek angin, kelaparan atau kesejukan.

Ayah tak cepat mengalah. Otak menderu mencari akal. Jaring dan gombang segera dibentang bidang. Rezeki banjir siapa yang boleh sangka atau diseka. Ayah tersenyum, rusuh di hati tenang seketika. Tampak bibirnya kembali menguntum senyuman. Mungkin rezeki dari Sungai Teminggol, Parit Mengkarong, Sungai Madik, Sungai Lanjut, Sungai Kahang, Lubuk Jambu, Sungai Lenggor akan membuahkan hasil. Sepat, lampam, sebarau, tapah, jelawat, putih, lais, inggil-inggih atau pun inang dan seluang, itu semua rezeki yang tempat keluarnya dari bumi Kahang. Lebih untung dapatlah menjamah undang galah.

Sambil memasang jaring atau menahan gombang di pondok, ayah boleh memasang jebak dan jerat. Biasanya binatang akan keluar dari hutan dara ini untuk menyelamatkan diri atau berkeliaran mengisi perut menyambung nyawa. Kalau jerat mengena, merasalah seisi rumah daging landak, napuh, kancil, kijang, ayam hutan dan rusa. Pesan ayah, jika jerangkap mengena lembu, kambing atau kerbau di pinggir hutan itu jangan diambil. Panggil Tok Ketua Kampung. Jika bernasib baik dan Tok Ketua Kampung izikan, kita boleh kenduri sekampung. Kalau sebaliknya, kenalah pulangkan binatang al-an'am tu kepada empunya nya. Entah milik Pak Lebai Talib, Imam Salehan, Tok Noja Tompang, selain tuannya ialah Tok Ketua Kampung.

Ikan gelama kering bakar: Tak ada kayu api, bakar atas dapur gas pun jadilah

Musim monsun baru bermula. Jadi, pesta seperti itu belum tiba. Biasanya tatkala seperti ini atau di saat rabak, sesak duit di poket, emak panjang ilhamnya. Ubi kayu dilonggokkan di atas dapur. Kemudian, kayu api dihimpunkan menimbun. Api dinyalakan membakar ubi kayu. Tungku diletak beralaskan batu bata. Kemudian kuali ditenggekkan. Setelah minyak cukup panas, bawang, ikan bilis dan lada kering giling dihumban ke dalamnya. Selepas pecah minyak, air asam jawa, garam dan gula dimesrakan bersama. Selesai masak sambal tumis itu, kini giliran ikan kering pula. Ikan gelama tadi dilayur di atas bara. Dibakar hingga harumannya memenuhi ruang dapur. Baunya dapat dihidu sepelusuk rumah menyebabkan perut kecil kami memalu bertalu-talu tidak dapat menahan gelodak 'asmara' itu.

Cerek hitam berbontot arang ditonggeng menuangkan air panas ke dalam teko. Dua teko, satu teh o dan satu kopi o kaw.

Hidangan pun dibawa ke hadapan, ke pangkin atau ke tempat ayah mengelamun sambil memerhatikan deruan hujan. Ayah menyambut kehadiran emak dengan leret senyuman acuh tak acuh. Emak membalasnya dengan perasaan bangga. Kami adik beradik sudah lama berkerumun, semenjak haruman ikan gelama memenuhi ruang hidung dan paru-paru. Kami tahu, pasti emak akan cari ayah.

Sebaik dulang terletak, emak dan ayah menyiang ubi kayu bakar hitam untuk kami santap bersama sambal tumis dan ikan gelama bakar. Kami adik-beradik berebut-rebut menerkam, tak tahan sabar menikmatinya. Emak kecuh mengurus satu persatu. Becok mulutnya hingga menenggelamkan riuh hujan menimpa atap. Sekali lagi ayah melemparkan senyuman. Inilah bahagia, "makanlah anak..., alhamdulillah."

Jumaat, 25 September 2015

Barisan Pahlawan Lama dan Masa Depan

Beberapa bulan lepas maza dan keluarga sempat melawat Muzium Negara. Ketika ini ada pameran berkenaan Senjata dan Perang.

Kebetulan pula ada sebuah gambar pahlawan Melayu yang besar kedabak. Teringin pula menyelusuri kehebatan mereka. Dapat rasa aura mereka dengan bergambar di sisi pemerintah dan pahlawan itu pun jadilah (hik hik).

Sultan Ahmad bersama pengikutnya lengkap bersenjata lembing dan tombak semasa Persidangan Durbar di Kuala Kangsar, 1897. Bersama-samanya kelihatan tiga orang anak muda yang sedang menyerap aura pendekar dan pahlawan Melayu masa silam iaitu sebelah kiri sekali Nasrun Hakim, Tengah Aqlan Sholehin dan kanan Daniel Hakim.


Gambar di atas merupakan rakaman peristiwa di Persidangan Durbar Pertama di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada tahun 1897 iaitu Sultan Ahmad (Sultan Negeri Pahang) bersama-sama pengikutnya.


Persidangan Durbar juga dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu yang bermesyuarat bersama-sama Gabenor dan Residen Inggeris.

Kesengsaraan vs Keamanan, mana satu pilihan?

Syukur kita hidup dalam keadaan aman. Keamanan ini janganlah digalang ganti dengan kesengsaraan akibat daripada sikap sombong, penting diri, dengki, rasuah, gelojoh dan berpuak-puak. Tanganilah segala permasalahan dengan semangat perpaduan, keinsafan, dan keadilan.

Maza pula bukanlah pendokong tegar pahlawan Jamal Pak Tongkol merusuh sana sini...hik hik hik


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails