‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 7 Februari 2012

Sasau


Di perbatasan itu Datuk Maharajalela sedang mengepalai delapan puluh orang laskar. Benteng ini perlu dipertahankan. Benteng ini benteng terakhir sebelum Benggali Putih menumbangkan Kota Astana Mahligai lalu terjajahlah negeri Sedingin.

Meriam Lela Gempita milik laskar Datuk Maharajalela semakin kurang memuntahkan pelurunya. Tinggal lebih kurang lima butir lagi untuk diletupkan. Harus dimanfaatkan sepenuhnya. Peluru yang ada jangan dibazirkan. Bedil biar tepat kena sasaran!

Tembakan dari istingar Benggali Putih tidak pula mahu menyusut. Malah semakin lebat menghujani. Bertalu-talu mengenai benteng Kota Astana Mahligai.

Seorang demi seorang laskar muda Datuk Maharajalela tumbang terkena tembakan peluru tak bermata itu. Letupan demi letupan memekakan telinga. Asap menyelubungi di sana sini. Suara orang beteriak, melolong, menyeru dan merayu meminta tolong kedengaran semakin banyak. Seorang demi seorang perajurit tumbang di depan mata. Darah menyimbah ke sana sini. Badan bukan berlumpur lagi tetapi berlumuran percikan darah soldadu-soldadu (askar) yang tumpas. 


Menoleh di kiri dan kanan di dalam benteng itu, Seman sudah menggiggil kepala lutut. Jusuh di sebelah Seman sudah kedengaran gigi gemertapan.  Di sebelah kanan pula tiga orang sudah membayangkan perasaan berputus asa. Ada yang meletakkan senjata dan menekup telinga. Ada yang berpaling pandang ke belakang dan berdoa panjang. Tidak kurang pula mencabut keris kecil untuk merodok perut si Benggali Putih. Mereka bukan tidak tahu, setakat keris kontot itu bukan perut Benggalli Putih sahaja tidak mampu dicicah, bayangan mereka pun tidak dapat dipijak. 



Melihat keadaan semakin getir lalu Datuk Maharajalela bertempik sekuat hati, "Biar kita bermandi darah di bumi ini. Biar berputih tulang, jangan berputih mata. Kita harus mempertahankan tanah air ini. Ini tanah kita. Inilah satu-satunya tanah pusaka warisan nenek moyang kita. Ini adalah amanah yang setiap dari kita perlu dijulang di tengkok batu jemala masing-masing. Tanah ini untuk diwariskan kepada anak-anak kita, bukan kepada si keparat itu. (Datuk Maharajalela mengenggam tanah yang dikaut di dalam genggamannya dengan padu, kemudian dilepaskan tangannya itu perlahan-lahan).

"Ingat di belakang sana ada anak, isteri dan orang tua kita. Mahu kah kita melihat mereka menjadi hamba sahya? Mahukah tuan-tuan menjadi tawanan tebusan yang tiada nilai maruahnya? Kita perlu berkorban, biar nyawa menjadi galang gantinya, tetapi tidak untuk maruah, agama anak dan isteri kita! Ayuh! Kita berjuang, ayuh kita menyanggah musuh durjana itu!!!!"

Datuk Maharajalela menjulang panji di tangan kirinya itu kemudian menghunuskan keris panjang Diraja. Ini menandakan perjuangan akhir. Serangan bermati-matian. Biar luput pandangan di mata tetapi tidak di jiwa. Tanah air tetap utuh tersemat walau saat sakaratul maut mencabut nyawa! Ya, cintakan tanah air dan berkorban untuknya adalah jihad ke jalan Allah.

Banggali Putih semakin hampir. Mereka mendekati benteng terakhri. Negeri Sedingin betul-betul di hujung tanduk. Mereka merapati kubu Datuk Maharajalela. Dan hampir mencerobohinya.

Bagaikan halilintar, ibarat harimau kelaparan sekali lagi Datuk Maharalela berteriak, "Rapatkan barisan kamu! Ayuh kita maju! Jangan biarkan rakyat kita kehilangan teraju pemerintahan. Jangan biarkan KEMERDEKAAN ini dilacurkan! Jangan biarkan anak cucu kita bagaikan layang-layang putus talinya."

Perajurit kembali bersemangat. Tadi yang sudah membuang senjata untuk cabut lari sudah mengambil semula senjata mereka. Mereka yang menggeletar sudah kembali teguh kakinya. Bangkit, mereka bangkit bersemangat untuk meratah daging Benggali Putih itu. Sekarang hanya menantikan isyarat dari Datuk Maharajalela untuk menggempur manusia lahanat!

Datuk Maharajalela menantikan saat yang sesuai untuk mengarahkan anak buahnya untuk bertindak. Mereka sudah bersedia di balik benteng tersebut. Mereka sudah tidak sabar menanti dua kelebihan; mati syahid atau menang dalam pertempuran.

Datuk Maharalela mengangkat tangan tinggi, tanda semua perlu bersedia. Benggali Putih yang menjadi musuh itu semakin mendakati laskar Datuk Maharajalela. Sebaik perangkap yang dipasang sudah mengena segera tangan Datuk Maharalela dijatuhkan petanda serangan bermula. Serentak dengan itu perajurit bertempik, "Allahu akhbarrrrr! Aku berjuang kerana Allah!!!"

Tidak semena-mena baru sahaja Datuk Maharajalela meluru ke medan juang, dia terkena tembakan di dada. Syahidlah Datuk Maharalela di situ juga. 

Tersentak dengan itu ada perajurit sudah terpaling padangannya. Tergamam melihatkan pemimpin mereka sudah tumbang di hujung istingar Benggali Putih. Ada antara mereka sudah menjadi hilang punca; bagaikan layang-layang putus talinya. Barisan yang diatur oleh almarhum menjadi goyah!

Segera Bentara Kecil menyambar panji yang di pegang oleh Datuk Maharajalela. Di sandangnya di bahu kiri sementara senjatanya dihunus. Bentara Kecil bertempik, "Jangan undur, terus mara! Kita berkorban untuk agama, bangsa dan negara! Ingat anak isteri kita!  Kembali kepada barisan. Jangan seperti layang-layang putus tali kerana Datuk Maharajalela sudah tewas. Patik masih ada untuk teruskan perjuangan ini. Kita perlu terus mara! Bersatu! Ayuh! Allahu akhbar!!!!"


Demikianlah perisitwa yang terjadi di negeri Sedingin untuk pengajaran kita bersama. Cerita ini untuk dijadikan pedoman dan ingatan kepada anak-anak maza perihal peribahasa dan keindahan budaya bangsa Melayu kita. Bahasa kita cukup indah. Budaya kita cukup cantik. Jadi jagailah ia, hargailah ia dan amalkanlah ia!



blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails