Sesak di persimpangan lampu isyarat Jalan Maarof, Bangsar. Semuanya gara-gara waktu solat Jumaat akan tiba sebentar lagi. Aku tersangkut di atas motor di celah-celah himpitan motokar yang turut menantikan lampu isyarat untuk bertukar berwarna hijau.
Matahari terpacak tegak. Teriknya membahang setiap inci kulit dan urat. Di sisi pejalan kaki sana aku terpandang sekujur tubuh pemuda berpakaian jubah lusuh, berkupiah kusam dan berselipar buruk. Lengan kiri dan kanannya terkelek dua buah tong derma. Pemandangan itu aku biarkan berlalu begitu sahaja.
Setelah berwuduk di Masjid Syaidina Abu Bakar aku mendaki anak tangga untuk ke ruang solat. Sekali lagi aku terpandangkan pemuda yang sama. Dia duduk bersimpuh di kaki tangga masjid sambil tercungap-cungap melepaskan lelah. Dua buah tabung tadi di sebelahnya menantikan mana-mana jemaah yang sudi menghulurkan derma.
Usai solat Jumaat, aku pergi ke Restoran Mahbub tidak jauh dari masjid. Tempat itu padat dengan urusan makan tengahari. Dalam bersesak-sesak itu, aku memperoleh tempat duduk yang dikongsi dengan pelanggan lain.
Sedang enak menjamu selera, aku terpandangkan sekali lagi pemuda tadi. Dari kaki lima bangunan Restoran Mahbub, dia semakin menghampiri. Sekali sekala menghulurkan tabung derma kepada orang yang lalu lalang di situ. Setelah mengelap keringat, dia memasuki Restoran Mahbub. Perlahan-lahan dari satu meja ke satu meja menghulurkan tabung derma yang dikepitnya sambil melontarkan senyuman manis.
Pada tabung derma itu tertera “Tabung Pembaikan Sekolah . . .” manakala sebuah lagi “Tabung derma rawatan kanser ibu . . .”
Kedua-dua tabung berisi wang derma, tetapi tidaklah sebanyak mana. Wang kertas seringgit dan kepingan syiling melatari pemandangan di dalam telab itu.
Dari satu kerusi ke satu kerusi, tabung-tabung itu dihulurkan. Walaupun rata-rata pelanggan di situ tidak melayaninya, dia tetap tekun dan murah senyuman. Sesekali aku lihat halkumnya bergerak dan bibirnya menelan liur.
Dari satu meja ke satu meja, dia menyorong tabung itu. Para pelanggan tetap tidak mengendahkannya. Ada antara mereka yang memandang sinis, terherot bibir, terkenyit pula sebelah mata. Tiada siapa yang peduli. Tiada siapa yang sudi menyantuni. Tiada siapa yang menghulurkan derma.
Setelah puas berkeliling, dia berhenti di hadapan kaunter.
“Karipap dan ais kosong satu,” pesan pemuda itu sambil mengelap peluh dan memegang perutnya yang kelaparan. Bibirnya tetap terukir senyuman.
“Berapa ya harganya?” tanya pemuda itu setelah pesanannya tadi diserahkan.
“Dua ringgit. Awak tak mahu nasi bukhara, nasi byrani, roti ada, mee ada, nasi campur ada, udang, sotong” kata pelayan yang cuba melariskan perniagaannya. Sekali sekala pelayan mengerling ke tabung pemuda itu yang diletakkan di atas meja kaunter.
“Tak mengapalah. Saya tiada duit lebih. Mungkin lain kali. Yang ini pun cukup untuk saya hari ini. Alhamdulilah,” pemuda itu sekadar melemparkan senyuman tawar sambil menelan air liur. Di dahinya jelas kelihatan titis-titis peluh. Loghat yang dilontarkan itu loghat utara. Di luar restoran ini panasnya sangat membahang.
“Ini ada (sambil menepuk-nepuk tabung di atas meja kaunter). Boleh pinjam dulu. Lepas kenyang, makan sedap-sedap boleh senang kerja,” lurus jari telunjuk pelayan tadi ke arah kedua-dua tabung lut sinar.
“Tak boleh. Ini amanah. Tak mengapalah tuan, saya makan hat ni saja,” jawab pemuda ringkas. Barangkali mahu menyimpan tenaga yang bersisa sebelum hilang dengan sia-sia begitu sahaja.
Pemuda itu terkial-kial menyeluk sakunya. Dia mengeluarkan dompet lusuh. Kemudian menyelak dompet itu sembunyi-sembunyi. Malu agaknya.
Entah bagaimana dompet itu terjatuh. Wang di dalam dompet tersembur keluar. Cepat-cepat dia merangkak dan mengutip kesemuanya sambil menyebut, “Ya Allah! Ya Allah! Subahanallah! Rezekiku, rezekiku, rezekiku!”
Sepantas kilat dia menyambar tiga helai not seringgit dan sekeping syiling dua puluh sen yang bergolek di atas lantai. Digenggamnya wang itu, malu. Sambil tundukan kepala dia menghulur wang bayaran kepada pelayan tadi.
Bundar mata pelayan itu, “Tidak mengapalah adik. Ini barang saya kasi free.”
Pemuda itu tercengang tanda tidak mengerti.
Pelayan memanggil pula temannya dengan suara lantang, “Abdul Raham, kasi ini orang makan nasi bukhara kambing, air tanya sama dia. Apa sahaja dia mahu makan, bagi sama dia.”
“Tapi tuan saya tiada duit. Ini saja yang saya ada!” pemuda itu panik. Risau jelas terpamer. Dalam rasa ketakutan itu dia menunjukkan dompet dan keseluruhan wang yang ada. Dia berkata benar!
“Tak apa adik, tak apa. Ini kali saya mahu sedekah. Saya bagi free. Saya banyak kagum sama adik. Saya banyak kasihan. Adik jujur orangnya. Itu tabung derma adik tak kacau. Adik amanah. Sekarang, susah mahu jumpa orang yang jujur. Menteri pun ada tak amanah, pegawai kerajaan pun lagi ada tak amanah! Tapi semua orang itu 'lepas' juga. Adik jangan risau. Adik pergi makan. Jangan takut. Ini saya bagi duit belanja untuk adik. Dan ini duit saya masuk tabung. Emak adik sakit apa?”
Pemuda itu masih tergamam, tidak percaya apa yang sedang dialaminya, “Emak saya kena barah tulang tahap tiga. Tabung sekolah ini pula tempat saya belajar tahfiz. Sekarang sekolah kami sudah mahu runtuh.”
Serentak dengan itu orang ramai pun berdiri, datang berkerumun. Masing-masing menghampiri pemuda itu. Kemudian bergilir-gilir memasukkan wang ke dalam kedua-dua buah tabung tadi.
Ada beberapa orang pelanggan menghulurkan wang ke tangan pemuda itu. Aku pun turut sama, menghulurkan apa yang terdaya. Beberapa helai wang biru bernombor satu dan sebilangan kepingan duit besi jatuh ke dalam tabung-tabung derma yang aku korek dari dompet usang ini.
Pemuda itu masih terpinga-pinga sendirian.
Lantas dia mengangkat tinggi kedua belah tangan lalu berdoa, “Alhamdulilah, Ya Allah . . . alhamdulilah . . . berkatilah kami, berkatilah usia kami, berkatilah rezeki kami. Sesungguhnya Kau Maha Benar, Engkau Maha Berkuasa”
Sekejap itu juga dia terus longlai ke lantai, bersujud syukur kepada Allah azzawajalla.
Karya: