Ya! Hidup itu sebuah kembara. Kembara dari satu alam ke alam yang lain. Bahkan mati itu juga sebuah kembara. Yakni kembara dari alam dunia ke alam barzakh!
Sabda Rasulullah SAW: -
“Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya.” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Bahkan Allah SWT menyatakan bahawa tidak ada sesuatu ciptaan-Nya itu sia-sia. Firman Allah SWT:
"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. (Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116).
Maka setiap apa yang ada di dunia ini perlu dihargai, disyukuri dan dinikmati dengan cara betul sebagaimana sepatutnya mengikut hukum-hakam syariat.
Manakala syarat menjadi seorang berbudaya ilmu (Culture Literacy) harus tahu menghargai alam dan seni karya agung yang dizahirkan sama ada tersirat dan tersurat (Professor Emeritus Datuk Abu Bakar Abd. Hamid: Feb. 2012). Oleh itu, kita perlukan penelitian, ilmu dan fikiran untuk memahami alam.
Allah SWT menyuruh kita mengembara; menikmati alam dan berfikir. Firman Allah SWT:-
"“Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada.” (Surah al-Hajj, ayat 46)
Bahkan Allah SWT menyuruh kita mengembara, sebagaimana Allah SWT menyuruh Nabi Musa a.s mengembara hingga membawanya bertemu dengan Nabi Khaidir a.s.
Malah, Rasulullah SAW sendiri menggalakkan umatnya untuk menggembara di muka bumi ini. Antara isyarat yang nyata melalui sabda Baginda SAW :-
"Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang dizalimi dan orang yang musafir” (Riwayat Ahmad, Bukhari, Abu Daud dan Tarmidzi).
Lihat, betapa tingginya taraf orang yang bermusafir atau mengembara sehingga doanya antara yang paling mustajab.
Setiap kembara jalanan pastinya akan menempuh ujian dan kesukaran. Maka ingatlah pesanan Allah SWT, tidak semua keinginan kita itu membawa kebaikan kepada kita, dan bukanlah ujian itu didatangkan kepada kita kecuali untuk meningkatkan darjat kita di sisi-Nya.
“... dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah: 216)
Lalu dalam kembara hidup ini, kita harus sedar dan insaf betapa kerdilnya diri ini. Jika dilihat setiap sesuatu dari cebisan alam ini, maka kita tidak akan menjadi orang yang kufur nikmat. Malah akan menjadi manusia yang bersyukur.
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (Surah Ibrahim: 7)
Justeru, kembaralah di muka bumi Allah SWT. Ambillah manfaat dan iktibar setiap kali kita melangkah mengembara atau bermusafir. Bahkan di dalam al Quran banyak sekali Allah SWT menyebut "Tidakah kamu melihat ..." "Tidakah kamu mengambil pengajaran ..." "Berjalanlah kamu di muka bumi ..."
Justeru maza akan terus mengembara lagi dan lagi. Maza tinggalkan serangkai puisi dari ungkapan Abu Firas al-‘Amiri yang dikenali dengan Majd al-‘Arab:
“Berpisahlah, nescaya kau dapati ganti orang yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Singa jika tidak meninggalkan hutannya, tidak akan garang. Anak panah jika tidak meninggalkan busarnya tidak akan mengena sasaran”. (Fawat al-Fawayat 3/87, Beirut: Dar al-Sadir).
*nota: entry ini adalah sebuah titipan untuk sahabat yang bercita-cita mahu menukilkan sebuah karya agung tentang travelog di muka bumi Tuhan. Mudah-mudahan cita-cita beliau bersama sahabatnya dimakbulkan. Semoga berjaya Dafinka: www.celikhuruf.com (klik sini).