‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 29 Mei 2014

Al-Quran Buruk dan Atuk Dara


Rotan jadi lidi 'penunjuk'. Kak Syidah sedang mengajar mengaji di Masjid Kg. Sri Lukut, Kahang


Kg. Sri Lukut, Kahang, Johor (1980-an) – Lewat waktu itu pastinya ramai di antara kita mengalami situasi seperti di dalam gambar di atas. Mengaji secara talaqi dengan guru al-Quran.

Demikian juga dengan maza. Pada awal mengenal alif, ba, ta dan saat membaca muqaddam, emaklah yang menjadi gurunya. Adakalanya ayah yang mengajar kami adik beradik. Sungguhpun begitu, kami lebih senang apabila emak yang mengadap dan mengajar kami berbanding ayah.

Ayah cukup istimewa. Tidak perlu pun mengajar kami secara mengadap di hadapan muqaddam. Sambil meluruskan badan di tiang seri ataupun duduk di atas kerusi malas dan menonton tv hitam putih, dia mampu mengajar kami. Mengaji dengan ayah kena berhati-hati. Fokus kena tinggi. Tekun itu wajib. Kalau salah membaca, suaranya akan lantang bergema. Berulang lagi salah, lagi kuat suaranya memecah alam. Kali ketiga salah, bingit telinga kena herdik. Masuk kali keempat salah juga, rotan melibas di atas lantai atau "zappp!" sekeh atas kepala.

Berbeza dengan emak. Dengan emak, masih boleh bertoleransi. Boleh berdolak dalih. Paling tidak pun dia sekadar meninggikan suara. Pernah juga kami protes dengan emak, seperti merajuk. Hanya mengadap muqaddam tetapi tiada bunyi terkeluar, satu makhraj pun tidak terpacul dari peti suara. Semuanya gara-gara radang dipaksa mengaji Maghrib itu.

Sepertimana latar belakang biasa di desa-desa zaman itu, waktu perdana kami mengaji ialah selepas solat Maghrib. Lewat petang sebelum matahari terbenam dan mega-mega merah muncul, pelita-pelita mula diisikan minyak tanah. Selepas itu kami pergi ke pelantar bilik air untuk mandi. Usai mandi, salin pakaian dan memasang api pelita. Kemudian letakkan pelita di tempat-tempat lazim yang telah disediakan. Segala jendela yang terkangkang ditutup kesemuanya. Setelah mendengar kentung sayup-sayup dari surau Jalan Temigol, pintu rumah disendal rapat dan solat Maghrib mula ditunaikan.

Kalau emak terlalu sibuk dan lewat menanak nasi, selesai memberi salam terus sahaja emak beredar ke dapur. Mulalah irama bunyi-bunyian periuk dan belanga kedengaran. Kosekan beras mula bertingkah dengan suara katak, ungas dan cengkerik. Emak mula menenggekkan periuk untuk menjerang air dan memasak lauk di atas dapur kayu. Asap dari kayu api adakalanya menjulang tinggi, berkepul-kepul menghasilkan sawang.

Kami adik-beradik mula mendakap rehal dan muqaddam. Duduk bersila di balik bedul pintu dapur. Di situ kami mula melantunkan suara lunak masing-masing untuk mengaji. Sepelusuk kampung sayup-sayup diselubungi suara anak-anak kecil mengalunkan bacaan al-Quran.

Ketika maza berusia 12 tahun, emak menyerahkan maza kepada Atuk Dara untuk belajar mengaji al-Quran. Rumah Atuk Dara berjiranan dengan rumah kami. Jaraknya sepelaung, kalau mengesot sejam boleh sampai. Kalau belari  tiga minit boleh tiba. Nama sahaja Atuk Dara, tetapi dia sudah lama menjanda. Mula saat itu, rutin maza sudah berubah. Tambahan pula ketika itu kampung sudah dilimpahi nikmat cahaya lampu elektrik kalimantang. Petik sahaja suis di dinding, cerah sepenuh ruang. Tidak ada lagi istilah perlu mengorek lubang hidung sebelum pergi ke sekolah untuk membersihkannya dari jelaga pelita.

Cara Atuk Dara mengajar mengaji juga tidak kurang hebatnya. Selalunya kami saling duduk mengadap depan al-Quran. Adakalanya Mak Busu Maimoon mengambil alih tempat Atuk Dara untuk mengajar maza. Mak Busu Maimoon pernah menyertai musabaqah peringkat Daerah Kluang dan mendapat tempat nombor tiga ke atas. Semuanya hasil asuhan Atuk Dara dan ustaz di sekolah agama.

Kadang-kadang terasa aneh juga. Di bawah tangga dapur sana sambil membetulkan kemban yang hampir terlondeh, Atuk Dara masih mampu menegur kesalahan bacaan maza. Suaranya lantang sambil membersihkan dapur pada suatu Maghrib. Entah bilalah orang tua ini menyemak al-Quran yang seolah-olah berada di hadapan matanya? Bila pulalah dia menghafal setiap ayat-ayat itu, hmm?

Kekallah maza mengaji dengan Atuk Dara selama beberapa tahun (maza terlupa).

Ketika maza menyewa di Jalan Orked, Kampung Melayu, Kluang seputar tahun 1992-94 kerana menyambung pelajaran, suasana kedesaan itu masih segar. Rumah tok mengaji kali ini ialah rumah Abang Din. Di anjung luar rumahnya kanak-kanak berkumpul. Ada dua sessi mengaji iaitu selepas Asar dan Maghrib. Pada setiap lewat petang maka akan kedengaranlah anak-anak kecil mengaji. Saat maza meninggalkan Kluang dan melangkah ke Kuala Lumpur (disebabkan menyambung pengajian) suara-suara cilik itu adakalanya terniang-niang di telinga.

Sekarang zaman ICT dan millennium sudah mengambil tempat. Serba serbi canggih. Rumah juga rumah batu dan tinggi-tinggi, bukan lagi rumah bertiang seri atau gubuk papan. Malangnya suasana seperti di kampung itu tidak bisa kedengaran lagi. Payah kalaupun ada. Di masjid-masjid, ceramah dan tazkirah mengambil acara, ini bagus. Malangnya, kalau hendak mendengar lantunan suara anak-anak petah mengaji harus pergi ke madrasah, kelas dan sekolah. Suara yang menerobos dari celah-celah liang rumah dan kemeriahan suara bocah kecil mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran itu amat sukar kedengaran mengisi alam buana sang kota metropolitan hari ini.


nukilan nostalgia

Selasa, 27 Mei 2014

Kari Kepala Ikan Bangsar


Kari kepala ikan merah


Penulisan dan laporan tentang kari kepala ikan Bangsar sudah banyak dibuat dalam internet. Maza sekadar mengukuhkan penemuan dan hasil dapatan laporan tersebut.

Kari kepala ikan Bangsar ini tidak asing lagi di mata maysarakat setempat. Warung tersebut dipunyai En. Anuar berbangsa India Muslim. Maza sering terserempat dengan En. Anuar di Masjid Sayidina Abu Bakar, Bangsar ketika solat Jumaat.

Anuar (taukey) sedang menyatuni para pelanggan

Bagi penggemar kari kepala ikan, inilah tempatnya untuk menikmati kari kepala ikan mamak sebenar. Bukan itu sahaja, warung kari kepala ikan bawah pokok ini turut menyajikan sotong goreng, ayam goreng, ikan goreng dan taugeh bukan goreng (rebus derrr).

Istimewanya sotong dan ayam goreng di gerai kari kepala ikan ini ialah rasanya sangat sedap, mengujakan dan berjus. Lain daripada lain. Jika anda ke sini, tidak lengkap kalau tidak mencubainya. 

Anda boleh memilih kari kepala ikan merah, jenahak dan tenggiri.




Rata-rata pengunjung menggemari ke warung ini bukan sahaja disebabkan rasa kari kepala ikan yang tulen, sangat enak, unik dan hasil tangan mamak sebenar, harga yang dikenakan juga amat berpatutan. Dengan saiz kepala ikan yang besar, Restoran Mahbub dan Syed berhampiran pun tidak boleh menandingi harga dari Warung Anuar ini. Selain itu, layanan dan servis mereka begitu cekap dan pantas. Maka tidak mustahillah apabila ramai VVIP turut mengidam dan pernah menjamu selera dengan bersempit-sempitan dengan rakyat jelata.

Licin

Warung ini dibuka dari jam 11.30 pagi hingga lewat petang. Kalau terlewat, lain hari datang (hahaha). Warung kari kepala ikan Anuar di Bangsar ini memang selalu penuh. Hendak mempakir kereta juga harus berebut apatah lagi mendapatkan tempat duduk. Sungguhpun begitu jangan risau, anda akan tetap dilayan mesra dan mendapat tempat duduk. Jika keadaan terlalu sesak, bungkus pun boleh.

Sebetulnya sudah agak lama juga maza mengenali En. Anuar. Beliau telah menjalankan perniagaan kari kepala ikan ini selama 30 tahun. Bermula dengan berniaga kecil-kecilan dan bersendirian hinggalah beliau mampu menggajikan para pekerja. Hasil kejujuran, amanah dan amalan sedekahnya itu telah membuatkan rezeki Anuar begitu murah dan kerap kali juga beliau pulang ke negeri asalnya (India).

Lokasi di bawah pokok itu amat istimewa. Malah, ramai mengenali Warung Anuar sebagai warung kari kepala ikan bawah pokok Bangsar. Lokasi sebenar warung kari kepala ikan Bangsar ini ialah di belakang TMC, Lucky Garden Bangsar.

Tidak puas makan di warung Anuar itu, keesokan hari maza minta pula si isteri membuatkan kari kepala ikan merah. Ammmak satu kali. Hehehe

Selamat menjamu selera ya kengkawan.




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails