‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Ahad, 12 Februari 2012

Terasa Sesuatu Di Dalam Hati

1998 - Petang itu seorang teman datang tergesa-gesa mendapatkan maza. Lalu memujuk seboleh-boleh mahu mengajak ke Jalan Tengku Abdul Rahman. Katanya maza perlu menemani beliau, ada hal mustahak! Tanpa sebarang syak wasangka, jam 7.30 malam setelah solat maghrib kami bertolak.

Teman yang itu terus melajakkan motor Yamaha 100cc CDI berwarna merah ke Jalan Raja Laut. Maza melopong, apa hal pula ke jalan itu. Dia terus mengarahkan maza menyelusuri jalan tersebut hingga tiba ke salah satu tempat parking motor. Kemudian dia mengheret tangan maza hingga tiba ke salah sebuah panggung wayang bernama Federal. Ketika itu sudah ramai orang berkeliling di kaunter tiket. Ramai berbangsa India, ada juga terselit seorang dua berbangsa Melayu antaranya kamilah orangnya.

Sebaik sampai di panggung itu, segera teman tadi menghulurkan wang dari sakunya. Maza berasa aneh juga. Kemudian dia menyuruh maza membeli tiket di situ untuk kami. Sekonyong-konyong seperti orang dipukau maza menuruti permintaannya lalu beratur panjang untuk membeli tiket. Sebenarnya maza tidak biasa menonton wayang ketika itu, sedikit janggal bila terlalu ramai orang mengerumuni kaunter tiket. Maza tertanya-tanya sendirian cerita apakah yang bakal ditonton hingga ramai orang seperti dirasuk berduyun-duyun ke panggung yang satu ini. Ah! Itu tidak maza peduli, janji misi sekarang ini mendapatkan tiket bagi memenuhi harapan seorang teman.

Kami akhirnya dapat membeli tiket untuk tayangan lewat malam. Jam 11.00 malam tayangan bermula. Tempat duduk kami hampir di barisan belakang. Maza lihat berkeliling, ramai sungguh orang pada malam itu. Ada yang sanggup berdiri dan duduk di tangga. Agak pelik tetapi itulah kenyataannya. 

Panggung Federal ini memang diketahui umum akan menayangkan cerita-cerita Tamil dan Hindi. Jadi malam itu maza buat kali pertamanya akan menonton filem Hindi di panggung. Entah apa angau pun maza tidak tahu, kali ini maza hanya mengikut sahaja permintaan teman itu, walhal cerita Hindi bukanlah filem pilihan kesukaan maza.


Jawabnya, malam itu maza terkena 'perangkap' dengan permintaan teman itu. Cerita di layar putih pun bermula. Tidak sampai dua minit, panggung yang sebelumnya agak kecoh dan bising dengan bahasa tidak difahami, menjadi sunyi sepi. Lima minit selepas itu terdengar sendu memecahkan keheningan panggung. Sesaat kemudian, tidak semena-mena air mata suci jantan maza turut mengalir di pipi tanpa dipaksa! Cerita kali ini betul-betul menampar hati lembut maza. Tersentuh perasaan jiwa remaja!

Minit-minit seterusnya ia memekarkan kembali kembangnya bunga di taman hati ini. Selama lebih tiga jam maza berkurung di dalam panggung itu. Hingga minit-minit akhir maza tetap memegunkan diri menghayati kisah cinta insan-insan tersebut.

Bukan setakat itu sahaja, kemaruk mula menguasai perasaan dan minda. Sekembali dari menonoton, keesokan harinya maza terus terjun ke pasar malam di Kampung Kerinci mahu mencari filem dan lagu-lagu dari filem itu. 

"Bang . . . cerita Kuch Kuch Hota Hai ada?"

Setelah mendapatkan VCD dihajati, bermulalah mabuk menonton cerita Hindi. Mencari teman sekuliah yang mempunyai komputer pemain video cakera liut (VCD). Bukan sekali menonton malah berulang-ulang kali, hinggakan jalan cerita, plot, dialog serta tariannya kami boleh hafal dan meniru!. Hahahaa.. nostalgia sungguh!

Semalam slot Panggung Sabtu di TV3 telah menayangkan cerita Kuch Kuch Hota Hai. Ia benar-benar menyingkap kisah silam. Terimbau kembali keremajaan maza. Ahh!!! I in Loveee  . . . 


Yang lucunya, apabila maza bercerita tentang sinopsis dan tahu beberapa gerak tarian filem tersebut, isteri maza seolah-olah tidak percaya. Terlopong mulutnya sebaik mengetahui rahsia suaminya yang pernah menjadi hantu Hindustan.

Untuk membuktikan bahawa maza benar-benar mengetahui bait-bait lagu serta gerak-tari filem tersebut, selesai menonton, petang itu juga maza mengheret anak dan isteri ke taman dan kami beraksi meniru tarian filem Kuch Kuch Hota Hai. Tergelak-gelak darling melihatkan gelagat maza dan anak-anak!

Sesungguhnya filem Kuch Kuch Hota Hai banyak memberikan kesan mendalam kepada keremajaan maza . .  seolah-olah Terasa Sesuatu Di Dalam Hati ... ahaks! . .


blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails