‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 30 September 2010

Cik Silvy hidup Semula.

September 30, 2010 - Hari ini insuran dan cukai jalan untuk Cik Silvy sudah dihidupkan. Selama hampir sembilan bulan juga Cik Silvy tertambat di dalam kandang tanpa sebarang pembelaan.

Bukan apa, tak tahu hendak ke mana. Lagipun semua anak-anak dan isteri sudah kembali ke KL. Cuma dua tahun akan datang mereka akan kembali pula ke Kuantan.

Kendapati pun, maza tidak berasa ada kepentingan sangat mahu berkuda sana-sini. Dan maza juga bukanlah kaki kelab sosial (ahaks.. iyakan ajelah).

Fikir punya fikir daripada menolak Cik Silvy yang berat bertan-tan itu untuk ke PUSPAKOM hendak mendapatkan sijil FOMEMA kerana telah setahun tak bercukai, dari itu eloklah maza mengambil langkah awal. Apa lagi berpeluh-peluh ketiak hendak membayar cukai tersebut.

"Berapa cukainya cik?" tanya maza kepada seorang gadis muda pengawai JPJ cantik jelita nan manis itu.

"Semuanya RM250, encik," di sebalik senyuman manis, lembut sahaja pegawai cantik jelita itu menjawab.

"Ha! Bukan ke RM200. Tahun lepas saya perbaharui cukai cuma RM200 aje," sambil menggaru kepala maza cuba bertenang setelah dipanah petir guntur di dalam hati, terperanjat dengar caj yang dikenakan itu.

"Oh! Itu tahun lepas encik. Tahun ini kerajaan tidak berikan subsidi."

"Eh! Mana ada perkataan subsidi untuk pembayar cukai. Pemotongan cukai atau tax relief adalah. Janganlah cakap subsidi, macamlah kami ini yang berhutang giler dengan kerajaan. Walhal kamilah yang menggeluarkan duit sendiri untuk kerajaan!" hilang sudah muka manja maza setelah tersentak dengan jumlah wang cukai yang perlu dibayar.

"Maaf encik. Saya tak sengaja. Pemotongan cukai jalan tidak ada pada tahun ini untuk motor berkuasa tinggi seperti kepunyaan encik. Pengurangan cukai hanya diberikan kepada kenderaan motor di bawah 250cc. Minta maaf encik ya," pegawai JPJ cantik jelita masih menguntumkan senyuman dan membalas setiap sergahan dengan sabar, tenang dan manis sekali.

Sekali lagi maza menggaru poket seluar untuk mengeluarkan tambahan wang RM50 untuk menjelaskan cukai tersebut. Di dalam hati maza selain menggerutu perihal kenaikan kos tersebut, juga terdetik kagum dengan sikap dan tindakan pegawai kerajaan yang seorang ini. Rasa hormat terhadapnya bertambah-tambah.

Setelah menghulurkan kesemua bayaran tadi dan memperolehi cukai jalan, sekali lagi pegawai JPJ cantik manis dengan senyuman paling ikhlas dan manis disedekahkan kepada maza seraya berkata, "terima kasih abang. Senang-senang datanglah lagi. Kalau ada masalah dengan kenderaan abang, kami sedia membantu."

Ah'hak, hati yang panas tadi terus padam seperti dijirus dengan air batu pula. maza tersenyum simpul dan berhati senang. Hilang segala kegusaran setelah dilayan sebegitu.

Lepas ini langkah panjang akan bermula. Ruang lingkup berita di Gubuk Kecil Kembara Jalanan akan diperluaskan. hehehe...

Isnin, 27 September 2010

Bukannya Sarip Dol: Ada Sirap Ada Raya


(Gambar: Sirap Bunga Raya, bukannya Sarip Dol si Kampung Dusun)

Bila raya sahaja kita tidak jauh dari sirap. Kalau tak ada sirap rasanya macam tak cukup sahaja raya ini. Semacam kekurangan gitew.

Dari kecil lagi kalau pergi beraya mana-mana di kampung maza yang kebamboom itu, kebanyakkan rumah atau setiap rumah pasti akan hidangkan sirap. Sampailah kini sudah dewasa (dewasa sangatlah tu kan - ahaks!), sirap tak lekang dijadikan hidangan hari raya.

Sirap sudah sebati dan senonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri gitew. Di tempat anda seperti di India, Pakistan, Uzbekistan, U.K, Vietnam, Banting, Bentung, U.S, malah di Pasenteran Bandung bagaimana pula?


(Gambar: Meriah begitu terasa dengan pelita buluh berderetan di halaman rumah di sekitar kampung. Best! Best! Best! Kat London dan Scotland tak der ni. Err.. ini kisah hari raya bukannya deepavali ya kengkawan ... hehehe)

Barangkali tak keterlaluan jikalau maza katakan, "tak ada sirap tak hari raya, tak hari raya katau tak ada sirap" ... hehehe

Sebenarnya maza masih bermood raya dan rasanya kengkawan pun begitu juga. Badan berasa letih beraya di sana sini. Tetapi hati TETAP berbunga gembira 'kembang pagi' sambil menggosok-gosok perut nan satu dan bersyair:-

'gendang gendut tali kecapi
kenyang perut senang hati'

Segala letih, kepenatan dan senak perut tak terasa bila terkenangkan senyuman, ramah mesra tuan rumah dan nilai silaturahim yang dihulurkan.

Kata orang kalau tak ambil peluang hari raya ini dengan berkunjungan dan minta maaf bilalah lagi, kanzzz? hehehe.

Selain itu antara nikmat berkunjung pada hari raya ialah dapat menjimatkan duit belanja sebulan ini. Terutama setelah berabis pada hujung Ramadhan dan awal Syawal yang lalu.


(Gambar: Rumah kampung di Tanah Datar, Gadong, Kota, Rembau, Negeri Sembilan, Malaysia)

Apa-apa hal pun dalam kita beraya ini hendaklah kita menjaga mata, telinga dan mulut juga. Biarlah kita beraya dalam terhormat. Budi bahasa dijaga disamping penampilan yang mulia gitew. Kita mesti sentiasa dahulukan Tuhan dan Rasul daripada kehendak peribadi yang berbentuk nafsu.

Belum terlambat rasanya hendak mengucapkan selamat hari raya kepada mereka yang baru raya setelah berpuasa sunat enam hari Syawal. Tahniah, anda memang seorang superb. Hanya Allah SWT sahajalah yang layak membalas di atas segala amal ibadah itu.

Nabi kata, puasa sunat di enam hari bulan Syawal ibarat berpuasa satu tahun.

Kengkawan (termasuklah tuan tanah kedaung blog ini) bila lagi hendak berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal ini ek? Tahun depan belum tahu dapat lagi wei ... hehehe...

Rabu, 22 September 2010

Satu Hari Di Felda Palong, Negeri Sembilan


September 11, 2010 (Jumaat: 1 Syawal 1437) - Raya tahun ini maza pulang ke rumah mertua terlebih dahulu. Malam raya jam 12 tengah malam barulah maza bertolak ke Palong, Negeri Sembilan dari Kuala Lumpur. Sampai di rumah jam 4.00 pagi.

(Gambar: Aqlan Sholehin)

Selepas solat subuh, maza terdengar dari corong pembesar suara masjid di Felda Palong tentang pengumuman solat sunat Aidilfitri akan dilakukan pada jam 8.30 pagi.

Usai sempurnakan solat subuh, maza mengambil waktu bertenang dengan melelapkan mata sebentar. Sedar-sedar jam sudah menunjukkan 8.20 pagi. Apa lagi, macam lipas kudung bersiap untuk ke masjid.

(Gambar: Aqlan & Daniel)

Sampai di masjid 8.35 pagi. Ingatkan imam sudah pun berdiri dan mulakan solat sunat, tapi rupa-rupanya baru sudah bertahmid! Kini giliran pengerusi masjid memberi ucapan selamat hari raya. Sesudah itu tok ketua kampung, tok siak dan akhirnya tok imam pula membacakan perutusan daripada Pengurus Besar Persekutuan Felda.


(Gambar: Nasrun & Aqlan)

Selepas membacakan perutusan itu barulah tok imam membuat 'flash back' tentang cara-cara solat Aidulfitri. Tatkala ini jam sudah menunjukkan 9.30 pagi. Aduhaii... punyalah lama nak menantikan solat sunat tu, hingga menyebabkan lutut maza mulai lembik. Tahun-tahun sudah, tidaklah begitu lama. Cuma tahun ini tiba-tiba ada perutusan dari Pengurus Besar dan pelbagai ucapan lain pula.



Habis solat sunat terus berangkat pulang ke rumah. Mata di rongga ini sudah memberat sangat. Ulas mata semakin rapat untuk tertutup. Maza meninggalkan jamaah lain untuk mendengarkan kutubah raya yang kemudiannya diteruskan dengan majlis tahlil.



Sudahnya, raya pertama dihabiskan dengan melepaskan lelah setelah penat pulang dari ofis dan memandu lama di jalan raya. Mujur juga tidak berlaku kesesakan jalan raya yang amat sangat kecuali di Ampangan dan Paroi.

(Gambar: Di malam raya, jam 2.00 pagi, jalan masih sesak di Ampangan, Seremban, N. Sembilan.)


(Gambar: Stadium Paroi, Ampangan, manusia masih berduyun-duyun di dinihari.)


(Gambar: Stadium Paroi, Ampangan, gadis dan kanak-kanak kecil masih berkeliaran di malam raya. Mereka membeli-belah di saat-saat akhir untuk persiapan raya)

Rehat punya rehat dengan solat Jumaat sekali terlanggar. Aderrrkk....

Hari raya pertama dan kedua di kampung Felda Palong ini agak sunyi juga. Sebab masih ramai lagi peneroka-peneroka yang pulang ke kampung halaman. Atau mungkin juga mereka (pemuda & pemudi kampung) kepenatan setelah bertelungkus lumus menyiapkan juadah raya, ketupat dan lemang.


Namun kemeriahan tidaklah luput begitu sahaja. Meriahnya raya amat terasa apabila malam hari. Dengar kata dari sehari sebelum malam raya hinggalah ke malam-malam berikutnya kampung menjadi gempar-gempita dengan bunyi meriam, mercun dan bunga api. Lebih asyik lagi apabila meronda-ronda sekitar kampung. Di halaman rumah penuh dengan hiasan sama ada pelita, lampu kelap-kelip atau langsir baru.

Pada keesokan harinya (hari raya kedua) setelah matahari meninggi, seisi rumah mertua di kampung Felda Palong itu mula bergerak beraya. Kali ini kami akan pulang ke rumah uwan di Tanah Datar, Gadong, Rembau.

Untuk laporan seterusnya, akan maza bawakan pada entry akan datang. Jadi tunggulah ya kengkawan untuk mengetahui gaya maza beraya gitew.. hehehe


Selasa, 21 September 2010

Sireh Pulang ke Gagang

Alhamdulilah, 17 September 2010 (Jumaat) maza sudah pulang ke pangkuan rumah sendiri di KL ini dari kunjung-kunjugan sempena Hari Raya Aidilfitri 2010 lalu.

Senak perut penuh dengan ketupat dan kuih raya masih bergelora. Mujur juga tandas bukan menjadi bilik tidur nombor dua.

(Gambar: mendayung perahu dari Kg. Belemang, Sungai Muar hendak pulang ke Kuala Lumpur. Apa macam, ada sesiapa mahu ikut?)

Isnin ini (20.09.2010) maza mulakan rutin harian seperti biasa. Pergi kerja balik kerja. Pergi jam 8.00 pagi pulang jam 6.30 petang. Hampir dua minggu juga maza bercuti. Dan rasanya mahu pinta cuti lagi, sebabnya rendang di dalam perut ini rasanya masih belum lawas benar. Lemak-lemak dan air sirap masih berkocakan lalu membuatkan tubuh berasa sengal-sengal dan otak melayang-layang tersenyum mengingatkan peristiwa raya.

Tapi kalaulah maza buang tebiat mahu pinta cuti lagi, ada harapan muka hijau boss akan bertukar menjadi raksaksa kryptonite ... hehehe

Pada kengkawan yang dikasihi sekalian, maaflah sebab tak dapat nak balas segala kad raya, ucapan dan jengahan tuan-tuan di blog yang tak fofular ini ... Insyallah, nanti maza akan ceritakan sebuah kembara jalanan di hari raya itu. Buat masa sekarang, maza mahu betulkan sendi-sendi dan urat-urat yang melintang-pukang disebabkan sendawa seredak kuih raya ... hehehe

psst... maza masih dalam mood raya.. kira macam "hantu" raya gak ler ... wakaka

Kepada Cik Nurul ... terima kasih kerana sudi menjadi pengikut blog Gubuk Kecil Kembara Jalanan ini ... syukran, syukran ... gitew.

Isnin, 6 September 2010

Sudah sampai waktunya! Mohon Ampun dan Maaf...


Maza masih dalam mood tidak berapa sihat lagi. Dugaan dan cubaan Ramadhan dan Syawal tahun ini pada maza amatlah kuat.

Jadi, selagi ada detik untuk bersama ini, biarlah maza ambil sikap merendah diri.... menyusun jari sepuluh, menghulurkan tangan memohon ampun dan maaf; zahir dan batin kepada kengkawan yang best-best ini.

Jika ada tulisan, komen dan kata-kata maza yang kurang menyenangkan mohonlah maza diampunkan. Begitu juga mana-mana yang maza termakan dan terminum sama ada sengaja atau tidak, pintalah kengkawan halalkan.

Insyallah, jika ada jodoh dan umur kita panjang, akan bersua semula di arena siber ini.

**derita sakit maza kadang kala datang on dan off. Mohonlah doa yang baik-baik daripada kengkawan itu ya. Dan hati-hatilah semasa di jalan raya. Jangan jadikan jalan raya kita sebagai Sungai Maut! Elakkan diri kita daripada tercebur di dalam statistik Ops Sikap 21 ini...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails