‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 31 Disember 2013

Dayana Mengharimaukan Diri



Alkisah di Hujung Tahun


"Harimau ganas bertaring panjang dan makan orang, lagi boleh ditawan. Inikan pula hati boss, sudah tentu boleh dijinakkan," Dayana menyingsing lengan, kemudian berlalu ke bilik Pengarah Urusan, En. Sidek.

Sambil anak mata menjeling ke arah maza, Dayana berkata dengan garang, "Aku tak kira. Aku nak minta naik gaji plus bonus. Semua harga barang dah naik ni. Takkan ler boss tak mengerti!"

Maza hanya sempat membundarkan mulut sahaja sebelum tubuh montok Dayana menghilang di dalam bilik boss.

"Boss . . . boss . . . boss . . . semalamkan saya sudah beli baju sekolah dan buku rampaian anak-anak. Kenaikan kos begitu ketara. Inflasi sana-sini."

"A'ah lah, saya pun terasa sama. Saya ingat mahu minta tolong dengan semua staff untuk bekerja lebih gigih lagi. Apabila produktiviti ditingkatkan, pendapatan juga akan meningkat. Lagipun, lambat laun terpaksa juga menaikkan harga produk kita. Sementara pretasi perniagaan kita tidak berapa menjadi semenjak dua tahun ini, saya kira syarikat terpaksa mengambil langkah jimat cermat. Elaun staff akan dipotong di antara 5-10%."

Dayana hanya mampu menelan air liur. Belum pun sempat melontarkan permintaannya, dia sudah pun terkedu.

Sebelum ini, Dayana berkira-kira mahu memberontak juga. Kalau tidak diberikan apa yang dikehendaki, Dayana mahu mogok.

"Kalau boss tak naikkan gaji dan bonus. Aku nak protes habis-habisan." kata Dayana pada suatu hari.

"Kau nak buat apa? Jangan buat kerja gila pulak ya." sambut Reeza.

"Kalau bos tak bagi! Aku . . . aku . . . aku tak nak photostat-kan kertas kerja boss. Tak mahu buat air teh untuk dia lagi. Tak nak buang sampah dalam bakul sampah ke dalam tong sampah besar sana. Huh!"

"Ganas . . . . " maza sekadar mencelah ketakutan. 


Nukilan lantun-lantun
 


 

Selasa, 24 Disember 2013

Langkah Pertama Selepas PMR

Lembayung pohon palma (sawit)

Dahulu di zaman saya cuma ada SRP.

Tidak lepas SRP bermakna tamatlah sudah alam persekolahan. Ada dua kemungkinan, pertama akan menjadi pewaris kerja emak (menoreh getah dan pesawah) atau menjadi soja (soldier/askar).

Oleh sebab saya bukanlah atlet cemerlang hendak menjawat jawatan soja, juga tidaklah berstamina hebat seperti emak menyembah pokok getah sesubuh hari, maka saya memaksa diri untuk melepasi SRP.

Saat menghadapi SRP, terasa nafas tercungap-cungap juga. Berdebar-debar tidak sudah-sudah dari hari pertama memegang pen di dawan peperiksaan sehinggalah diumumkan keputusan peperiksaan.

Di waktu senggang menantikan keputusan SRP, saya mengacu-acukan diri dengan melakukan bermacam-macam kerja kebun dan kampung. Emak kata, ini sebagai terapi jiwa dan persediaan kalau-kalau kandas dalam SRP.

Sara Diri: Kerja rutin di Kampung Sri Lukut, Kahang

Mata pelajaran Matematik dan Bahasa Melayu selalu menjerut leher saya. Bikin sesak.

Masakan tidak, gagal salah satu mata pelajaran tersebut, walaupun subjek lain skor begitu cemerlang, keputusan SRP tetap dikira gagal. Jika bernasib baik, boleh mengulang semula dengan terus kekal di tingkatan tiga itu. Kalau nasib malang, mulalah gerakan mencari pekerjaan hendak menyara diri sendiri, uhuk!

Setelah mendapat keputusan, barulah dapat menguntum senyuman lebar-lebar. Terasa semuanya lega. Selamat, alhamdulilah!

Malam ini tiba-tiba teringatkan arwah Norisam (pelajar dari Felda Nitar), pesaing rapat dan regu saya ketika di sekolah menengah rendah. Beliau tidak dapat meneruskan pengajian disebabkan serangan demam panas yang hebat beberapa bulan sebelum SRP. Hebatnya demam yang dialaminya menyebabkan fikiran dan emosi arwah sering terganggu. Dengar khabar dari angin lalu, hal ini mempunyai kaitan juga dengan tekanan SRP. Akhirnya beliau kandas dengan tidak sempat menduduki SRP.

Selang setahun kami meraikan kejayaan SRP itu, kami dikejutkan dengan berita pemergian beliau ke alam baka. Kemalangan itu meragut nyawa Norisam bin Meskam (Al Fatihah).

Ladang sawit di Kampung Murni Jaya, Layang-layang, Kluang, Johor

Berbeza hari ini, PMR bukan lagi berfungsi sebagai jerangkap; penapis akademik.

PMR sekadar ukuran prestasi pembelajaran sebelum melangkah ke SPM. Syukurlah, SRP/PMR bukan lagi sebuah bebanan yang berat seperti adanya batu di kepala.

Hari ini PMR sekadar penentu jurusan akademik sahaja dan tidak dijadikan ukuran penamat kerjaya sebagai pelajar sekolah.

Zaman ini SPM merupakan tempat pertarungan sebenar antara maju atau kantol sekerat jalan di dalam dunia akademik.

~ Jadi, usah khuatir pada pejuang-pejuang PMR, terus hayunkan langkahmu walaupun keputusannya tidak seberapa molek. Sedarlah, kejayaan hakiki sedang menantimu dan melambai-lambai di hadapan. Apa yang penting ialah teruskan berusaha cekal. Kayuh tetap kayuh! . . . Kepada mereka yang berjaya dengan cemerlang, diucapkan tahniah, teruskan momentum itu. Jangan benarkannya berjeda (terhenti). ~



Nostalgia gitew-gitew
 

Jumaat, 20 Disember 2013

Merenung Bulan Mendatang di Kolej Kediaman Kinabalu, Universiti Malaya


Foyer Kolej Kendiaman Kinabalu, tempat kami melepak dan memekak ramai-ramai.

Melangkah perlahan-lahan mendapatkan tempat duduk di foyer Kolej Kediaman Kinabalu, Universiti Malaya. Mata tertancap ke arah langit yang hitam di bayangi bulan purnama. Bulan mengambang penuh, ibarat sinar lampu alam. Di sekeliling bulan itu dipagari bintang-bintang. Tidak henti-henti bintang berkelip-kelip. Kehadiran bulan terang malam ini menambah seri malam. Sesekali terdengar bersahut-sahutan suara burung pungguk merindukan bulan. Sayup-sayup burung tukang memuji keindahan malam itu. 

Maza mengamati setiap deti-detik itu tanpa mempedulikan sekeliling. Terasa damainya sampai jauh ke segala pelusuk jiwa dan hati sanubari. Jam ini jugalah terimbau kenangan-kenangan indah di waktu zaman remaja. Lagu Malam Bulan Dipagar Bintang (P. Ramlee) berkumandang. Maza melentok-lentok melayani melodi itu. Setiap bait-bait lagu begitu tekun dihayati. Meniti di ulas bibir.

MALAM BULAN DIPAGAR BINTANG

Malam bulan dipagar bintang
Makin indah jika dipandang
Bagai gadis beri senyuman
Pada bujang idaman
.
Belai kasih ingin dimanja
Dengan cumbuan mesra
Untuk pelipur lara
Penawar dik asmara

Mm .... mm .... mm .... mm ...
.
Malam bulan dipagar bintang
Tambah seri cuaca malam
Murni sungguh ciptaan Tuhan
Bulan bintang lampu alam
.
Andai kata bintang menyepi
Bulan tidak berseri
Malam menjadi sunyi
Tidak berseri lagi
 
(Lagu P. Ramlee)

Dalam diam-diam seorang demi seorang menyelusup mendapatkan maza. Mereka juga menyorot mata ke arah dada langit. Mulut melopong luas. Maza dikelilingi kekasih. Ya, sebetulnya maza ada ramai kekasih. Ada kekasih bersiri, kekasih gelap dan tidak kurang juga kekasih belang-belang. 

Melati, Suganti, Priya, Asya, Mitchel, adalah kekasih gelap maza. 

Manakala kekasih cerah pula Siti Rahayu (Koyu), Sazlin Alias, Nik Roshida (Koda), K-Jue (Julia Hidayu), Cher, Clair Lim, Maliniah Lasius.

Kekasih belang-belang seperti Nor Azma Abu Bakar (Koma), Norhasnita Abu Hassan (Nita), Napisah Yaakob (Tipah), Fatt (Fauziah Md Said).

Antara teman setia menanti di sini menunggu ialah Fidah (Faridah Abdul Rashid), Haryaddy bin Maidin (Ady), Rozlan Mohamed Nor (Mat Lan), Shamsul Musa, Fauziah Salehuddin, Nora, Nurul Huda Abdul Muthalib, Nazaewana Sustrawanyahyasawik, Ramli Mosmin, Abdul Karim Saman, Seri.

Nama-nama yang disebutkan ini hanya sebahagian sahaja. Stok geli-geli tidak termasuk lagi. 

Di sisi maza ada sebuah gitar, gitar Kapuk. Maza mengambil dan memeluknya erat. Mata tekun menumpukan keindahan alam. 

"Abang tengok apa tu?" tanya Tengku Anne sambil duduk bersila berhampiran maza. Dia turut memandang ke arah langit. 

Gelagat gila-gila remaja
"Tu . . . ♪♫♪ hmm, hmm, hmm . . . aaa, aaa, aaa . . . . (♪♫♪)" jawab maza ringkas sambil melagukan melodi Malam Bulan Dipagar Bintang. Hanya muncung bibir sebagai tanda penunjuk arah.

Kekasih-kekasih yang lain semuanya memadang antara satu sama lain. Ada yang menggaru kepala. Tidak kurang juga menjingkitkan bahu. 

Perlahan-lahan Riduan Arof, Shamsul Musa menyelinap mengambil tempat duduk di celah-celah manusia yang semakin ramai berkumpul di foyer itu. 

Siti Rahayu pun bersuara, "Apa lagi bang, mainkanlah satu lagu. Alang-alang di tangan sudah ada gitar."

Maza tersentak. Segala melodi yang mendayu-dayu terhenti. Lagu yang mengkhayalkan itu pupus. Lenyap bagaikan direntap. Mimpi itu sudah berakhir, tersekat serta merta bagaikan sedang membawa kereta formula one lalu terpaksa berhenti serta-merta.

Sambil tersenyum kambing, maza meraba gitar dalam dakapan. Kemudian dengan selamba dan tersipu-sipu maza meletakkannya di sisi. "Err . . . agaknya korang tadi tak menyanyi sama ek? Abang ingatkan korang sama-sama menyanyi tadi. Ihik! Errr . . .  manalah abang tahu main gitar. Ini gitar siapa ni?"

"Ramli punya. Dia tinggalkan kat sini kejap. Kami semua baru sampai bang. Kita orang tengok, abang meliang-liuk, terkumat kamit sendirian sambil tengok langit. Mujur juga abang tak tersampuk."

"Lah ya ke? Kenapa tak beritahu awal-awal," cubaan menggunakan ayat 'cover line'. Mudah-mudahan tidak terkantoi yang maza sedang mengelamun dan berkhayal sendirian tadi. 

Memegang watak robot untuk sketsa boria di pertandingan Festival Seni., UM.
Penonton ketika ini dianggarkan melebihi 10 ribu orang di Dewan Tuanku Chanselor, UM



Ahaks, alkisah lantun-lantun

Khamis, 19 Disember 2013

Sup Telur dan Aiskrim Kacang

Ini riwayat sebenar.
****************


Sup telur dari air tangan suami satu kali. Si darling memerhati sambil lewa mengunyah aiskrim kacang. 

Entah apa maksudnya cop jari jempol itu, maza kurang pasti. Barangkali merujuk kepada hirisan bawang atau aiskrim yang sedang dijamahinya. Uhuk!

Tukang ketip kamera foto terkejut ini, Nasrun (9 tahun).


Nukilan melayang-layang


Isnin, 16 Disember 2013

Gadis Merah Pipi Bikin Abang Besar Bundar Mata


Kerteh, Terengganu; Abdullah & Nur Ain

JUMAAT (11. Okt. 2013) - Hari ini rakan sejawat wanita (36 tahun) berhias badan. Berpakaian cantik dan bermekap. Selalunya tidak begitu. Kali ini sedikit ketara daripada lazimnya. Bibir bersapu gincu merah kencana, pipinya merah jambu, sedikit pembayang mata dikenakan.

Oleh sebab rata-rata rakan sejawat di pejabat ini adalah lelaki, masing-masing tidak mempedulikan kelainan yang berlaku pada gadis itu. Jenuh si gadis bermanis muka, teman lelaki yang lain hanya berlalu membawa muka toya melilau ke sana sini di dalam pejabat. Kononnya sibuk atau bikin sibuk sama. Tiada siapa yang perasaan, dan sememangnya begitu!

Tiba-tiba bergema.

"Tolong . . . tolong . . . tolong . . . tiupkan mata masuk habuk. Tolong!!!" pinta gadis itu pada salah seorang abang besar di sini.

Abang besar dengan ikhlasnya membantu dan meniupkan mata si gadis. Selesai 'meniup' habuk, abang besar itu berkata, "Eh, eh . . . Epah . . . eh . . . eh!"

"Kenapa? Kenapa?" senyum gadis itu.

Sepasang suami isteri, semoga memperoleh barakah
"Pipi Epah ada jerawat . . . "

"Eleh . . . menyampah! Semua orang sama aje . . . " bentak Epah sambil berlalu dengan memendam perasaan geram membuak-buak.

Epah menghempaskan punggungnya di atas kerusi. 

Melopong luas mulut semua lelaki yang berada di dalam pejabat.

Beberapa saat kemudian makcik janitar (pembersih pejabat) masuk ke dalam pejabat dengan membawa mesin vakum.

"Wah Epah . . . lawanya hari ini . . . makcik tengok muka Epah berseri-seri!" tegur makcik janitor ikhlas sambil meluahkan kekagumannya.

Epah tersenyum seraya menyipu-nyipukan diri.

"Tak adalah. Makcik ni . . . ada-ada ajelah! Epah biasa-biasa aje," Epah memintal-mintal pen di tangan sambil membetulkan tudungnya.

"Oh . . . patutlah mata Epah masuk habuk tadi," bisik rakan kubikal maza si abang besar itu. Maza sekadar mengulum senyuman. Ahaks.


Karya

Rabu, 11 Disember 2013

Dinginnya Malam Itu

Aqlan Sholehin: Lena bersama hanyutnya kerinduan mendalam

Seorang anak berusia 3 tahun, di rumah anak-anak yatim telah melukis sebuah lukisan besar menggunakan kapur tulis di atas lantai bersebelahan katilnya. Setelah siap, dia berbaring merengkuk menghadap lukisan tersebut.

Malam semakin larut, dingin menggigit sepelusuk sendi. Di luar bertemankan bulan purnama. Bilik itu cuma diterangi cahaya pelita yang meliang-liuk dihembus angin. Tidak pula pelita itu dapat menghangatkan suhu, kecuali dingin yang kejam tetap menerjah setiap penjuru sudut.

Seorang penjaga datang memeriksa asrama anak-anak yatim. Sebaik penjaga asrama terlihatkan lukisan yang mencomotkan lantai, dia terus mengherdik, "Apa yang engkau buat ini, hah?! Kau kotorkan lantai, ya?! Lap sekarang!!! LAPPP!!!"

Anak itu tersentak. Dia bangkit sambil menggosok-gosokkan pelipis mata; menangkis silau yang menerjah ganas ke retina tanpa belas kasihan.

Dalam keadaan mamai, dia berkata, "Munir tak dapat tidur tadi. Munir lukis gambar ibu. Munir baring sebelah ibu. Tiba-tiba Munir rasa hangat seperti dalam dakapan ibu. Munir tertidur. Maafkan Munir ya kakak."

Suara lembut kanak-kanak itu menerbos perlahan. Cengkerik tidak habis-habis menodai sunyi malam, seolah-olah sedang mengejek.

Munir tidak putus-putus menyesali dan memohon ampun, "maaf kakak, Munir rindukan ibu . . . tapi ibu takkan kembali untuk Munir. Maafkan Munir . . ."

Penjaga asrama terkedu lantas merangkul anak itu tanpa ada sekelumit suara. Akhirnya anak itu lena di bahunya. Kakak penjaga hanya mampu memujuk. Memujuk si Munir dan memujuk hatinya yang diserang rasa bersalah, rasa simpati paling dalam.

Lantaran itu,
CINTAILAH IBU, EMAK, UMMI, MAMA, MUMMY,
KERANA IBU; KITA LAHIR KE DUNIA
KERANA IBU; KITA BERASA HANGAT DARI KEDINGINAN
KERANA IBU; KITA BERASA SELAMAT....

Nukilan

07.10.2013

nota: selsema pulak hidung ini... huhuhu 




Selasa, 10 Disember 2013

Menjelajah Masa Mengharungi Zaman



Aqlan (3 tahun) & Aqilah (5 bulan)
1995 – Hati terus kekal berbunga-bunga walaupun sudah dua bulan selesai menghadapi Haluan Siswa di Universiti Malaya. Bermula bulan Julai itu, maka termaktub sudah maza bergelar mahasiswa.

Pulang dari dewan kuliah sejauh 2 km, terus ke dewan makan di Kolej Kediaman Kinabalu. Demikianlah hari-hari berjalan kaki demi menuntut ilmu. Jiwa begitu membara. Dalam masa sama, hati remaja begitu bergelora. Orang mudalah katakan.

Hari-hari yang berlalu disambut penuh keceriaan dan keriangan. Cabaran hidup seorang siswa dirempuh dengan semangat tegar!

Sampai di kolej kediaman, maza beratur panjang untuk mengambil ‘tray’ sebelum menyenduk nasi dan menceduk lauk. Dua lauk sahaja dibenarkan, sekali sekala terlajak juga menjadi tiga atau empat.

Punggung dihempuk di atas kerusi. Sisa makanan dilahap. Sambil itu mendengar halwa telinga yang bergema dari setereo terpasang. Ajaibnya bukan lagu-lagu biasa, tetapi lagu-lagu nasyid. Lebih tepat lagi lagu kumpulan Raihan album Puji-pujian.

Demikianlah kaset itu berulang-ulang dimainkan. Berbulan-bulan lamanya begitu. Cuma sekali sekala diselang selikan dengan lagu-lagu rancak berbentuk kepahlawanan seperti Mentera Semerah Padi (M. Nasir).

Setelah maza sendiri dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Siaraya & Teknikal di bawah JKP Kebajikan dan Kemasyarakatan, semakin rancak pula lagu Puji-pujian dikumandangkan.

“Ash hadu anla ilaha Illallah,
Wa ash hadu anna Muhammadar Rasulullah
Tiada Tuhan selain Allah
Nabi Muhammad pesuruh Allah

Bila dipuji kejayaan kita
Sebenarnya bukan milik kita
Oleh itu sedarlah sentiasa
Semuanya dari Allah . . .

Alhamdulillah pujian bagi Allah
Subhanallah Maha Suci Allah
Allahuakbar Allah Maha Besar
Segala puji hanya bagi Allah”
 (sebahagian lirik lagu Puji-Pujian, Raihan)

Pernah sewaktu makan dan pada malam jam perdana, kedengaran beberapa rakan Tionghua kecoh bernyanyi-nyanyi. Adakalanya riuhnya suara mereka itu bertingkah-tingkah. Lagu yang mereka nyanyikan itu ialah lagu Puji-pujian. Mereka berselawat, bertasbih dan bertahmid sama. Walhal, kaum bukan Muslim ini haram tidak mengerti maksud di sebalik lagu nasyid Raihan itu.

Begitu juga yang berlaku dengan beberapa rakan seperjuangan maza dari kaum India dan bumiputera. Ada dalam kalangan mereka yang mengambil inisiatif untuk menyalin dan menghafal. Kata mereka, lagu-lagu tersebut sangat menarik. Melodinya terasa begitu hampir dengan jiwa. Apatah lagi saban hari dihidangkan lagu-lagu nasyid seperti itu. Sehari tidak kedengaran terasa hidup ini janggal.

Apabila diterangkan maksud lagu-lagu tersebut, mereka sekadar melemparkan senyuman. Sedikit pun tidak mengurangi rasa untuk terus menggemarinya. Mereka tidak menolak, malah berkata bahawa bait-bait lagu itu amat baik. Menyentuh hati kecil sanubari.

Jangan tidak percaya, ada dalam kalangan mahasiswa bukan Muslim begitu tertarik daripda lagu tersebut lalu mempelajari Islam. Malah, maza sendiri dihadapkan dengan beberapa kes siswa bukan Islam mahu memeluk Islam!

Lamunan maza terhenti, dikejutkan dengan deringan telefon di kocek. Panggilan itu datangnya dari isteri. Terkedek-kedek tiga orang anak maza mendapatkan ayahnya ini sambil membawa telefon ibunya itu. Darling mengelek anak kami yang baru berusia lima bulan berjalan di belakang. Sekali sekala riuh suaranya mengawal anak-anak kami. Maza duduk di atas sebuah bangku di gedung pasar raya. Di tangan tergenggam akhbar. Melihatkan mereka berteriak-teriak, maza melemparkan senyuman lalu melambai-lambaikan tangan.

Di dalam gedung ini terhias indah pokok ru. Tinggi pokoknya itu hampir mencecah empat tingkat bangunan. Di pangkal pokok berserakan hadiah melambak. Pokok itu juga menjadi pengganti pokok krismas. Sebuah kereta rusa bersama patung manusia tua berpakaian merah menyala, bertopi ahli sihir menyerlahkan lagi hiasan tersebut.

Gedung yang sarat dengan umat itu dilantunkan dengan lagu “Jinggle bell”, “Marry Chirstmas” dan banyak lain-lain lagi. Pita lagu itu seolah-olah tidak jemu dan penat berlari dari terus berkumandangan bertalu-talu tanpa berhenti.

Anak-anak maza berkeliling sambil memeluk ayahnya. Maza pun bangkit meninggalkan bangku itu kembali sendirian. Dalam perjalanan menuruni tangga bergerak Daniel (7 tahun) dan Nasrul (9 tahun) berkata, “cantiknya Santa Klaus. Tu ada rusa besar tu ayah. Besarnya . .  . ada banyak hadiah. Bestkan kalau dapat hadiah Hari Krismas nanti!?”

“We wish you a Merry Chirstmas. We wish you a Merry Chirsmas. We wish you a Merry Chirtmas and happy new year” tiba-tiba Aqlan Sholehin (3 tahun) memecahkan suasana kecoh kami. Aqlan Sholehin mengajuk lagu yang sedang berkumandang itu sedari kami sampai di sini.

“Pandainyaaa . . . Happy Chirtsmas Day, my dear,” sampuk seorang wanita China yang di lehernya melekat lambang salib kebetulan berada di sisi.

Isteri maza menggangguk-angguk sambil melemparkan senyuman riang. Entah apalah maksud di sebalik senyuman itu, maza kurang pasti.

Maza sekadar menggarukan kepala yang tidak gatal. Di hati tertanya-tanya, gedung ini diamnya di tanah mana?


Lantun-lantun sayup
 


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails