‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 23 November 2010

Berkebun di pusara ayah



(Gambar: Menyangkol juga aktiviti senaman yang amat elok untuk badan.
Bilakah kali terakhir anda menyangkol)


"Nasrun, ayah buat apa tu?" soal Daniel (4 tahun).

Nasrun dan Daniel termengah-mengah setelah mengangkat beberapa ketul batu bata. Mereka beriya benar mahu mengangkatnya. Mahu tolong ayah katanya.

Sambil memegang pinggang dengan gaya bersahaja maza menjawab, "Ayah tengah cangkul. Buang rumput."

"Ayah nak tanam sayur ke?" tegur Nasrun ingin tahu (6 tahun).

"Haaa ... Nasrun tahu. Ayah nak buat batas macam cikgu buat kat sekolah. Nak tanam kacang soya ke ayah?" telahan Nasrun lagi yang belum pun sempat maza menjawab soalan yang pertama tadi. Serentak itu juga maza teringat akan projek di sekolah Tadika Nasrun. Cikgunya mengajar beliau tentang bercucuk tanam dan bertani. Alahai bercucuk tanam di dalam pasu bunga sahaja.

Hampir tergelak pula maza mendengarkan tekaan Nasrun itu.

"Bukan ayah nak tanam sayur. Ayah nak bersihkan dan betulkan kubur atuk ni. Dah berumput sana sini. Ayah nak elokkan tanahnya," jelas maza pada anak kecil itu.


Melopong mulut Nasrun dan Daniel. Mereka tetap tercegat di tepi kubur arwah ayah. Dan maza kurang pasti sama ada mereka faham atau tidak tentang kubur ini.

Semenjak umur maza sepuluh tahun lagi maza sudah tidak berayah. Kalau dihitung-hitungkan, maza masih bertuah kerana dapat bersama dengan arwah ayah dan menatap wajahnya. Berbanding dengan adik bongsu maza, Ali, yang ketika itu baru belajar merangkak. Kalau tidak silap maza dia baru berumur 18 bulan. Apalah yang dapat dikongsikan si anak kecil itu dengan ayahnya yang telah arwah. Ali langsung tidak merasa jauh sekali mengenal ikatan kasih sayang seorang ayah kepada anaknya.

Hari ini maza membawa Nasrun, Daniel, Darling dan emak pergi melawat ke kubur. Jam baru menunjukkan 11.00 pagi, tapi terik matahari cukup untuk mengeluarkan keringat di badan.

(Gambar: Emak bersama Aqlan memantau dari jauh.
Papan tanda: Tanah perkuburan Islam, Kampung Sri Lukut)

Sudah agak lama juga maza tidak menyangkul. Kalau dulu-dulu tatkala zaman remaja, cangkul adalah teman biasa untuk maza. Maza akan usung cangkul, parang panjang dan tajak ke sana ke mari untuk mengusahakan kebun demi sesuap nasi kami sekeluarga.

(Gambar: Batu tanda bertulisan jawi,
"Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sri Lukut, Mukim Kahang, Kluang)


Setelah berhijrah ke bandar dan melanjutkan pelajaran ke IPT, sejak itu jugalah cangkul sudah di luar kesebatian rutin harian maza. Termengah-mengah maza mengerjakan tanah yang tidak seberapa itu.

Usai menajak rumput, tanah di sekeliling makam itu dinaikkan. Ditimbun ke atas menjadikannya seolah-olah kuburan yang baru. Walhal sudah hampir dua puluh lima tahun kuburan itu berpenghuni.

Maza mengajak anak-anak untuk sertai dan melihat apa yang ayahnya buat adalah untuk mengajar anak-anak dan menasihati diri sendiri bahawa hidup ini adalah sementara. Dalam kecepatan itu jugalah kita harus berbakti kepada manusia dan alam. Kita harus melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara mungkar.

Maza juga ingin membuktikan bahawa maza mengingati arwah ayah dan sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua ibubapa maza.

(Gambar: Batu nisan ayah yang tulisan jawinya semakin pudar, kusam dimamah usia)

Diharapkan dengan pembersihan makam arwah ayah ini menjadi satu peringatan dan pengajaran buat anak-anak maza agar mereka akan sentiasa ingat, sayang dan kasih kepada ibubapanya waema tatkala kami tua sehinggalah kami di alam barzakh.

Beginilah salah satu tanda ingatan dan kasih sayang kita kepada kedua ibubapa yang telah tiada. Makamnya dipelihara dan doa kesejahteraan sentiasa dititipkan kepada mereka.

Dan besar harapan ayah agar anak-anak ayah kesemuanya menjadi anak-anak yang soleh. Ayah tak perlukan kamu menjadi seorang kaya-raya dan banyak harta. Tapi ayah mahukan anak-anak ayah menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Ya, menjadi orang-orang yang alim dan soleh!

Peluh masih berjurai. Rumput tadi telah dihumbankan ke tepi. Kemudian batu-bata disusun rapi.

Batu-bata yang disusun rapi itu bukanlah sebagai tanda bermegah-megah atau 'memperhebatkan' kubur tersebut. Lain tidak tidak bukan ianya bertujuan agar tanah di atas kuburan tersebut tidak mudah menggelangsar; menggelongsor pergi hingga sukar membezakan antara tanah yang rata atau kuburan manusia. Biar ia kelihatan sedikit kemas, terurus dan menandakan di kuburan itu masih ada waris yang ingat dan sayang kepada si mati.

Keringat yang mengalir dilap. Guni plastik buat mengangkat batu-bata tadi dibentangkan. Nasrun dan Daniel sudah mendapatkan ibunya di hujung tanah kubur sana. Lagipun hari semakin terik, takut nanti anak-anak maza pula yang mendapat demam.

Senaskah Yassin diselak satu persatu. Maza membacanya. Tenggelam dengan suasana hening di kuburan itu. Hanya suara maza memecah kesunyian. Sesekali terdengar kenderaan menderu berlalu di tepian jalan sana. Maza masih tekun membaca Yassin. Di hadapan maza di atas pusara itu maza letakkan sebekas jag air.

Di bawah panahan matahari terik yang memeritkan kulit, airmata maza tiba-tiba mengalir. Tahlil dan doa berbalam-balam dengan sendu yang tidak disengajakan. Di saat itu jugalah terimbau wajah ayah, senyumannya, kelembutannya dan batuk-batuk kecilnya di tengah malam dan pagi subuh sebelum kami pergi ke sekolah.

Ayahku inilah yang bersusah payah. Bergelut dengan keringat bersama perih jerih hidupnya membesarkan kami. Ayah inilah yang pernah berjuang untuk sesuap nasi tatkala sukar di zaman perang dahulu. Dan ayah inilah yang pernah membela tanah air bertuah ini. Dialah pembela kedua ibubapanya dari anasir jahat sang penjajah.

"Ya Allah, rahmatilah penghuni kubur ini. Ampunilah dosa ayahku, kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihani aku semenjak kecil lagi. Tempatkanlah ayahku dalam kalangan orang-orang soleh dan orang-orang yang Kau redhai." Setelah mengumpul kekuatan dan mengesat air mata, maza bangkit perlahan-lahan. Air dari jag itu maza curahkan. Bermula dari hujung kepala hinggalah ke kaki. Tujuh kali maza ulang-ulanginya sehingga air di dalam jag itu habis kesemuanya.

"Tinggallah ayah dan ahli kubur semua. Mudah-mudahan kita semua berbahagia di dunia dan akhirat. Damailah di alam sana. Sesungguhnya ayah di kuburan ini telah pergi dahulu mengadap Illahi dan tidak lama lagi giliran anakanda pula menyusul ayahanda," maza pun bergerak meninggalkan pusara ayah. Kini ayah kembali sendirian.

Alfatihah...

(Gambar: Beginilah keadaan pusara ayah setelah diselenggarakan ringkas. Selamat tinggal ayah.
Selamat bersemadi di tempat abadi. Moga ayah damai dan ditempatkan bersama-sama
dengan orang-orang yang soleh)



blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails