Hari ini juga maza ingin menegur peribadi maza sendiri agar sentiasa beringat apabila berkomunikasi atau membuat sebarang hubungan sesama insan dan makhluk lainnya.
|
Gambar: berbudi bahasa, sopan santun dalam pengucapan untuk menyampaikan buah hajat menyunting bunga di taman.
(wakil waris di majlis pertunangan Firdaus & Aisyah, Kampung Awah, Temerloh, Pahang) |
|
|
Semanis Nira Semasam Cuka
Seingat maza orang-orang Melayu memang mengutamakan budi bahasa. Apatah lagi Islam dijadikan teras pegangan mereka.
Nabi Muhammad Rasulullah SAW pernah menyeru kita agar memanggil seseorang itu dengan nama yang digemarinya. Memberi gelaran yang baik-baik. Bukannya nama atau gelaran yang boleh mendatangkan penghinaan, sakit hati atau makna yang buruk.
Di zaman dahulu, sekiranya kita bermulut lancang, ataupun terkurang budi bahasa, maka seseorang anak dara / teruna pastinya sukar untuk mendapat jodoh. Silap-silap hari bulan perut boleh bocor diradak dengan keris atau tombak!
"Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa!"
Orang tua-tua dahulu mementingkan seni budaya, dan menitik beratkan budi bahasa. Jika anak-anak mereka tidak berbudi bahasa, mereka akan merasa malu lalu terus diberikan pelajaran di situ juga.
Tambahan pula mereka yang tidak berbudi bahasa biasanya akan menerimkan kesan yang tidak elok. Sama ada dibalas dendam ke atasnya atau dipulau atau dihantar santau!
Ibarat padi, semakin berisi semakin ia tunduk.
Apatah lagi mereka yang mengaji pelbagai disiplin ilmu terutamanya ilmu kebatinan (Ketuhanan), mereka akan menjaga budi bahasa sesuai dengan ketinggian ilmu, sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang terpelajar dan sesuai pula status-quo yang diberikan oleh masyarakat ke atas mereka sebagai insan yang terdidik.
Jangan ikut resmi tin kosong, berlagak angkuh budinya tiada.
Tidak ada salahnya kalau kita menjaga budi pekerti. Bahkan Allah SWT bersama Rasul-Nya amat menggemari orang-orang yang menjaga budi pekerti.
Perkara yang digemari Tuhan sudah tentu akan terpalit limpah kurniaan-Nya. Lalu masyarakat amat menyanjungi serta menyayangi mereka yang berbudi bahasa tinggi dan berpekerti mulia.
Apabila masyarakat mengamalkan disiplin dan budi pekerti mulia, maka akan sampailah tempias rahmat dari Allah SWT. Setiap insan yang hidup di sekeliling masyarakat yang mengamalkan pekerti mulia akan berasa aman, bahagia, sentosa dan saling hormat menghormati.
Sorotan kajian
Terdapat sebuah monumen berupa tugu peringatan tegap berdiri bersebelahan Masjid Pasir Salak. Monumen tersebut dilingkari oleh pagar. Mereka yang hendak melawat ke monumen bersejarah ini harus membeli tiket di kaunter pintu masuk sana.
Dua orang gadis sedang terpinga-pinga mencari jalan keluar dari monumen peringatan pembunuhan residen pertama di Perak, JWW Birch itu, hendak ke masjid yang bersebelahan ini.
Seorang makmum separuh baya sedang menuju ke arah tempat berwuduk. Kebetulan pula ia terletak bersempadanan dengan pagar besi yang memisahkan antara kawasan masjid dan tugu peringatan tersebut.
"Jalan keluar ikut mana?" salah seorang gadis itu bertanya sambil di dalam mulutnya masih ada makanan. Di tangan kirinya tergenggam sebungkus plastik kecil berisikan jambu batu yang dibelinya di kedai cenderhati dan minuman di dalam komplek bersejarah Pasir Salak itu. Manakala tangan sebelah kanan sedang memegang penyucuk buah jambu tersebut.
Makmum tadi tidak membalas soalan yang dilontarkan itu. Dia terus mendiamkan diri dan hanya memerhatikan sahaja gelagat dua orang gadis tersebut.
"Macam mana nak keluar ni? Nak keluar ke masjid ni macam mana ya?" seorang lagi gadis yang dalam kebingungan mencari jalan keluar hendak ke masjid. Dagunya didongakkan ke udara. seperti soldadu British menyoal siasat penduduk kampung yang dijarahinya.
Makmum tadi menoleh berkeliling. Tiada siapa di situ melainkan dirinya. Tadi masa hendak menyahut pertanyaan tersebut dia takut-takut nantinya dituduh sebagai jejaka perasan. Atau mungkin dituduh tidak berbudi bahasa kerana menyampok kata-kata kedua gadis itu. Ngeri juga jika dituduh cuba mengurat dua orang pelawat itu. Ada harapan lebam biji matanya karang.
Tetapi anak mata kedua-dua gadis itu begitu ketara memacak ke tubuhnya yang pepes ini.
Bersandarkan niat yang baik dan mohon perlindungan dari Tuhan Rabul Alamin, pemuda tadi pun melontarkan kata hendak membantu gadis tersebut: "Cik kena keluar dari pintu masuk tadi. Di sini memang tidak ada pintu keluar untuk ke masjid. Sebab itu sesiapa hendak melawat tugu ini kena melalui pintu besar sana dan perlu dibeli tiketnya."
Kemudian gadis-gadis itu mengangguk-anggukan kepala. Kemudian mereka membelakangkan makmum tadi. Lalu meninggalkan pemuda itu terkebil-kebil sendirian. Makmum itu terus merenung ke dua mereka itu berlalu pergi dengan mulutnya terlopong.
Melihatkan kedua gadis tersebut mula berganjak dan meninggalkannya, lalu pemuda itu melaung, "Terima kasih ya!"
Dua gadis yang sedang berjalan sambil menikmati jambu batu itu memandang kembali dan terus tertawa sambil mengangguk-anggukan kepala.
Moral
- Berilah salam dahulu sebelum bertanya.
- Jangan bercakap dengan makanan penuh di mulut.
- Sorokan sedapatnya makanan di tangan itu baru bercakap. Lainlah kalau mahu memberi rasa makanan itu kepada orang tersebut.
- Gunakanlah kata ganti diri pemuda itu dengan panggilan yang baik-baik. Kalau geli sangat pun henda memanggil abang, panggillah dengan lembu dan sopan seperti Encik, Tuan, Pakcik,
- Jangan lupa berterima kasih. Kerana dengan menyebutkan terima kasih itu tandanya kita menghargai pertolongan orang dan juga sebagai tanda kita bersyukur!
Menatang minyak yang penuh
Punca kejadian ini mungkin disebabkan kegagalan seseorang itu dalam membawa diri dengan baik. Antara sebab kegagalan tersebut ialah:-
- Barangkali dibesarkan di dalam suasana berasrama penuh yang berjauhan dari ibubapa. Maka terkurang didikan daripada ibubapa dalam didikan cara-cara hendak memanggil dengan kata nama yang sopan, takzim dan hormat.
- Atau memang ibubapanya tidak mengajarkan cara bagaimana hendak menyapa orang dengan sopan dan berbudi bahasa. Sebab ibubapanya lebih kurang juga perangainya seperti beliau!
- Barangkali sudah terlupa adap sendiri.
- Atau sudah terlazim begitu sebab tak amalkan budaya yang baik lagi sihat ini.
- Atau merasakan diri itu sudah besar dan hebat sehingga memandang sepi kepada orang lain.
Oleh itu, budi bahasa perlu diamalkan selalu. Apabila sudah dilazimi, akhirnya akhlak yang mulia itu menjadi makanan dan pakaian diri. Lantas ia sebati dengan peribadi lalu jadilah manusia yang budiman.
Lantun-lantun: Maza bukanlah pemerhati sosial yang baik dan tak menganggap pun diri ini sebagai budayawan. Cuma sekadar berkongsi agar dapat mempertingkatkan peribadi maza yang kerdil ini.