‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 11 November 2010

Kain Batik Lepas & Pontianak terbang.

Usai membasuh pinggan di malam itu setelah kenduri pertunangan anak Pak Teh di Tenggaroh 2, Kota Tinggi, tiba-tiba Mak Long mengajak pulang ke Kampung Seri Lukut. Walhal jam sudah menunjukkan 11.00 malam.

Jarak antara Tenggaroh 2 dengan Kampung Sri Lukut itu bukannya dekat. Sekurang-kurangnya memakan masa satu jam setengah. Ini bermakna hampir mencecah dua marhalah. Persekitaran di sepanjang perjalanan itu bukanlah seperti di jalan-jalan Kuala Lumpur ini. Atau seperti pusat bandar lain yang terang benderang dilimpahi sinar lampu jalan.

Di kiri-kanan di sepanjang jalan Tenggaroh dan Kampung Sri Lukut dikusami oleh kebuh-kebun dan hutan tebal! Jalannya pula umpama ular dipalu. Meliuk-lentuk, sekejap ke kanan sekejap ke kiri. Sesiapa yang kurang daya tahan akan cepat mabuk; berasa pening dan muntah. Apatah lagi jalan yang bakal dilalui itu pula jalan Jamaluang ke Kluang. Salah hemat di tengah malam buta ini tiada seorang pun yang akan melaluinya. Terlalu sunyi dan amat sukar untuk mendapatkan bantuan sekiranya sebarang aral berlaku di tengah jalan.

Kampung-kampung di sepanjang jalan itu jauh-jauh. Dan untuk menambah keperitan, jalannya berbukit bukau. Beberapa sungai besar seperti Sungai Lenggor, Sungai Lenggeng, Sungai Deli perlu ditempuhi.

Walhal dua hari lepas sebelum pergi ke Felda Tenggaroh 2 ini emak sudah berpesan kepada Mak Long. Mereka akan bermalam di situ sahaja. Pada keesokan harinya akan Pak Teh hantar mereka berdua pulang.

Entah angin apa yang telah mengubah fikiran Mak Long sehingga pejap hatinya berubah. Dia terus mendesak untuk dihantar pulang ke rumah.

"Aku kena balik juga malam ni. Aku tak boleh tidur kat sini," muka Mak Long mula menzahirkan perubahan kurang senang.

Emak hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. Untuk tidak memanjangkan cerita, emak tidak betah melawan. Lalu emak akur dengan permintaan Mak Long dan menyuruh Pak Teh menghantar mereka pulang.

Dalam keletihan di majlis kenduri pertunangan anaknya itu, Pak Teh terpaksa menganggukkan kepala. Pada hemat Pak Teh, elok juga menghantar emak dan Mak Long pada malam itu juga. Lagipun esok pagi-pagi subuh dia tidak perlu bergegas menghantar anaknya Yati pulang ke Kluang untuk berkerja. Jarak Kampung Sri Lukut ke bandar Kluang tidaklah jauh sangat. Sekitar 45km sahaja. Sedang-sedang elok kalau dibandingkan jika dia perlu menghantar Yati dari Tenggaroh, mahu hampir dua jam juga berdiam diri di dalam kereta Proton Saga itu.

Jam 11.30 malam emak, Mak Long, Pak Teh, Yati dan Mak Teh sudah siap di dalam perut kereta Proton Saga bewarna biru. Selepas memastikan segalanya baik dan berpesan kepada anak-anaknya yang lain agar menjaga dan melangsaikan urusan mengemas rumah, mereka pun bertolak dari Tenggaroh 2 ke Kampung Sri Lukut.

Bulan terang benderang mengiringi perjalanan mereka. Bulat besar terlekat di dada langit. Cahaya samarnya melimpahi alam lalu menerangi sepanjang perjalanan itu. Ribuan bintang-bintang bertaburan di langit. Macam-macam formasi terbentuk; scopio, Orion, octagon, dragon dan entah apa-apa lagi. Hanya ahli astronomi dan nakhoda pelayaran yang mengerti itu semua. Tiada satu pun bintang dikenali oleh seisi perut kereta Proton Saga biru itu. Bintang kejora yang sibuk dinukilkan para sasterawan haram mereka tidak tahu, inikan pula buruj-buruj bintang yang lainnya!

Proton Saga biru Pak Teh terus meluncur laju. Simpang Jamaluang ditinggalkan di belakang sana. Sudah tiba masanya mereka akan menempuhi kebun-kebun yang luas. Kemudian mereka akan melalui pula hutan tebal di sepanjang jalan. Hutan Simpan Lenggong ini hutan dara. Di dalamnya ada pelbagai kisah binatang buas dengan kehidupan ganas mereka. Pernah ada orang menuduh di situ ialah tempat Bigfoot, mawas merah dan binatang pelik-pelik lalu lalang.

Dari selekoh ke selekoh Pak Teh lempias. Tiada satu pun lampu limpah jalan mengiringi mereka. Pemanduan Pak Teh hanya dibantu oleh lampu sorot depan kereta itu. Sesekali kereta berbunyi merekot dek selekoh yang tajam.

Untuk mengelakkan mengantuk, emak tak putus-putus mengajak Pak Teh berbual. Dari satu isu ke satu isu. Dari kisah kenduri siang tadi hinggalah kepada lawak jenaka adik-beradik.

Beberapa jambatan merintangi sungai besar dan kecil dilintasi. Kalau di siang hari, kita dapat lihat betapa jernihnya air mengalir di sungai itu. Dan sungai-sungai ini terlalu suci sebelum dicerobohi oleh manusia rakus. Ya, pembalakan yang tidak dirancang menghancurkan lubuk ikan segar di sini. Pencuri balak dan pembalakan haram telah mencemar kesucian sungai jernih. Dulunya air di sini begitu bersih, bersinar bak kristal. Tetapi sekarang ada di antara sungai-sungai itu telah berubah menjadi sekeruh air teh susu yang dibikin di restoran-restoran mamak.

Jalan yang ditempuhi tidak pula rata. Berlubang sana-sini. Tampalan di permukaan jalan pun tidak sesempurna mana. Tidak selicin bak buah pauh dilayangi pisau belati. Berbonggol-bonggol dan berbenjol-benjol di tepi dan tengah jalan di sana sini. Justeru perlu berhati-hati. Kena fokus dengan menacapkan anak mata membelah kelam malam.

Bukannya kerajaan tidak melakukan penyelenggaraan ke atas jalan itu. Tetapi apabila bah melanda atau hujan lebat mencurah-curah, ditambah pula keadaan permukaan tanah, batuan dan garis kuntur yang tidak menyebelahi kehebatan kejuteraan engineer-engineer tempatan menyebabkan batu-batu kerikil yang ditambak dan butamin yang dileparkan ke atasnya terumpil keluar. Terhakis dibawa air atau tenggelam dilenyek lori-lori balak yang besar gedabak. Itu belum lagi gajah-gajah liar yang beratnya bertan-tan melanyak-lanyak, melompat-lompat dan menginjak-injak jalan tersebut. Natijahnya tidak lama selepas jalan itu diselenggarakan, ia akan rosak kembali.

Manakala ada sesetengah tempat jalannya begitu sempit. Dan di sebelah jalan itu pula terdapat pokok balak yang besarnya lebih sepemeluk!

"Kau biasa ke memandu jauh malam macam ni Teh?" soal emak.

"Aku dah lama tak lalu jalan Jamaluang ni malam-malam kak. Tidak selewat seperti ini."

Mak Long, Mak Teh dan Yati yang duduk di belakang sudah lama terlelap. Tinggal emak dan Pak Teh berdua sahaja masih setia bersengkang mata. Semestinyalah Pak Teh perlu membeliakkan mata luas-luas. Menahan kantuk yang menyerbu atau mereka semua akan tidur di tepi jalan yang sunyi itu. Lebih malang lagi terjun ke gaung atau lena diperdu pokok dengan kereta terhimpit rapat di pangkal pokok balak lebih besar sepemeluk itu.

"Kata orang kat jalan ini, di waktu tengah malam seperti ini kalau bernasib baik kita boleh bertemu kancil, rusa, napuh dan landak. Tapi minta-minta dijauhkan gajah dan segala macam yang tak diingini," kata emak.

Tatkala ini di sebelah kiri letaknya Ladang Mardos. Manakala di sebelah kanan jalan itu pula ialah hutan tebal. Dari tadi satu kenderaan pun mereka tidak temui. Hanya kereta Proton Saga Pak Teh inilah satu-satunya yang bergolek tayarnya di jalan itu.

Setelah emak berkata demikian, mereka terus menumpukan mata ke jalan. Mereka tidak mahu terserempak dengan benda-benda yang bukan-bukan. Orang pernah berkata kawasan ini memang keras. Macam-macam orang pernah jumpa!

Ada tu berjumpa dengan gajah merintangi jalan. Berderet-deret kumpulan gajah itu beratur di sepanjang jalan. Jadinya mereka yang malang itu terpaksa menantikan gajah-gajah tersebut beredar. Kalau mereka rempuh kawanan gajah-gajah itu bukannya gajah-gajah itu yang kemik. Malahan mereka pula yang remuk menjadi mangsa pijakkan gajah liar tadi.

Dan pantang pula dibunyikan hon malam-malam sebegini. Takut-takut ada binatang akan terperanjat dan menghambur lari deras ke arah kereta. Lagi haru dibuatnya.

Baru sahaja melepasi selekoh di Ladang Mados itu, angin dingin merempuh masuk ke dalam kereta Proton Saga Pak Teh. Kebetulan pula penghawa dingin kereta itu rosak. Untuk tidak menjadi lemas, mereka membuka ke semua tingkap kereta itu separuh.

Serentak itu juga haruman begitu wangi menerjah masuk ke dalam kereta. Awalnya emak dan Pak Teh buat tidak tahu. Tidak menegur pun bauan itu. Emak yang duduk di sebelah pemandu terus-terusan mengajak Pak Teh berbual. Emak cuba membawa dirinya dan Pak Teh melupakan peristiwa sejenak tadi. Emak cuba mengalih dari satu topik ke satu topik perbualan. Termasuklah perihal menuai padi di sawah Kahang itu.

Haruman wangian semakin lama semakin kuat. Seolah-olah ada sesuatu semakin menghampiri mereka. Tiba-tiba Mak Teh dan Mak Long tersedar dari lenanya. Dalam mamai itu Mak Teh menegur, "Bau apa ni kak?"

"Mana ada bau apa-apa," balas emak sambil cuba mencuit kaki Mak Teh.

Beberapa saat kemudian haruman itu terus berubah berbau hanyir dan pahit. Lekat busuknya yang amat pekat. Menusuk-nusuk ke hidung. Bau seperti binatang yang sudah mati beberapa hari alu. Bukan, bukan, ia lebih busuk dari itu!

Mak Teh dan Mak Long di belakang menutup hidung. Yati masih lagi lena. Dia keletihan yang amat, lagipun esok malam giliran kerja malamnya tiba.

Pak Teh masih tekun memandu. Selekoh tajam di hadapan. Sebaik hendak membelok, tidak semena-mena seperti ada kain terbang melalui di hadapan kereta mereka. Emak terperanjat dan dengan suara sedikit terketar, tertahan-tahan, perlahan mak bersuara, "Kau nampak tu Teh?"

"Apa dia kak? Tak nampak apa-apa pun," sepontan Pak Teh menjawab dengan ikhlas.

Emak beristighfar. Mengucap panjang cuba menenangkan hatinya sendiri. Terkumat-kamit emak membaca beberapa potong ayat suci yang sempat diingatinya.

Baru sahaja selekoh tajam itu selesai diambil, tiba-tiba sehelai kain batik lepas memasuki ke dalam kereta melalui ruang tingkap yang terbuka itu. Ia melintasi di atas kepala Pak Teh dan Emak.

Kali ini benar-benar Pak Teh dan emak dapat melihatnya! Kaget. Ya, mereka kaget! Jantung bagaikan mahu pecah terburai; mengepam kencang.

Pak Teh dan emak terperanjat. Mereka tahu kegunaan batik lepas ini. Lain tidak bukan kebiasaanya di kampung-kampung kain batik lepas ini digunakan untuk menutup atau menyelimbungi mayat!

Segera emak memusingkan tombol tingkap di tepi pintunya untuk menutup tingkap yang separuh terbuka tadi. Begitu juga Pak Teh cuba memulas tombol tingkap di sebelah kanannya dengan segera. Tapi malangnya tombol itu payah pula mahu dipusing. Tingkap di sebelahnya tidak mahu ditutup. Pada hal siang tadi kemain senang tombol itu dikayuh!

Pak Teh memandang emak seketika. Kemudian menumpukan semula perhatian ke atas jalan. Pak Teh menelan liur sendiri. Mukanya sudah pucat lesi. Kalau ditoreh mukanya itu tentulah tidak berdarah lagi.

Pak Teh terus mencuba. Kali ini dikeraskan usahanya. Pak Teh terkial-kial mahu menutup tingkap sisinya itu. Setelah beberapa minit Pak Teh mencuba akhirnya dia berjaya. Itu pun setelah segala kuderat digunakan.

"Piah (Mak Teh) tutup tingkap. Mak Long tutup tingkap. Cepat!" kerah emak dalam cemas.

"Kenapa kak?" Mak Teh terpinga-pinga. Dia tidak mengerti. Mak Teh dan Mak Long sebenarnya tidak nampak peristiwa tadi.

"Tutup ajelah. Cepat!" gesa Pak Teh serious.

Mak Teh memandang Mak Long sambil mengangkat bahu dan mencebikkan bibirnya. Mak Teh dan Mak Long menurut kata dan menutup tingkap masing-masing.

Tidak perlu menunggu lama. Kali ini kain batik lepas tadi tiba-tiba kembali menjelmakan diri. Dari cermin pandang belakang Pak Teh perasan kain itu mengekori mereka. Dan ia semakin hampir. Semakin dekat.

Ia terbang melambai-lambai. Seolah-olah kain batik lepas itu bernyawa memohon Pak Teh menantinya.

Sekarang kain batik lepas itu betul-betul berada di sebelah Pak Teh. Terbang beriringan dengan kereta Proton Saga biru Pak Teh.

Serentak itu juga Pak Teh menekan pedal minyak lebih kuat lagi. Pak Teh mahu memecut. Pak Teh mahu keretanya meloncat laju meninggalkan kain batik lepas terbang itu.

Di tekannya pedal minyak dalam-dalam, tetapi kereta Proton Saga itu tidak mahu pergi. Tetap seperti itu. Speedo meter tetap menunjukkan 60 km/j. Pada hal sepuluh minit yang lalu Pak Teh memandu sekitar 70-80km/j. Peliknya sebelum ini kereta Proton Saga itu tidak punyai sebarang masalah. Bahkan dalam keadaan biasa ia dengan mudah mampu memecut 120km/j!

Tiba-tiba kain batik lepas itu menghilang. Lesap entah ke mana. Mata emak dan Pak Teh terus melilau. Memeriksa ke mana perginya kain batik lepas itu. Setelah mereka pasti ia benar-benar menghilang, mereka mulai rasa lega. Keadaan pulih tenang seketika.

Tetapi adegan itu tidak habis begitu sahaja. Kain batik lepas itu tidak menghilang rupanya. Sekarang ia berada di atas bumbung pula! Ya, di atas kepala mereka.

Bumbung kereta terasa berlekuk seperti ada benda berat sedang duduk. Atau benda yang berpuluh-puluh kilo menumpang di atas bumbung kereta itu.

"Ah! Apa pula dugaan kali ini?" bisik perlahan Pak Teh sambil mengerling matanya ke atas bumbung.


*** Bersambung

Jangan marah ya kengkawan. Cerita ini akan disambung semula ke bahagian dua ... hehehe. Untuk menenangkan hati kengkawan yang kurang puas hati itu, maza mengucapkan "Selamat Malam Jumaat" gitew.

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails