‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 31 Ogos 2010

Merdeka! tewas di atas ranjang


Masuk hari ni dah 3 hari maza terlantar di atas katil. Sebabnya maza demam panas. Dan masuk hari ni jugalah maza dah 3 hari tak puasa...huhuhu...

Mulanya maza hanya sakit-sakit tekak, lepas tu seluruh badan rasa sakit-sakit, akhirnya demam tak kebah2. Tapi hari ni, sudah ada kurangnya, walaupun begitu sakit-sakit masih ada dan perlu makan ubat.

Sedih juga rasa di hati kerana tak dapat sambut merdeka di luar sana. Apapun maza ucapkan SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN kepada kengkawan semua.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Rabu, 25 Ogos 2010

Serban lebai pun boleh londeh dan tertanggal. Semuanya gara-gara godaan di tebing sungai



(Gambar sewaktu-waktu dahulu: Aqlan Sholehin bersama atuknya)

Ogos 21-22, 2010 - Maza sudah terjah pulang ke kampung. Bermulalah perjalanan kembara ke kampung halaman ini disebabkan hasutan dari hasil nukilan Pn. Azma di dalam blog Yang Teristimewa itu. Pn. Azma sudah menulis tentang pulang ke kampung dan meriahnya berbuka puasa bersama ayah dan bonda beliau. huhuhuhu ... jealous you!

Semenjak itu juga jiwa maza tak karuan. Meronta-ronta teringatkan tempat jatuh lagi dikenangkan, ini kan pula tempat bermain di kampung yang itu sewaktu dahulu kala (alahai macam umur dah klasik lah pulak).

Kebetulan pula pada hari Rabu hingga Khamis lepas maza dapat MC. Sungguh dapat MC tapi tidaklah memudaratkan sangat hingga memaksa maza beraya awal (membatalkan puasa). Jadinya, maza pun terambillah kesempatan pada hari Jumaat itu, MC tadi telah disambung menjadi cuti tahunan. Setelah selesai beberapa urusan, petang Jumaat nan indah lagi mendung, maza pun bermusafirlah ke Kahang melempias Kluang, Johor Darul Takzim.

Hati rawan menjadi cerah sebaik dapat merasa air tangan ibu. Bukanlah hidangan yang hebat-hebat ditagihkan, malah hanya sekadar hidangan biasa-biasa sahaja. Hidangan yang sering orang kampung dan ibu maza jamukan. Kalau mahu hidangan yang best-best gitew, di Kuala Lumpur ini pun sudah cukup dan melambak. Tak perlu pun pulang ke kampung halaman nan permai itu.

(Gambar terencat dek terlalu ceria setelah dapat pulang ke kampung halaman nan tercinta)

Tetapi apa yang lebih penting kali ini ialah meraikan Ramadhan bersama ibu tercinta. Berbuka puasa bersama keluarga lebih bermakna dalam kehidupan nan fana ini. Alkisahnya, terkesan jua di lubuk jiwa dengan kemeriahan yang kebabom gitew.

Sungguhpun tidak berlauk mewah, sekadar ikan kering dan bilis pun kami tetap sudi berkongsi malah sedap untuk diratah sama. Yang paling mustajab ialah senyum lebar, rasa bahagia terukir mekar di wajah masing-masing. Alhamdulilah...

Untuk menambahkan perisa ajinomoto kali ini, maza sempat juga terjah pinggiran sungai nan berliku, Sungai Kahang, Batu 25 (kawasan perkampungan Orang Asli). Apa lagi, maka maza pun duduk bersila kononnya hendak memancing ikan jaws.

(Gambar: Dua ekor ikan dikail serentak. Lebai pun boleh berkocak serban bila diuji dengan sentakan rembatan joran oleh ikan yang ganas seperti ini hehehe)

Tetapi akhirnya yang dapat ialah sembilan belas ikan pucuk sahaja. hehehe... jadilah.. boleh juga dijadikan lauk untuk berbuka atau sahur nanti. Dapat makan ikan segar dan duit belanja pun dapat dijimat, kan? hehehe...

Memancing di tepi sungai kali ini betul-betul membawa nostalgia maza tatkala kanak-kanak dahulu purba kala. Dan hari ini maza sudah sampaikan cerita lipatan sejarah tu kepada anak maza sendiri, Nasrun.

Nasrun juga maza sudah peturunkan segala pengalaman dan pendidikan ilmu khas mengail ikan. Harap-harap ilmu itu akan diingati selalu dan dijadikan bekalan hidupnya! huhuhu

(Bergambar kenangan setelah tutorial ilmu mengail ikan disampaikan)

Uniknya kali ini ialah maza telah diperkenalkan kaedah memancing ikan yang baru. Iaitu tidak lagi menggunakan mata kail yang itu. Tetapi sejenis jaring khas yang mampu menjerat sebanyak enam ekor atau lebih ikan sekali gus dalam satu masa.

Bibiq (adik maza) adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan kaedah ini. Katanya kaedah ini sebenarnya telah diamalkan oleh masyarakat Siam di Thailand sana. Kiranya kami import teknologi sahajalah.

Baru setengah jam melabuhkan joran, tiba-tiba hujan menghalang kami. Apa lagi bertempiaran lari bersama hasil tangkapan yang lumayan gitew (ahaks! macamlah berpuluh-puluh kilo. Tak sampai pun sekilo setengah ikan yang dikailnya huhuhu). Sampai di rumah jam menunjukkan baru 6.45 petang.

Habis berbuka di maghrib Ahad itu, maza sekeluarga pun terpaksalah meninggalkan kampung halaman.

Insyallah jika ada kederat, duit dan diizinkan Tuhan, raya nanti bolehlah orang-orang kampung berbaris untuk bersalam dengan maza. hehehe (al kisah macam YB Dato Seri Hishamuddin, Menteri Dalam Negeri, Ahli Parlimen Kahang melawat kawasan dan merasmikan klinik kesihatan lah fulaks.. wakakaka)

Isnin, 23 Ogos 2010

Antara Dua Titik Sempadan Masa...

"Belum masanya lagi, kau nak meraikan 'kemenangan' awal-awal nak buat apa? Nak jadi macam orang jahiliah?" Imam Salehan menyergah.

"Tak adalah macam tu imam. Kita buatlah persiapan awal dulu. Lagipun saya ni malas nak berebut-rebut, terkejar-kejar di pasar raya sana tu." Jelas Razak.

"Huh! Menang pun tak tahu lagi. Entahkan berjaya entahkan tidak. Dah sibuk nak merai sakan. Bak kata orang tua-tua; perang belum mula, dah kecoh kata dah menang. Heboh sekampung siap pukul tabuh lagi. Tup-tup bila sampai masanya, haram ... terus tewas di depan Tuhan. Merangkak-rangkak mohon keluar dari neraka."

"Eh! Apa yang imam cakapkan ni? Saya tak fahamlah." Razak terpinga-pinga.

"Gini Razak. Puasa ini ibarat kita berperang juga. Kita berperang melawan nafsu. Syaitan sudah confirm awal-awal lagi kena tambat.

Manakala hari raya aidilfitri ialah hari kemenangan setelah kita mengharungi segala rintangan di dalam bulan puasa.

Pendek kata, orang yang betul-betul menang dan harus menyambut hari raya ialah orang yang keluar daripada Ramadhan dengan mendapat keampunan Allah. Iaitu mereka yang mengharungi Ramadhan dengan tabah, takwa dan tawadhuk.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW iaitu Ramadhan itu terdiri daripada tiga peringkat. Sepuluh malam pertama ialah peringkat rahmat Tuhan. Sepuluh malam kedua ialah peringkat keampunan Tuhan. Dan malam sepuluh akhirnya pula ialah peringkat Allah mengeluarkan manusia daripada seksaan neraka.

Ini, puasa pun belum tahu berjaya lagi. Puasa pun tak sampai 15 hari, dah kecoh sana sini nak beraya. Nak raikan kemenangan 'apa' agaknya tu? Menang sebab dapat keampunan dan rahmat Tuhan atau menang dicampakkan dalam lubang neraka; tewas dengan hawa nafsu dan juga godaan tauke-tauke gedung pasaraya sana tu?!"

"Itu saya faham imam. Tapi mana datangnya maksud imam 'jadi orang jahiliah'?"

"Yalah, sebagai perumpamaan! Janganlah kita sama perangainya dengan kaum Quraisy masa perang Badar dulu. Ha! Perang Badar tu pun belaku dalam bulan Ramadhan juga.

Belum pun tahu menang di medan perang, dah sibuk kaum Quraisy membuat keraian. Habis pukul canang katanya Quraisy pasti menang dan diajaknya diraikan terlebih dahulu. Alih-alih kalah dengan pasukan Muslimin dengan 313 tentera orang sahaja. Walhal jumlah tentera Quraisy tiga kali ganda!

Jadinya janganlah menyerupai orang-orang jahiliah itu. Tak manis dan tak disukai Tuhan," terang Imam Solehan.

"Alah imam dengkilah tu. Mentang-mentanglah dia tak dapat tambahan elaun. Haa ... bonus tahun lepas pun tak ada, mulalah dia nak hasut laki kita tu, nak halang kita beraya sakan.

Ni tengah jualan murah baik beli cepat-cepat. Karang menjilat jari. Lagipun minggu depan kan gaji lagi. Boleh buat second round ke shopping complex, tak pun peruntukkan untuk raya di kampung pulak." cebik bibir Senah di balik tabir masjid Kampung Lukut itu.

Tinta emas:
1) Terima kasih kepada en. n@m@n kerana sudi jadi pengikut blog maza ini.. hehehhehe

2) Ada kengkawan bertanya ke mana maza menghilang. Sebenarnya maza tidaklah menghilang cuma tidak sihat sikit dan ambil cuti MC dari menulis di sini. Sambil-sambil itu maza juga pulang ke kampung mengadap bonda di sana, di sanaaaaa.....

Dan sekarang maza sudah kembali gitew..hehehe


Isnin, 16 Ogos 2010

Bertukar PARAM!


Hari ini sudah enam Ramadhan. Bermakna sudah enam hari kita berpuasa (errr.. bagi mereka yang berpuasa penuh).

Kata ulama muktabar melalui hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para perawi, bulan Ramadhan ini dapatlah dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:-

  1. Awal Ramadhan pintu Rahmat Allah SWT di buka seluas-luasnya
  2. Pertengahan Ramadhan pintu keampunan dosa dibuka luas oleh Allah SWT
  3. Akhir Ramadhan pula ialah pembebasan daripada seksaan neraka!

Pada suatu peristiwa, tatkala malaikat panjatkan doa ke hadrat Ilahi dengan berkata, "celakalah mereka yang keluar dari bulan Ramadhan tetapi tidak mendapat keampunan Allah!" Lalu Nabi Muhammad SAW pun mengaminkannya.

Justeru, mereka yang berjaya memenuhkan aktiviti seharian dengan amal ibadah, iaini bukan setakat menahan lapar dan dahaga di siang hari, tetapi ibadah-ibadah lain seperti sedekah, membaca Al-Quran dan qiamulail, juga menahan diri daripada melakukan maksiat; insyallah diberikan ganjaran yang hebat sehingga seribu kali ganda. Apatah lagi jika kita dapat menemui malam lailatul qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Kemudian di akhirnya pula diberikan keampunan oleh Allah SWT.

Justeru maza pun mahu bertukar. Transform kepada yang baik-baik juga. Tidak mahu dicelakakan oleh penghuni langit dan juga penghui bumi. Maza mahu mendapat keampunan, keredhaan, rahmat dan cinta dari Allah SWT! huhuhu...

(Gambar: menghormati Ramadhan dengan menukarkan penampilan dan memelihara akhlak yang mulia. Mudah-mudahan ia dapat mentarbiahkan hati dan jiwa, lantas terus kekal yang baik-baik sepanjang zaman)

Sambil-sambil itu, juga memenuhi tuntutan iman, maza mahu mengajak kengkawan untuk bertukar menjadi insan yang baik-baik. Bertukar dari segi percakapan, perwatakan mahupun penampilan di dalam bulan Ramadhan ini.

Masih sempat lagi untuk melakukan ibadah dan pekerjaan baik-baik wahai kengkawan. Jangan berputus asa dari mengharapkan rahmat Tuhan!

Antara langkah yang boleh disumbangkan ke arah keredhaan Tuhan ialah dengan membantu saudara muslimin melalui PENUKARKAN PARAM!

Bukanlah maza maksudkan Param pendek (pelakon kenit) yang itu mahu ditukarkan menjadi panjang atau warnanya. Tetapi PARAM yang dimaksudkan di sini ialah PASAR RAMADHAN.

Antaranya yang perlu ditukar ialah:-

  • Jangan membeli kepada peniaga PARAM yang tidak menutup aurat.
  • Jangan menjual kepada pembeli yang gagal menutup aurat dengan sempurna.
  • Jangan membeli barangan yang mahal harganya. Jika kita beli juga barangan yang dijual mahal itu, bermakna kita telah menganiaya saudara kita yang lain. Iaitu kita telah membuatkan infalsi dan menggalakkan peniaga menaikan harga barangan sesuka hati! (Kesian pada orang yang kurang berada seh!)

****

Maza juga mahu membawa sebuah riwayat dahulu kala!

Alkisah, tersebutlah kisah di zaman Khalifah Syaidina Umar Al Khatab. Ketika itu, pada tahun tersebut terjadilah kemarau di tanah Arab yang amat sangat. Keadaan getir berlaku dengan bekalan daging dan makanan berkurangan. Jadinya ada para peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikan harga melampau-lampau sehingga ada yang sampai tiga kali ganda atau lebih!

Mahu tidak mahu seorang hamba kepada Khalifah Al Mukminin itu pun membeli secebis daging tersebut dan dibawanya kembali ke rumah.

Sampai di rumah Syadina Umar bertanya kepada hambanya itu, "kenapa sedikit sangat barangan yang kau bawa dari pasar hari ini tidak seperti lazimnya?"

Jawab hamba, "harga daging di pasar terlalu mahal tuan. Jadi saya telah membeli secebis daging ini dengan kenaikan harga tiga kali ganda!"

"Pulangkan kembali daging ini! Aku tidak mahu aku seorang sahaja dapat memakan daging sedangkan rakyatku menderita kerana masalah ini.

Jika aku memakan daging ini juga, ini bermakna aku sudah menzalimi rakyat ku. Dan bagaimana aku harus tahu kesusahan rakyat jika aku tidak sama-sama seperti mereka.

Pulangkan! Walaupun kita mampu membeli dengan harga yang mahal dengan sebanyak itu, sedangkan kebanyakkan rakyat kita tidak perolehi daging disebabkan harga sedemikian. Mana mungkin aku menelan daging ini dan membiarkan saudara-saudaraku sengsara!"


****

Cerita lain.

Maza ingin kongsikan al-kisah ribut yang menghempas PARAM di Jasin Melaka. Moga-moga menjadi iktibar kepada kita sebagai pembeli, penjual, pengguna atau penguatkuasa!

Berikut ialah video yang dipetik dari 'tube anda!'




Jangan lupa bayar zakat fitrah dan fidyah....

Akhir kalam, cerminlah diri, tingkatkan prestasi dan selamat beramal!

Terima kasih kepada Cik Anisah yang cute-cute itew. Ini bermakna bertambahlah rakyat yang menjadi pengikut blog maza. Siapalah maza tanpa kengkawan yang best-best itu, kan? huhuhu



Jumaat, 13 Ogos 2010

Drama Melankolia Suami Bershopping Baju Raya


(Gambar: Dahulu kala di Genting Highland)

Lokasi: Di hadapan komputer pejabat, Kuala Lumpur.
Latar suasana:
  1. Tenang tanpa ada gangguan. Tidak terasa terancam dengan tikaman mata boss. Aman damai gitew.
  2. Dua kawan sedang berbual di dalam talian internet menggunakan YM (Yahoo Massenger)
*****

Rosni: Bila nak buat berbuka puasa bersama ni?

Sudin: hehhe (senyum ketat)... tunggu gaji lorr. sekarang ni tgh mengumpul keringat mahu beli baju raya anak-anak.. huhuhu

Rosni: kekekke ... (ketawa jahat) tak payah beli baju rayalah.

Sudin: tu lah.. kalau budak-budak tu reti pakai kain pelikat macam ayahnya ni, abang pun bercadang mcm tu gak.. tak payah berbaju raya tahun ini. ... tapi budak-budak tu tak reti nak selit kain pelikat lagi. Yang sulung baru enam tahun, nombor dua pulak empat tahun dan nombor tiga tujuh bulan. Nampaknya terpaksalah abang terjah sana sini. Pecah batu, angkat tanah cari duit tepi.

Rosni: hahhahah. Dulu masa kita kecik kita duduk Felda. Mak ayah susah dan memang tak ada duit. So bila time raya, mesti nak baju raya. Mak ni belilah kain murah-murah.

Nasib baik emak pandai jahit. Jadi bolehlah jahit sendiri.

Ada 4 orang adik-beradik perempuan. Semua pakai corak sama, fesyen aje yang lain. Ada satu kali tu, mana tau masa raya pergi umah orang, baju sama dengan kain langsir orang. Aduhaii ... wakakaka (ketawa)

Sudin: Hahahha... (ketawa simpati) tu lah kan.. orang dulu-dulu tak kisah sangat bab baju raya macam tu. Sebab masing-masing pun susah.

Dan masa zaman tu jugak, kalau tak silap abang, Rosni masih lagi menyangkutkan lastik kat tengkuk dengan batu kat kocek dan berlenggeng ke sana-sini. Jadinya, masa zaman Rosni budak-budak dulu tu, orang taklah kisah sangat. Dah jadi fenomena biasa kat kampung. Emak bapa dan masyarakat sekeliling lebih kurang senasib dengan keluarga kita. Mereka pun dah maklum.

Sekarang ni anak-anak kita kat bandar. Sudah reti membezakan. Sudah banyak pendedahan. Lagi-lagi bersekolah tadika yang kedaboom gitew..

Tapi tak apa. Apa yg ada itulah kita 'kasik kayuhkan.'

Sebenarnya bukanlah anak-anak abang itu yang mengeluh, tapi mak dan bapak merangkap uwan dan atuk dia yang memandang lain macam kalau tak berbaju raya ni.. hehehe (senyum perit)

Semalam ada ura-ura orang tua abang tu mahu sponsor baju anak-anak. Tapi kami jawab tak payahlah untuk budak bertiga tu, cuma kalau mendesak juga maka panjangkanlah beli baju raya untuk kami berlima, iaini termasuk baju raya emak ayah budak-budak tu sekali .... hehehe (ketawa keriangan)

Rosni: hahahahah (ketawa lucu) ... mana ada kita pergi raya pakai lastiklah abang. Bawa beg plastik adalah, senang nak kumpul duit.

Sudin: Abang pernah pergi beraya bawa lastik gantung kat leher tau.. kendian pernah gak bangun pagi-pagi terus hilang pergi beraya.. tak mandi pagi lagi tu. wakakkaka.. (geli hati sendirian, macam kena geletek di pusat gitew)

Rosni: Patutlah busuk! Eh, kalau ada orang yang sudi nak belikan baju, tadah sajalah padang bola.. hahaha... (jeda seketika.. Rosni terdiam. Kemudian menyambung semula)

... tapi betul jugaklah kata abang tu. Itu dulu, zaman kita dulu. Anak zaman sekarang jauh bezanya. Tambah-tambah lagi di bandar ini.

Hanis tu ha suruh kita belikannya beg Barbie. Suruh pakai beg free maybank yippie tak nak,
mengada betul!

***
Tiba-tiba Sudin disergah. Kelam kabut dibuatnya. Bukan sahaja terbang idea tetapi juga segala buku dan pena di hadapannya bertaburan ke udara.

"Sudin, mana dokumen samalam tu. Bawa masuk ke dalam bilik." boss besar Sudin memanggil Sudin. Boss besar berdiri betul-betul di sebelah Sudin sambil memandang tepat ke kaca skrin komputer Sudin.


Selasa, 10 Ogos 2010

Sayu di tarbiyah lagi. Peluang keemasan.


Hidup ini penuh perjuangan. Dan setiap kali berjuang kita perlu berusaha keras untuk mengatasi rintangan. Untuk sampai matlamat akhir bukannya mudah. Namun berpantang putus asa mencari keredhaan Tuhan!

Dalam diam dan tidak sedar sekali lagi Ramadhan bulan penuh kerberkataan menjengah buat sekian kalinya.

Tahun ini maza berazam mahu membuatkan Ramadhan yang terbaik, lebih baik daripada tahun-tahun lalu. Pendek kata mahu membawa perubahan ke arah kebaikan.

Di samping itu juga, maza mahu berkongsi sedikit info.

Oleh kerana maza ini tinggal di Selangor dan bekerja di Kuala Lumpur, setelah mendapatkan nasihat daripada orang-orang alim, eloklah zakat dikeluarkan di tempat di mana kita bekerja. Kerana dari situ kita mendapat pendapatan, punca rezeki dan ianya lebih aula' (utama).


Lagipun zakat fitrah di Selangor dan Kuala Lumpur harganya masih tetap sama iaitu RM7.00 sekepala. Mujur juga harga beras bersubsidi itu tidak dinaikan, kalau dinaikan ada harapan zakat fitrah juga kena naik. Tapi zakat naik pun tak adalah menjadi soal yang dahsyat, kerana ia suatu tuntutan syariah! Redha sahajalah kan!?

Selanjutnya jumlah zakat fitrah di kawasan terpilih adalah seperti berikut:-

Pahang, Perak, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang – RM7 Terengganu – RM5, RM7 dan RM8 Johor – RM5 dan RM7.50 Sabah – RM6.80 Negeri Sembilan – RM6.50 Melaka – RM6.50 Sarawak dan Perlis – RM6

Sumber : Dari Kujie diriwayatkan oleh BERNAMA


Sebelum tutup bicara, maza ingin mengingatkan diri maza yang selalu lupa diri ini agar jangan ponteng solat tarawikh. Tingkatkan prestasi, elokkan peribadi.... selamat beramal!

psst: esok puasa sehhh (Ogos 11, 2010)! Tahun ini berusaha jangan ponteng aaa....


Isnin, 9 Ogos 2010

Kembali terkenang kisah anak-anak 1980-an

Entah macam mana satu hari itu maza terima satu email dari kengkawan yang best-best lagi hangat. Al kisah bermulalah email itu mengembalikan nostalgia maza perihal kehidupan zaman kanak-kanak maza yang lampau (macamlah amat sangat lamanya, kan? hehehe).

Tersenyum sendirian setelah melihatkan beberapa gambar yang pernah mewarnai hidup tubuh kerdil maza ini, lalu maza titipkan sebahagian darinya untuk berkongsi dengan kengkawan di sini pula.

Dulu-dulu kalau mahu membaca cerita novel yang bersifat takut lagi real, maka bacalah siri novel Bercakap Dengan Jin, penulisnya Tamar Jalis. Begitu saga sekali cerita ini mengalahkan novel/wayang Twilight Zone saga itu.


Kalau difilemkan menggunakan kaedah teknologi yang terkini dengan teknik 3D, rasanya cerita 'Bercakap Dengan Jin' mampu menewaskan Twilight Zone saga yang menjadi kegilaan kaum hawa.

Soalnya, mampukah kita memiliki hero setampan si vampire yang handsome dalam cerita Twilight Zone penuh dengan kelentong itu? hmmm....


Antara mata pelajaran yang maza kurang gemar ialah mata pelajaran ilmu kesihatan. Aduhai, bila tiba giliran subjek ini, cikgu yang mengajar mata pelajaran kesihatan akan memeriksa kuku, rambut dan juga kutu. Yang tak best-nya, sesiapa yang gagal memotong kuku dan berambut tak ikut speksifikasi akan dihukum jam itu juga.

Setakat kena berdiri di atas kerusi, sudah tebal sangat kulit muka ini. Kalau kena tadah tangan dan sedas dua rotan, rasanya sudah mesra dah rotan itu dengan kulit tangan. Mulut hanya merekot dan mata terkenyit-kenyit sahaja menahan libasan. Alahai kan.. huhuhu


Sepekara lagi, maza memang minat bab Tawarikh yang satu ini. Mata pelajaran sejarah adalah mata pelajaran kegemaran maza walaupun berpinar mata hendak mengingatkan nama, tahun dan kronologi cerita.

Dalam minat-minat itu, pernah jugalah maza hampir-hampir dapat markah merah... alahai kan, dengki sungguh cikgu itu.

Cikgu Saharuddin ialah cikgu sejarah maza masa sekolah rendah. Cikgu Saharuddin cukup sporting. Pernah beliau menyarankan kepada kami dengan berkata "siapa mau belajar, duduk diam dan dengar. Yang tak mau, ya sudah. Duduk kat belakang dan buat kerja masing-masing!"

Apa lagi, budak-budak kampung yang mudah bosan dengan pelajaran pun mengambil kesempatan.

Cikgu Saharuddin memang penyabar orangnya. Beliau terus mengajar dengan tabah sambil berdiri di depan papan hitam dan membaca buku tawarikh itu. Walhal kelas sudah huru-hara. Budak-budak kampung yang sedia bosan dengan pelajaran tersebut terus bermain, tidur dan terpekik-pekik di belakang.

Kadang-kadang yang duduk kat depan mata Cikgu Saharuddin pun ada juga yang tertidur.


Bedak yang satu ini selalu maza tengok mak tepekkan kat badannya. Mak Teh yang tinggal di belakang rumah maza tu pun selalu sahaja menggunakan bedak ini.

Sekali tu maza dan sepupu (anak-anak Mak Teh) pernah dijinjing telinga. Telinga kami kena piat gara-gara kami bermandikan bedak sejuk itu. Habis satu rumah putih melepak. ahaks..

Di sekolah, van yang satu ini selalu kami nantikan. Lori milo yang berwarna hijau akan mengedarkan air milo percuma kepada kami di bawah 'Skim Bantuan Susu dan Makanan Pelajar Miskin'.

Satu lagi maza tidak boleh lupa ialah bantuan air susu kotak. Dulu-dulu air susu kotak payah hendak dapat. Kalau ada pun harganya mahal, 0.60 sen sekotak!

Setiap bulan akan diadakan kutipan duit di dalam kelas oleh cikgu kelas untuk membeli air susu kotak. Harga sekotak bersubsidi itu ialah 0.30 sen sahaja.

Mereka yang di bawah skim bantuan makanan dan susu akan diberikan kupon. Jadinya mereka akan terus sahaja mendapatkan bantuan air kotak tersebut secara percuma. Jika mahu lebih kena beli pada harga subsidi 0.30 sen sekotak.

Pernah juga kawan-kawan maza buat perniagaan. Susu kotak yang dapat percuma itu dijualnya kembali kepada rakan-rakan yang tak memperolehi kupon tersebut. Harganya sedikit murah berbanding harga yang dikutip oleh cikgu kelas, 0.20 sen sekotak. Ahaks, kecik-kecik sudah pandai cari duit tepi, kan?!

Masa tu maza pernah mendengar khabar angin. Katanya minum susu kotak itu bukannya baik sangat. Itu semua kelentong semata-mata untuk mengelabui duit rakyat. Pernah katanya di dalam susu kotak itu terdapat ulat susu. Menguit-nguit lagi.

Dan ada juga murid keracunan susu tersebut. Muntah dan cirit birit. Ini kerana susu yang dibekalkan sudah basi atau sudah rosak.

Entahlah, betul atau tidak berita itu maza tak pasti. Tapi maza pernah dengar emak dan kawan-kawannya mengeluh tiap-tiap bulan. Terutamanya bila mana anak-anak mereka mahu minum susu itu dan mereka terpaksa membelinya.

Pada satu hari pernah maza terdengar seorang ayah kawan maza berkata padanya ketika menongkatkan motosikalnya di pintu pagar sekolah sebelum masuk kelas, "Susu, susu, susu! Tiap-tiap bulan nak susu kotak. Kau dan cikgu ingat aku ni cop duit?!"



Rabu, 4 Ogos 2010

Kalau sudah rindu, moh ler kita Be-Reunion... 8th collage, UM


Minggu lepas maza sudah terjah satu sessi REUNION 8th, UM @ PD (Julai 24-25, 2010). Lokasi kali ini ialah di Tiara Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan, Malaysia.

Mula-mula itu, maza sudah pasang angan-angan besar mahu tersadai macam buaya tembaga yang mati terdampar di pantai Port Dickson. Alahai... yang tiga orang pemancing jumpa bangkai buaya seberat satu tan terapung di Ixora Permai, Tanjung Agas, Port Dickson yang itu.


Mimpi indah itu punah sebaik tiba di Tiara Beach Resort. Puas maza mencari tepian pantai nan lautan dalam ke sana ke mari. Selangkor sudah, meranduk semak pun sudah, tapi bayangan pantai di Tiara Beach Resort haram tidak ditemui.

Yang ada cuma kolam besar gedabak, melingkar terkangkang luas di tengah-tengah penginapan kami.

Pun begitu, maza fikir..., ini pun jadilah, dapatlah juga melepaskan keinginan maza dan anak-anak bersidai penuh damai.

Akhirnya di kolam itu kami berendam jua. Pantai beralun landai sudah tidak terkenangkan lagi.


Kolam besar gedabak macam lautan nan luas ini dilengkapi dengan gelongsor besar, sotong gergasi, buaian berpusing dan macam-macam lagi. Ianya diutamakan untuk kanak-kanak.

Kalau sudah dinamakan untuk kanak-kanak, makanya orang-orang dewasa terpaksalah duduk diam-diam di tebing kolam!

Tapikan mana boleh jadi. Tidak tahan sehhh. Dengan beralasan mengawasi anak-anak, maka ada juga emak-bapak yang terlepas sama bermain gelongsor. Berdebus .... air melompat keluar setelah manusia berat itu curi-curi mendarat cemas ke dalam kolam tersebut. Bangkit-bangkit terasa bontot menjadi sengal terhentak lantai kolam disebabkan airnya toho (cangkat/cetek)! (ahaks ... rasakan)


Reunion kali ini telah menemukan 17 keluarga daripada Regimen Kolej Kediaman Kinabalu, Universiti Malaya dengan kekuatan 60 orang anggota. Battalion yang satu ini juga dikenali sebagai Kolej Kelapan (KK8), UM.

Namun yang paling best dan mahu ditonjolkan di sini sebenarnya ialah 'muka maza sudah masuk surat khabar!'

Jadi sebagai kenang-kenangan dan nak bagi penghangat kengkawan yang sedia 'hangat', maka sukacitalah maza mahu menepek berita dari harian Kosmo! yang bertarikh Ogos 3, 2010; halaman 19 itu.

Inilah buktinya: -


YAHOOOOO!!!! Lihatlah DUNIA ... lihatlah!!!.. tontonlah sepuas-puasnya!... Hahaha (sila ketawa macam orang jahat)

psst Kujie: ... den pun dah masuk surat khobar. Kira den dah balas dondamlah ni, wakakaka

Akhir kalam, jangan marah aaaa! hehehe...


Selasa, 3 Ogos 2010

Perkara Remeh Yang Anda Tidak Patut lakukan ketika Memandu

Tatkala khusyuk memandu di lebuh raya, tiba-tiba anda menjadi perhatian. Pengguna jalan raya memandang anda dengan merekot-rekot mukanya. Bibir terherot-herot. Ada yang menjuih bibir ke kiri atau ke kanan. Dan ada juga yang menutup mata sambil memandu, sepantas itu juga mulutnya terpacul perkataan, "eeeee..."

Entah macam mana sedang asyik memandu, sambaran kilat memancar ke muka. Terperanjat seketika. Berpinar biji mata. Terkedu sambil menarik nafas semput. Lalu tersedar dari khayal memandu.

Sekarang kelakuan anda sudah dirakam oleh pita rakaman!


"Hah! Inilah buktinya. Perkara remeh yang tidak patut seorang pemandu lakukan. Abang akan memandu dalam khayal dan membahayakan orang lain. Abang juga membuatkan orang berasa kurang senang dan boleh menyebabkan orang lain kemalangan" seorang isteri memperdajalkan suaminya. Kononnya demi sebuah pengajaran agar si suami tidak 'melombong' dan karam dalam keasyikannya...

maza seperti biasa membuka ruang luas untuk kengkawan memberikan tips dan menambah perkara-pekara remeh yang tidak patut kita lakukan ketika memandu.


Terima kasih kepada Neeza dari Saudi Arabia yang tak jemu-jemu menjadi pengikut setia blog ini.

Juga tidak dilupakan untuk rakan baru yang mendaftar di ruang pengikut maza iaitu Cik Hartini Md Yusof, dan Puan Azma. Siapallah maza yang ini tanpa anda semua, kan? huhuhu



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails