‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 29 Mac 2012

8 SEBAB BERUNTUNGNYA WANITA MEMPUNYAI RAHIM

Gamabr: Suzana bint Abdul Talib

Untungnya menjadi wanita.

1) Telah menjadi sunahtullah; yakni Allah SWT telah menetapkan hukum atau cara yang telah ditentukan sejak dari azali (awalnya) anatomi wanita itu umpama ‘kilang manusia’.

Umum menyedari antara fungsi kejadian utama wanita ialah melahirkan zuriat ke dunia. Isyarat dari adat tersebut maka Allah SWT menciptakan rahim ke dalam tubuh wanita. Rahim ini merupakan tempat letaknya ‘kandungan’ benih susuk lembaga manusia.

Oleh yang demikian ia adalah petanda istimewa. Allah SWT mengangkat darjat wanita dengan memberikan fungsi istimewa demikian hanya kepada golongan mereka. Golongan wanita sahajalah diberikan tanggungjawab yang cukup khusus lagi istimewa itu untuk memikul tugasan yang berat tersebut.

Justeru, pemilihan wanita sebagai tempat lahirnya warisan generasi manusia adalah lambang keagungan kurniaan Allah SWT.

2) Sesuai dengan tugasan dan tanggungjawab yang mulia melahirkan generasi manusia, Allah SWT telah memberikan kelebihan ke atas golongan wanita.

Wanita diberikan ‘kelepasan umum’ pada tiap-tiap bulan daripada melakukan ibadah wajib rutin harian seperti solat, dan puasa.

Perlepasan istimewa itu secara normalnya diberikan sehingga tujuh (7) sehingga lima belas (15) hari. Iaitu seminggu ke dua minggu dalam sebulan.

Perlepasan istimewa yang merupakan kedatangan haid membawa petanda kasihnya Allah SWT terhadap golongan wanita hingga tidak diwajibkan solat dan berpuasa. Bahkan Allah SWT menganggap tatkala kedatangan darah haid, wanita itu telah mendirikan solat yang terbaik!

3) Apabila seorang wanita melahirkan warisan manusia, Allah SWT memberikan kerehatan dan keringanan terhadap kaum hawa itu.

Disebabkan keberatan melahirkan susuk manusia tersebut, Allah SWT memberikan ‘cuti beribadah’ selama empat puluh (40) hingga enam puluh (60) hari.

Padahal bagi seorang lelaki, sedari mereka itu baligh tidak ada suatu pun kelepasan daripada solat dan berpuasa. Golongan lelaki itu terus-terusan dikehendaki menunaikan kewajipan beribadah sehari-harian dari celik mata hinggalah ke liang lahat (mati).

4) Terlebih untungnya wanita yang mempunyai rahim dan mengandung pula. Mereka yang hamil Allah SWT akan sentiasa mengampunkan dosa-dosa mereka itu sehinggalah bayinya lahir.

Oleh itu seseorang wanita Muslim meninggal dunia tatkala melahirkan anak, kematiannya tergolong di dalam mati syahid. Kelebihan orang mati syahid pula ialah mereka akan diusung langsung ke dalam syurga!

Rasulullah SAW bersabda: “Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan anak adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TB adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid.”(H.R Thabrani)


5) Begitu juga dengan halnya apabila wanita itu meninggal tatkala atau dikeranakan hamil, maka mereka juga dikira mati yang baik.

Rasulullah SAW bersabda: “Dalam Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.”(H.R. Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

6) Ada pun beruntungnya wanita yang diciptakan Allah SWT berahim di dalam perutnya itu, barang sesuatu pekerjaan baik lagi bermanfaat yang suaminya lakukan, wanita tersebut akan memperoleh pahala dan kebaikan yang sama.

Sebaliknya, jika suami melakukan perkara-pekara kejahatan! Tiada suatu pun dosa suami diwarisi oleh isterinya. Yakni dosa-dosa suami ditanggung oleh suami dan tidak sedikit pun isteri menanggung dosa-dosa suami.

7) Para isteri yang baik kelakuan, elok akhlak dan sempurna ikhlasnya. Terlebih pula kepada para isteri yang solehah. Pada hari akhirat kelak, mereka akan terperanjat besar. Ketika itu mereka mendapati pahala-pahala tambahan bertimbun-timbun banyaknya selain daripada pahala amal kebaikan yang dikerjakannya sendiri.

Pahala-pahala tambahan tersebut sebenarnya datang daripada segala amal kebaikan suami ketika hayat di dunia.

Gunanya lebihan pahala yang banyak tersebut ialah dapat memberikan syafaat kepada ahli keluarga. Terutama kepada suami yang dalam kesukaran meniti titian siratulmustaqqim. Bahkan boleh membantu golongan yang dikasihinya seperti ibu, ayah dan anak-anaknya untuk menyeberangi ke syurga.

Bagi memanfaat dan memperoleh lebihan pahala ini, para isteri haruslah banyak bersabar di dalam hubungan rumah tangga. Melakukan kerja dengan ikhlas, taat kepada suami dan memuliakan ibubapa mertua.

8) Sedangkan kaum suami itu menanggung tugasan yang berat-berat. Suami perlu mentaati ibubapanya terlebih dahulu, kemudian memimpin isteri dan anak-anak. Segala dosa isteri dan anak-anak terbeban di atas bahu suami selain dosa yang dilakukan oleh suami sendiri. Keluarga yang menjadi porak-peranda akan disoal dan dipertanggungjawabkan ke atas suami oleh maysarakat dan Tuhan.

Sebagai mana firman Allah SWT: "... dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Al-Baqarah,228)

Sungguh pun lelaki itu diberikan kelebihan satu darjat, namun kelebihan itu sebenarnya adalah ujian yang berat ke atas mereka.

"Firman Allah SWT, "dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-An'aam , 165)

Untuk seseorang wanita mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT dengan dikurniakan syurga firdausi amat mudah berbanding kaum adam. Apa yang mereka perlukan sekadar taat kepada suami, memelihara maruah diri serta suaminya dan menyempurnakan ibadah harian yang wajib.

"Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.”(H.R. Ahmad dan Tabrani )

Wanita tidak dibebani perkara-perkara yang lain kecuali di pesekitaran yang hampir dengannya.

Berbeza dengan kaum lelaki yang harus memikul tanggungjawab di dalam dan di luar rumah sesuai dengan kelebihan darjat dan bentuk fizikal yang dikurniakan Allah SWT ke atas mereka.

Kesimpulannya

Oleh itu, betapa untungnya dilahirkan dan dijadikan sebagai seorang wanita. Banyak kemudahan dan keringan yang Allah SWT kurniakan disamping ditingkatkan darjat wanita itu di sisi-Nya.

Sungguh pun demikian, sepekara harus kita ingat bahawa semulia-mulia antara kita di pandangan Allah SWT ialah mereka yang paling taqwa sama ada di sisi golongan wanita atau lelaki.

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu."(Al Hujarat: 13)

Sebagai isteri dan wanita maka lahirkanlah zuriat seramai yang mungkin kerana Rasulullah SAW amat menyukai ramainya umat Baginda SAW di hari kemudian. Bayi-bayi comel tersebut disusui pula oleh susu tubuh ibu sebagaimana fitrahnya. Serta berikanlah anak-anak tersebut didikan sempurna dan tanamkan akidah Islamiah yang sebenar.

Insyallah bukan sahaja individu itu yang memperoleh manfaat kelak, tetapi akan berkembang biaklah kesempurnaan akhlak kepada masyarakat, bangsa dan negara. Akhirnya tertegaklah budaya Islam yang syumul!

Wallahualam

Nukilan maza sekadar melantun-lantun jua ... uhuk!

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails