Gambar: Kubur di sebelah rumah |
Kalau balik dari mengaji, harus mukadam itu didakap erat di dada. Mulut tak putus-putus kumat-kamit membaca ayat suci atau berzikir.
Semuanya gara-gara takut hantu kubur bangun. Atau takut ditegur makhluk halus yang berada di kubur itu.
Pernah juga berlari pecut dari tanah kubur sana hingga ke tanah hujung sini. Apatah lagi di kubur itu ada sepohon pokok yang rendang. Macam-macam cerita keluar mengisahkan pokok itu.
Suatu hari, maza pulang ke Muar, Johor. Mulanya maza tidak mahu dan sudi pun naik ke rumah atok long. Bukan apa, rumah atok long di kelilingi oleh kubur. Kubur lama bersepah sana sini. Tak kurang daripada dua puluh lima buah kubur!
Gerun di hati maza sukar untuk dijelaskan. Kerap itu jugalah maza merengget mengajak emak dan ayah agar segera pulang. Bingkas mata maza memandang sekeliling. Mana tau, kalau-kalau ada roh dalam kubur itu tiba-tiba bangun dan keluar!
"Apa nak ditakutkan. Kubur-kubur kat sekeliling ini bukan orang lain punya pun. Sana tu kubur arwah atuk jantan, sebelahnya atuk betina. Yang itu arwah pak Chot, arwah atok cik, atok itam. Dah berpuluh-puluh tahun aku duduk kat sini, tak ada pun dia orang tu bangun dan nak cekik aku." kata atok long sambil mengusap bahu maza.
Gambar: kubur di bibir jalan kampung di seberang rumah tidak sampai 5 meter |
Minggu sudah maza berpeluang ke Kampung Sungai Putat pula di Melaka. Kali ini sempena majlis turun rumah baru oleh keluarga arwah 'Nyonya' dan suaminya Baba. Sebagai biras kepada keluarga ini, maza telah sama-sama meraikan dan membacakan doa selamat.
Menariknya Kampung Sungai Putat ini ialah tanah wakaf kubur hanya di bibir jalan kampung. Jumlahnya tidak kurang daripada lima buah 'kawasan kubur'. Kedudukan himpunan kubur-kubur ini benar-benar berhampiran dengan rumah penduduk kampung.
Ada kuburnya terletak betul-betul bersebelahan dinding rumah. Pendek kata sebaik buka tingkap terus nampak kubur.
Itu belum lagi sebelah kedai ada kubur.
Gambar: Kubur di sebelah kedai runcit. |
Menurut kata penduduk tempatan, tidak ada peristiwa yang tidak diingini berlaku seperti 'mati dicekik hantu'.
Namun kelihatan sedikit kurang enak apabila sampah-sarap juga bertebaran di kawasan perkuburan ini. Batu nisan pula ada yang tidak terurus dan bersepah.
Jadi, anda bagaimana pula? Sudikah anda berjirankan kubur?