‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 31 Disember 2014

SEDEKAH BARANG LUSUH & BURUK


Disember 2014 - negara kita sekali lagi menghadapi dugaan yang hebat. Banjir menenggelamkan hampir keseluruhan negeri Kelantan. Pantai timur dilanda bah besar. Musibah ini menjadikan Kota Bahru, Kuala Krai, Gua Musang, Temerloh lumpuh keseluruhannya. Malah hospital Kota Bahru turut tenggelam hingga menyebabkan mereka yang mengalami masalah kesihatan kritikal terpaksa berpindah randah bersama tong oksigen dan menghadapi situasi sangat getir. 

Sesuai dengan semangat rakyat Malaysia yang sememangnya amat perihatin, 1Malaysia digerakkan bagi membantu mangsa-manga banjir. Berlambak-lambaklah sukarelawan dan tabung-tabung bencana dibentukkan. Hal ini juga melibatkan pusat-pusat pengumpulan barangan untuk disedekah dan diedar kepada mangsa. 

Namun dalam usaha-usaha murni tersebut berlaku juga "calar" yang kurang enak. Rungutan berkumandangan di sana sini. Termasuklah perihal mengambil kesempatan, "menangguk di air keruh".

Ada juga rungutan sukarelawan terhadap penderma yang menghulurkan barangan lusuh dan tidak boleh dipakai di pusat-pusat pengumpulan dan edaran kepada mangsa. Antara barangan yang diterima mereka ialah pakaian lusuh, buruk, tidak lengkap, koyak rabak dan sebagainya.

Sebaliknya, jika itu sahaja yang para penderma ada (pakaian lusuh, buruk, beg usang, kertas surat khabar, buku lama, buku koyak rabak, botol) dan mereka mahu menyumbangkan sedayanya, malah ikhlas. Adakah kita yang menjadi sukarelawan ini layak menempelak mereka dan menuduh mereka tidak ikhlas, menjadikan tempat itu pembuangan sampah atau pelupusan barangan tidak terpakai? Apakah dek kerana menjadi sukarelawan maka darjat kita lebih tinggi?

Sebaliknya, bersangka baiklah sebelum pahala kita bertukar riak, sombong atau bongkak.

Jika baju atau pakaian tidak lengkap seperti baju kurung dengan kain tidak ada, "seluar dalam" tidak disertakan sama, coli terpakai, langsir tidak sedondon; maka pakaian tersebut masih juga boleh digunakan waema dijadikan pengelap kaki sekalipun. Ada bahagian pakaian-pakaian sebegitu, digunakan untuk keperluan tertentu, seperti dibuat pakaian basahan atau harian di rumah. Paling tidak dibuat lap lantai yang berlumpur di pusat-pusat banjir atau di rumah-rumah yang dilanda musibah.

Manakan mungkin pakaian yang elok-elok, kain cantik-cantik, tudung mengerlip mahu dibuat pengelap lantai berlumpur, bukan? Maka dengan kain baju dan beg usang itulah diguna dan dinisbah ke tempat yang sesuai. Ini juga diperkira modal dan kebajikan untuk kebersihan dan kebaikan, terutama pasca banjir yang memerlukan peralatan dan tenaga untuk mengurusinya.

Kata orang Jerman, "be creative, less complaint". Sama-sama kita lakukan dengan ikhlas.

Di tempat pusat pengumpulan maza, kami juga ada menerima buku lusuh dan surat khabar lama selain pakaian tersebut. Namun kami memanfaatkannya dengan bersangka baik dan bakal menggunakannya untuk perkara-perkara yang bersesuaian dengannya, seperti mengalas makanan, tempat duduk, membersihkan atau mengelap meja dan sebagainya.

~Sukarelawan dan mangsa: Perlu bersyukur dan ikhlas kerana lubuk keredhaan serta pahala itu makamnya letaknya di situ.~

Nukilan lantun-lantun:
 


Khamis, 11 Disember 2014

Mamat Wujud



Tahun 1991 - Maza mula berjinak-jinak bermain gitar kapok. Saat itu baru mencicah usia pertengah remaja dan SRP baru sahaja berlalu. Antara guru yang mengajar maza ialah Ujang (anak Pak Jantan abangnya Julia Sabri).

Selepas solat Maghrib sementara menantikan solat waktu Isyak di Masjid Abdul Rahman Kahang masuk maza dan rakan-rakan (termasuklah Aleemhumayraa Muhammad, Azhar Aziz-Jahai, Md Yazid Yahya) selalu melepak di kedai Pak Lebai (Intan Norlela). Kami berdendang dan mendengar abang-abang senior seperti Supaat, Ijam, Rosli (Katak), Emy, Amy (Muhammad atau Anak Haji Abu Bustani), Osman Bustani dan lain-lain bermain gitar serta menyanyi.

Selain di kedai Pak Lebai, port (tempat bersenandung) saya berguru di kedai Pak A'ap (Faris Kazkashiki). Guru saya di situ pula ialah abang Ajis (anak Jemari), Ariey (anak Pak Ghani dan Kak Iham) dan beberapa orang lain yang saya tidak ingat namanya.

Daripada mereka inilah saya terinspirasi. Kononnya mahu menjadi artis (uwek!).

Sesuai dengan perkembangan remaja dan zaman itu, antara lagu-lagu yang biasanya didendangkan ialah dari kumpulan EXIST seperti lagu Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan dan lain-lain. (hari ini jika dipinta memainkan lagu-lagu tersebut, jawabnya memang sumbang memanjang. Jejari dah keras kematu. Ahaks!).

Maka tidak hairanlah mengapa Mamat Exist begitu dekat dengan generasi seperti kami. Lagu-lagunya melatari hidup kami di sepanjang meniti alam bernama dewasa.

... Jeda ...

Alkisah maza tertonton rancangan Konsert Gegar Vaganza di saluran Astro 105 yang menampilkan Mamat Exist, semerta-merta terimbau kenangan-kenangan lalu. Antaranya ialah bagaimana di malam hari maza curi-curi mengusung gitar buruk ke hulu ke hilir mahu berguru. Ada masanya maza mencuri memandang, mendengar dan melihat skill bermain gitar dari pemuda-pemuda kampung dan juga bandar.

Melihatkan wajah Mamat Exist tempoh hari dengan bawaan nyanyian, suara dan air mukanya menyebabkan maza menelan air liur lalu terasa sebak sendirian. Terutama apabila terkenangkan nasib beliau yang pernah hidup dalam serba tak menjadi dan terlibat dengan beberapa gejala negatif.

Maza fikir itu adalah pengalaman Mamat Exit yang lampau. Hari ini maza berdoa agar Mamat Exit sihat dan mampu pulih daripada kecundangan hidup. Saya juga berharap dia dapat kembali mewarnai industri seni tetapi dalam bentuk lebih bermaruah dan mendidik jiwa.

Konsert Gegar Vaganza merupakan sebuah pertandingan menampilkan artis-artis era 1990-an. Konserta Gegar Vaganza ditayangkan di Astro 105 dengan siaran langsungnya pada setiap hari Ahad. Mungkinkah Mamat Exit menjadi juara dan menggondol hadiah wang tunai RM100,000?

Nukilan lantun-lantun oleh

Sabtu, 6 Disember 2014

Rubber: Punca Tak Dapat Balik Kampung


"Aminah, bagi saya rubber awak?" Kata saya dengan lunak. Di fikiran kusut sedang berserabut. Di sana sini laporan yang Aminah sediakan ada kesalahan. 

Entah mana silapnya, Aminah tidak menjawab sepatah pun. Biasanya dia tidak begitu. Dia gadis periang. Cantik orangnya. Seorang kerani yang ringan tulang dan suka membantu saya. 

Saya menoleh ke wajah Aminah yang berada di belakang. Muka Aminah kelihatan merah padam. Serentak itu juga dia menghentak kaki dan menghempaskan buku laporan tahunan dengan kuat. 

"PANG!!!" 

Semua yang berada di dalam pejabat terperanjat. Bunyi hempasan itu memekakkan telinga. 

"Saya bukan perempuan yang Encik sangkakan itu! Huh!" Tempik Aminah ke muka saya. 

Saya terpana. Gamam memikirkan angin Aminah yang tiba-tiba berubah. 

Dua hari selepas itu saya dipanggil ke bilik Pengarah. Boss menghulurkan sepucuk surat. Di atasnya tertera perkataan, "sex harassment" (Gangguan Seksual). Pengadu "Aminah binti Zahiruddin". 

"Apa semua ni? Cuba awak jelaskan. Saya memang tidak menyangka awak boleh berperangai jelek seperti itu." Tegas boss. 

"Eh, apa yang yang tak kenannya tuan. Saya tak faham." Memang saya tidak mengerti. Saya tiada jawapan. Saya tidak tahu menahu punca perkara ini terjadi. 

"Apa salah saya tuan? Ini fitnah tuan!" 

"Aminah mengadu kepada saya yang awak hendak merabanya dua hari lepas semasa di pejabat selepas jam 3.00 petang. Awak miang! Perkara ini saya tidak boleh benarkan berlaku di pejabat ini. Tindakan tatatertib akan dikenakan. Biar menjadi pengajaran kepada kakitangan yang lain!" 

Saya benar-benar tersentak. Saya tidak menyangka perkara memalukan ini berlaku ke atas saya. 

"Begini tuan. Ini semua salah faham tuan, antara saya dan Aminah. Saya tidak pernah meminta atau berniat mahu meraba Aminah. Apatah lagi merosakan anak gadis baik seperti dia. Saya amat menghormati Aminah, lebih-lebih lagi dia seorang yang sentiasa menjaga tingkah laku, berbudi pekerti mulia dan menutup aurat." 

"Habis tu, versi apa pula awak nak ceritakan ni? Awak jangan nak kelentong!" Sergah boss. 

Boss segera memanggil Aminah masuk ke dalam bilik. Biar Aminah dengar sendiri. Biar Aminah menjadi saksi dan dia juga menjadi bukti. 

Kami berdua mengadap boss. Gugup saya masih ada. Saya gagahkan juga. Cekal melawan resah agar hati menjadi tenang dan berani membela diri. 

"Sekarang kamu cerita di depan Aminah versi pembelaan...atau cerita cubaan kelentong kamu pulak." 

"Begini tuan, maksud saya minta 'rubber' Aminah tempoh hari bukannya minta izin atau mengugut Aminah di atas kesilapannya membuat laporan. Apa yang saya maksudkan ialah 'pemadam pensil'. Di kampung saya, di Johor, kami panggil pemadam itu 'rubber'. Bukannya hendak 'meraba'; perbuatan yang tak senonoh itu." 

"Ooo…begitu." Mulut Aminah dan boss jadi bundar. Mata mereka terbeliak sambil terangguk-angguk. 

Ketika saya memandang tepat ke anak mata Aminah, segera dia mengalihkan pandangan. Dia merenung ke lantai sambil menguis-guis kaki berkasut hitam. Mukanya ditundukkan. Senyuman lebar segera disorok dalam kain tudung. Dari sisi sempit itu, mata saya sempat menyelongkar wajahnya yang merah keputihan berselindung tudung bidang enam inci. Aminah tersipu-sipu. 

Saya memandang boss pula. Matanya terbeliak ke kiri memandang siling. Kumisnya terangkat mengekori bibir atas mengherot ke kiri juga. Bibir bawah terjuih ke sebelah kanan hingga menampakkan gigi. Manakala ke dua-dua belah tangan diangkat tinggi-tinggi dengan kesepuluh jejari diletakkan di atas bahu. 

"Uweekkk." Sepontan suara boss terpacul. 

~Dengan kisah tersebut juga saya memberikan alasan bahawa hujung minggu ini saya tidak boleh pulang ke kampung halaman. Dari corong telefon emak pun menjawab, "Uweekk." Saya yakin emak saya mempercayainya dan tidak meniru perbuatan boss saya itu~

 Nukilan lantun-lantun: maza

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails